Anda di halaman 1dari 25

Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Strategi Keusahawanan Islam Di Malaysia: Kajian Di


Kalangan Peniaga Kecil Di Kuala Lumpur*
Abdul Rachman Husein,Lc
Dr. Ilhaamie Binti Abdul Ghani Azmi

Abstrak

S trategi mengelola keusahawanan adalah penting dalam Islam


bagi mendapatkan kejayaan di dunia dan di akhirat. Justeru, kajian ini
dilakukan untuk mengenal pasti strategi keusahawanan Islam yang sedang
dilaksanakan oleh beberapa usahawan kecil muslim di Kuala Lumpur.
Metod pengutipan data yang digunakan ialah observasi dan temubual.
Pengkaji telah mendapati ada beberapa usahawan kecil muslim di Kuala
Lumpur yang telah mempraktikkan strategi keusahawanan Islam seperti
melakukan usaha yang halal dan baik, menciptakan kejujuran dan amanah,
mengembangkan kemesraan dengan pelanggan dan memandang
keusahawan bukan hanya untuk mencari rezeki sahaja selain sebagai
ibadah juga.

*
Kertaskerja Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan 2008 di Akademi
Pengajian Islam Universiti Malaya, 15 Oktober 2008

1
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

1.0 Pengenalan
Islam merupakan agama yang komprehensif (syumul), mencakupi semua
aspek kehidupan baik dunia mahupun akhirat. Dalam kehidupan dunia,
Allah s.w.t telah memerintahkan kepada manusia untuk menjadi khalifah.
Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran Surah al-Baqarah;

Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat:


"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di
muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan
padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa
bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?"
Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang
tidak kamu ketahui".
(Surah Al-Baqarah, 2:30) [1]

Sudah semestinya, manusia dituntut untuk mengelola dunia dengan baik


sehingga timbul kemanfaatan dan kebahagiaan. Salah satu cara bagaimana
manusia dapat mengelola dan mengurus dunia adalah dengan
“keusahawanan”. Dalam Islam, keusahawanan merupakan kaedah mencari
rezeki yang baik kerana Rasulullah s.a.w dalam sabdanya menyatakan
bahwa “Sembilan dari sepuluh pintu rezeki ada pada perniagaan”.
(Riwayat: Ahmad). Selain itu, Allah s.w.t juga menyuruh manusia untuk
berusaha mencari rezeki yang halal dan baik. Sebagaimana firman Allah
s.w.t dalam al-Quran;

“Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di


muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah
banyak-banyak supaya kamu beruntung”.
(Surah: al-Jumuah, 10) [2]

2
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Ayat di atas membentangkan bahawa setelah mengerjakan solat, kita


disuruh untuk mencari kurnia Allah s.w.t. Ini merupakan seruan untuk
berusaha demi kehidupan dunia. Berusaha untuk hidup di dunia merupakan
suatu kewajipan. Allah s.w.t tidak menyuruh umatNya untuk solat sahaja
selain berusaha. Usaha yang baik adalah dengan melakukan keusahawanan
yang halal dan baik sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
bahkan baginda pernah bersabda bahawa sebaik-baik mata pencarian
adalah menjadi seorang pedagang;

“Sesungguhnya sebaik-baik mata pencarian adalah seorang


pedagang”.
(Riwayat: Baihaqi)

Sehingga kini, ramai orang melakukan keusahawanan tetapi jauh daripada


ajaran Islam. Produk yang dihasilkan kadang-kadang tidak sesuai dengan
syarak, tingkah laku terhadap pelanggan kadang-kadang tidak mesra
bahkan menyusahkan pembeli, pelayan pun tidak bagus sehingga
merugikan pelanggan bahkan kadang-kadang saling menjatuhkan antara
para pesaing. Hal inilah yang menjadi masalah dalam keusahawanan. Oleh
itu, strategi keusahawanan dalam Islam sangatlah diperlukan bagi seluruh
manusia terutama umat Islam demi tercipta keusahawanan yang sihat, aman
dan damai. Dengan strategi, seorang usahawan dapat merancang bentuk
keusahawanan yang baik sehingga dapat saling menguntungkan antara satu
sama lain.

3
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

2.0 Sorotan Karya

2.1 Strategi Keusahawanan Islam


Definisi dan Konsep
Menurut Kamus Dewan, istilah strategi bermakna rancangan yang teratur
(yang memperhitungkan pelbagai faktor) untuk mencapai matlamat atau
kejayaan [3]. Sedangkan menurut Kamus Bahasa Melayu Nusantara,
strategi adalah rancangan (rencana) yang cermat dan teratur mengenai
sesuatu kegiatan untuk mencapai matlamat (sasaran) atau kejayaan [4].
Secara kasar, pentakrifan tentang strategi antara Kamus Dewan dan Kamus
Bahasa Melayu Nusantara adalah sebagai berikut;

1. Strategi merupakan sebuah rancangan atau rencana.


2. Rancangan tersusun dengan teratur.
3. Memiliki sebuah matlamat.

Sedangkan keusahawanan, menurut Kamus Bahasa Melayu Nusantara


adalah segala yang berkaitan dengan usahawan dan sebagainya [5]. Dalam
hal ini, istilah keusahawanan lebih umum mencakupi semua perkara baik
usahawan, pelayan, produk, promosi, pemasaran, pengguna dan lain-lain.

Islam pula adalah agama Allah s.w.t yang diturunkan melalui wahyu
kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk diajarkan kepada seluruh umat
manusia dengan berpedoman kepada kitab suci al-Quran [6].

Justeru, definisi strategi keusahawanan Islam adalah sebuah rancangan


atau rencana yang teratur untuk menuju sebuah komuniti keusahawanan
yang sesuai dengan ajaran agama Islam.

4
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Konsep Strategi Keusahawanan Islam


Demi tercapainya komuniti keusahawanan yang berasaskan Islam, pengkaji
mencuba membentangkan beberapa macam konsep strategi yang dapat
dijadikan sebagai acuan dalam melakukan keusahawanan. Adapun macam-
macam konsep strategi keusahawanan Islam tersebut adalah sebagaimana
berikut:

1) Melakukan keusahawanan yang halal dan baik


Ramai para usahawan yang hanya mementingkan keuntungan
sahaja tanpa memperhatikan bagaimana dia melakukan
keusahawanan dan apa yang diperniagakan. Manusia sentiasa
merasa tidak puas hati dan tamak sehingga ramai usahawan yang
menghalalkan segala cara dalam perniagaannya untuk mencari
keuntungan yang berlipat ganda. Dalam Islam, tujuan
keusahawanan bukan sahaja mencari keuntungan semata selain
mencari keredhaan Allah s.w.t juga. Islam menjelaskan tentang
bagaimana seorang usahawan mendapat keuntungan di dunia dan di
akhirat bukan di dunia sahaja. Oleh itu, terdapat beberapa syarat
keusahawanan dalam Islam, di antaranya ialah Islam hanya
memperbolehkan keusahawanan yang halal dan baik. Sebagaimana
firman Allah s.w.t;

“Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”


(Surah al-Baqarah, 2:275) [7]

Bagi usahawan muslim, tentunya tidak sama antara perniagaan yang


baik dan buruk walaupun sama-sama memiliki daya tarik dalam
keuntungan seperti projek perjudian dan projek pembangunan. Ini
kerana Allah s.w.t menghalalkan kepada hamba-hambaNya yang

5
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

baik-baik dan mengharamkan kepada mereka yang buruk-buruk.


Sebagaimana Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran;

“Katakanlah: "Tidak sama yang buruk dengan yang baik,


meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka
bertakwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar
kamu mendapat keberuntungan".
(Surah al-Ma’idah, 100) [8]

Produk yang baik menurut Islam adalah produk yang memiliki


nilai-nilai tertentu yang dapat mempengaruhi moral dan tuntutan
agama. Ciri-cirinya adalah barang tersebut mesti bersih, bermanfaat,
tidak najis dan tidak haram menurut Islam. Beberapa produk barang
yang diharamkan oleh Allah s.w.t seperti bangkai, darah, daging
babi, daging anjing, minuman keras dan sebagainya merupakan
produk yang dapat merosak anggota badan bahkan kotor dan jijik
sehingga Islam melarang memperjualbelikannya. Sebagaimana
firman Allah s.w.t;

“Sesungguhnya Allah Hanya mengharamkan bagimu bangkai,


darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih)
disebut (nama) selain Allah ”.
(Surah al-Baqarah, 173) [9]

Manakala produk perkhidmatan yang diharamkan oleh Allah s.w.t


seperti perkhidmatan pelacuran, penipuan, bahkan pemalsuan
dokumen dan sebagainya yang dapat menyebabkan kemudharatan
(kerosakan) baik bagi dirinya mahupun orang lain. Pernah suatu
ketika Abdullah bin Ubayyah bin Salul berkata kepada hamba
perempuannya, “Pergilah dan carilah sesuatu untuk kami dengan

6
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

melakukan pelacuran”. Sehubungan itu, Allah s.w.t menurunkan


ayat;
“Dan janganlah kamu paksa budak-budak wanitamu untuk
melakukan pelacuran, sedang mereka sendiri menginginkan
kesucian, kerana kamu hendak mencari keuntungan duniawi”.
(Surah an-Nuur, 33) [10]

Ini merupakan salah satu etika dan keistimewaan para usahawan


muslim. Baginya keusahawanan merupakan satu cara untuk
mendapatkan keredhaan Allah s.w.t dengan melaksanakan etika
agama dalam berniaga. Sedangkan di kalangan para usahawan
lainnya, mereka hanya memerhatikan etika melakukan
keusahawanan secara global dengan tidak memerhatikan etika
agama kerana mereka menilai sebuah keuntungan adalah tujuan
utama keusahawanan walaupun dengan menghalalkan segala cara.

2) Menciptakan Kejujuran dan Amanah


Dalam kehidupan sehingga kini, banyak langkah yang diambil oleh
setiap manusia selalu merugikan orang lain baik dalam berniaga
mahupun lainnya. Ini kerana kepentingan peribadi lebih utama
daripada kepentingan umum. Hal ini hanya dilakukan demi
mendapatkan keuntungan secara berlebih-lebihan. Ramai usahawan
melakukan penipuan dalam berniaga seperti mengurangi timbangan,
melakukan sumpah berlebihan, bahkan berkata tidak jujur tentang
barang yang dijual dan menjual barang yang sedang dalam transaksi
jual beli. Mengambil keuntungan berlipat ganda dengan cara yang
tidak dibenarkan dalam Islam akan membawa kepada kehancuran.
Para pembeli tidak akan menjadi pelanggan kembali atau orang lain
tidak akan percaya sehingga mereka tidak akan melakukan kontrak

7
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

kerjasama lagi kerana merasa selalu ditipu. Hal ini senada dengan
apa yang telah dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w bahawa;

“Kejujuran akan membawa ketenangan sementara


ketidakjujuran akan menimbulkan keragu-raguan”.
(Riwayat: Tarmizi)

Dengan bersifat tidak jujur, maka yang ada adalah perasaan tidak
tenang, bahkan ragu dalam perniagaan kerana takut para pembeli,
pelanggan, dan rakan berniaga berpaling darinya.

3) Mengembangkan Kemesraan dengan Pelanggan


Pelanggan adalah aset berharga dalam keusahawanan kerana
pelanggan dapat memberikan banyak manfaat dan keuntungan.
Ramai perusahaan yang memiliki moto untuk melakukan kemesraan
dengan pelanggan seperti Nokia, motonya adalah “connecting
people”. Banyak cara yang dilakukan oleh perusahaan demi
membentuk kemesraan dengan pelanggan. Ini kerana jika pelanggan
puas hati, maka akan menghadapi impak positif bagi perniagaan.

Dalam Islam, bagi mengembangkan kemesraan dengan pelanggan


adalah dengan cara “silaturrahim”. Silaturrahim merupakan cara
yang baik dan elok dalam menciptakan kemesraan dengan
pelanggan. Dengan silaturrahim, Islam mengajak setiap orang tidak
diperbolehkan memiliki sifat individualistik melainkan harus
memiliki sifat sosialisis. Dengan demikian, pola interaksi yang ada
adalah saling membantu antara satu sama lain dalam sebarang
masalah apapun terutama keusahawanan dan saling melengkapi
demi terbentuknya kehidupan yang harmoni.

8
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Silaturrahim merupakan cara berkesan untuk menerapkan sifat


sosialis. Dengan silaturrahim, setiap insan akan mendapatkan
manfaat kerana dalam silaturrahim akan terjadi pola kehidupan
yang baik, di antaranya adalah:

• Memperat hubungan emosional.


• Dapat saling melengkapi.
• Semakin saling menghormati dan menghargai.
• Menambah rezeki.
• Bertambah umur.
• Mencipta indahnya kesatuan.

4) Membangun serta Mengembangkan Jaringan


Dalam dunia keusahawanan, jaringan merupakan salah satu cara
membuat keusahawanan menjadi berkembang. Dengan mempunyai
jaringan yang baik, maka tercipta kerjasama yang baik. Dalam
keusahawanan terdapat beberapa peringkat yang tidak dapat
dipisahkan di antaranya adalah produk, harga, pembeli, dan
promosi. Adanya jaringan dapat memudahkan pemasaran sekaligus
promosi sehingga dapat membentuk sebuah kerjasama yang baik.
Berapa ramai usahawan dapat mengeluarkan produk tetapi tidak
dapat menjual. Berapa ramai usahawan dapat menjual tetapi tidak
memenuhi apa yang direncanakan kerana lemahnya jaringan.

Membangun hubungan baik merupakan satu cara untuk membangun


jaringan. Dengan menjalin persahabatan dan silaturrahim di antara
satu sama lain, jaringan keusahawanan akan menjadi semakin besar
dan luas. Ini seterusnya akan memberi impak positif bagi
perkembangan perniagaan. Jaringan luas akan memudahkan
kerjasama usaha baik dalam penjualan, promosi barangan bahkan

9
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

menarik simpati para calon pelanggan setia. Dalam membina


sebuah hubungan, hendaklah tidak membatasi kepada para pembeli
sahaja melainkan banyak kelompok yang perlu diperhatikan, di
antaranya adalah karyawan, pelanggan, calon pelanggan, pembekal,
pemegang saham, media massa, juru analis, ahli parlimen, bahkan
pemerintah.

Jaringan keusahawanan dikehendaki demi memudahkan pemasaran


dan promosi sehingga dapat menarik para pembeli untuk menjadi
pelanggan setia. Sekiranya sesuatu perniagaan memiliki pelanggan
setia, maka mereka sudah tentu akan mendapatkan keuntungan di
masa hadapan. Permintaan pelanggan adalah jelas dan usahawan
hanya menilai sahaja. Dalam prinsip pengurusan perniagaan moden,
kepuasan pelanggan (customer satisfaction) merupakan permulaan
daripada sebuah keberuntungan.

Kelebihan daripada hubungan baik merupakan metode untuk


mendapatkan jaringan yang luas sehingga tercipta kerjasama yang
baik. Dengan demikian, ini akan dapat membantu usahawan dalam
setiap langkah mereka, baik mempromosikan nama baik individu,
perusahaan, produk dan layanan.

Dalam menjalin hubungan baik dengan siapapun hendaklah didasari


dengan penuh keikhlasan dan sepenuh hati bukan hanya kerana
meraup keuntungan semata. Jaringan perkenalan perlu dibangunkan
terlebih dahulu bagi membina sebuah persahabatan. Seterusnya,
daripada sebuah persahabatan, maka satu kerjasama perniagaan
akan terbentuk. Dalam Islam, membangun hubungan baik dapat
dilakukan dengan cara silaturrahim. Dengan silaturrahim, semua
orang dapat saling mengenali sesama mereka sehingga muncul

10
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

sebuah persahabatan. Dan sebuah persahabatan akan mendatangkan


kemanfaatan. Menurut Rasulullah s.a.w, salah satu manfaat
silaturrahim adalah mendatangkan banyak rezeki.

“Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya, dan


dipanjangkan umurnya maka bersilaturahimlah”.
(Riwayat: Bukhari)

5) Melakukan Persaingan yang Sihat dengan Para Pesaing


Memasuki dunia keusahawanan, mesti banyak persaingan. Tidak
ada orang menjalankan keusahawanan tanpa adanya persaingan. Ini
merupakan suatu kemestian yang mana tidak dapat dijauhi. Ingin
berniaga kedai komputer pasti ada yang menyainginya, ingin
berniaga kantin tentu ada yang menjadi pesaingnya. Dan yang perlu
diperhatikan adalah bagaimana menghadapi persaingan tersebut?.
Hampir semua orang mengatakan bahawa dengan adanya
persaingan, sesebuah perniagaan akan menghadapi impak negatif
terutamanya dari segi pendapatan akan merosot. Jika dilihat secara
rasional, memang benar perkara ini akan berlaku. Kenapa? Ini
kerana ketika sebelum wujud pesaing, para pelanggan berjumlah
seratus. Tetapi setelah wujud pesaing, jumlah para pelanggan mulai
berkurangan. Dan inilah yang menjadi ketakutan para usahawan.

Dalam Islam, metode menghadapi pesaing bukanlah dengan sebuah


perlawanan tetapi menjadikan sebagai “pasangan”. Maksudnya,
para pesaing tersebut dapat dijadikan sebagai rakan usaha yang baik
dan dapat saling melengkapi. Sebagaimana firman Allah s.w.t
dalam al-Quran:

11
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

“Maka berlumba-lumbalah dalam kebaikan. Di mana saja


kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”.
(Surah al -Baqarah, 148) [11]

Berapa banyak perusahaan yang hancur hanya kerana selalu


melakukan perlawanan terhadap pesaingnya. Salah satu yang biasa
dilakukan adalah menaik turunkan harga untuk merugikan
pesaingnya, melakukan perbuatan yang membahayakan seperti
memfitnah produk pesaing dan sebagainya. Dalam Islam,
menyaingi penjualan sesama usahawan dengan perbuatan yang
dapat merugikan salah satu pihak adalah dilarang. Sebagaimana
hadis Rasulullah s.a.w di bawah ini;

“Janganlah kamu menjual menyaingi penjualan saudaramu”


(Riwayat: Bukhari)

Dalam Islam, seorang muslim tidak boleh membahayakan orang


lain. Semua aktiviti usahanya selalu didasari dengan sebuah
peraturan;

“Segala bahaya dan yang membahayakan itu haram


hukumnya".
(Riwayat: Ibnu Majah)

Peraturan tersebut sangatlah berkesan untuk menjaga dunia


persaingan, baik dalam perniagaan mahupun bidang lainnya
sehingga akan terbentuk lingkungan yang kondusif, aman dan
damai. Semua pesaing akan selalu memperhatikan langkah yang
akan ditempuh dalam menghadapi lawannya. Dan tentunya, langkah

12
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

tersebut adalah langkah yang baik. Usahawan muslim selalu


menjadi pesaing yang baik. Menjaga hubungan baik dengan
usahawan lain, tidak menaik turunkan harga untuk merugikan
usahawan lain serta tidak menghina produk usahawan lainnya.
Semua ini merupakan sikap terpuji. Di samping itu, usahawan
muslim tidak akan melakukan monopoli yang dapat merugikan
banyak orang, tidak menjual barang yang masih dalam proses jual
beli dengan orang lain dan selalu bersikap adil dan arif dalam
perniagaan.

2.2 Keusahawanan Islam Di Kuala Lumpur


Malaysia merupakan salah satu negara di kawasan Asia Tenggara yang
yang memiliki perkembangan cepat dalam semua sektor terutama sektor
ekonomi dan pembangunan. Luas negara Malaysia mencapai 329,758 km
persegi dengan jumlah penduduk sekitar 26 juta yang terdiri dari beberapa
kaum, di antaranya adalah kaum Melayu, China, India, dan lain-lain [12].
Menurut Majalah Foreign Policy, di Asia, Malaysia berada di urutan kedua
setelah Singapura, iaitu sebagai negara yang nyaman sebagai tempat tinggal
dan berniaga kerana ia memiliki iklim ekonomi yang baik.

Kuala Lumpur merupakan ibu negara Malaysia. Posisinya yang strategik


menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota metropolitan terbesar di Malaysia.
Sedangkan sektor yang paling menyumbang kepada ekonomi negara adalah
sektor pembuatan, kemudian diikuti dengan sektor pelancongan dan
komoditi utama seperti kelapa sawit, getah asli, balak dan petroleum.

Kuala Lumpur merupakan kota besar yang memiliki infrastruktur yang


memadai, lingkungan yang nyaman, pengurusan kota yang baik dan
kemudahan masyarakat yang lengkap serta kebudayaan sehingga membuat
para pelancong, pekerja dan pelajar asing berpuas hati melakukan

13
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

perlbagai macam transaksi perniagaan, atau melancong ke Malaysia.


Semuanya didokong dengan sistem pengangkutan yang baik, seperti Light
Rapid Transport (LRT), teksi dan bas. Sistem Light Rapid Transport
menyediakan pengangkutan dengan rel di dalam kota yang baik bagi para
pengguna sehingga memudahkan untuk pergi ke tempat tujuan. Selain itu,
kota ini juga telah memiliki infrastruktur maklumat dan komunikasi serta
kemudahan profesional yang sempurna.

Kuala Lumpur bukan hanya satu tempat yang tenang untuk tinggal, tetapi
tenang juga untuk melakukan perniagaan kerana Kuala Lumpur juga
merupakan salah satu pusat kota perniagaan terbesar di dunia. Dan
tentunya, di dalam kota tersebut terdapat pelbagai macam bentuk
keusahawanan dari latar belakang yang berbeza. Beberapa tempat
keusahawanan yang menjadi bukti bahawa Kuala Lumpur sebagai kota
keusahawanan, iaitu:

1. Pusat membeli belah yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman,


Jalan Petaling, Jalan Bandar, dan Jalan Bukit Bintang. Jalan
Petaling dan Jalan Bandar merupakan tempat perbelanjaan barang-
barang Cina seperti baju dan sepatu. Manakala tas tangan,
perhiasan, seni dekorasi rumah adalah dari Negara India dan
Myanmar.
2. Pasar Seni merupakan tempat perbelanjaan baju, tas tangan dan
lain-lain.
3. KLCC merupakan syurga para pembelanja dan usahawan. Di
KLCC terdapat berbagai macam produk dari dalam mahupun luar
negeri. Di samping itu, Tower Petronas juga terdapat di KLCC
sehingga menjadi daya tarik bagi para pengunjung.
4. Plaza Low Yat merupakan pusat perbelanjaan elektronik dan
komputer.

14
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

5. Banyak plaza lain yang menjadi pusat perbelanjaan seperti Plaza


Sungai Wang, Plaza KL, Suburban Shopping seperti One Utama,
Sunway Pyramid dan lainnya [13].

Keusahawanan yang ada di Kuala Lumpur amat ramai dan terdiri dari
pelbagai macam kalangan, di antaranya adalah keusahawanan yang dikelola
oleh seorang muslim dan ada juga yang dikelola oleh orang bukan muslim.
Menurut Adnan Alias dan Mohamed Dahlan Ibrahim dalam bukunya
Keusahawanan Islam bahawa amat sedikit usahawan muslim yang berjaya
kerana ramai di antara mereka hanya berperanan sebagai pengguna sahaja.
Banyak bidang perniagaan dikelola oleh usahawan bukan muslim.
Tentunya, hal ini dapat mempengaruhi sistem keusahawanan Islam.
Sebagaimana di atas, keusahawanan Islam adalah segala yang berkaitan
dengan usahawan dan sebagainya yang sesuai dengan ajaran Islam. Jadi
semua keusahawanan baik seorang usahawan, produk, pelayan, dan lain-
lain mestilah sesuai dengan ajaran Islam. Realiti umat Islam saat ini
memang ramai yang menjadi pengguna sahaja dan sedikit yang menjadi
usahawan padahal umat Islamlah yang paling awal dan paling lama dalam
tamadun manusia yang menggalakkan perniagaan [14]. Di samping itu,
ramai pula para usahawan muslim yang melakukan transaksi jual beli tetapi
tidak sesuai dengan syarak, seperti menipu dalam jual beli dan sebagainya.
Bahkan di Malaysia masih belum ada lagi suatu pendekatan untuk
membangun usahawan secara Islam sehingga amat sedikit usahawan
muslim yang berjaya [15]. Tetapi walaupun demikian, patut diakui bahawa
terdapat suatu pergerakan yang dilakukan oleh beberapa usahawan muslim
ke arah pencapaian keusahawanan Islam yang baik dan benar, iaitu oleh
Encik Muhammad Pelihan Ojer sebagai direktor Matts Engineering, Puan
Maimunah; pemilik Awal Muharam Enterprise, Puan Effi; pemilik Effi
Beauty World, Encik Idris Abdul Ghaffar; pemilik Ayangto Trading dan
lain-lain sepertimana yang telah ditemui dalam kajian ini.

15
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

2.3 Metodologi
Metodologi kajian ini terdiri daripada observasi dan temubual. Manakala
skop kajiannya adalah perniagaan kecil.

Menurut Kamus Dewan, istilah perniagaan bermakna perihal berniaga


atau perdagangan [16]. Perniagaan pula berasal dari kata “niaga” yang
bererti jual beli [17]. Sedangkan menurut Kamus Bahasa Malaysia Edisi
Pelajar, istilah niaga adalah berniaga atau berjual beli [18]. Maksud istilah
perniagaan dari dua kamus tersebut adalah sama, iaitu perihal berniaga atau
berdagang.

Sedangkan kecil, menurut Kamus Dewan memiliki banyak erti dan di


antaranya adalah bermakna tidak banyak (jumlahnya dll) atau tidak
melibatkan banyak orang [19]. Dalam hal ini, maksud kecil adalah tidak
banyak jumlah pendapatan yang dicapai atau tidak melibatkan banyak
pekerja. Justeru, definisi perniagaan kecil adalah perihal perdagangan
atau berniaga yang memiliki jumlah pendapatan kecil dan tidak melibatkan
ramai pekerja (terkadang tidak sama sekali).

2.4 Strategi Keusahawanan Islam Di Kuala Lumpur


Dalam penyelidikan pengkaji di Kuala Lumpur terutama KLCC, Low Yat
Plaza, Mydin, dan Pasar Besar Gombak, pengkaji melihat ada beberapa
usahawan muslim yang telah mempraktikkan strategi keusahawanan Islam.
Namun begitu, masih ramai para usahawan yang tidak menggunakan
strategi keusahawanan Islam tersebut. Beberapa strategi yang telah
dipraktikkan oleh para usahawan, iaitu:

1. Melakukan Usaha yang Halal dan Baik


Sehingga kini, sudah ramai orang yang melakukan perniagaan yang
halal dan baik seperti para usahawan yang telah pengkaji

16
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

ditemubual. Mereka melakukan perniagaan yang halal dan baik,


seperti berniaga besi, pakaian, salon kecantikan dan lain-lain. Hal
ini tentunya sesuai dengan ajaran agama Islam sehingga perniagaan
tersebut dapat menjadi alat untuk mencapai keuntungan dan
keredhaan Allah s.w.t. Melihat ramai orang mempraktikkan
perniagaan yang halal, pengkaji merumuskan adanya suatu
kemajuan untuk menerapkan amalan tentang strategi keusahawanan
Islam secara menyeluruh. Memang untuk menerapkan amalan
strategi keusahawanan Islam secara menyeluruh sangatlah tidak
mudah tetapi suatu peringkat tentulah mesti dilalui dahulu sehingga
sedikit demi sedikit akan timbul usaha menerapkan amalan strategi
keusahawanan Islam secara menyeluruh.
2. Menciptakan Kejujuran dan Amanah
Walaupun pengkaji menjumpai ada penipuan dalam produk, iaitu
adanya perbezaan di antara produk yang diiklankan dengan produk
aslinya, seperti yang terjadi pada sebuah restoran di KLCC, namun
pengkaji juga menjumpai ramai usahawan yang menerapkan
kejujuran dan amanah, seperti Encik Zaidi; peniaga ayam di Pasar
Besar Gombak yang selalu memperhatikan sukatan.
3. Mengembangkan Kemesraan dengan Pelanggan
Demi terjalinnya sebuah jaringan yang baik adalah dengan
membentuk kemesraan dengan pelanggan terlebih dahulu. Ada
usahawan yang telah menerapkan silaturahim untuk
mengembangkan kemesraan dengan pelanggan, seperti Puan
Hurhelin yang menjadi pengusaha pakaian, Puan Ika; pengusaha
buku dan Tuan Mulyadi; pengusaha rumah makan. Cara mereka
dalam menghadapi pembeli seperti saudara sendiri, iaitu
menghadapi para pembeli dengan penuh santun, ramah, murah
senyuman dan lain-lain.

17
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

4. Memandang Keusahawanan Bukan Hanya untuk Mencari Rezeki


Sahaja melainkan sebagai Ibadah Juga
Kata “ikhlas” dan “tawakal” sebenarnya sangatlah sukar dalam
sebuah keusahawanan. Contohnya, ikhlas memberikan masa kepada
pelanggan yang berhutang atau tawakal kepada Allah s.w.t untuk
mendapatkan rezeki dengan diiringi usaha. Dalam hal ini, pengkaji
menjumpai beberapa usahawan, seperti Tuan Zaidi; peniaga ayam,
Tuan Idris; direktor Ayangto Trading yang telah memiliki konsep
strategi keusahawanan Islam. Mereka mengamalkan bersikap murah
hati dengan cara ikhlas dan tawakal.

2.5 Observasi
Sejak tanggal 1 Julai 2008, pengkaji mengadakan observasi ke beberapa
tempat pusat perbelanjaan di Kuala Lumpur dan kunjungan pertama
pengkaji adalah kedai Mydin. Pengkaji melihat kedai Mydin merupakan
salah satu tempat perbelanjaan yang memiliki produk-produk yang baik dan
halal serta memiliki harga lebih murah dibandingkan kedai-kedai lainnya
seperti Giant. Dalam Islam, seorang usahawan hendaklah tidak mengambil
keuntungan secara berlebih-lebihan kerana sesuatu usaha tidaklah hanya
mencari keuntungan semata Kmelainkan membantu para pembeli juga.
Satu barang yang memiliki harga tidak mahal merupakan salah satu strategi
keusahawanan Islam kerana dengan demikian, ia dapat menjadi daya tarik
para pembeli untuk menjadi pelanggan setia. Hal ini telah dipraktikkan oleh
Rasulullah s.a.w dalam usaha baginda. Beliau tidak mengambil keuntungan
secara berlebih-lebihan.

Selanjutnya, kunjungan kedua pengkaji adalah KLCC. Pada saat itu,


pengkaji sempat membeli makanan di sebuah restoran. Ketika ingin
membeli, di sana terdapat iklan gambar jenis makanan yang dijual. Setelah
pengkaji amati dan teliti, pengkaji tertarik kerana kelihatannya memiliki

18
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

lauk-pauk yang banyak dan beraneka ragam, terutama daging. Tetapi,


setelah makanan tersebut siap disediakan, pengkaji merasa kecewa kerana
ternyata lauk-pauk yang banyak itu bukan daging melainkan cili yang
besar-besar dan hitam mirip daging sedangkan dagingnya hanya sedikit.
Bagi pengkaji, hal ini merupakan sebuah penipuan kerana iklan gambar
menjelaskan tentang hal ehwal makanan tersebut tetapi dalam
kenyataannya tidaklah sedemikian. Dalam Islam, menipu, berbohong dan
monopoli sangatlah dilarang dan bukan merupakan sebuah strategi bagus
dalam keusahawanan. Rasulullah s.a.w merupakan pelopor keusahawanan
Islam. Baginda selalu mempraktikkan dengan kejujuran dan semenjak kecil
lagi baginda telah dikenali dengan “Al-Amin” dan “As-Siddiq” iaitu ertinya
“dapat dipercayai dan jujur”. Beliau menyatakan bahawa orang yang
berbohong adalah tanda orang-orang munafik dan ketidakjujuran akan
membawa keragu-raguan. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w;
“Kejujuran akan membawa ketenangan sementara
ketidakjujuran akan menimbulkan keragu-raguan”.
(Riwayat: Tarmizi)

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga: Pertama, apabila


berkata, ia berdusta; kedua, apabila berjanji tidak dipenuhi;
ketiga, apabila diberi amanah, ia berkhianat.”
(Riwayat: Bukhari)

Jadi, jika ingin mendapatkan pelanggan setia hendaklah selalu berlaku


jujur. Perlu menjelaskan produk mana yang elok dan tidak, mana yang baik
dan tidak dan seterusnya sehingga pembeli merasa tenang kerana tidak
dibohongi.

Kunjungan selanjutnya adalah Low Yat Plaza. Banyak hal yang dapat
pengkaji catat dalam kunjungan pengkaji ke pusat perbelanjaan elektrik dan

19
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

komputer terbesar di Kuala Lumpur. Sebuah pelayan yang baik telah


dipraktikkan hampir di semua kedai di Low Yat Plaza. Dengan gaya
senyum, menyapa, bahkan siap melayani untuk menjawab semua
pertanyaan para calon pembeli adalah sebuah pelayan yang baik. Dalam
Islam, semua transaksi keusahawanan hendaklah diawali dari sebuah
perilaku yang baik seperti senyum, bermurah hati, berkata yang sopan dan
baik, sabar melayani dan sebagainya. Dengan demikian, akan menghadapi
impak positif bagi sebuah keusahawanan sehingga ramai calon pembeli
yang merasa senang kerana telah dihargai dan dihormati. Di samping itu,
dengan berkata yang baik dan sopan santun serta mudah senyum
merupakan bentuk sedekah lahiriah dan batiniah. Sedekah lahiriah bererti
ramai orang senang dengan kita dan sedekah batiniah bererti kita akan
dapat pahala dari Allah s.w.t, sebagaimana firman Allah s.w.t;
“Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari
sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan. Allah
Maha Kaya lagi Maha Penyantun”.
(Surah: Al-Baqarah, 263) [20]

Kunjungan pengkaji yang keempat adalah Pasar Besar Gombak. Di sana


pengkaji sempat membeli buku-buku agama, di antaranya adalah buku
masalah Tajwid dan Cara Solat. Ketika itu, penjaga kedai sangatlah baik
dan memperlakukan pengkaji seakan sebagai sahabatnya sehingga pengkaji
merasa senang kerana perlakuan seperti itu. Ketika pengkaji hendak pulang,
beliau berkata kepada pengkaji “sila datang lagi ya”. Ini merupakan salah
satu cara mencapai kemesraan pelanggan. Dalam Islam, membangun
silaturrahim merupakan satu cara yang berkesan untuk mendapatkan
pelanggan setia. Dengan memperlakukan pelanggan seperti sahabat, maka
akan terjalin sebuah ‘silaturrahim’ sehingga timbul kemesraan antara
penjual dan pembeli. Kemesraan pelanggan adalah modal utama untuk

20
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

memperolehi sebuah keberuntungan bagi dunia keusahawanan. Sebuah


hadis Rasulullah s.a.w menyatakan bahwa;

“Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya, dan


dipanjangkan umurnya maka bersilaturrahimlah”.
(Riwayat: Bukhari)

Pengkaji juga mengunjungi Pasar Seni dan membeli pakaian di sebuah


kedai. Pengkaji melihat bahawa kedai tersebut memiliki cara yang bagus
dalam berniaga, iaitu dengan menjelaskan produk mana yang berkualiti
dengan harga mahal dan produk yang tidak berkualiti dengan harga murah.
Terdapat juga tempat yang membezakan antara produk-produk yang
ditawarkan sehingga tidak wujud penipuan. Dalam Islam, pedagang yang
jujur akan bersama-sama dengan para nabi dan para syuhada’. Hal ini
sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w bahawa;

“Pedagang yang jujur lagi terpercaya adalah bersama-sama


nabi, orang-orang sadiqin (benar), dan para syuhada”
(Riwayat: Tarmizi)

2.6 Temubual
Dalam melakukan kajian, pengkaji mencuba melakukan temubual dengan
beberapa responden dari kalangan usahawan Islam, di antaranya adalah
Encik Mohamad Pelihan Ojer, seorang usahawan besi, Encik Mulyadi,
seorang usahawan rumah makan, dan Encik Abdul Razak, peniaga ikan,
Puan Nurhelin, usahawan pakaian, Puan Ika, seorang usahawan kedai buku,
Encik Zaidi, peniaga ayam, Puan Maimunah, usahawan bingkai, Puan
Anita, usahawan AB Design and Style, Encik Usuf, usahawan pembekal
alat tulis, Encik Idris Abdul Ghaffur, usahawan produk perabot kayu, dan
Puan Effi, usahawan Effi Beauty World. Dalam temubual tersebut,

21
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

pengkaji telah memperolehi beberapa maklumat perihal keusahawanan


yang telah mereka jalani mulai dari masalah modal, pelayan, keadaan
keusahawanan, bahkan pelanggan.

Secara umum, sebuah perniagaan sudah tentu mengalami pasang surut. Hal
ini disebabkan pelbagai macam masalah di antaranya adalah pendapatan
lebih sedikit daripada pembelanjaan. Ini kerana, banyak para pelanggan
yang berhutang dan tidak mahu membayar sehingga membuat perusahaan
menjadi kekurangan modal. Dalam hal ini, pengkaji pernah menanyakan
perihal sikap seorang usahawan muslim dalam menangani perihal hutang.
Encik Zaidi, Encik Abdul Razak, Encik Idris Abdul Ghaffur dan Encik
Mohammad Pelihan Ojer sebagai seorang usahawan muslim, mereka
menganggapnya dengan sebuah kalimat “tawakal” ertinya pasrah kepada
Allah s.w.t. Maksudnya, beliau tidak memaksa pelanggan untuk harus
cepat-cepat membayar hutangnya melainkan memberikan sebuah
kelonggaran masa. Walaupun begitu, beliau tetap berusaha untuk menagih
hutang dan yakin kepada Allah s.w.t tentang rezekinya. Jika pengkaji teliti,
sikap seperti ini sangatlah jarang ditemui kerana pertama, “masalah wang
adalah masalah asas”, semua orang mahu wang dan kerana wang orang
akan saling berebut. Kedua, hal seperti ini sama dengan apa yang
difirmankan Allah s.w.t dalam al-Quran;

“Dan jika dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia


berkelapangan. Dan menyedekahkan itu, lebih baik bagimu, jika
kamu mengetahui”.
(Surah al-Baqarah, 280) [21]

Ini merupakan salah satu keistimewaan seorang usahawan muslim yang


tidak dimiliki oleh para usahawan lain. Memberikan kelonggaran masa
untuk membayar hutang adalah satu sifat terpuji.

22
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Dalam menjalankan perniagaan, Puan Ika, yang menjadi usahawan buku,


Puan Nurhelin, sebagai pedagang pakaian, Puan Maimunah, sebagai
pemilik kedai bingkai dan Encik Mulyadi, usahawan rumah makan
memiliki prinsip yang berbeza daripada yang lainnya, iaitu “walau kami
tidak untung banyak, yang penting pelanggan senang”. Kata-kata tersebut
cukup sederhana tetapi memiliki makna yang sangat luas. Dalam hal ini,
pengkaji mengkaji prinsip tersebut dan menghasilkan beberapa catatan
sebagaimana berikut:

1. Prinsip di atas merupakan strategi keusahawanan Islam yang baik


untuk mendapatkan pelanggan setia.
2. Sebuah perniagaan memiliki matlamat jangka panjang sehingga
yang dikedepankan adalah bagaimana dapat mempertahankan
usahanya dengan menyenangkan pelanggan terlebih dahulu
3. Prinsip ini menjadi kunci kejayaan seseorang dalam mencapai
keredhaan Allah s.w.t kerana dengan demikian, seorang usahawan
dapat menolong antara satu sama lain.
4. Prinsip tersebut termasuk dalam kategori sikap “murah hati”.

3.0 Rumusan
Daripada observasi dan temubual, pengkaji dapat melihat bahawa
sebenarnya strategi keusahawan Islam sudah tampak di permukaan. Sudah
ada kemajuan ke arah strategi keusahawan Islam kerana sudah ada
beberapa usahawan yang telah mempraktikkannya. Hal ini dilakukan tanpa
disedari kerana sebenarnya hal tersebut merupakan strategi yang selaras
dengan al-Quran dan hadis yang mana sudah sebati dalam diri usahawan
yang telah ditemubual.

23
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Strategi keusahawanan Islam merupakan hal yang tidak dapat dibolak-balik


lagi. Semua usahawan mesti menggunakan strategi yang telah disyorkan
oleh Islam jika ingin mendapatkan keuntungan di dunia dan di akhirat.
Islam memandang penting keusahawanan kerana memiliki faedah yang
sangat besar dalam kehidupan. Oleh itu, Islam mengajarkan umatnya
strategi mengelola keusahawanan yang baik dan benar menurut al-Quran
dan al-Hadis. Dengan strategi, para usahawan akan dapat menjalankan
usahanya sesuai dengan syarak sehingga akan timbul kebahagiaan di dunia
dan di akhirat.

24
Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan

Nota Penghujung
1. Al-Baqarah 2:30
2. Al-Jumu’ah 62: 10.
3. Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Malaysia. 1989 hal. 1227
4. Kamus Bahasa Melayu Nusantara, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Malaysia. 2003 hal. 2597
5. Ibid hal. 2990
6. Ibid hal. 1026
7. Al-Baqarah 2:275
8. Al-Maidah 5: 100
9. Al-Baqarah 2: 173
10. An-Nuur 24: 33
11. Al-Baqarah 2: 148
12. http://www.tourismmalaysia.gov.my/my/ebrochure/default.asp
13. Draft Structure Plan Kuala Lumpur 2020 A World Class City. City Hall
Kuala Lumpur. Malaysia
14. Adnan Alias, Mohamed Dahlan Ibrahim, Keusahawanan Islam,
Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn. Bhd. Selangor, Malaysia. 2002
hal. 4
15. Ibid hal. 129
16. Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Malaysia. Cetakan ketiga.
1986

hal. 795
17. Ibid hal. 795
18. Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar, Percetakan Dewan Bahasa dan
Pustaka. Malaysia. Cetakan ketiga. 1983 hal. 375
19. Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Malaysia. Cetakan ketiga.
1986 hal. 505
20. Al-Baqarah 2: 263
21. Al-Baqarah 2: 280

25

Anda mungkin juga menyukai