Anda di halaman 1dari 7

Isteri Harus Buat 17 Perkara Ini Untuk Menambat Hati Suami

Tahun-tahun pertama perkahwinan adalah tempoh paling bahagia bagi pasangan suami isteri. Namun,
dengan selarinya peredaran waktu, kasih sayang yang dirasakan selama ini dirasakan semakin memudar.

Ada isteri yang merasakan suaminya sudah tidak menyayanginya lagi. Tidak, jangan melulu menyalahkan
suami. Mungkin juga anda penyebabnya. Mari kita semak kembali apa yang kebanyakan suami sukakan
dan mahukan daripada isterinya.

Berikut adalah 17 perkara yang isteri perlu beri perhatian dalam menambat hati suami:

1. Mengambil berat tentang penampilan suami

Ada suami gemar diberi perhatian akan hal-hal remeh yang berkaitan dengan dirinya. Dia akan senang
jika isterinya mencadangkan baju apa hendak dipakai, mengenakan kancing bajunya, mengemaskan tali
lehernya, mengelap kasutnya, memotong kukunya dan sebagainya.

Walaupun suami anda bukan jenis yang begini, tiada salahnya anda mencuba dan lihat kesukaannya. Dari
situ anda akan mengetahui apakah suami anda jenis suka dimanja atau suka berdikari.

Kita tidak tahu bagaimana ibu melayaninya dahulu. Anda kena lebih baik daripada layanan yang diterima
daripada ibunya. Berasa banggalah melihat suami anda kacak setiap hari.

Jangan berfikiran negatif, bimbang suami ditackle orang, sebab sekiranya anda ikhlas, keikhlasan itu akan
dibalas dengan kejujuran yang lahir dari lubuk hatinya, bukan berpura-pura.

Lagipun anda mendapat pahala berbuat begitu. Ini bukan hendak menjadikan anda hamba. Sesetengah
isteri memang merasakan begitu. Padahal perkara ini ada disebut dalam hadis,

“Ya Fatimah, barangsiapa wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya serta memotong kumisnya
dan mengerat kukunya, Allah akan memberinya minum air dari sungai-sungai di Syurga, diringankan
baginya sakaratul maut, akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman Syurga, Allah mencatatkan
baginya bebas dari api Neraka, dan selamat dari Titian Sirat.”

2. Menambat hati suami dengan bersegera pergi jika dipanggil

Pernahkah anda ‘dipanggil’ suami ketika sedang memasak atau melakukan pekerjaan lain? Anda wajib
memenuhi ‘panggilannya’ itu. Tinggalkan semua pekerjaan dan tunaikan ‘permintaannya’.

Tapi jangan tengah goreng ikan, anda pergi berlari tunggang-langgang kepadanya untuk ‘tugas’ baru.
Minta dia tunggu sebentar. Kemaskan diri dan pergilah kepadanya.

3. Menambat hati suami dengan sentiasa berhias untuk suami

Kebanyakan lelaki cukup cerewet dengan kebersihan. Mereka akan bosan apabila isteri menyambutnya
dengan rupa dan rambut yang kusut masai, anak-anak yang comot dan rumah yang ‘bak kapal pecah’.

Sesibuk mana pun anda, persiapkan diri sebaiknya tatkala menyambut kepulangan suami. Hadiahkan dia
senyuman. Kalau dia bermasam pun tak mengapa, anda sudah mendapat pahala sedekah dengan
memberikannya senyuman. Rugi ke senyum?

4. Layan suami seperti raja bukan boss

Sesetengah suami suka dilayani seperti raja. Dia suka jika isterinya membantu mengelap peluhnya,
menyediakan keperluannya untuk mandi dan berdiri ketika ia hendak pergi atau kembali.

Ungkapan-ungkapan seperti, ‘Bang, nak makan dulu atau nak mandi dulu atau nak tidur dulu?’ cukup
untuk membuat suami tersenyum dan mengurangi penatnya.
5. Ucapkan terima kasih untuk setiap pemberian suami

Lelaki kadang-kadang suka dipuji. Jangan lupa hargai setiap barang pemberiannya meskipun tidak
seberapa nilainya. Sekadar ucapan terima kasih dari seorang isteri ketika menerima pemberian, sangat
bermakna dan membekas di hati suami.

Kalau rasa tak suka dengan pemberian itu, ucapkan dulu terima kasih, baru beritahu. Misalnya, “Terima
kasih bang, belikan Nor kain, cantiknya, Nor suka. Tapi kalau lain kali abang nak beli Nor nak warna
kelabu pulak”

Suami tak akan tersinggung, malah faham bahawa dia masih belum mengerti kegemaran isteri dan akan
cuba memperbaikinya.

6. Jangan berleter!

Suami akan bosan jika isterinya ‘cerewet’ dan selalu bertanya, hendak ke mana, acara apa, bila balik,
kenapa lambat balik, jumpa siapa tadi dan sebagainya. Banyak tanya tu lebih kurang macam berleter
juga. Mana ada suami yang suka isterinya berleter.

7. Menambat hati suami dengan menemaninya makan

Jika anda menghidangkan makanan untuk suami tetapi tidak menemaninya makan, sama halnya seperti
memberi makan kucing. Ini pun ada disebut dalam hadis. Sebaik-baiknya temanilah dia meskipun
sekadar satu suapan, tak pun duduk sambil minum-minum sementara menanti dia selesai.

Thabit al-Banni berkata,

Terdapat seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya, yang sangat baik pekertinya
terhadap suaminya. Apabila dia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dipegang pelita sampai
suaminya selesai makan. Pada satu malam, pelitanya kehabisan sumbu, lalu diambil rambutnya untuk
dijadikan sumbu.

Esok harinya, matanya yang buta kembali melihat. Allah memuliakannya kerana rasa hormatnya kepada
suami.” Inilah cara paling ampuh untuk menambat hati suami, bermula dari dapur.

8. Tingkatkan ilmu pengetahuan

Suami senang dengan kefasihan isterinya dalam berkata-kata, bijak dalam bertindak dan menjadi partner
yang baik dalam berdiskusi. Tingkatkan kualiti intelektual anda dengan banyak membaca buku dan gali
pelbagai informasi.

Hal ini jadi lebih penting jika anda suri rumah sepenuh masa. Sesetengah suami memang memandang
rendah sedikit isteri yang berstatus begini. Jadi anda kena tingkatkan pengetahuan dengan mengambil
tahu mana-mana yang patut.

9. Jangan terlalu kuat membangkang

Jangan kuat membangkang pendapat suami. Kebanyakan suami tak suka pendapatnya dibangkang.
Walaupun agak salah, sebaik-baiknya terima dahulu. Kalau nak membangkang pun tengok nada suara dia
dan perhati nada suara anda.

Ingat, anda ibarat perdana menteri dan dia raja. Mana ada raja yang boleh terima kalau asyik dibangkang
oleh perdana menteri. Isteri yang kuat membangkang memang sengaja mencari kebencian suami.

Anda tinggal sebumbung dengannya. Sudah tentu anda perlu sependapat dengannya dalam semua isu.
Kalau tak sependapat pun, simpan sendiri dan keluarkan balik sedikit-sedikit mengikut kesesuaian masa
dan tempat. Pendek kata, seboleh mungkin, sentiasa tunjukkan anda sependapat dengannya.

10. Jadilah bidadari yang menenangkan fikiran


Suami mahu isterinya sebagai penenang fikiran. Jadi, berperananlah sebagai bidadari, bukan duri yang
asyik menyucuk perasaan suami sehingga rumahku menjadi nerakaku. Kalau isteri sudah tidak bersifat
penenang, suami akan mencari pengganti.

11. Sambut kepulangan suami dengan ketenangan

Kalau anda ingin suami berlama-lama dirumah, jangan sambut kepulangannya dengan pelbagai masalah
anak-anak dan urusan dapur yang remeh-temeh. Mulailah pembicaraan yang menyenangkan, kerana
suami perlukan freshener setelah seharian dengan masalah di tempat kerja.

12. Sediakan tempat tidur yang eksklusif

Tempat tidur bukan sekadar menyimpan rahsia-rahsia suami isteri, melainkan juga tempat ternyaman
mereka untuk saling mencurah perasaan dan saling membuktikannya dengan perilaku.

Jadikan ia kamar yang eksklusif dan peribadi. Kebanyakan suami tidak suka tempat tidurnya dimasuki
orang tanpa izinnya. Kreatif sedikit dalam menghias bilik tidur ini. Berikan warna-warna yang digemari
oleh suami. Susun kembali bunga supaya tidak jemu memandang. Untuk lebih romantik letakkan
gambar-gambar perkahwinan disini.

13. Elakkan gangguan

Pantang bagi kebanyakkan suami jika tidurnya terganggu. Jauhkan anak-anak darinya ketika dia sedang
tidur. Tunggu dia terjaga dahulu sebelum memblander atau menumbuk sambal. Kecilkan suara tv.

14. Isteri yang manja tapi bukan mengada-ngada

Suami suka isteri yang pandai bermanja-manja tapi jangan sampai mengada-ngada. Disitulah cantiknya
perhubungan suami dan isteri.

Isteri yang pandai bermanja-manja bukan sahaja mendapat semua yang dikehendakinya, malah
menyenangkan suami dan membuatkan suami teringat-ingat. Kalau dah suami teringat-ingat, takkanlah
dia nak cari lain.

15. Jangan kuat merajuk

Jangan kuat merajuk dan tarik muka masam terutama tatkala suami sedang berserabut dengan masalah.
Merajuk tak bertempat ini hampir sama dengan mengada-ngada.

Anda kena ingat, merajuk jawapanya adalah pujuk. Jika suami sedang serabut dengan masalah, bolehkah
dia memujuk?

16. Beri pendapat bila ditanya sahaja

Dan jangan pula banyak tanya, biarkan suami isteri meminta anda memberi pandangan. Sebab
pandangan anda yang tidak tepat dan bertentangan dengan pendapatnya akan membuahkan perasaan
geram. Setakat geram tidak mengapa, kalau dia marah sudah tentu dia tidak akan meminta pandangan
anda lagi pada masa akan datang.

17. Jangan memperkecilkan kemampuan suami

Selalu merangsang prestasinya. Kalaupun dia lemah dan ada masalah jangan perkecil-kecilkan
kemampuannya itu. Dorong dia dengan kata-kata motivasi dan letakkan dihatinya bahawa anda sentiasa
percaya suatu hari nanti masalah itu dapat diatasi.

Usahakan rawatannya tanpa berputus asa.


Kesimpulan

Kebahagian rumah tangga adalah bergantung kepada kedua-dua belah pihak, baik dari pihak si isteri
mahupun suami. Semuanya memainkan peranan yang penting.

Yang penting kedua-dua belah pihak berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pasangan masing
dan berusaha mengekalkan keharmonian serta kehangatan dalam rumah tangga.

Mungkin saranan-saranan diatas dirasakan tidak sesuai dan sukar dilaksanakan oleh anda. Mungkin juga
anda merasakan tidak adil kerana mengapa wanita sahaja yang harus membuat semua ini? Mungkin ada
terdapat satu dua point diatas anda tidak bersetuju kerana anda juga penat bekerja seperti suami.

Anda mungkin juga menyukai