Anda di halaman 1dari 3

REZEKI SECUPAK TIDAK JADI SEGANTANG

Pada hari ini, ada sebuah cerita,

Untuk kita semua sebagai halwa telinga,

Rezeki yang secupak tidak jadi segantang,

Itulah cerita yang ingin saya sampaikan.

Terima kasih kepada pengerusi majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana,
penjaga masa yang peka pada jarumnya serta hadirin dan hadirat sekalian.

Rezeki secupak tidak jadi segantang, itulah tajuk cerita saya pada hari ini.

Dalam sebuah kampung, ada seorang pemuda bernama Teruna. Teruna tinggal
bersama ibunya yang sudah tua di sebuah pondok buruk. Mereka amat miskin.

Setiap hari, Teruna akan ke hutan untuk mencari kayu api. Kayu api tersebut
dijualnya di pekan. Teruna anak yang baik. Ibunya sangat sayang kepadanya.

Tiap-tiap hari, kayu api yang dikumpul oleh Teruna habis dijual. Namun, apabila
hari hujan dia tidak dapat pergi mencari kayu api. Dia terpaksa duduk di rumah. Kini,
sudah seminggu hujan turun tanpa henti-henti. Teruna mulai gelisah. Duit simpanan
ibunya sudah habis digunakan.

Esoknya, pagi-pagi lagi Teruna sudah bangun. Dia melihat ke luar, wajahnya
muram apabila melihat tanah masih basah. Nampaknya dia masih tidak dapat mencari
kayu api.

Teruna terus ke dapur mencari ibunya tiada di dapur. Tiba-tiba dia ternampak
ibunya yang sedang menghala ke rumah dengan wajah yang muram. Teruna bertanya
kepada ibunya ke manakah ibunya pergi awal begini dan mengapakah air muka ibunya
nampak suram.

Ibunya memberitahu bahawa dia telah pergi ke rumah Orang Kaya Dollah untuk
meminjam secupak beras tetapi Orang Kaya Dollah tidak mahu meminjamkan mereka
beras kerana mereka orang miskin.
Pada hari itu, Teruna dan ibunya terpaksa berlapar. Namun, Teruna tidak patah
semangat dan berjanji kepada ibunya bahawa suatu hari nanti mereka akan menjadi
orang kaya.

Keesokan harinya, awal-awal lagi Teruna sudah pergi ke hutan untuk mencari
kayu api. Nasib baiklah malam tadi tidak hujan. Setelah mengumpul dan memberkas
kayu api tersebut, dia pun bersiap untuk pulang.

Dalam perjalanan pulang, Teruna terserempak dengan seorang lelaki tua.


Dengan sopan Teruna bertanya kepada orang tua itu dia hendak ke mana? Orang tua
itu berkata dia hendak ke hutan mencari kayu api tetapi dia tidak larat.

Lelaki tua itu meminta sedikit kayu api daripada Teruna. Teruna terdiam
seketika. Namun dengan senang hati Teruna bersetuju memberikan sebanyak-banyak
kayu api yang orang tua itu mahu. Orang tua itu mengucapkan terima kasih atas
kebaikan Teruna dan memberikan seekor anak angsa sebagai bayaran kerana dia tidak
mempunyai wang.

Sejak memelihara anak angsa tersebut rezekinya semakin murah. Setiap kali ke
hutan, dia mendapat banyak kayu api.

Pagi itu, seperti hari-hari sebelumnya, sebelum ke hutan Teruna memberi


angsanya makan, namun pada pagi itu ada sesuatu yang membuatkan dia terkejut.
Angsanya sudah bertelur tetapi telurnya bukan telur biasa. Telurnya, telur emas.

Teruna tergesa-gesa mendapatkan ibunya dan menunjukkan telur emas itu


kepada ibunya. Teruna segera teringatkan pesanan lelaki tua itu dan benarlah apa yang
dikatakan oleh orang tua itu.

Ibu teruna mengarahkan Teruna membawa telur emas itu ke rumah saudagar
dan menjualnya. Setelah menerima wangnya, Teruna segera pulang ke rumah. Dia
menjerit memanggil ibunya dan menunjukkan wang yang banyak. Mak Tanjung sungguh
gembira.

Keesokan harinya, angsa itu bertelur emas lagi. Genap seminggu, angsa itu
tidak lagi mengeluarkan telur emas tetapi telur biasa. Sejak angsanya bertelur emas,
Teruna dan ibunya tidak lagi tinggal di rumah buruk. Mereka telah membina sebuah
rumah yang besar dan selesa.
Esoknya, pagi-pagi lagi Teruna dan ibunya mendengar bising-bising di halaman
rumah. Mereka segera membuka pintu. Alangkah terkejutnya mereka melihat Orang
Kaya Dollah tercegat di halaman rumah dengan muka yang bengis. Dia memegang
seekor angsa yang berlumuran darah.

Orang Kaya Dollah marah dan menuduh Teruna penipu. Teruna dan ibunya
tercengang-cengang. Orang kampung mulai berkerumun di situ.

Orang Kaya Dollah marah kerana angsa yang dicurinya daripada Teruna tidak
bertelur emas tetap hanya telur biasa. Teruna dengan sinis berkata kepada Orang Kaya
Dollah, kesenangan yang mereka miliki hari ini adalah kerana mereka rajin berusaha
tanpa putus asa. Rezeki yang secupak tidak akan jadi segantang.

Selepas mendengar kata-kata Teruna, Orang Kaya Dollah berasa malu. Dia
terus meninggalkan tempat itu. Teruna menanam bangkai angsanya. Dia berasa sedih
kerana angsa kesayangannya itu telah menjadi mangsa orang yang dengki kepadanya.

Tamatlah cerita penuh berbahasa,

Untuk tatapan kita semua,

Rajin berusaha tidak berputus asa

Itulah pengajaran yang paling bermakna.

Dengki-mendengki perbuatan yang sia-sia,

Pengajaran yang penting buat semua,

Amalkan baik hati sesama manusia,

Pengajaran terakhir buat semua.

Anda mungkin juga menyukai