Anda di halaman 1dari 6

Karangan Contoh 10 - Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia.

Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara berbilang bangsa


yang bersatu padu.  Kemukakan pendapat anda tentang kepentingan
perpaduan kaum di negara kita.

          Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah


melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris,
Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu
diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah
dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting
untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada
Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau
Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’
Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang
gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di
Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh
Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti
tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan
agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh,
bercerai roboh.

          Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan


ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu,
perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang
mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan
warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah
bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan
agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan
seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata
peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan
dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil
lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun
Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu,
mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-
menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat
berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan
masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.

          Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong


asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang
hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk
mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan
lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut
tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan
hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan
berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan
Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra
yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri
pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak
berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan
bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain
walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah,
para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu
sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan
bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan
sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai
pelancong asing ke negara kita.
          Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan
majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan
penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam
dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969
yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah
berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk
di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap
seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk
mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat
menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang
bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar
dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini
sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada
menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini
dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh,
kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang
tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep
perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini
seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah
bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan
keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga
haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.
          Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan
yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan
rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha
berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh
dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari
segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia
yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Secara tidak
langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu
padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui
penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan
bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar
dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang
sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam
menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu
dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

          Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu


pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk
semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan
dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata
pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran
dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat
mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-
menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku
yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah
rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan
lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik
negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan
pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan
merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara
yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah
perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah,
sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan
perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan
memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar
negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.

          Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej


negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang
permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua
rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi,
bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak
daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah
kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk
sama rendahdengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan
Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan
drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua
rakyat Malaysia masa kini bersikapmembutakan mata dan memekakkan
telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk
membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah
pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun
jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika
seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan
menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk
menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej
negara terkenal di seluruh dunia.

          Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke


lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih
awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan
memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam
mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang
lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan
kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak
dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana
semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan
payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan
cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa
Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat sepatutnya
mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara
satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang
lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat
perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut
gamitan negara impian.

Anda mungkin juga menyukai