Anda di halaman 1dari 28

Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Etika Perniagaan dari Perspektif al-Quran: Satu


Tinjauan

Mohd Nizho bin Abdul Rahman dan Mohd Shukri bin Hanapi

1.0 Pendahuluan
Al-Quran merupakan sumber hukum Islam yang utama, asli dan abadi.
Ia merupakan sebuah kitab yang lengkap, yang menjadi panduan kepada
semua umat manusia. Kandungannya merangkumi pelbagai hukum dan
peraturan hidup untuk manusia dalam segala aspek kehidupan
termasuklah bidang perniagaan. Oleh itu, maka sudah pasti terdapat
banyak ayat daripada surah-surah yang berbeza-beza dalam al-Quran
yang membicarakan tentang etika perniagaan.

Tujuan etika perniagaan ini adalah untuk memastikan setiap manusia


yang berkecimpung dalam bidang perniagaan itu mengelakkan diri dari
segala sifat terkeji (mazmumah) dan menghiasinya dengan sifat-sifat
terpuji (mahmudah). Sebenarnya hal ini bagi menjamin kemaslahatan
manusia dapat dipelihara dan segala unsur yang boleh mencetuskan
pergaduhan, perbalahan, pertikaian, penindasan dan rasa ketidakpuasan
hati dapat dihalang. Justeru, kertas kerja ini akan membincangkan etika
perniagaan dari perspektif al-Quran serta cara-cara pelaksanaannya.

2.0 Perniagaan dari Perspektif Sejarah


Perniagaan dan perdagangan di kalangan orang-orang Arab atau umat
Islam bukanlah perkara baru. Jika disoroti kembali sejarahnya,
Rasulullah s.a.w sendiri sebelum dilantik menjadi rasul terlibat secara
langsung dalam perniagaan. Sejak berumur 12 tahun lagi sejarah
mencatatkan baginda sering mengikuti rombongan bapa saudaranya,
Abu Talib keluar berniaga di Syam (Zulkifli & Naemah, 2006:31).
Apabila baginda dewasa, baginda sendiri menjadi peniaga yang

1
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

membeli barangan di sebuah pasar dan diniagakan di pasar yang lain.


Kemuncak kepada penglibatan Rasulullah s.a.w dalam perniagaan ialah
apabila baginda menjadi peniaga yang memasarkan barang-barang yang
dimiliki oleh Saidatina Khadijah binti Khuwailid r.a ke negara-negara
jiran seperti Syria dan Yaman (al-Buti, 2001:40). Selepas kedatangan
Islam, kecenderungan masyarakat Arab ke arah perniagaan ini tidak
dihalang atau disekat oleh Islam, malah al-Quran memberi galakan yang
kuat kepada umatnya untuk melibatkan diri dalam perniagaan.

Kota Mekah sejak sebelum sejarah Islam lagi telah memainkan peranan
aktif sebagai pusat perniagaan penting di Timur Tengah. Penduduk
Mekah juga mengadakan perkongsian perniagaan sesama mereka
melalui mekanisme mudharabah dan musyarakah antara golongan
pelabur dengan golongan pengusaha perniagaan yang menjalankan
usaha perniagaan. Melalui aktiviti ini hampir semua penduduk Mekah
termasuk yang miskin dan mempunyai modal yang sangat terhad dapat
melibatkan diri dalam perniagaan yang dijalankan sama ada sebagai
pelabur atau peniaga kecil-kecilan (Hassan & Atikullah, 2003:196).

Selain menerima peniaga-peniaga luar yang datang ke Mekah untuk


berniaga, penduduk Mekah juga menganjurkan rombongan-rombongan
perniagaan ke negara-negara jiran. Ini adalah bentuk perdagangan
antarabangsa pada masa itu. Usaha menganjurkan kafilah-kafilah
perniagaan ke negara-negara jiran oleh penduduk Mekah sebelum Islam
ini dirakamkan sendiri dalam al-Quran. Surah Quraisy (106:2)
menceritakan hakikat bahawa para peniaga Arab Mekah mengadakan
rombongan perniagaan ke negeri Yaman pada musim sejuk dan ke
Syam (Syria) pada musim panas.

Pada zaman awal Islam, didapati bahawa ramai para sahabat Rasulullah
s.a.w yang telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Antaranya
ialah Sayyidina Usman bin Affan r.a dan Sayyidina 'Abd al-Rahman bin

2
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

'Auf r.a. Mereka berdua merupakan ahli perniagaan yang berjaya serta
memperolehi keuntungan yang banyak (Mohd Nazmi, 2005:181&205).
Di antara faktor utama menyebabkan mereka memperolehi kejayaan
dan keuntungan yang banyak dalam perniagaan ialah kerana mereka
berusaha gigih dan berniaga mengikut etika yang digariskan oleh Islam.

3.0 Galakan Al-Quran Terhadap Perniagaan


Di dalam al-Quran banyak dijelaskan pengajaran dan peraturan untuk
perniagaan. Di antaranya firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka


bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan
urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati
dari limpah kurnia Allah”.
(Surah al-Jumu’at, 62:10)

Perniagaan yang dimaksudkan itu bukan di satu tempat sahaja, malahan


digalakkan perniagaan keluar dari sesuatu kawasan ke kawasan lain
walaupun merentasi lautan seperti yang dinyatakan dalam firman Allah
s.w.t:

Maksudnya: “... Dan kamu dapat melihat kapal-kapal


membelah air laut supaya kamu dapat mencari kurniaan
Allah dan mudah-mudahan kamu bersyukur”.
(Surah al-Fatir, 35:12)

Dalam ayat yang lain Allah s.w.t menjelaskan:

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya


bahawa Dia mengirimkan angin sebagai berita gembira dan
supaya Dia memberikan rasa rahmatNya kepadamu dan
supaya kapal dapat belayar dengan perintahNya dan supaya
kamu dapat mencari rezeki kurniaanNya dan supaya kamu
bersyukur”.
(Surah al-Rum, 30:46)

3
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Berdasarkan ketiga-tiga maksud ayat di atas, jelas sekali bahawa Allah


s.w.t menciptakan alam ini dengan segala anugerah dan kemudahan
yang disediakan supaya manusia dapat berusaha untuk mencari
kurniaanNya. Para mufassir berpendapat antara yang dimaksudkan
dengan mencari anugerah Allah s.w.t dalam ayat-ayat di atas ialah
melalui aktiviti-aktiviti perniagaan (Abdur Rahman I. Doi, 1992 :
348-349).

Selain daripada ayat-ayat di atas yang menjelaskan usaha mencari


rezeki secara umum, terdapat juga beberapa ayat al-Quran yang secara
khusus menyebutkan perkataan perniagaan (tijarah) atau jual beli
(al-Bay') secara khusus. Antaranya seperti firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “... Dan Allah menghalalkan jual beli (al-Bay')


dan mengharamkan riba”.
(Surah al-Baqarah, 2:275)

Allah s.w.t telah menjelaskan secara khusus bahawa hakikat berjual beli
atau perniagaan merupakan suatu aktiviti yang dihalalkan. Pernyataan
al-Quran yang sangat jelas tentang kedudukan perniagaan ini dengan
sendirinya menolak fahaman bahawa al-Quran merupakan sebuah kitab
agama dalam pengertiannya yang sempit iaitu khusus kepada persoalan
kepercayaan kepada yang ghaib dan persoalan ibadat ritual sahaja.
Bahkan lebih dari itu, al-Quran juga menjelaskan etika dalam
perniagaan yang perlu diikuti oleh para peniaga.

Dalam satu ayat lain Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah


kamu makan (atau ambil) harta orang lain secara batil (tidak
sah) melainkan melalui perniagaan (tijarah) (yang dilakukan
secara) redha-meredhai antara kamu”.
(Surah al-Nisa’, 4:29)

4
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Ayat ini secara lebih jelas lagi memperlihatkan galakan al-Quran


kepada orang-orang yang beriman untuk menceburkan diri dalam
perniagaan. Allah s.w.t menyebutkan dengan jelas sekali bahawa cara
untuk mendapatkan harta atau kepunyaan orang lain ialah melalui
perniagaan yang dilakukan secara jujur dan amanah. Melalui perniagaan
yang jujur ini, kedua-dua pihak akan berpuas hati dengan barang yang
telah dijual belikan. Perniagaan dalam Islam adalah perniagaan yang
beretika dan tidak akan menjejaskan orang lain bahkan semua pihak
menerima manfaat dari perniagaan itu.

4.0 Perniagaan Menurut Pandangan Ulama’


Tidak dapat dinafikan bahawa perniagaan adalah merupakan amalan
yang disukai oleh para nabi. Di dalam al-Quran dan hadis diceritakan
tentang perniagaan yang membabitkan sumber dan kaedah yang terbaik
bagi seseorang itu melakukan aktiviti perniagaan. Untuk memahami
nas-nas berkaitan perniagaan, maka para ulama’ adalah orang yang
bertanggungjawab memberi pandangan berkaitan perniagaan.
Antaranya:-

1. Ibn Khaldun dalam Muqaddimah menyatakan bahawa


perniagaan merupakan salah satu kaedah seseorang itu
memperluaskan modal (Ibn Khaldun, 1995 : 467).
2. Al-Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah menyatakan bahawa
perniagaan adalah pertukaran barang dengan barang atau harta
dengan harta atau harta dengan barang atas dasar persetujuan
kedua-dua belah pihak (penjual dan pembeli) atau pertukaran
hak milik dengan gantian (bayaran atau mubadalah) mengikut
peraturan syarak (al-Sayyid Sabiq, 1994 : 147).
3. Imam al-Syarbini menyatakan bahawa perniagaan ialah
pertukaran dalam bentuk wang dengan barang atau barang
dengan barang bertujuan mendapatkan keuntungan (al-Syarbini,
1995 : 142).

5
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

4. Imam al-Razi menjelaskan bahawa perniagaan sebagai satu


transaksi barang-barang yang wujud atau belum atau tidak
wujud (Fakhr al-Razi,1994 : 129).

Oleh yang demikian, sesuatu perniagaan itu mestilah mempunyai unsur-


unsur pertukaran barang dengan barang atau barang dengan
perkhidmatan atau barang dengan wang. Perniagaan juga dilakukan
untuk mendapat keuntungan tanpa menindas orang lain dengan
wujudnya persetujuan antara penjual dan pembeli). Paling penting,
perniagaan yang dilakukan hendaklah sah dan mendapat pengiktirafan
di sisi syarak.

5.0 Maksud Etika


Mengikut Kamus Dewan, (2005 : 401) etika adalah prinsip moral atau
akhlak atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang
individu atau sesuatu kumpulan (persatuan, pekerjaan dan lain-lain).
Adapun Institut Integriti Malaysia (2007 : 17) pula mendefinisikan etika
sebagai himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah
laku individu, organisasi dan profesyen.

Jelasnya etika adalah suatu prinsip atau peraturan atau nilai akhlak atau
moral berkaitan tingkah laku atau tindakan setiap anggota dalam sesuatu
kumpulan. Oleh itu, apabila disebut etika perniagaan ia memberi erti
peraturan-peraturan atau nilai akhlak atau moral yang membatasi
gelagat atau tindakan manusia dalam kegiatan perniagaan.

6.0 Ciri-ciri Etika Islam


Etika Islam mempunyai ciri-ciri yang istimewa yang tidak ada pada
etika-etika yang lain. Antara perkara tersebut ialah:

6
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

i) Kebaikan Mutlak
Kebaikan mutlak merupakan ciri utama dalam Islam yang merupakan
ciptaan Allah s.w.t. Kebaikan yang dihasilkan sungguh murni untuk
individu, keluarga dan masyarakat. Ia sesuai untuk setiap tempat, zaman
dan suasana. Etika murni yang disarankan oleh Islam adalah merupakan
ibadah hamba kepada Penciptanya. Sebagai contoh, sifat pemurah yang
dianjurkan oleh Islam merupakan suatu amalan pemberian secara ikhlas
dan rahsia. Al-Quran telah menjelaskan perkara ini melalui firman
Allah s.w.t:

Maksudnya: “Dan kalau kamu pula sembunyikan sedekah-


sedekah itu serta kamu memberikannya kepada fakir miskin,
itu adalah lebih baik bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah, 3:271)

ii) Kebaikan Sejagat


Etika Islam menjamin kesejahteraan manusia sejagat tanpa membatasi
tempat, suasana dan zaman. Kesejagatannya bermula daripada Allah
s.w.t yang telah mencipta alam dan manusia. Ini kerana Allah s.w.t
adalah Maha Mengetahui segala keperluan makhluk ciptaanNya
terutama sekali manusia. Justeru, etika menepati fitrah manusia
melewati batas keturunan, geografi, zaman dan sebagainya.

iii) Mudah
Etika yang ditetapkan oleh Islam adalah mudah dan serasi dengan jiwa
manusia dan dapat diterima oleh akal, hati dan dalam lingkungan
kemampuan manusia melakukannya. Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “....(dengan ketetapan yang demikian itu) Allah


menghendaki kamu beroleh kemudahan dan dia tidak
menghendaki kamu menanggung kesusahan...”
(Surah al-Baqarah, 2:185)

7
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

iv) Mantap
Etika Islam sesuai sepanjang zaman dan untuk semua masyarakat.
Sedangkan teori etika lain sentiasa berubah-rubah dan hanya mengikut
situasi masyarakat, tempat dan zaman tertentu sahaja.

v) Pengawasan Yang Menyeluruh


Allah s.w.t mencipta manusia dan menggubal etika yang bersesuaian
dengan cara hidup manusia. Etika Islam tidak memerlukan penguasaan
dan pengawasan yang keras terhadap mereka yang melanggarinya.
Pengawalan dan pengawasan hanyalah melalui keimanan dan
ketakwaan kepada Allah s.w.t. Inilah yang menjadikan manusia berasa
bersalah dan tertekan jika mereka melakukan etika yang keji. Etika
yang bersumberkan al-Quran dan hadis serta berteraskan akidah dan
syariah yang mantap mempunyai pengawasan yang menyeluruh
mencakupi harta, sikap, hati, tenaga dan bahasa (Mustafa Hj. Daud,
1994 : 30-37).

7.0 Sumber Etika Perniagaan Islam


Etika perniagaan adalah diperolehi daripada dua sumber utama hukum
Islam iaitu al-Quran dan hadis. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah
r.a, daripada Nabi s.a.w. bersabda:

Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu


tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-
duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”.
(Hadis Riwayat Malik – dipetik daripada Mohd Radzi &
Ghafarullahuddin, 2005 : 10).

Selain itu, ia juga dibincangkan oleh para ulama’ dalam satu cabang
daripada ilmu fiqh iaitu Fiqh al-Muamalat. Dengan memahami etika
perniagaan Islam kita akan dapat memastikan perniagaan yang
dijalankan itu diredhai oleh Allah s.w.t. Namun, untuk perbincangan

8
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

dalam kertas ini akan ditinjau etika perniagaan dari perspektif al-Quran
sahaja.

8.0 Etika Perniagaan dari Perspektif Al-Quran


Di samping memberi galakan kepada umat Islam untuk menceburkan
diri dalam perniagaan, al-Quran juga menetapkan beberapa peraturan
dan etika yang mesti dipatuhi oleh umat Islam dalam menjalankan
aktiviti perniagaan mereka. Ini bertujuan supaya tidak berlakunya
penipuan, ketidakadilan, penganiayaan dan sebagainya yang akhirnya
akan membawa kepada keruntuhan ekonomi dan mengancam
kesejahteraan masyarakat seluruhnya. Antara peraturan-peraturan dan
etika penting yang terpancar daripada pengajaran al-Quran ini adalah
seperti berikut:

i) Niat Ikhlas
Niat menjadi asas sesuatu perbuatan kerana ia meletakkan sasaran atau
matlamat. Niat yang ikhlas dan benar selalunya diikuti dengan
pelaksanaan yang diredhainya. Ini sangat berbeza dengan dasar ‘the end
justifies the mean’ yang berbangga dan tidak merasa berdosa mencapai
sesuatu matlamat di atas kesengsaraan oleh lain (Ma’amor Osman,
2001 : 54). Penekanan supaya berniat ikhlas dan benar ini disebut dalam
banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti
berikut:

Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku,


ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan
semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang
diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama
menyerahkan diri (kepada Allah)”.
(al-An’am, 6:162-163)

9
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Maksudnya: “Katakanlah: Tuhanku menyuruh menjalankan


keadilan. Dan (katakanlah): Luruskanlah mukamu
(ikhlaskanlah dirimu) di setiap sembahyang dan sembahlah
Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepadaNya
sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan
(demikian pulalah kamu akan kembali kepadaNya) ".
(al-A’raf, 7:29)

Maksudnya: “Sesunguhnya kami menurunkan kepadamu Kitab


(al-Quran) dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah
Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan
kepadaNya”.
(al-Zumar, 39:2)

Maksudnya: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya


menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan)
ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama yang lurus,
dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan
zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus”.
(al-Bayyinat, 98:5)

Oleh itu, seseorang peniaga muslim harus memastikan bahawa niatnya


hanyalah untuk mencapai sesuatu tujuan murni dan agar mendapat
keredhaan Allah s.w.t dalam segala aspek kehidupannya.

ii) Tidak Terlibat dengan Amalan Riba


Riba dalam pelbagai bentuknya adalah sangat dilarang dalam Islam
kerana ia menjadi punca kepada penindasan dan ketidaksamaan dalam
ekonomi. la boleh mewujudkan keadaan orang yang kaya menjadi
bertambah kaya dan orang miskin menjadi bertambah miskin. Larangan
terhadap amalan riba ini disebut dalam banyak ayat al-Quran. Antara
ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti berikut:

10
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Maksudnya: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba


itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya
orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana
sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka
mengatakan bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja
seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli
(berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang
telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada
Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa
yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu)
adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada
Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan
mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di
dalamnya”.
(al-Baqarah, 2:275)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman tinggalkanlah


saki baki daripada amalan riba jika kamu benar-benar
beriman”.
(al-Baqarah, 2:278)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman janganlah


kamu memakan riba berlipat ganda”.
(Ali 'Imran, 3:130)

Maksudnya: “Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian


atau tambahan (riba) yang kamu berikan, supaya bertambah
kembangnya dalam pusingan harta manusia, maka ia tidak
sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan
kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang
kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah

11
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-


orang yang beroleh pahala berganda-ganda”.
(al-Rum, 30:39)

Seseorang peniaga muslim wajib membebaskan diri daripada amalan


riba, sama ada dalam pembiayaan atau pelaburan. Di Malaysia sumber-
sumber pembiayaan yang bebas daripada riba semakin meluas. Usaha
perlu dibuat oleh para peniaga untuk mengenalpasti sumber-sumber ini
dan memanfaatkannya sebaik yang mungkin. Usaha mengelakkan riba
ini bukan sahaja dapat mengelakkan daripada penindasan, bahkan dapat
menggalakkan orang yang kurang modal berniaga dengan persaingan
yang sihat. Mereka juga tidak akan ditindas oleh golongan peniaga yang
mempunyai modal yang besar.

iii) Saling Redha-Meredhai

Antara etika dan prinsip terpenting dalam amalan perniagaan yang


dianjurkan oleh Islam ialah kewujudan unsur saling redha-meredhai
antara dua atau beberapa pihak yang terlibat dalam aktiviti perniagaan.
Ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allahs.w.t:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah


kamu makan (atau ambil) harta orang lain secara batil (tidak
sah) melainkan melalui perniagaan (yang dilakukan secara)
redha-meredhai antara kamu”.
(al-Nisa’, 4:29)

Para mufassir menghuraikan kata "batil" dalam ayat di atas sebagai


sebarang bentuk yang boleh menjejaskan kesahihan kerelaan yang telah
diberikan (Abdur Rahman I. Doi, 1992: 350-351). Penekanan al-Quran
terhadap unsur keredaan dalam perniagaan ini bertujuan supaya tidak
ada pihak yang teraniaya dalam perniagaan melalui sebarang bentuk
pun. Sebarang keputusan untuk mengadakan kontrak perniagaan dibuat

12
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

dengan penuh sedar dan rela berdasarkan maklumat-maklumat yang


benar dan tepat. Oleh itu, sebarang aktiviti perniagaan yang dibuat
dengan hanya berasaskan spekulasi terutamanya dalam perkara-perkara
penting adalah dilarang.

iv) Menjauhi Semua Unsur Penipuan

Al-Quran berulang kali mengingatkan para peniaga supaya bersikap


jujur dan melarang keras terhadap penipuan dalam perniagaan.
Peringatan yang berulang kali ini tidak menghairankan kita
memandangkan penipuan dalam bentuk dan kadar yang pelbagai
merupakan sesuatu yang sering terjadi dalam dunia perniagaan. Antara
ayat-ayat yang boleh disebutkan di sini seperti berikut:

Maksudnya: “Dan cukupkanlah segala sukatan dan timbangan


dengan adil”.
(al-An‘am, 6:152)

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan


timbangan”.
(Hud, 11:84)

Maksudnya: “Dan cukupkanlah sukatan apabila kamu


menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang adil, yang
demikian itu lebih baik (balasannya di dunia) dan amat baik
kesudahannya (di akhirat)”.
(al-Isra’, 17:35)

Maksudnya: “Hendaklah kamu sempurnakan sukatan dan


janganlah menjadi golongan yang merugikan orang lain.
Timbanglah dengan neraca yang betul”.
(al-Syuara’, 26:181-182)

13
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Maksudnya: “Celakalah bagi orang-orang yang menipu; iaitu


orang-orang yang apabila menerima sukatan dari orang lain
mereka mengambilnya dengan cukup dan sebaliknya apabila
mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain mereka
mengurangkan (sukatan atau timbangan tersebut)”.
(al-Mutaffifin, 83:1-3)

Semua ini menunjukkan penipuan dari segala segi adalah haram dalam
etika perniagaan Islam. Dengan penipuan akan rosaklah hubungan
antara pembeli dan penjual, malah boleh mencetuskan perbalahan dan
pergaduhan yang berpanjangan.

v) Memenuhi dan Menunaikan Akad (Kontrak)

Al-Quran memerintahkan agar apabila seseorang telah bersetuju


mengikat sesuatu kontrak secara sah dengan penuh kerelaan
berdasarkan maklumat yang sahih dan tepat, maka ia mestilah
memenuhi dan menunaikan kehendak dan terma yang telah ditetapkan
dalam kontrak tersebut. Dalam hal ini terdapat beberapa ayat yang
berkaitan seperti berikut:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman tunaikan


perjanjian-perjanjian (yang telah dipersetujui)".
(al-Ma’idah, 5:1)

Maksudnya: “Dan penuhilah perjanjian (kerana)


sesungguhnya sesuatu perjanjian itu pasti akan
dipertanggungjawabkan”.
(al-Isra’, 17:34)

14
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Dalam perniagaan secara Islam, segala perjanjian yang dibuat secara


sah dan atas kerelaan bersama, maka ia wajib dipenuhi dan ditunaikan.
Memungkiri janji sangat dilarang oleh Allah s.w.t. Dengan adanya
larangan ini, segala bentuk penipuan akan dapat dielakkan.

vi) Al-'Adl (Keadilan)

Salah satu daripada etika penting dalam perniagaan secara Islam ialah
melaksanakan al-‘Adl atau keadilan. Ini bermaksud peniaga harus
bersikap sederhana dalam semua perkara tanpa menguntungkan sebelah
pihak, layanan sama rata atau saksama terhadap semua pelanggan,
memberi pertimbangan yang adil dan tidak berat sebelah serta
memberikan hak kepada orang yang berhak. Dalam erti kata lain,
keadilan bererti meletakkan sesuatu di tempatnya yang betul. Penekanan
supaya berkeadilan ini disebut dalam banyak ayat al-Quran. Antara
ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti berikut:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu


menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan
(menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara
manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya
Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.
Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha
Melihat”.
(al-Nisa’, 4:58)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman hendaklah


kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran)
kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah
sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong
kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu
lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah,

15
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

sesungguhnya Allah Maha mengetahui perkara yang kamu


kerjakan”.
(al-Ma’idah, 5:8)

Maksudnya: “Sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan


adil. Kami tidak memikulkan beban kepada sesorang
melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu
berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun ia
adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah yang demikian
itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat”.
(al-An’am, 6:152)

Maksudnya: “Dan di antara orang-orang yang kami ciptakan


ada umat yang memberi petunjuk dengan hak, dan dengan
yang hak itu (pula) mereka menjalankan keadilan”.
(al-A’raf, 7:181)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku


adil dan berbuat kebajikan”.
(al-Nahl, 16:90)

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu


menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang
demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik
baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat
kelak)”.
(al-Isra', 17:35)

Jelaslah bahawa al-Quran amat menekankan soal keadilan. Oleh itu,


keadilan dalam perniagaan akan memastikan urusan perniagaan itu adil
dan setiap orang sama ada pembeli atau penjual akan mendapat haknya.
Dengan pengamalan etika ini, peniaga akan mendapat untung yang

16
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

sewajar dan pembeli akan mendapat barangan atau perkhidmatan yang


sepadan dengan harga yang dibayar.

vii) Amanah

Peniaga tidak boleh membohongi pelanggan, mengkhianati pelanggan,


menjual barangan dengan harga yang terlalu tinggi dan melengahkan
pembayaran kepada pengedar atau pembekal barangan ke kedainya. Ini
bermaksud perlakuan peniaga hendaklah menjurus kepada perilaku
benar atau amanah dalam urusan perniagaan. Penekanan supaya
beramanah ini disebut dalam banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat
yang berkaitan adalah seperti berikut:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu


menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya”.
(al-Nisa’, 4:58)

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! Janganlah


kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan
(janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu,
sedang kamu mengetahui (salahnya)”.
(al-Anfal, 8:27)

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan


janjinya”.
(al-Mukminun, 23:8)

17
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Amanah dalam ayat di atas bermaksud tanggungjawab yang diterima


seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat
melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.
Apabila tanggungjawab itu dilaksanakan dengan sempurna, ia merasa
tenteram, aman, selamat dan harmoni (Muhammad Syukri Salleh,
2001:2).

Oleh itu, segala tindakan dan keputusan dalam perniagaan yang


berdasarkan sifat amanah adalah perlu bagi memastikan urusan
perniagaan itu adil dan setiap orang sama ada pembeli atau penjual
mendapat haknya. Penipuan dan penindasan akan dapat dielakkan
sekiranya semua pihak bersifat amanah dan benar. Dengan sifat amanah
ini peniaga akan mendapat keuntungan yang sewajarnya dan pembeli
akan mendapat barangan atau perkhidmatan yang sepadan dengan harga
yang dibayar.

viii) Istiqamah

Mempunyai nilai istiqamah bermaksud seseorang peniaga hendaklah


mempunyai integriti, keteguhan atau ketetapan hati, ketabahan dan
ketekunan. Peniaga tidak seharusnya mempunyai perasaan malas, lemah
semangat, tawar hati, tidak berani menanggung risiko dan tidak sanggup
berusaha bermati-matian di dalam menjalankan urusan perniagaan.
Penekanan supaya beristiqamah ini disebut dalam banyak ayat
al-Quran. Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti berikut:

Maksudnya: “AlIah berfirman: Sesungguhnya telah


diperkenankan permohonan kamu berdua, sebab itu tetaplah
kamu berdua (istiqamah) pada jalan yang lurus dan janganlah
sekali-kali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak
mengetahui”.
(Yunus, 10:89)

18
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Maksudnya: “Katakanlah: Bahawasanya aku hanyalah


seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa
Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa, maka tetaplah
pada jalan yang lurus (istiqamah) menuju kepadaNya dan
mohonlah ampun kepadaNya. Dan kecelakaan besarlah bagi
orang-orang yang mempersekutukanNya”.
(Fussilat, 41:36)

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan:


Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah,
maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka
tiada (pula) berdukacita”.
(al-Ahqaf, 46:13)

Istiqamah dalam perniagaan secara Islam ialah tekun bekerja atau


berniaga demi mencapai kejayaan dan keuntungan yang diredhai Allah
s.w.t. Dalam erti kata lain, mengusahakan perniagaan dengan penuh
dedikasi tanpa ada rasa kecewa, lemah semangat atau putus asa.
Ringkasnya, istiqamah menjadi faktor pencapaian matlamat dalam
bidang perniagaan.

ix) Menjauhi Pembaziran

Kita dituntut untuk merancang kehidupan. Kegagalan merancang boleh


menyebabkan pembaziran waktu, harta benda dan peluang.
Perbandingan nyata ialah amalan peniaga Jepun yang cukup cekap
(Maamor, 2001:56). Kebijaksanaan dalam mempelbagaikan pendekatan
dan penyelesaian dapat mengelakkan pembaziran yang sangat dilarang
oleh Islam. Penekanan supaya menjauhi pembaziran ini disebut dalam
banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti
berikut:

19
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Maksudnya: “..dan janganlah kamu berlebih-lebihan


(membazir). Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang
berlebih-lebihan”.
(al-An’am, 6:141)

Maksudnya: “.....dan janganlah berlebih-lebihan (membazir).


Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
berlebih-lebihan”.
(al-A’raf, 7:31)

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang


dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang
dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-
hamburkan (hartamu) secara boros (membazir). Sesungguhnya
pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan, dan
sesungguhnya syaitan itu adalah sangat ingkar kepada
Tuhannya”.
(al-Isra’, 17:26-27)

Larangan pembaziran atau pemborosan ini bukanlah dalam aspek


perniagaan sahaja, malah ia merangkumi segenap aspek kehidupan. Ini
kerana ia merupakan perbuatan keji daripada amalan syaitan.
Sesungguhnya, pengelakan pembaziran dalam urusan perniagaan dapat
memaksimakan produktiviti seterusnya meningkatkan perolehan
sesebuah perniagaan Islam.

x) Utamakan Kebersihan Rohani dan Jasmani

Kebersihan mencerminkan keperibadian seseorang. Allah s.w.t


sememangnya menyintai orang yang bersih jasmani dan rohaninya.
Orang yang dicintai Allah s.w.t pasti akan disenangi oleh umat. Inilah
keimanan yang sepatutnya dijelmakan oleh semua peniaga dan
pengguna. Penekanan supaya utamakan kebersihan ini disebut dalam

20
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti


berikut:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang


yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan
diri (bersih rohani dan jasmani)”.
(al-Baqarah, 2:222)

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan


janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-
orang Jahiliah yang dahulu. Dirikanlah solat, tunaikanlah
zakat dan taatilah Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah
bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, wahai
ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya
(kebersihan rohani)”.
(al-Ahzab, 33:33)

Maksudnya, “Dan pakaianmu bersihkanlah (kebersihan


jasmani)”.
(al-Muddassir, 44:4)

Peniaga yang mengutamakan kebersihan rohani dan jasmani dalam


urusan perniagaannya akan lebih disenangi dan disukai oleh para
pembeli. Segala barangan yang diniagakan akan dibeli dan digunakan
oleh para pengguna dengan penuh yakin tanpa ragu-ragu. Hal ini dapat
memaksimakan produktiviti seterusnya meningkatkan perolehan
sesebuah perniagaan Islam.

xi) Mengamalkan Sifat al-Ta'awun

Al-Quran sangat menekankan keperluan umat Islam dengan


menganjurkan sifat al-Ta'awun (bantu-membantu dan tolong-menolong)

21
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

antara satu sama lain dalam perkara-perkara kebaikan termasuklah


perniagaan. Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk


membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu
bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan
pencerobohan. Bertakwalah kepada Allah, kerana
sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa
yang melanggar perintah-Nya)”.
(al-Ma'idah, 5:2)

Tolong-menolong dalam peniagaan secara Islam mempunyai dua


bentuk. Pertama, setiap peniaga saling bergantungan antara satu sama
lain. Oleh itu, mereka perlu mewujudkan jaringan perhubungan atau
network yang mantap bagi menjamin kestabilan dan kesinambungan
perniagaan. Segala unsur persaingan yang tidak sihat hendaklah
dihindari. Kedua, bekerjasama menjauhi perkara-perkara yang
membawa keburukan dan kebinasaan kepada orang lain. Perkara-
perkara tersebut ialah seperti menipu, menganiayai, menindas dan
melakukan perniagaan yang mengandungi unsur-unsur judi, monopoli
serta manipulasi. Hasilnya, lahirlah sebuah masyarakat yang
bekerjasama, tolong-menolong dan bantu-membantu untuk kebaikan
bersama.

xii) Bersopan Santun

Al-Quran menekankan supaya bersopan santun dan menjalinkan


perhubungan yang baik dalam segala urusan kehidupan termasuklah
perniagaan. Penekanan supaya bersopan santun ini disebut dalam
banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti
berikut:

22
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Maksudnya: “(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan


perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka)
adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi
(dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati.
Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar”.
(al-Baqarah, 2:263)

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada


orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta
(mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah
telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas
pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja
dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan),
dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang
baik”.
(al-Nisa', 4:5)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah


kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar
(dalam segala perkara)”.
(al-Ahzab, 44:70)

Dalam perniagaan secara Islam peniaga hendaklah sentiasa


mengutamakan pelanggan dengan mengucapkan kata-kata yang
menarik, manis, saling hormat-menghormati, lemah-lembut dan
mempertimbangkan kepentingan semua pihak. Selain itu, peniaga
hendaklah sentiasa berlapang dada dan berusaha untuk memenuhi
"consumer expectation". Kepuasaan pelanggan adalah keutamaan
mereka.

23
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

xiii) Menepati Masa

Ketepatan masa merupakan salah satu daripada nilai dan etika yang
ditekankan dalam Islam. Penggunaan masa secara baik dan berkesan
akan dapat membantu peniaga dan pengusaha menyempurnakan kerja
dengan cepat, tepat dan menepati masa yang ditetapkan. Misalnya,
seseorang peniaga dapat menghantar barang yang ditempah oleh
pengguna pada masa yang dijanjikan dan seseorang pengusaha projek
pula dapat menyiapkan sesuatu projek mengikut jadual yang ditetapkan.
Soal ketepatan masa ini dapat dilihat dengan jelas dalam firman Allah
s.w.t:

Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam


kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran
serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.
(al-'Asr, 103:1-3)

Kebijakan peniaga dan pengusaha mengurus masa dengan berkesan


akan dapat mengelak kesusahan di pihak pengguna dan juga dapat
meningkatkan produktiviti. Secara tidak langsung, ia boleh
menggandakan keuntungan dan menaikkan martabat seseorang secara
sendirinya.

9.0 Pelaksanaan Etika Perniagaan Islam


Paling tidak, ada tiga cara untuk memastikan pelaksanaan etika
perniagaan Islam ini. Pertama, peniaga atau pengusaha harus
mempunyai ilmu pengetahuan mengenai etika perniagaan Islam. Ini
menuntut agar mereka membaca dan memahami perkara-perkara yang
digariskan dalam al-Quran dan hadis. Di samping itu, mereka wajib
meyakini bahawa mereka akan dihadapkan kepada Allah s.w.t pada hari
akhirat nanti. Hal ini akan timbul perasaan takut untuk melanggar
perintah Allah s.w.t. Oleh itu, mereka harus melaksanakan dan

24
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

mengamalkan etika perniagaan yang ditentukan oleh Islam. Tanpa


keyakinan ini, akan berlakunya aktiviti-aktiviti perniagaan yang
bertentangan dengan syariat Islam. Peniaga-peniaga dan pengusaha
akan mencari jalan untuk mengelakkan diri daripada melaksanakan
etika perniagaan Islam terutamanya apabila ia melibatkan kos, tenaga
dan masa.

Kedua, pengguna pula harus memahami etika perniagaan Islam dan


memastikan agar peniaga dan pengusaha mengamalkannya. Mereka
harus bertindak secara aktif dalam mempertahankan hak-hak mereka
sebagai pengguna dan memberikan maklumat kepada agensi-agensi
kerajaan dan swasta yang terlibat dalam memantau pelaksanaan etika
perniagaan sekiranya terdapat penyelewengan-penyelewengan.

Ketiga, pihak kerajaan berperanan menyediakan garis panduan yang


jelas dan lengkap mengenai etika perniagaan Islam untuk diedarkan
kepada peniaga dan pengusaha-pengusaha; memastikan bahawa peniaga
dan pengusaha memahami garis panduan tersebut dan
melaksanakannya; membentuk agensi atau badan untuk memantau
pelaksanaan garis panduan tersebut dengan adil dan saksama tanpa
sebarang unsur diskriminasi; dan menyediakan ruang bagi orang ramai
untuk menyuarakan bantahan dan memberikan maklumat sekiaranya
terdapat penyelewengan.

25
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

10.0 Kesimpulan
Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang membicarakan tentang etika
atau peraturan perniagaan. Sudah semestinya etika perniagaan yang
diturunkan oleh Allah s.w.t kepada manusia ini jauh lebih baik daripada
etika atau peraturan yang disediakan oleh manusia yang mempunyai
serba kelemahan. Justeru, dengan kewujudan perniagaan yang
berdasarkan unsur-unsur perniagaan beretika yang berlandaskan ajaran
al-Quran sudah tentu ia dapat membentuk kemurniaan peribadi dan
seterusnya mencapai kecemerlangan hidup di dunia (fi al-Dunya
Hasanah) dan di akhirat (fi al-Akhirat Hasanah). Penipuan,
ketidakadilan, penindasan dan penganiayaan dapat dielakkan.
Sebaliknya ekonomi umat Islam semakin berkembang dan wujud
semangat bekerjasama dan saling bantu membantu dalam kehidupan
masyarakat. Oleh itu, seseorang peniaga sewajarnya mengetahui dan
memahami etika perniagaan Islam secara mendalam sebelum
berkecimpung dalam bidang perniagaan.

26
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

RUJUKAN
Abdullah Basmeih, (1980). Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada
Pengertian Al-Qur'an. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam
Jabatan Perdana Menteri.
Abdur Rahman I.Doi. (1992). Shariah : The Islamic Law. Kuala
Lumpur: A.S. Noordeen.
Al-Buti, Muhammad Sa'id Ramadhan. (2001). Sirah Nabawiyyah :
Kajian Mendalam Manhaj Gerakan Islam Pada Masa Rasulullah
(s.a.w.), terj. Aunur Rafiq Shaleh Tamhid. Selangor: Pustaka Dini Sdn.
Bhd.
'Asar, Subhi 'Abd al-Rauf. (1990). Al-Mu'jam al-Mawdhu'iy Li Ayat al-
Qur'an al-Karim. Kaherah: Dar al-Fadhilah Li al-Nasyr Wa al-Tawzi'
Wa al-Tasdir.
Hassan Naziri Khalid & Atikullah Abdullah, (2003). "Al-Qur'an:
Globalisasi dan Negara-Negara Islam", dlm. Mohd. Radzi Othman et.
al., sunt., Wawasan Al-Qur'an dan Sosiobudaya. Pulau Pinang:
Universiti Sains Malaysia, hal. 195-213.
Ibn Khaldun, Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadrami.
(1995). Al-Muqaddimah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusaka.
Kerajaan Malaysia, (2007). Pelan Integriti Nasional. Kuala Lumpur:
Institut Integriti Malaysia.
Ma'amor Osman, (2001). "Nilai-Nilai Universal Etika Perniagaan
Islam", dlm. Dunia Islam, Bil. 73, Oktober 2001. Kuala Lumpur:
Current Fleet Publishing (M) Sdn. Bhd, hlm. 54-56.
Mohd. Nazmi Desa, et. al. (2005). Pendidikan Islam Tingkatan Dua.
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia & Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Mohd. Radzi Othman & Ghafarullahuddin Din, (2005). Ekonomi Dalam
Perspektif Al-Qur'an dan Al-Sunnah. Pulau Pinang: Universiti Sains
Malaysia.

27
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Muhammad Syukri Salleh, (2001). “Pengukuhan Nilai Amanah:


Sumber dan Perkaedahan”, Kertas Kerja yang dibentangkan dalam
Bengkel Khas II: Pengukuhan Nilai Amanah Dalam Latihan, anjuran
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di INTAN Kampus Wilayah
Selatan (IKWAS), Kluang Johor, pada 17-19 Jun 2001.
Mustafa Hj. Daud, (1994). Etika Pengurusan. Kuala Lumpur: Utusan
Publication and Distributors Sdn.Bhd.
Muhammad al-Khatib al-Syarbini. (1995). Al-Iqna' fi had al-Fadz bi
Abi Suja', Juzuk 2. Singapura: Maktabah wa Matba'ah Sulaiman Mar'ei.
Muhammad Fakhr al-Din al-Razi. (1994). Tafsir al-Kabir wa Mafatih
al-Ghaib, Jilid 3. Beirut: Dar al-Fikr.
Al-Sayyid Sabiq. (1994), Al-Fiqh al-Sunnah, Jilid 3. Kaherah: Dar al-
Fath al-‘Alam al-Arabi.
Teuku Iskandar, (2005). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zulkifli Mohd. Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman, (2006). Biografi
Muhammad bin Abdullah. Pahang: PTS Publications & Distributors
Sdn. Bhd.

28