Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira
bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau,
udara dan air seperti sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti pembuangan
sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai lagi. Alam sekitar
seharusnya dijaga kerana alam sekitar bukan hanya digunakan pada masa sekarang tetapi akan
digunakan sehingga beratus-ratus tahun lagi. Oleh itu, untuk mengembalikan kesegaran alam
sekitar, beberapa langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.
Antara langkah yang boleh diambil adalah melalui pendedahan media massa. Media
massa ini termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan akhbar. Pada hari ini,
media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna.
Media massa perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar,
terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen.
Selain itu, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar. Antara
kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula,
sahabat alam dan sebagainya. Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang
pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar seperti menguruskan sisa
pembuangan supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar.
Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan pengguna agar menggunakan semula
bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan
dapat mengurangkan pencemaran. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti
penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh
dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat
mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya
hidupan hijau di bumi ini.
Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah dalam
pelajaran alam dan manusia. Pada peringkat menengah khususnya dalam pelajaran sains seperti
Biologi dan di peringkat pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi
Persekitaran. Guru-guru sekolah haruslah bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat
cintakan alam sekitar. Hal ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan cinta alam
sekitar kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di sekolah.
Dapatlah disimpulkan di sini, untuk menjayakan kempen kesedaran menjaga alam
sekitar, kita amat memerlukan kerjasama dari semua pihak. Perkara ini amat penting agar alam
sekitar ciptaan tuhan ini dapat dijaga demi kelangsungan untuk generasi akan datang. Bagi tujuan
itu, kita haruslah bekerjasama dan menyokong segala usaha sepertimana yang telah
dibincangkan.