Anda di halaman 1dari 17

Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Kepenggunaan dalam Islam: Tinjauan dari Sudut Etika

Dr. Nor `Azzah Kamri


Jabatan Syariah dan Pengurusan
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Abstrak

H asrat Malaysia untuk tampil sebagai pelopor hub halal di


peringkat global memperlihatkan beberapa isu perlu diberi perhatian.
Antaranya termasuklah isu kepenggunaan itu sendiri. Sebagai pengguna
Islam, kesedaran tentang hal ehwal kepenggunaan perlu dimiliki. Islam
sebagai agama yang syumul telah memberi garis panduan yang jelas
berhubung perkara ini. Persoalannya, sejauhmana para pengguna Islam
sedar akan tanggungjawab ini? Kertas kerja ini cuba mengupas persoalan
tersebut dengan memberi fokus kepada isu etika. Ia ditinjau dari sudut
etika yang patut dijadikan landasan kepada para pengguna Islam dalam
memilih, membeli dan menggunakan sebarang bentuk produk dan
perkhidmatan yang ditawarkan oleh para usahawan. Prinsip halal-haram,
tingkat keperluan, kualiti, keselamatan, kesederhanaan dan kebijaksanaan
merupakan antara etika terpenting yang perlu dihayati oleh setiap
pengguna Islam.

Katakunci: Kepenggunaan Islam, Etika Islam, Perniagaan Islam.

1
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

1.0 Pendahuluan
Usahawan dan pengguna saling berkait dan memerlukan di antara satu
sama lain. Mereka ibarat aur dengan tebing, isi dengan kuku, yang tidak
boleh dipisahkan. Usahawan menghasilkan produk/perkhidmatan untuk
kegunaan dan keperluan pengguna.

Dalam Islam, usahawan yang baik akan menawarkan


produk/perkhidmatan yang halal lagi baik kepada pengguna. Mereka juga
sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat pengguna dengan
membekalkan produk/perkhidmatan yang halal dan tayyibah. Manakala
pengguna pula akan melanggani perkhidmatan dan membeli produk yang
baik dari usahawan. Masyarakat pengguna ini seterusnya akan memberi
galakan dan sokongan agar para usahawan terus menghasilkan
produk/perkhidmatan yang mematuhi kehendak syarak.

Situasi ini memperlihatkan wujudnya hubungan timbal-balik antara kedua-


dua belah pihak. Pengguna Islam mempunyai pengaruh yang besar
terhadap usahawan. Selain berupaya mendapatkan produk/perkhidmatan
yang diyakini halal dan berkualiti, pengguna Islam juga berperanan dalam
merancakkan lagi perniagaan-perniagaan yang menitikberatkan aspek
halalan tayyiban demi kemaslahatan ummah sejagat. Dalam hal ini, Islam
telah menggariskan beberapa etika yang perlu dipatuhi oleh para pengguna
Islam.

2.0 Definisi Etika


Etika berasal daripada perkataan Greek ‘ethos’. Dari segi bahasa, ia
bermaksud perwatakan, tingkah laku, prinsip-prinsip moral yang
mempengaruhi kelakuan dan nilai-nilai yang menjadi pegangan individu

2
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

mahupun kumpulan.1 Dari segi istilah, etika ditakrifkan sebagai suatu set
nilai, norma serta asas moral berhubung tingkah laku kelakuan individu
dalam sesuatu kelompok sosial yang membolehkan mereka menentu dan
membezakan sesuatu tindakan manusia itu sama ada betul atau salah, baik
atau buruk.2

Dalam Islam, akhlak merupakan istilah yang paling tepat untuk


menggambarkan etika seorang muslim. Dari segi bahasa, akhlak merujuk
kepada budi pekerti, sifat, kelakuan, perangai, watak dan tabiat manusia.3
Dari segi istilah, akhlak merujuk kepada sifat yang tertanam dalam jiwa
seseorang, di mana perbuatan akan lahir daripadanya dengan mudah tanpa
memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu.4 Takrifan akhlak ini
memperlihatkan bahawa akhlak bermula dari dalam hati dan terserlah
melalui perlakuan zahir individu.

Oleh yang demikian, etika seorang muslim turut menggunapakai acuan


yang sama. Aspek rohani dan jasmani individu digabungkan dan diberi
penekanan yang seimbang. Falsafah tauhid pula dijadikan sebagai asas
pembentukan dan pelaksanaan etika seorang muslim dalam konteks
hubungan mereka dengan Allah (habl min Allah), hubungan sesama
manusia (habl min al-nas) dan juga hubungan dengan alam sekeliling.5

1
Kamus Dewan (2000), edisi 3, cetakan 5. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
h. 345; Judy Pearsall (ed)(1999), The Concise Oxford Dictionary, edisi 10. Oxford
University Press, hh. 489-490.
2
O’Neil, Patrick M. (1995), “Ethics” dalam John K. Roth (ed), International
Encyclopedia Of Ethics. London: Fitzroy Dearborn Publishers, h. 281; Mote, Dave &
Heil, Karl (2000), “Business Ethics” dalam Jane A. Malonis (ed), Encyclopedia Of
Business, 2nd edition. Gale Group Inc., h. 175; International Encyclopedia of Social
Sciences (1968), vol. 5. The MacMillan Company & The Free Press, h. 160; Paul Procter
et.al (ed)(1999), Cambridge International Dictionary of English. Cambridge University
Press, h. 470; James H. Donnelly Jr. (1998), Fundamentals of Management, edisi 10.
Boston: Irwin/McGraw Hill, h. 96.
3
Kamus Dewan (2000), op.cit, h. 21.
4
al-Ghazali (1990), Ihya’ Ulum al-Din, juzu’ 3. Damsyik: Dar al-Khayr, h. 68; Ibn
Miskawayh (1961), Tahdhib al-Akhlaq. Beirut: Mansyuwwarat Dar Maktabah al-Hayah,
h. 36.
5
Sheikh Ghazali Sheikh Abod (1991), “Pengurusan Perniagaan Islam: Suatu
Perbandingan” dalam Sheikh Ghazali Sheikh Abod et.al (ed), Pengurusan Perniagaan

3
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Prinsip-prinsip syarak dan nilai-nilai kemanusiaan yang bersifat intrinsik


(dalaman) mahupun ekstrinsik (luaran) dititikberatkan dalam ketiga-tiga
hubungan ini. Dalam konteks kepenggunaan Islam, prinsip halal-haram,
tingkat keperluan, kualiti, keselamatan, kesederhanaan dan kebijaksanaan
merupakan antara etika terpenting yang perlu dihayati oleh setiap
pengguna Islam.

3.0 Etika Kepenggunaan dalam Islam


• Prinsip Halal-Haram
Islam telah menggariskan dengan jelas apa yang halal dan apa yang
haram sebagai panduan umat manusia. Ia bertujuan untuk memastikan
manusia sentiasa diredhai oleh Allah s.w.t. Sebagai pengguna Islam,
mereka wajib memilih produk/perkhidmatan yang halal lagi baik dan
menghindari produk/perkhidmatan yang diharamkan serta tidak
memenuhi spesifikasi syarak. Firman Allah s.w.t.:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah sebahagian dari makanan


yang ada di bumi ini, yang halal dan baik, dan janganlah kamu
menuruti jejak langkah syaitan, sesungguhnya itu adalah musuh
kamu yang nyata”.
(Surah al-Baqarah, 2:168)

Makanan/harta yang halal akan menambah cahaya keimanan pada hati,


menimbulkan kegentaran dan kekhusyukan terhadap kebesaran Allah
s.w.t., menggiatkan seluruh anggota badan untuk beribadah dan taat,
mengurangkan kecenderungan hati kepada dunia, menambah ingatan
terhadap hari kiamat serta mudah terkabulnya doa.6

Islam. Shah Alam: Penerbitan Hizbi, h. 15; Shaharom TM Sulaiman (1997), Pengurusan
Islam dan Pembangunan Manusia. Selangor: Thinker's Library Sdn. Bhd, h. 5.
6
Al-Ghazali (1998), Halal dan Haram Dalam Islam, Abdullah Thaib (terj.). Kuala
Lumpur: Jasmin Enterprise, h. 4.

4
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Manakala makanan/harta yang haram akan mengakibatkan


terdindingnya doa, menggelapkan hati dan cenderung kepada hal-hal
yang tidak baik.7 Firman Allah s.w.t.:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-


orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan
pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada
hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil)
sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal
kamu mengetahui (salahnya)”.
(Surah al-Baqarah, 2:188)

Hakikatnya, prinsip halal-haram ini bukan hanya terpakai untuk


produk makanan semata-mata, tetapi juga terpakai ke atas semua jenis
produk dan juga perkhidmatan.

Selain menghindari makanan yang jelas diharamkan seperti arak dan


khinzir, bahan-bahan mentah bagi menghasilkan sesuatu produk juga
mesti dipastikan bersih, suci dan tidak mengandungi bahan-bahan
yang dilarang seperti bangkai, anggota dan lemak haiwan yang tidak
disembelih dengan sempurna. Allah s.w.t. telah berfirman:

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang


tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging
babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang
disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik,
dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang
tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang
buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis
nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala...”
(Surah al-Maidah, 5:3)

7
Ibid, h. 15.

5
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Selain itu, perniagaan yang jelas terlibat dengan riba juga perlu
dihindari. Ini kerana Islam menghalalkan pengambilan keuntungan
melalui jual beli tetapi mengharamkan riba. Riba merupakan suatu
bentuk penindasan melalui pengambilan keuntungan cara mudah.
Allah s.w.t. telah berfirman:

“Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan


riba...”
(Surah al-Baqarah, 2:275)

Di samping perkara-perkara yang jelas halal dan haramnya, pengguna


Islam juga perlu memelihara diri daripada perkara-perkara syubhat
iaitu perkara-perkara yang masih tidak begitu jelas hukumnya. Sebagai
contoh, terdapat pelbagai jenis urus niaga yang terdedah dengan
ketidaktentuan pasaran dan gharar yang melampau. Urus niaga seperti
ini perlu terlebih dahulu diselidiki sebelum terlibat dengannya. Hal ini
bertepatan dengan hadis berikut yang menyarankan agar berhati-hati
dan berwaspada dengan perkara syubhat, agar segala yang diperolehi
adalah halal dan diberkati oleh Allah s.w.t.

Daripada Abu `Abd Allah al-Nu`man ibn Basyir r.a. beliau


berkata, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan
sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di
antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat
yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya.
Sesiapa yang menjaga perkara syubhat, maka sesungguhnya dia
telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan sesiapa
yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh
dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang

6
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia


akan menceroboh masuk ke dalamnya...” 8

• Tingkat Keperluan
Tingkat keperluan dalam Islam dimulai dengan dharuriyyah (asas),
hajiyyah (keperluan) dan tahsiniyyah (pelengkap).9

Dharuriyyah merujuk kepada keperluan asas manusia. Tanpanya


manusia tidak dapat menjalani kehidupan dengan baik demi mencapai
kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Keperluan yang termasuk dalam
tingkat ini adalah agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

Hajiyyah pula merujuk kepada keperluan manusia bagi menghilangkan


kesulitan. Ia memudahkan urusan perhubungan sesama manusia
(mu`amalah).

Tahsiniyyah merujuk kepada segala bentuk kemudahan yang lebih


bertujuan untuk memberi keselesaan dan memenuhi keperluan yang
tidak terdesak. Ia bertindak sebagai pelengkap kepada keperluan yang
telah sedia ada.

Ketiga-tiga tingkat keperluan ini perlu dijadikan panduan oleh para


pengguna Islam dalam berbelanja. Keputusan untuk membeli sesuatu
produk/perkhidmatan hendaklah dibuat menurut keutamaan yang
sepatutnya iaitu berdasarkan tingkat keperluan mereka yang sebenar-
benarnya dan berdasarkan tahap kemampuan diri, bukannya mengikut
kehendak nafsu semata-mata.

8
Al-Bukhari (t.t.), Sahih Bukhari, Kitab al-Iman, Bab Fadl Man Istabra’ li-Dinih, no.
hadith 50 dan al-Nawawi (1994), Sahih Muslim bi-Syarh al-Nawawi, Kitab al-Musaqah,
Bab Akhz al-Halal wa Tark al-Syubhat, no. hadith 2996.
9
Muhammad `Abd. Munaim al-Jammal (1997), Ensiklopedia Ekonomi Islam (terj.),
Salahuddin Abdullah, jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 19.

7
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

• Kualiti
Firman Allah s.w.t.:

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup


(kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu:
siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…”
(Surah al-Mulk, 67:2)

Secara umumnya, kualiti dilihat sebagai kemampuan memenuhi


kehendak pelanggan dari segi pemberian perkhidmatan dan keupayaan
menepati keperluan/standard yang telah ditetapkan dari segi
pengeluaran produk. Ini termasuklah memberi perkhidmatan yang
sopan, menepati masa, cepat dan tepat serta tiada kecacatan (zero
defect) dalam pengeluaran.

Kualiti dalam Islam dilihat sebagai interpretasi nilai ihsan itu sendiri.10
Kualiti tidak hanya dilihat untuk menghasilkan produk yang berkualiti
dan perkhidmatan yang memuaskan kehendak pelanggan semata-mata.
Sebaliknya, Islam memandang kualiti sebagai satu proses yang
membawa perubahan positif ke arah kecemerlangan dalam semua
usaha manusia11 sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w.:

10
Ihsan mempunyai rangkuman definisi yang meluas dan saling berkaitan di antara satu
sama lain. Pertama, ihsan membawa maksud perbuatan yang betul, tingkah laku yang
baik, kebajikan, keikhlasan, baik hati, belas kasihan, bersimpati, mementingkan orang
lain, berperikemanusiaan dan sebagainya. Kedua, ihsan membawa maksud “menyembah
Allah seolah-olah melihatNya”. Ketiga, ihsan membawa maksud melakukan sesuatu
perkara dengan cara yang terbaik (proficiency). Lihat Syed Othman alHabshi (1998),
“Management Ethics” dalam Syed Othman alHabshi et.al (ed), Islamic Management for
Excellence – Revitalizing People for the Future. Kuala Lumpur: Institut Perkembangan
Minda, hh. 72-73.
11
Nik Mustapha Nik Hassan (1995), “An Islamic Approach to Quality and Productivity”
dalam Syed Othman alHabshi et.al (ed), Quality and Productivity. Kuala Lumpur: Institut
Kefahaman Islam Malaysia, h. 41.

8
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Daripada Syaddad bin Aws r.a. katanya, dua pesanan Rasulullah


s.a.w. yang selalu kujaga iaitu sabda baginda: “Sesungguhnya
Allah memerintahkan kecemerlangan dalam setiap perkara…” 12

Dalam konteks kepenggunaan, pengguna Islam perlu memastikan


produk/perkhidmatan yang diperolehi adalah berkualiti. Kualiti di sini
tidak sekadar bermaksud ianya betul dari sudut perundangan dan
piawaian yang telah ditetapkan, tetapi yang lebih penting adalah ianya
betul dan sah menurut pandangan syarak. Ketetapan syarak sentiasa
menjadi keutamaan dalam memilih produk/perkhidmatan, sebelum
disusuli dengan kriteria pemilihan yang lain.

• Keselamatan
Selain aspek-aspek di atas, aspek keselamatan turut perlu
dititikberatkan oleh para pengguna dalam mendapatkan
produk/perkhidmatan yang diperlukan. Aspek keselamatan di sini
adalah demi memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta
sebagaimana yang dituntut oleh syarak.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyentuh perihal tuntutan


memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta ini. Antaranya
adalah seperti berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan


keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya;
manusia dan batu (berhala)...”
(Surah al-Tahrim, 66:6)

12
al-Nawawi (1994), Sahih Muslim bi-Syarh al-Nawawi. Kitab al-Sayd wa al-Dhaba’ih,
Bab al-Amr bi-Ihsan al-Dhabh wa al-Qatl, no. hadith 5028.

9
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

“Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin


membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak
sengaja…”
(Surah al-Nisa’, 4:92)

“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di


bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak
langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh
yang terang nyata bagi kamu”.
(Surah al-Baqarah, 2:168)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak


(daripada kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang
lain, kerana mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada
mereka; dan janganlah pula sesuatu puak perempuan mencemuh
dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, kerana
mungkin kaum yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka;
dan janganlah sesetengah kamu mengaibkan sesetengah yang
lain dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelaran-
gelaran yang buruk....”
(Surah al-Hujurat, 49:11)

“Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah,


kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan
itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan
tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi),
mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.
(Surah al-Baqarah, 2:262)

10
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Sebagai pengguna Islam, mereka perlu memastikan setiap produk yang


dibeli dan perkhidmatan yang dilanggani memberi manfaat dan tidak
mendatangkan mudharat kepada agama, jiwa, akal, keturunan dan juga
harta. Sebagai contoh, makanan ringan yang kurang berkhasiat dan
membahayakan kesihatan perlu dijauhi kerana boleh menjadi ancaman
kepada nyawa dan juga akal manusia. Begitu juga dengan produk-
produk kewangan yang terlibat dengan unsur riba yang perlu dijauhi
sebagai menyahut tuntutan memerangi riba dalam Islam.

Dalam hal ini, Islam meletakkan prinsip “tidak memudharatkan” (no


injury) sebagai asas penting. Prinsip ini bersifat universal dan boleh
dipraktikkan dalam semua dimensi kehidupan manusia. Ia bukan
sahaja melarang sikap/tindakan yang memudharatkan orang lain, tetapi
juga memudharatkan diri sendiri. Apabila seseorang berusaha untuk
tidak memudharatkan diri sendiri atau orang lain, kehidupan dan
kegiatannya menjadi seimbang, keberkatan Ilahi dan kecemerlangan
dapat diperolehi. Prinsip ini juga merujuk kepada kesan
produk/perkhidmatan terhadap masyarakat pengguna itu sendiri, tiada
unsur yang boleh memudharatkan aspek mental, emosi, spiritual dan
fizikal masyarakat dan individu.

• Kesederhanaan
Kesederhanaan yang dituntut dalam Islam merupakan sikap yang
menolak keterlaluan sama ada dalam ibadat mahupun muamalat dan
menentang keras amalan bermewah-mewah.

Sikap bermewah-mewah membawa kepada pembaziran. Islam


menentang keras kedua-dua amalan ini. Kemewahan merujuk kepada
sikap terlena dalam kenikmatan dan usaha-usaha untuk memperluas
aspek-aspek kemegahan. Al-Quran berpendapat bahawa orang-orang
yang hidup secara bermewahan adalah musuh bagi setiap risalah

11
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

agama, musuh kepada pembaikan dan kemajuan, pengikut tradisi lama


yang menyesatkan serta membawa kepada kehancuran/kebinasaan
umat terdahulu.13

Pengguna yang sederhana tidak keterlaluan dalam tindakan dan


berbelanja secara sederhana serta tidak melampaui batas kemampuan
diri. Berbelanja mengikut keperluan, bukan mengikut kemahuan.
Firman Allah s.w.t.:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke


jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad)
satu umat pertengahan (pilihan lagi adil), supaya kamu layak
menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia
(tentang yang benar dan yang salah)…”
(Surah al-Baqarah, 2:143)

• Kebijaksanaan
Kebijaksanaan merupakan salah satu nilai utama yang diketengahkan
oleh Ibn Miskawayh dan al-Ghazali dalam membentuk kesempurnaan
akhlak individu.14 Ia menjadi pencetus kepada lahirnya pelbagai nilai
baik yang lain dalam diri seseorang. Kebijaksanaan merujuk kepada
suatu keadaan dalam diri yang dapat membezakan yang benar dari
yang salah dalam hal-hal ikhtiyariyah,15 termasuklah dalam hal-hal
kepenggunaan.

13
Sehubungan itu, Islam melarang penggunaan beberapa benda yang menjadi lambang
kepada kemewahan seperti pinggan mangkuk yang diperbuat daripada emas atau perak,
tilam bantal yang diperbuat daripada sutera sepenuhnya dan perhiasan emas serta pakaian
sutera bagi lelaki. Lihat al-Qaradhawi (1995), Dawr al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad
al-Islami. Kaherah: Maktabah Wahbah, hh. 224-229.
14
Ibn Miskawayh dan al-Ghazali mengemukakan empat nilai/kebaikan induk yang
menyumbang kepada kesempurnaan akhlak iaitu kebijaksanaan (al-hikmah), keberanian
(al-syaja`ah), harga diri (al-`iffah) dan keadilan (al-`adalah). Lihat Ibn Miskawayh
(1968). The Refinement Of Character. Constantine K. Zurayk, terj. Beirut: The American
University Of Beirut, hh. 15-26; al-Ghazali (1990). op.cit, h. 178.
15
Ibid, h. 179.

12
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Sebagai pengguna Islam, mereka perlu bijaksana dalam menimbang


dan memutuskan mana yang baik dan buruk, patut dibeli atau tidak,
wajar digunapakai atau dihindari. Keputusan terletak di tangan
pengguna itu sendiri. Fenomena kenaikan harga barang kini
memperlihatkan peri pentingnya untuk para pengguna bersikap
bijaksana dalam berbelanja. Mereka perlu menyediakan senarai
barangan yang hendak dibeli terlebih dahulu bagi mengelakkan
perbelanjaan berlebihan dan tidak terancang. Lambakan barangan kini
juga membolehkan para pengguna untuk membuat pilihan barangan
yang ingin dibeli dengan membandingkan aspek harga, kualiti dan
pengeluar barangan tersebut.

Para pengguna Islam juga perlu lebih bijak agar mereka tidak hanya
setakat “hendak mengguna” sahaja, tetapi memainkan peranan yang
lebih jauh daripada itu. Pengguna Islam perlu peka terhadap produk-
produk yang dikeluarkan oleh Muslim Organisations, Muslim Friendly
Organisation, Anti Muslim Groups ataupun musuh-musuh Islam.
Pengguna Islam juga harus bertindak secara aktif dalam
mempertahankan hak-hak mereka dan memberikan maklumat kepada
agensi-agensi pemantauan etika sekiranya terdapat penyelewengan-
penyelewengan yang dilakukan oleh entiti perniagaan mahupun
usahawan itu sendiri.

Dalam hal ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia telah


menyenaraikan beberapa soalan yang harus sentiasa ada pada diri
setiap pengguna Islam yang bijak, iaitu:16

16
Laman Web Rasmi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (t.t.), “Penerangan Perkara-
Perkara Mustahak Difahami oleh Ahli-Ahli PPIM dan Orang Ramai” dalam
http://www.muslimconsumer.org.my/ ppim/plugins/custompages/faq.php, Oktober 2008.

13
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

• Adakah produk ini HALAL dan BAIK?


• Adakah produk ini membawa kepada kesihatan?
• Adakah alternatif produk yang dikeluarkan oleh orang Islam?
• Adakah produk ini dikeluarkan oleh orang Islam 100%, 50%,
30%?
• Adalah produk ini disahkan atau dipantau oleh orang Islam?
• Adakah logo ini betul dan tulen?
• Adakah syarikat yang mengeluarkan produk ini menghormati
masyarakat Islam?
• Adakah produk ini mempunyai unsur-unsur menghina Islam?
• Adakah produk ini dimiliki oleh syarikat yang memusuhi Islam?
• Adakah produk ini dikeluarkan atau dikilangkan di Malaysia atau
import keseluruhannya?
• Adakah produk ini membawa manfaat kepada umat Islam?
• Adakah produk yang sama dikeluarkan oleh masyarakat Islam
tapi agak sukar diperolehi di pasaran?
• Adakah syarikat yang mengeluarkan produk ini mempunyai
dasar yang menghormati umat Islam dan agama Islam?
• Adakah pekerja Islam diberikan kemudahan untuk mengamalkan
Islam tanpa diskriminasi secara sedar ataupun tidak?
• Adakah syarikat mengamalkan diskriminasi terhadap syarikat
pembekal-pembekal Islam yang cuba membekal bahan kepada
syarikat mereka?
• Adakah produk tersebut benar-benar perlu kepada kita dan
tiadakah sebarang alternatif yang dikeluarkan oleh masyarakat
Islam?

14
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

4.0 Penutup
Kesemua etika yang digariskan di atas merupakan panduan asas kepada
gelagat para pengguna Islam dalam memilih, membeli dan menggunakan
produk/perkhidmatan yang ditawarkan oleh para usahawan. Penekanan
terhadap prinsip halal-haram, tingkat keperluan, kualiti, keselamatan,
kesederhanaan dan kebijaksanaan di pihak pengguna Islam akan
mewujudkan desakan terhadap para usahawan untuk turut menjalankan
perniagaan mereka secara beretika. Keadaan ini akan membantu
merancakkan lagi aktiviti keusahawanan beretika di kalangan para
usahawan. Dengan demikian, matlamat al-falah iaitu kebahagiaan di dunia
dan akhirat mampu dicapai oleh kedua-dua pihak, sama ada di pihak
pengguna mahupun usahawan itu sendiri.

15
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Rujukan
Bukhari, Abu `Abd Allah Muhammad b. Isma`il b. Ibrahim al-Mughirah
al- (t.t), Sahih al-Bukhari, 3 j. Kaherah: Dar al-Hadith.
Ghazali, Abu Hamid Muhammad b. Muhammad al- (1990), Ihya’ Ulum
al-Din, juzu’ 3. Damsyik: Dar al-Khayr.
Ghazali, al- (1998), Halal dan Haram Dalam Islam, Abdullah Thaib
(terj.). Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise.
Ibn Miskawayh (1961), Tahdhib al-Akhlaq. Beirut: Mansyuwwarat Dar
Maktabah al-Hayah.
Ibn Miskawayh (1968). The Refinement Of Character. Constantine K.
Zurayk, terj. Beirut: The American University Of Beirut.
International Encyclopedia of Social Sciences (1968), vol. 5. The
MacMillan Company & The Free Press.
James H. Donnelly Jr. (1998), Fundamentals of Management, edisi 10.
Boston: Irwin/McGraw Hill.
Judy Pearsall (ed)(1999), The Concise Oxford Dictionary, edisi 10. Oxford
University Press.
Laman Web Rasmi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (t.t.),
http://www.muslimconsumer.org.my/ppim, Oktober 2008.
Kamus Dewan (2000), edisi 3, cetakan 5. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Mote, Dave & Heil, Karl (2000), “Business Ethics” dalam Jane A.
Malonis (ed), Encyclopedia Of Business, 2nd edition. Gale Group Inc.
Muhammad `Abd. Munaim al-Jammal (1997), Ensiklopedia Ekonomi
Islam (terj.), Salahuddin Abdullah, jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Nawawi, Muhy al-Din Abu Zakariyya Yahya b. Syaraf al- (1994), Sahih
Muslim bi-syarh al-Nawawi, 18 j. Beirut: Dar al-Ma`rifah.

16
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Nik Mustapha Nik Hassan (1995), “An Islamic Approach to Quality and
Productivity” dalam Syed Othman alHabshi et.al (ed), Quality and
Productivity. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.
O’Neil, Patrick M. (1995), “Ethics” dalam John K. Roth (ed),
International Encyclopedia Of Ethics. London: Fitzroy Dearborn
Publishers.
Paul Procter et.al (ed)(1999), Cambridge International Dictionary of
English. Cambridge University Press.
Qaradawi, Yusuf al- (1995), Dawr al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad al-
Islami. Kaherah: Maktabah Wahbah.
Shaharom TM Sulaiman (1997), Pengurusan Islam dan Pembangunan
Manusia. Selangor: Thinker's Library Sdn. Bhd.
Sheikh Ghazali Sheikh Abod (1991), “Pengurusan Perniagaan Islam:
Suatu Perbandingan” dalam Sheikh Ghazali Sheikh Abod et.al (ed),
Pengurusan Perniagaan Islam. Shah Alam: Penerbitan Hizbi.
Syed Othman alHabshi (1998), “Management Ethics” dalam Syed Othman
alHabshi et.al (ed), Islamic Management for Excellence – Revitalizing
People for the Future. Kuala Lumpur: Institut Perkembangan Minda.

17

Anda mungkin juga menyukai