Anda di halaman 1dari 2

Perpaduan Formula Kekalkan Keharmonian

Perpaduan sudah lama terjalin dalam kehidupan seharian kita sebagai rakyat Malaysia, lebih-lebih
lagi selepas Sabah dan Sarawak bersatu dengan Tanah Melayu. Nilai kesepaduan bercambah
walaupun banyak perbezaan ketara antara rakyat dalam segenap lapisan meliputi aspek
kebudayaan, bahasa ibunda, kepercayaan dan sebagainya.

Kehidupan ketika ini semakin mencabar dengan pelbagai konflik dalaman dan luaran dan ia mampu
menyebabkan seseorang individu alpa dan tidak menyelami semangat kesepaduan yang sudah lama
kita junjung.

Perpaduan atau dengan kata lain sepakat boleh dicapai secara langsung atau tidak langsung. Sikap
saling hormat menghormati adalah formula yang paling berkesan supaya kita dapat meneruskan
hari-hari dipenuhi dengan suasana harmoni.

Melihat kepada landskap pembentukan negara Malaysia, kita terdiri daripada masyarakat berbilang
kaum. Inilah lakaran kepada apa yang kita ada hari ni – orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan,
Dayak, dan kaum-kaum lain.

Kita dapat lihat apabila kita bersama untuk satu tujuan serupa, kesepaduan terjalin dengan
sendirinya tidak kira menerusi pendidikan, atau apa saja yang mahu dicapai secara sebulat suara
akan dapat dilaksanakan.

Mengambil contoh saya sendiri yang berasal dari Sarawak, dan menuntut ilmu di Sekolah
Kebangsaan Jenis Cina yang mana masyarakat Melayu serta kaum lain-lain adalah minoriti di institusi
berkenaan. Kami belajar dalam keadaan yang amat selesa dan tiada diskriminasi berlaku sepanjang
tempoh belajar sehingga kini. Hubungan yang dibina terjalin mesra sehinggakan pada waktu bukan
perayaan, kami meluangkan waktu bersama-sama di rumah masing-masing. Hari sukan adalah waktu
yang paling kami nanti-nantikan kerana di situ kami dapat meluangkan masa sebaik-baiknya kerana
waktu tidak terhad kepada dalam kelas sahaja.

Selain itu, waktu perhimpunan juga bukanlah sesi yang mahu dielakkan kerana kami pelajar dapat
bergaul dengan baik dan di situlah antara detik perkenalan dengan lebih ramai kawan-kawan
berlainan bangsa.

Jika ia dapat diaplikasikan kepada kelompok yang lebih dewasa dalam situasi pekerjaan dan di
kawasan kejiranan hari ini, sudah pasti semangat kesepaduan akan mudah dirasai. Tidak dinafikan,
kita sibuk dengan rutin harian termasuk pekerjaan dan aktiviti sosial yang bersangkut paut dengan
tugas hakiki sama ada sebagai penjawat awam, swasta mahu pun perniagaan sendiri.

Ramai berfikiran bahawa waktu berkualiti bersama keluarga adalah saat-saat yang paling penting
dan tidak melihat detik bersama jiran tetangga juga adalah perkara mustahak. Bukan saja dari segi
menjaga kebajikan dan keselamatan kawasan kejiranan tetapi aktiviti bersosial bersama mereka juga
amat penting. Jika berlaku salah faham, ia tidak perlu dijadikan sebagai penghalang untuk terus
menjalin silaturahim.

Dari segi demografi, ramai rakyat dari pelbagai negeri berhijrah atas tujuan pendidikan dan
pekerjaan. Kita dapat melihat penerimaan masyarakat setempat amatlah terbuka dan tiada halangan
bagi kita untuk bersama-sama mereka dalam menjalani apa-apa bentuk aktiviti dan keramaian
sekalipun.

Dari situ terbentuklah perkahwinan antara dua benua atau berlainan negeri. Jika diimbas semula,
ada keluarga bermasyarakat Cina yang melangsungkan perkahwinan menerusi adat Melayu.
Pasangan pengantin Tionghua mencetuskan kejutan manis di kalangan penduduk Kampung Alor
Rambai, Kepala Batas apabila mereka memilih konsep perkahwinan Melayu bagi meraikan saat-saat
bahagia mereka. Ini membuktikan bahawa kita mempunyai persefahaman yang unik.

Perkahwinan antara individu dari Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak juga adalah
antara pengikat nilai kesepaduan yang tinggi kerana pembinaan hubungan kekeluargaan dapat
membentuk perasaan saling sayang- menyayangi dan bersepakat.

Sikap toleransi yang tinggi dapat membawa kepada persefahaman yang mendalam dan sudah pasti
akan dapat mengelakkan tohmahan serta tuduhan yang berbaur perkauman.

Apa yang kita dapat lihat hari ini adalah sikap toleransi yang semakin terhakis apabila ramai
pengguna media sosial melampiaskan kemarahan atau perasaan tidak puas hati dengan menjadikan
perbezaan agama, kepercayaan dan latar belakang negeri sebagai senjata. Ingatlah bahawa lidah
lebih tajam daripada segala medium yang lain. Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata
binasalah kesepaduan kita.

Sebagai contoh, kes kontroversi pengguna media sosial seperti Alvin Tan dan yang seangkatan
dengannya harus ditolak ke tepi. Apa yang disajikan melalui laman mereka bukanlah teladan yang
baik dan tidak patut dijadikan api dan menyalakan bara dendam dalam kalangan masyarakat kita.

Jika perkara sebegini tidak dibendung, apakah yang akan terjadi kepada kita? Mahukah kita
berperang sesama sendiri atau perlukah kerajaan mewujudkan dasar berat sebelah seperti ‘Dasar
Aparteid’ yang pernah dilaksanakan di Afrika Selatan? Tepuk dada dan tanya minda kita masing-
masing, di manakah letaknya kita dan apa bentuk imej yang mahu kita tonjolkan kepada masyarakat
dunia.

Tiba masanya untuk kita sisihkan perbezaan yang ada, untuk kita mengingati dan menghargai
kembali nikmat kita lahir di bumi bertuah Malaysia yang mempunyai kepelbagaian budaya, agama
dan bangsa. Tiada tempat lain di dunia seperti Malaysia.

Kredit:

Sharifah Izora binti Syed Sobre

Anda mungkin juga menyukai