Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Anda dikehendaki menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk 'Kepentingan Amalan Membaca'.
Sediakan teks syarahan itu selengkapnya.
Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, yang arif lagi adil,
tuan-tuan hakim pertandingan, yang dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan seperjuangan
yang dikasihi sekalian. Sebelum saya mengorak langkah, eloklah terlebih dahulu saya menyatakan
tajuk syarahan saya pada hari yang mulia ini yakni kepentingan amalan membaca. Cuba kita
renungkan, berapa banyakkah bilangan buku yang menjadi tatapan kita setiap hari? Sebenarnya,
dalam meniti era globalisasi ini, rakyat Malaysia kian mengabaikan budaya membaca. Menurut
purata bilangan buku yang dibaca oleh setiap rakyat Malaysia pada 2005 adalah sebanyak dua buah
sahaja. Bilangan ini amatlah sedikit bagi salah sebuah negara yang membangun. Pelbagai kempen
telah dijalankan bagi menangani permasalahan ini. Akan tetapi, kempen ini hanyalah seperti
mencurahkan air ke daun keladi. Kesedaran untuk membaca dalam kalangan masyarakat masih lagi
rendah. Pada perspektif saya, perkara ini terjadi kerana rakyat Malaysia masih lagi bermain dalam
fantasi dan tidak mengetahui akan kepentingan amalan membaca. Oleh itu, berdirinya saya, Arfa
Qasrina di atas pentas ini adalah untuk menyedarkan para hadirin mengenai signifikan amalan
membaca sekali gus menarik diri kalian untuk menjelajah dunia ilmu.
Hadirin sekalian,
Pada realitinya, budaya membaca dapat meningkatkan ilmu pengetahuan yang ada pada
seseorang induvidu. Melalui pembacaan, kita akan mendapat pelbagai maklumat dan informasi yang
menarik. Sebagai analogi, kita akan mengetahui mengenai sel-sel yang wujud di dalam tumbuhan
hijau sehinggakan mampu membantu tumbuhan tersebut untuk membuat makanan sendiri dan
membekalkan oksigen kepada seluruh makhluk ciptaan Tuhan yang lain. Individu yang
berpengetahuan luas dapat dilahirkan melalui amalan membaca. Kini, kita dapat lihat dengan jelas
perbezaan ketara antara individu yang mempunyai pengetahuan dan yang tidak mempunyai ilmu di
dada. Individu yang mempunyai ilmu di dada akan selalu berfikiran optimis dan melakukan sesuatu
perkara yang boleh menyumbang pada dirinya dan negara manakala individu yang tidak mempunyai
pengetahuan yang luas pula hanya menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Oleh hal yang demikian,
amalan membaca seharusnya dipupuk bagi meningkatkan ilmu pengetahuan.
Selain itu, melalui pembacaan akhbar, kita juga dapat mengetahui isu semasa. Kita akan
memperoleh berita semasa seperti kejatuhan wang ringgit, kes lari dari rumah dalam kalangan
pelajar sekolah dan perkembangan sukan tanah air. Perkara ini menjadikan kita sebagai masyarakat
yang prihatin terhadap perkembangan negara. Sekiranya kita tidak mengambil tahu mengenai berita
semasa, pastinya kita akan dilabelkan sebagai katak di bawah tempurung. Sebenarnya, pembacaan
akhbar harian ini dapat melatih rakyat untuk mengambil pengajaran dan ikhtibar daripada setiap
perkara yang berlaku. Contohnya, ibu bapa akan memberikan kasih sayang yang secukupnya untuk
mengelakkan anak-anak mereka lari dari rumah, atlet negara akan berjuang bersungguh-sungguh
untuk memperoleh gelaran juara dan rakyat Malaysia akan membantu negara dalam meningkatkan
mata wang ringgit. Konklusinya, kita perlulah banyak membaca akhbar supaya dapat mengetahui
tentang isu semasa.
Di samping dapat mengetahui berita semasa, budaya membaca juga dapat meningkatkan
perbendaharaan kata. Tidak dinafikan bahawa ketika kita membaca, kita akan menjumpai perkataan
yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Perkara ini akan membuatkan kita mencari definisinya untuk
mengetahui maknanya dengan lebih lanjut. Tahukah kalian, perkataan tersebut dapat kita gunakan
ketika berhubung di samping diaplikasikan dalam penulisan? Hal ini akan memudahkan kita untuk
berkongsi atau menyampaikan sesuatu maklumat tanpa perlu menerangkannya. Tambahan pula,
pada era ledakan sains dan teknologi ini, penguasaan bahasa Inggeris amatlah penting untuk
menjamin kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Oleh itu, pembacaan buku-buku
berbahasa Inggeris dapat meningkatkan kosa kata dalam bahasa tersebut sekali gus mendorong kita
untuk menguasai bahasa ilmu itu. Kesimpulannya, amalan membaca perlu diterapkan untuk
menambah perbendaharaan kata.
Tahukah kalian bahawa membaca dapat meluaskan skop pemikiran? Melalui pembacaan,
sel-sel otak seseorang akan berhubung dan berkembang. Dengan ini, cara pemikiran seseorang
individu akan berubah kepada yang lebih baik. Perihal ini dapat melahirkan golongan intelektual iaitu
masyarakat yang berfikiran kreatif, inovatif dan inventif dalam setiap sudut kehidupan. Idea-idea
yang dicetuskan oleh golongan ini dapat meningkatkan ekonomi negara kerana mereka dapat
membantu dalam penciptaan produk baharu atau pengubahsuaian produk yang sedia ada supaya
menjadi produk beraneka guna. Hal ini sekali gus dapat mengubah nasib negara dan menjadikan
negara kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara mapan di dunia
seperti Jepun dan Korea. Tuntasnya, sikap suka membaca dapat meluaskan horizon pemikiran.
Akhir sekali, sebagai seorang penuntut ilmu, amalan membaca dapat membantu untuk lulus
dengan cemerlang dalam peperiksaan. Hal ini kerana membaca dapat memberikan pengetahuan dan
informasi berguna supaya para pelajar boleh menjawab soalan dengan betul dan jitu. Pelajar yang
malas membaca, pastinya tidak dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan di dalam kertas
soalan kerana kurangnya pengetahuan terhadap sesuatu perkara. Sebenarnya, peperiksaan
merupakan satu medium untuk menguji mental seseorang pelajar tentang tahap ilmu yang dipunyai.
Bagi pelajar cemerlang, dia akan beranggapan bahawa buku pelajaran bukanlah hanya konkrit
berjisimkan fakta tetapi juga sebagai teman yang dapat membantu dalam menyelesaikan masalah.
Oleh itu, sudah terang lagikan bersuluh bahawa pelajar yang selalu berdamping dengan buku ialah
pelajar yang cemerlang.
Sebagai penutup wacana, saya menyeru pada warga dewan supaya mengamalkan budaya
membaca kerana ia membawa 1001 kemaslahatan. Marilah kita menyahut seruan kerajaan untuk
melahirkan generasi ilmu yang dapat mengharumkan nama negara di mata dunia. Usaha-usaha
untuk memupuk minat membaca seharusnya dirancang dan dibuat dengan bersungguh-sungguh.
Janganlah hanya seperti melepaskan batuk di tangga. Budaya membaca seharusnya dijadikan
demostrasi rakyat Malaysia supaya dapat diteladani oleh generasi akan datang. Ingatlah bahawa
bangsa membaca, bangsa berjaya.