Anda di halaman 1dari 12

BAB 4

KONSEP IBADAH MEMBINA INSAN BERKUALITI


(Mohd Marbawi Taha & Safinah bt Daud)

4.0 PENDAHULUAN

Tujuan utama ciptaan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah SWT. Kenyataan
ini adalah selari dengan firman Allah yang disebut dalam Al-Qur’an yang berbunyi:

Maksudnya:
“Wahai sekalian manusia! Beribadahlah kepada Tuhan kamu yang
telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada
kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa”
(2: 21)

Ibadah merupakan kayu pengukur dan penentu perbezaan antara martabat


seorang hamba dengan hamba yang lain. Ibadah juga merupakan asas bagi
menggambarkan tahap keimanan seseorang terhadap Allah SWT. Beriman kepada
Allah SWT bukan semata-mata kepercayaan tentang kewujudan Allah dan
kekuasanNya sahaja, bahkan ianya menuntut individu Muslim memahami dan
melaksanakan segala perintahNya.

Beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah SWT, tuhan sekelian alam
dengan sempurnanya akan melahirkan suatu natijah penyempurnaan pembentukan jati
diri insan dari sifat-sifat kerendahan hawa nafsu kepada ketinggian pertimbangan akal
yang waras, dari kesempitan pengalaman kepada keluasan ilmu pengetahuan, dari
pergantungan kepada pihak-pihak yang lemah kepada keyakinan kekuasaan dan
pemujaan terhadap Allah SWT serta meninggalkan kelalaian dunia dan lebih
menumpukan kepada aspek-aspek tunduk dan sujud terhadap syariat Allah SWT yang
lebih menjamin kebahagiaan dan ketenangan di sisiNya. Apabila ditinjau dari sudut yang
lain, pengabdian diri kepada Allah SWT ini adalah proses meningkatkan nilai diri dan
amalan manusia bukan sahaja dari segi hubungan manusia dengan Allah semata-mata,
tetapi juga merangkumi seluruh aspek kehidupan bermula dari sosial, ekonomi, politik
hinggalah ke tahap hubungan antarabangsa.

4.1 Pengertian Ibadah

4.1.1 Bahasa

Menurut kamus bahasa Arab perkataan ibadah adalah berasal dari kata dasar abada
yang bermaksud : pengabdian dari sudut makna dan hakikatnya.

1
Maksud dari sudut bahasa meliputi segala bentuk kepatuhan sama ada
kepatuhan seorang hamba kepada Allah s.w.t, kepatuhan anak kepada kedua ibu
bapanya atau kepatuhan kepada ketua lain-lain (Al Maududi (terj),1995 : 126).

4.1.2 Istilah

Menurut Ibn Taimiyah ibadah ialah : segala usaha manusia untuk mendapatkan
keredhaan Allah SWT samada dalam percakapan atau perbuatan zahir dan batin. Ia
tidak terbatas kepada pelaksanaan rukun iman, rukun Islam, doa, zikir, istighfar, taubat,
taqwa, tawakal dan sebagainya malah ianya meliputi pelaksanaan syariah Islam dalam
segala aspek kehidupan manusia.

4.2 Pembahagian ibadah

Syariah Islam merupakan satu pakej lengkap bagi umat manusia untuk mendekatkan
diri kepada Allah SWT. Dalam melahirkan pengabdian diri kepada Allah SWT, mereka
tidak terikat dengan hanya melakukan amalan-amalan ritual tertentu sahaja. Bahkan
segala amalan yang tidak bertentangan dengan syariat boleh dijadikan sebagai
mekanisma untuk menghubungkan diri mereka dengan Allah SWT. Ini merupakan
menifestasi rahmat Allah SWT dengan meraikan kepelbagaian kemampuan serta
citarasa yang terdapat pada seluruh hambanya.

Para sarjana Islam telah menjelaskan amalan ibadat secara umumnya boleh
dibahagikan dalam dua kategori utama iaitu ibadat umum dan ibadat khusus.

4.2.1 Ibadat Khusus

Ibadah yang telah dinyatakan jenis, rukun dan syaratnya oleh syarak. Aktiviti
menyembah Allah SWT dilaksanakan mengikut cara-cara terperinci yang ditunjukkan
oleh syariat Islam (Che Zuina Ismail, 2006 : 119). Di samping itu manusia tiada hak
untuk meminda atau melaksanakannya mengikut sesuka hati mereka. Antara contoh
ibadat tersebut ialah solat, puasa, haji dan sebagainya (Abdullah Ishak, 1995 : 83-84).

4.2.2 Ibadah umum

Ibadah yang tidak ditetapkan oleh syarak cara-cara melaksanakannya, sebaliknya


terpulang kepada seseorang untuk melaksanakanya. Ibadah ini meliputi seluruh
kehidupan manusia di dunia seperti belajar, bekerja, makan, tolong orang dan
sebagainya. Ibadah ini dikira sebagai ibadah sekiranya menepati syarat-syarat berikut :

1. Melakukan dengan tekun.


2. Amalan itu tidak bercanggah dengan syarak.
3. Dilakukan dengan niat yang baik serta diredhai Allah SWT..
4. Ketika mengerjakannya orang tersebut tidak meninggalkan kewajipan khusus.
(Che Zuina Ismail, 2006 : 120-122).

2
4.3 Asas-asas ibadah.

Setiap mukmin yang melaksanakan ibadah hendaklah terlebih dahulu mempunyai asas-
asas dalam beribadah, yang mana hasilnya mereka akan memperolehi keberkatan dan
kerahmatan seterusnya membentuk kesempurnaan dalam pelaksanaannya. Antara
asas ibadah adalah ilmu, iman, ihsan dan ikhlas :

4.3.1 Ilmu

Ilmu sangat penting dalam ibadat. Kepentingan ilmu pengetahuan amat ditekankan
dalam Islam kerana dengannya manusia dapat melaksanakan ibadah sebagaimana
dituntut dalam syariat. Wahyu pertama yang diturunkan kepada junjungan kita Nabi
Muhammad SAW menjelaskan betapa Islam amat mengutamakan ilmu dan wajib ke
atas setiap Muslim, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim” (Riwayat Baihaqi)

Malah, dalam al-Qur’an juga terdapat banyak ayat yang menggesa agar manusia
menuntut ilmu dan menggambarkan status orang yang berilmu di sisi Allah SWT
Firman-Nya yang berbunyi:

Maksudnya:
“Katakanlah, tiada serupa orang yang berilmu pengetahuan dengan
orang yang tidak berilmu pengetahuan”
(39 : 9)

Rasulullah SAW pula telah meletakkan martabat orang yang berilmu sebagai
pewarisnya, sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Dan sesungguhnya


para nabi tidak mewariskan duit dinar atau dirham (harta) sebaliknya
mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang berjaya memperolehinya maka
dia akan memperolehinya dengan banyak (beruntung)”

Tanpa ilmu, manusia tidak akan tahu bagaimana cara sebenar untuk melakukan
ibadah dan seterusnya menjadikan ibadah yang dilakukan itu hanyalah sekadar ikutan
(taqlid) semata-mata. Sebagai contoh ibadah solat yang telah ditetapkan dalam al-
Qur’an wajib dilaksanakan bagi setiap individu muslim. Namun, tidak pula disebut
bagaimana cara untuk menunaikannya. Maka dengan itu Nabi Muhammad SAW telah
memerintahkan melalui hadis baginda yang bermaksud:

3
“Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang”
(Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW telah menunjukkan bagaimana cara untuk menunaikan solat


dan para sahabat memperolehi ilmu tersebut melalui pemerhatian.

Sumber ilmu secara umumnya terbahagi kepada lima iaitu:

a. Al-Qur’an
b. Al-Sunnah
c. Akal dan pancaindera
d. Alam tabie
e. Ilham yang berlaku secara ilham, intuisi atau mimpi yang berlaku kepada hamba-
hamba pilihan (Che Zuina Ismail, 2006 : 120-123).

4.3.2 Iman

Dalam ilmu tauhid iman bermaksud membenarkan dengan hati dan berikrar dengan
lisan serta beramal dengan ajaran-ajaran Allah SWT yang dibawa oleh Nabi Muhammad
SAW.

Ia bermaksud kesempurnaan iman seseorang adalah bergantung kepada tiga


perkara iaitu pengakuan di dalam hati, pernyataan dengan lidah dan pembuktian dengan
amalan.

Iman dan ibadah mempunyai hubungan yang amat erat kerana ibadah itu lahir
dari keimanan, sedangkan iman itulah melahirkan kepatuhan, ketaatan dan ketundukan
kepada Allah. Apabila ada iman dihati manusia, maka segala amalan dan ibadahnya
pasti tidak akan menyeleweng (Che Zuina Ismail, 2006 : 123-124).

4.3.3 Ihsan sebagai Asas Ibadah

Ihsan bermakna baik, iaitu secara jelasnya ia membawa maksud sesuatu ibadah itu
mestilah dilakukan dengan sebaik-baiknya. Sesuatu ibadah tersebut akan sempurna
apabila seseorang mukmin itu melaksanakan ibadahnya dengan perasaan bahawa
segala gerak gerinya akan diawasi oleh Allah SWT Sebagaimana sabda Rasulullah
SAW di dalam hadisnya yang bermaksud:

“Ihsan itu ialah bahawa engkau abdikan dirimu kepada Allah seolah-olah
engkau melihatnya; jika engkau tidak melihatnya sesungguhnya Dia
melihat engkau”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Contoh yang kita dapat lihat di sini, ketika melakukan ibadah khusus seperti solat
lima waktu sehari semalam hendaklah dilakukan dengan betul, disempurnakan segala
syarat dan rukunnya serta menjaga adab-adabnya. Manakala dalam muamalah atau
ibadah-ibadah umum pula ihsannya yang ditunjukkan seperti berbakti kepada ibu bapa
dengan berbuat baik terhadap mereka, mematuhi segala perintah mereka, tidak
menyakiti hati mereka, mendoakan akan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat

4
serta memenuhi segala hajat mereka ketika mereka masih hidup atau telah meninggal
dunia. Dan janganlah sekali-kali kita sebagai anak, menderhakai mereka dengan
menyakiti hati dan tubuh badan mereka. Allah SWT berfirman :

Maksudnya:
“Dan Tuhanmu Telah memerintahkan supaya kamu jangan
menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu
bapamu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara
keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam
pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan
kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak
mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”
(17 : 23)
(Che Zuina Ismail, 2006 : 124-125).

4.3.4 Ikhlas

Ikhlas bermaksud mengqasadkan kata-kata, amal usaha, jihad dan pengorbanan kerana
ingin memperolehi keredhaan Allah SWT semata-mata tanpa mengharapkan suatu
faedah, nama, pangkat atau sanjungan. Dengan ikhlas, secara tidak langsung manusia
dapat mendekatkan diri dengan Allah yang merupakan sumber hakikat dan kebaikan
yang mutlak.

Islam amat menuntut penganutnya agar mencapai sifat ikhlas kerana keikhlasan
itulah yang menjadi asas bagi setiap ibadah untuk menerima balasan dan ganjaran yang
dijanjikan Allah serta ia merupakan bukti praktikal kepada kesempurnaan iman.

Firman Allah s.w.t :

Maksudnya:
“Katakanlah sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku
dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan

5
mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan
yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh
umatku) adalah orang Islam yang awal pertama ( Yang berserah
diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)”
(6 : 162-163)
(Said Ibrahim, 1997 : 184-185)

Kesimpulannya, untuk menjamin segala ibadah yang dilakukan itu mendapat


keredhaan dari Allah SWT, ianya hendaklah disempurnakan dengan ilmu, iman, ihsan
dan disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT

4.4 Keistimewaan ibadah dalam Islam

Ibadah Islam begitu istimewa dan mempunyai ciri-ciri yang unik. Antara keistimewaan
ibadah ialah:

4.4.1 Bebas dari sebarang perantaraan

Dalam Islam, perhubungan manusia dengan Allah SWT adalah secara terus tanpa
memerlukan perantaraan. Para nabi dan rasul serta ’alim ulama’ bukanlah dijadikan
sebagai orang tengah dalam peribadatan dan mereka juga tidak mempunyai sebarang
kuasa untuk menerima atau menolak sebarang amal ibadah bagi pihak Allah SWT
sepertimana yang berlaku dalam agama lain. Sebagaimana firman Allah SWT:

‫ فطرت الله التي فطر الناس‬. ‫فأقم وجهك للدين حنيفا‬


‫ ذلك الككدين القيككم ولكككن أكككثر‬.‫ ل تبديل لخلق الله‬.‫عليها‬
‫الناس ل يعلمون‬
Maksudnya :
“(Setelah jelas kesesatan syirik itu), maka hadapkanlah dirimu
(engkau dan pengikut-pengikutmu wahai Muhammad ) ke arah
agama yang lurus (jauh dari kesesatan); (turutlah terus) “agama
Allah” (iaitu agama yang Allah menciptakan manusia) dengan
keadaan bersedia dari semulajadinya untuk menerimanya; tidaklah
patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama
yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
(30 : 30)

Perbezaan cara beribadah orang Islam dengan orang bukan Islam telah
digambarkan oleh Allah dalam al Quran yang menyatakan bahawa:

6
Maksudnya:
“Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah
segala ibadah dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa
syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah
untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami
tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka
mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,
sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan
orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang
mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi
hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta
(mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan
melakukan syirik).”
(39 : 3)
(Che Zuina Ismail, 2006 : 120-126).

4.4.2 Tidak terikat dari segi masa dan tempat tertentu.

Ibadah di dalam Islam tidak terikat dari sudut masa dan tempat, dan ianya bukanlah
halangan untuk kita melaksanakannya walau di mana saja kita berada. Ini adalah
kerana hakikat sesuatu ibadah dalam Islam bukan hanya tertumpu kepada ibadah
khusus sahaja (solat, puasa, zakat dan haji), malah ia juga merangkumi ibadah umum
yang nyata melibatkan setiap aktiviti hidup manusia di dunia ini (politik, ekonomi, sosial
dan muamalat). Inilah salah satu keistimewaan ibadah dalam Islam yang tiada
tandingannya dengan ibadah-ibadah bagi agama lain.

Contoh bahawa ibadah ini tidak ditentukan tempatnya, di mana golongan


pendidik yang bergelumang dengan ilmu dan pelajarnya, maka itulah ibadahnya.
Golongan petani dan nelayan juga beribadah dengan bidang pekerjaan masing-masing.
Serta golongan peniaga beribadah dengan perniagaanya, bahkan Rasulullah SAW.
telah menyifatkan golongan ini yang melakukan kerja mereka dengan amanah akan
bersama-sama para nabi di akhirat kelak. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh
Abu Said al-Khudri r.a bahawa Rasulullah SAW. bersabda bermaksud:

“Taraf peniaga yang amanah setara dengan para nabi , siddiqin dan
syuhada” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Begitu juga dengan masa beribadah. Islam tidak pernah menghadkan masa
untuk melakukan ibadah umum ini. Dua puluh empat jam setiap individu yang beragama
Islam bermula dari bangun tidur sehinggalah tidur kembali kesemuanya menjadi ibadah

7
sekiranya mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh agama (Che Zuina Ismail,
2006 : 127).

4.4.3 Tidak membebankan, mudah dan praktikal.

Perintah atau suruhan yang telah ditaklifkan oleh Allah SWT kepada umat nabi
Muhammad SAW. sememangnya mampu dilaksanakan oleh mereka. Sebagai contoh,
solat hanya wajib dilaksana lima kali sehari berbanding dengan lima puluh kali pada
mulanya (sejarah dalam peristiwa Israk dan Mi’raj), puasa hanya sebulan dalam
setahun, kebanyakan zakat pula ditunaikan hanya 2.5% sahaja dari seluruh harta dan
satu kali dalam setahun, manakala haji pula khusus bagi yang mampu dan diwajibkan
sekali sahaja seumur hidup.

Firman Allah SWT:

Maksudnya:
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya
olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia
juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya...” (2 : 286)

FirmanNya lagi:

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang


melainkan (balasan) apa yang diusahakannya” (53 : 39)

Dalam syariat Islam, terdapat suatu konsep yang dikenali sebagai rukhsah iaitu
diberi keringanan kepada umat Islam daripada melakukan ibadah dalam keadaan
tertentu seperti sakit, jahil, musafir, perempuan haid dan nifas dan sebagainya. Sebagai
contoh, antara syarat sah solat ialah berwudhu’. Tetapi, sekiranya tiada air atau salah
satu anggota tidak boleh terkena air, maka Islam membenarkan ianya digantikan

8
dengan tayammum. Antara lain juga, sekiranya tidak mampu mendirikan solat secara
berdiri, maka ia boleh dikerjakan secara duduk dan seterusnya secara berbaring. Solat
ini boleh dikerjakan di mana sahaja asalkan tempat itu bersih daripada najis atau
kekotoran. Sabda Rasulullah SAW.yang bermaksud :

“Seluruh muka bumi ini adalah dijadikan masjid kecuali kawasan


perkuburan dan bilik air”
(Riwayat Abu Daud)
(Mustafa Bugho et. al (terj), 2004 : 18-20)

4.5 Impak ibadah dalam kehidupan muslim

Amal ibadah yang dilaksanakan dengan cara yang terbaik dan tepat, akan memberi
kesan yang baik lagi berfaedah kepada individu dan masyarakat.

4.5.1 Impak ibadat-ibadat khusus

Ibadah Solat.

Impak dan peranan solat :

1. Solat dapat mencegah seseorang dari melakukan kekejian dan kemungkaran.


Firman Allah s.w.t yang bermaksud :" Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat
mencegah perbuatan keji dan mungkar..."
2. Solat dapat membersihkan manusia sama ada zahir dan batin. Dari segi zahir,
sebelum mendirikan solat diwajibkan berwudhuk untuk menyempurnakan solatnya
disamping pakaian, badan dan tempat solat yang bersih dan suci. Manakala batin,
solat yang dilakukan dengan mengikut syarat dan rukunnya serta khusyuk akan
membersihkan dosa-dosa yang dilakukan selagi tidak dilakukan dosa besar.
3. Solat dapat melatih diri menghargai masa dan mendisiplinkan waktu dalam setiap
hal.
4. Solat berjemaah pula melatih umat supaya taat kepada pemimpin manakala
pemimpin (imam) pula wajib mengambil berat terhadap rakyatnya(makmum).
5. Solat berjemaat dapat membentuk perpaduan, kasih sayang dan ukhwah sekaligus
berperanan membersihkan rasa dengki, iri hati dan permusuhan di kalangan
anggota masyarakat (Haron Din, 1988 : 111).

4.5.1.2 Ibadah Puasa

Impak dan peranan puasa :

1. Puasa dapat menundukkan hawa nafsu jahat iaitu dengan mengurangkan dalam
melakukan perkara-perkara yang mendorong ke arah itu. Perkara-perkara tersebut
ialah makan, minum, bergelumang dengan nafsu syahwat dan lain-lain.
2. Puasa dapat melahirkan manusia yang berakhlak mulia kerana melalui puasa dapat
mengamalkan akhlak seperti sabar, ikhlas, menepati masa, memelihara diri dari
perbuatan keji dan menjaga perkataan dari ungakapan tercela dan sebagainya.

9
3. Puasa dapat membentuk manusia muslim dan mukmin yang bertaqwa kepada Allah
untuk melakukan amalan yang mulia dan meninggalkan amalan yang keji.
4. Puasa dapat menyedarkan orang kaya tentang tanggungjawab sosialnya terhadap
orang miskin kerana dengan berpuasa, beliau akan menyelami perasaan serta
penderitaan yang dilalui oleh golongan tersebut.
5. Puasa dapat meningkatkan kesihatan seseorang (Al Falahi, 2002 : 46-51).

4.5.1.3 Ibadah zakat

Impak dan peranan zakat :

1. Zakat dapat membersihkan jiwa dari mencintai harta benda secara tamak dan
rakus.
2. Zakat dapat memberi jaminan sosial terhadap masyarakat kerana di dalam
pungutan dan pengagihan semula zakat. Zakat dapat menyusun semula
masyarakat yang tidak seimbang menerusi kegiatan perekonomian yang sistematik.
3. Zakat dapat menumbuhkan rasa syukur, taqarrub dan rendah diri dalam diri
seseorang terhadap tuhannya. Syariat zakat akan mengingatkan seseorang
bahawa harta yang dimilikinya datang dari Allah SWT dan ia hendaklah digunakan
untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
4. Zakat dapat memberi keadilan sosial yang meluas, dapat memperkukuhkan
kedudukan politik dan menambah kewangan negara. Contohnya dapat
mengadakan pelbagai pembangunan seperti mendirikan masjid, industri, hospital,
sekolah , universiti dan lain-lain.
5. Zakat dapat mengembangkan pengeluaran ekonomi negara. Adalah menjadi tujuan
zakat supaya harta dapat berkembang demi untuk meninhkatkan ekonomi umat
Islam (Al Falahi, 2002 : 41-46).

4.5.1.4 Ibadah haji

Impak dan peranan haji:

1. Ibadah haji dapat memperteguhkan keimanan dan menumbuhkan jiwa tauhid yang
tinggi terhadap Allah terutamnya melalui ucapan talbiah.
2. Merupakan perhimpunan agong umat islam dan dapat mewujudkan perpaduan,
persamaan dan persaudaraan umat berdasarkan kesatuan aqidah. Oleh itu ibadah
haji dapat menyelesaikan masalah perkauman di kalangan umat islam.
3. Dapat membentuk sikap, pemikiran dan akhlak serta disiplin yang mulia.
4. Dapat menjadikan seseorang muslim mengambil ikhtibar dari sejarah iaitu sejarah
pengorbanan dalam perlakuan Nabi Ibarahim a.s dan puteranya Ismail a.s Ibadah
ini juga dapat membawa manusia menyaksikan sejarah perjuangan ISlam
menentang musuh-musuh Islam seperti peristiwa melontar jamrah (Al Maududi
(terj), 1995 : 138-145).

4.5.2 Impak ibadat terhadap individu dan masyarakat.

4.5.2.1 Impak ibadat terhadap individu.

10
1. Menjadikan seseorang itu taatkan perintah Allah SWT dalam semua keadaan sama
ada terang-terangan mahu pun bersembunyi.
2. Membersihkan diri seseorang itu daripada sifat-sifat tercela dan dosa. Dosa di sini
adalah dosa-dosa kecil kerana dosa besar mestilah dibersihkan dengan cara
bertaubat nasuha kepada Allah SWT
3. Mendekatkan diri seseorang itu kepada Allah s.w.t, kerana Allah SWT sukakan
orang beribadat.
4. Menjadikan seseorang itu bersikap al-raja' (penuh pengharapan) kepada Allah SWT
dan di waktu yang sama ia khauf (penuh ketakutan) terhadap azab Allah SWT
5. Kelima : Melahirkan individu yang berdisiplin, menepati waktu, bersabar, bermaruah
dan sebagainya.

4.5.2.2 Impak ibadat terhadap masyarakat

1. Mewujudkan suasana harmoni, tenang, bekerjasama dan sekata.


Permusuhan dan pertengkaran sesama sendiri dapat dielakkan. Kerja yang berat
dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah.
2. Wujudnya suasana berkasih sayang dan cinta mencintai antara satu
sama lain. Orang tua mengasihi yang muda dan yang muda menghormati yang tua.
3. Penurunan kadar jenayah dan segala perbuatan salah laku. Orang yang
menyibukkan diri mereka dengan melaksanakan ibadah menyebabkan mereka tidak
berpeluang untuk menyibukkan diri mereka dengan perkara yang salah.
4. Tidak akan mudah ditipu dan dikalahkan oleh musuh kerana Allah SWT
akan membantu. Sebaliknya jikalau umat Islam lemah beribadah dan ditambah lagi
berterusan melakukan maksiat, Allah SWT tidak akan membantu mereka dan
mereka hanya menunggu saat-saat kehancuran.
5. Diturunkan rezeki secara melimpah ruah, sama ada dari langit atau dari
bumi. Sehingga manusia tidak terfikir atau terlintas di hati bagaimana ia beroleh
rezeki yang sedemikian itu.

4.6 Kesimpulan

Islam merupakan suatu agama yang menghubungkaitkan antara pengabdian diri kepada
Allah SWT di dalam segala usaha dan pergerakkan manusia dengan kesan positif dan
kecemerlangan terhadap kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Ini adalah selari
dengan perlantikan manusia sebagai khalifah di muka bumi yang memegang amanah
mentadbir bumi serta memimpin manusia ke jalan yang diredhaiNya. Oleh yang
demikian, setiap individu perlulah membuat persediaan di dalam menjalankan amanah
yang pertanggungjawabkan seperti tanggungjawabnya terhadap Allah SWT, diri sendiri,
keluarga, masyarakat, negara dan alam sekitar. Justeru, di dalam menjalankan
tanggungjawab tersebut, manusia tidak dapat lari dari menghadapi pelbagai ujian dalam
melaksanakan suruhan dan menjauhi larangan, juga kesenangan dan kesusahan.
Sesungguhnya manusia yang berjaya di dunia dan akhirat adalah mereka yang dapat
melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dengan sempurna di samping dapat
menghadapi ujian-ujian dari Allah SWT Inilah matlamat yang perlu dicapai oleh
seseorang manusia yang disebut sebagai ‘insan kamil’. Apabila manusia memberi
tumpuan kepada usaha untuk matlamat hari akhirat seperti yang dijanjikan Allah SWT,
maka semua kesan kebaikan, keselamatan, dan kebahagiaan manusia akan diperolehi

11
di kedua-dua penghidupan samada duniwi atau ukhrawi. Inilah kesan agung Islam
sebagai al-Din ke atas manusia.

RUJUKAN

Al Quran al Karim.

Abdullah Ishak (1995), Panduan Iman dan Ibadah Harian, Bangi : XZ Technoprint.

Al Maududi, Abu al A’la (terj) (1995), Asas-asas Islam, c 4, Kuala Lumpur : Dewan
Pustaka Fajar.

Che Zuina Ismail (2006), Pengantar Asas-asas Islam, Shah Alam : UiTM.

Fathi Yakan (terj) (1993), Apa Erti Saya Menganut Islam, c 2, Kuala Lumpur : Dewan
Pustaka Fajar.

Haron Din (1988), Manusia dan Islam, c 3, Kuala Lumpur : Percetakan Watan.

Al Falahi, Mukhlas asy Syarkani (2002), Keajaiban Ibadat, Kuala Lumpur : Al Hidayah
Publishers.

Mustafa Bugho et. al (terj) (2004), Manhaj Fiqh Syafie, Kuala Lumpur : Darul Fajr.

Said Ibrahim (1997), Minhaj ‘Ilm Fiqh, Kuala Lumpur : Dar al Makrifah.

12