Anda di halaman 1dari 3

Penderaan Kanak-Kanak: Konsep dan Teori

Date: Thursday, September 09 @ 00:00:00 MYT


Topic: Famili

Para pengkaji penderaan kanak-kanak melihat terdapat pelbagai jenis penderaan kanak-kanak
yang saling berkait. Jenis penderaan yang akank menjadi fokus utama kajian ini adalah
penderaan fizikal, seksual, emosional dan pengabaian kanak-kanak.

Penderaan Fizikal Penderaan fizikal sebagai suatu fenomena sosial ditakrifkan sebagai
keganasan secara fizikal terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa, penjaga atau sesiapa saja yang
bertanggungjawab melindungi kanak-kanak tersebut. Definisi penderaan fizikal adalah sukar
dan kompleks kerana pelbagai faktor yang terlibat dalam perlakuan seseorang kanak-kanak.
Ammerman dan Hersen (1990:26) berpendapat bahawa: “Faktor tambahan yang memainkan
peranan dalam mendisiplinkan penderaan fizikal termasuk pendekatan disiplin di kalangan
ibu bapa, kecederaan yang dialami, kesan pada tingkah laku dan keseriusan kecederaan
kanak-kanak. Pemboleh ubah penting yang perlu diuji adalah bentuk niat yang menyebabkan
mereka dideraataupun kecederaan fizikal dan digabungkan dengan situasi keluarga yang
melakukannya menyebabkan definisi penderaan fizikal menjadi kompleks.”

Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 pula mentakrifkan bahawa seseorang kanak-kanak


dicederakan daripada segi fizikal jika ada kecederaan dan boleh dilihat pada mana-mana
bahagian tubuh kanak-kanak itu yang didalilkan antara lain, laserasi, konstusi, lelasan, parut,
patah atau kecederaan tulang yang lain, dislokasi, seliuh, pendarahan, pecah viskus, luka
terbakar, melecur, hilang atau berubah kesedaran atau fungsi fisiologi seperti gugur rambut
atau patah gigi.

Pakar perubatan juga mendefinisikan penderaan fizikal sebagai tindakan yang boleh
menyebabkan kecederaan seperti pendarahan otak (Birrell & Birrell 1968), lebam yang teruk
(Silverman 1968 dan Cafey 1972), kecacatan akibat penderaan fizikal (Camerin 1972), retak
dan patah tulang (O’Neil et al. 1973), bekas gigitan (Sims et al. 1973), lecur dan terbakar
dicucuh puntung rokok (Smith & Hanson 1974). Di samping itu, Oates (1993:57)
membuktikan penderaan fizikal boleh membawa maut kepada dua kumpulan kanak-kanak
iaitu kanak-kanak cacat sejak dilahirkan dan juga kanak-kanak cacat akibat penderaan
tersebut. Namun begitu banyak lagi cara dan alat yang digunakan untuk mendera fizikal
kanak-kanak. Menurut Mohd. Sham Kasim (1994) cara dan alat yang digunakan untuk
mendera selain memukul menggunakan tangan, dirotan, disebat, digigit, disimbah cecair
panas, dicucuh dengan besi atau benda panas, puntung rokok atau ubat nyamuk, dirantai,
diikat, dikurung, dikunci di dalam bilik atau rumah, ditumbuk, disepak, diterajang, dicubit,
dikepit atau dipulas dan sebagainya. Takrif Akta Perlindungan Kanak-kanak dan diagnosis
pakar perubatan perlu diberi perhatian bagi menentukan kanak-kanak tersebut terlibat dalam
kes penderaan fizikal.

Pakar perubatan juga mendapati kadang kala penderaan fizikal mempunyai hubung kait
dengan lain-lain jenis penderaan seperti penderaan seksual, emosional dan pengabaian
kanak-kanak. Penderaan Seksual Penderaan seksual merujuk segala bentuk aktiviti seksual
yang mempunyai tujuan memenuhi nafsu seks orang dewasa, melalui pornografi, gambar,
perakam suara, filem, perakam video atau mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak.
Penderaan seksual melibatkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya,
dirogol dan dipaksa melacur. Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan bahawa
seseorang yang terlibat dalam kes penderaan seksual kanak-kanak adalah apabila dia
mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati dalam apa-apa aktiviti yang
bersifat seks bagi maksud apa-apa bahan, fotograf, rakaman, filem, pita video atau
persembahan yang bersifat pornografi, lucah atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang
bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain. Menurut Schechter dan Roberge
(1976), dalam sesetengah hal kanak-kanak menjadi mangsa penderaan seksual di dalam
keluarga seperti sumbang muhrim contohnya atau bagi upacara ritual tertentu. Menurut
Finkelhor pula (1979:23) faktor-faktor lain yang perlu diberi perhatian mengenai penderaan
seksual adalah umur pelaku, bentuk perlakuan atau kejadian, sama ada mangsa mengizinkan
perlakuan tersebut, umur mangsa, jantina dan hubungan mangsa dengan pelaku dan akibat
perlakuan tersebut atau kejadian terhadap kanak-kanak tersebut. Beberapa ahli psikologi
berpendapat bentuk penderaan ini akan membawa implikasi buruk kepada perkembangan
emosi seseorang kanak-kanak yang mangsa penderaan (Davidson & Nicol, 1993:47).

Oleh yang demikian penderaan seksual mempunyai kaitan erat dengan penderaan emosional.
Penderaan Emosional Penderaan emosi merujuk kepada bentuk gangguan psikologi terutama
daripada segi mental dan emosional, sama ada didera dan dianiayai oleh ahli keluarga yang
terlibat. Emosi adalah rasa dalaman yang dapat dilihat sebagai sedih, marah, meradang,
geram, benci, sakit dan sebagainya (lihat Kieran O’ Hagan, 1993:22). Penderaan emosional
merangkumi tidak memberi kasih sayang yang cukup atau membenci kanak-kanak tersebut,
kanak-kanak tidak dihiraukan, tidak dilayan karenahnya, pergaulan mereka disekat misalnya
tidak dibenarkan berkawan atau bermain sesama mereka, mereka sering dimarahi,
ditengking, ditakut-takuti dan ahli keluarga bermusuhan dengan kanak-kanak. Akta
Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan bahawa seseorang kanak-kanak dicederakan
daripada segi emosi apabila ada gangguan yang ketara atau boleh dilihat pada fungsi mental
dan emosi kanak-kanak itu yang didalilkan antara lain, kecelaruan mental atau tingkah laku,
termasuk keresahan, kemurungan, penyendirian, atau tumbesaran yang lambat.

Penderaan emosional diklasifikasikan sebagai penderaan atau pengabaian apabila ianya


mencapai tahap ekstrem atau melibatkan bentuk penderaan yang lain. Menurut Whiting
(1976:3), punca utama kanak-kanak terganggu secara emosi adalah disebabkan oleh ibu
bapa; penderaan bentuk ini berlaku apabila kanak-kanak tersebut dihalang atau tidak
memberi rawatan yang sewajarnya oleh ibu bapa atau penjaganya. Bentuk penderaan ini
sukar dikenal pasti. Ianya dapat dilihat bertahap-tahap melalui tingkah laku mengikut
perkembangan umur kanak-kanak. Menurut Skuse (1993:28), penderaan emosi bermula sejak
mangsa berumur 6 hingga 8 bulan, umur pra-sekolah, umur persekolahan dan umur remaja.
Setiap perkembangan umur kanak-kanak akan menunjukkan perubahan tingkah laku yang
aneh. Contohnya, pada umur persekolahan mangsa sering ponteng sekolah, tidak berminat
terhadap pelajaran, kelihatan murung, suka mengasingkan diri dan sebagainya. Implikasi
yang lain dapat dilihat pada kes penderaan emosi adalah pengabaian ibu bapa atau pendera
terhadap kanak-kanak tersebut. Pengabaian Kanak-kanak Pengabaian kanak-kanak merujuk
pada pengabaian terhadap penjagaan kanak-kanak daripada segi keperluan asas seperti
keselamatan, makanan berkhasiat, pendidikan, rawatan emosi dan fizikal (Ammerman &
Hersen, 1990:28). Salah satu contoh adalah kanak-kanak yang dipaksa bekerja. Akta
Perlindungan Kanak-kanak 1991 mentakrifkan pengabaian kanak-kanak sebagai membiarkan
seseorang kanak-kanak tanpa pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan bagi kanak-
kanak itu, termasuk tidak menyediakan makanan dengan secukupnya, memberi pakaian,
rawatan kesihatan atau tempat kediaman yang sempurna. Keadaan ini menyebabkan kanak-
kanak akan berasa tersisih dan tidak tentu arah. Oleh itu kanak-kanak berkenaan mempunyai
perasaan takut apabila berhadapan dengan orang lain dan mereka akan berkelakuan ganjil.
Mereka takut menjalani kehidupan ini dan sentiasa mengasingkan diri. Daripada aspek
psikologi, menurut Kieran O’ Hagan (1993:101) keadaan seumpama itu menyebabkan
tekanan jiwa kepada kanak-kanak mangsa penganiayaan. Kanak-kanak yang teraniaya
terutama yang berumur 6 hingga 9 tahun ke atas selalunya mengalami gangguan emosi dan
personaliti. Kebanyakan pendera adalah ibu bapa kandung atau penjaga rapat kepada kanak-
kanak yang menghadapi masalah tekanan jiwa atau pemabuk. Pengabaian kanak-kanak
bukan sahaja mengganggu psikologi kanak-kanak, malah boleh mengganggu perkembangan
tumbesaran mereka. Menurut Skuse, (1993:31) kanak-kanak didera dan diabaikan untuk
jangka masa yang lama akan membantutkan tumbesaran; dikenali sebagai ‘disorders of
biological rhythms’ contohnya kanak-kanak menjadi pendek dan kurus. Konsep penderaan
dan pengabaian yang saling berkait ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Runtunan faktor-
faktor itu dapat dikupas dalam kerangka teori dan ianya membantu analisis data kajian
penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Memahami Latar Belakang Penderaan Kanak-Kanak

This article comes from PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
http://www.pts.com.my

The URL for this story is:


http://www.pts.com.my/modules.php?name=News&file=article&sid=31

Anda mungkin juga menyukai