Anda di halaman 1dari 5

TEKS UCAPAN PERASMIAN

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM JOM KE SEKOLAH


PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2017

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan
Salam 1Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah


SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama
berhimpun dalam Majlis Pelancaran Program Jom ke Sekolah Tahun 2017
pada hari ini.

2. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan


syabas dan tahniah kepada semua sekolah kerana berjaya mengadakan
majlis pelancaran ini. Bagi makluman hadirin sekalian, semua sekolah di
bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan program ini
secara serentak pada 5 hb dan 6 hb Februari Tahun 2017.

3. Sistem Pendidikan Negara telah mengalami evolusi penting seiring


dengan Gelombang 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
dengan tekad dan azam untuk terus berusaha melonjakkan kualiti
pendidikan negara seperti yang dihasratkan. Sesungguhnya transformasi
pendidikan merupakan proses yang memerlukan komitmen yang tinggi
secara berterusan daripada semua pihak.

4. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita sedia maklum bahawa


sekolah sebagai agen sosialisasi utama bertanggungjawab untuk
membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi supaya
dapat memenuhi evolusi yang dilaksanakan. Iklim dan persekitaran
sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan
murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru, Program Jom ke Sekolah
adalah sebahagian daripada usaha ke arah meningkatkan kecemerlangan
kurikulum dan kokurikulum sekolah serta pembinaan sahsiah murid yang
mantap.

5. Pengurusan disiplin di sekolah memerlukan komitmen daripada


semua pihak agar kemenjadian murid akan lebih cemerlang. Dengan
pelaksanaan program ini, diharapkan warga sekolah dapat memberikan
saluran yang sesuai untuk menerima aduan dan menyelesaikan masalah
yang berkaitan disiplin murid. Oleh hal yang demikian, besarlah harapan
saya agar pihak sekolah dapat menerima cadangan-cadangan yang
membina untuk mengatasi permasalahan yang timbul dalam proses
pengurusan disiplin murid di sekolah.
6. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, objektif Program Jom ke Sekolah
ini adalah untuk mewujudkan hubungan mesra dan kolaborasi yang lebih
mantap antara pihak sekolah dengan Pegawai Perhubungan Sekolah
(PPS). Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membantu mencegah
salah laku disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan
perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada
di dalam atau di luar sekolah. Seterusnya, program ini dilaksanakan untuk
membugarkan kembali penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid di sekolah.

7. Tuan-tuan dan puan-puan, pihak sekolah perlu sentiasa prihatin


terhadap murid-murid. Pihak pentadbir sekolah seharusnya memastikan
pengurusan disiplin sentiasa ditambah baik untuk meningkatkan proses
perkhidmatannya. Dalam hal ini kerjasama pihak polis dan sekolah
sememangnya tidak dapat dipisahkan. Kedua-dua pihak perlu berganding
bahu bagi menangani masalah disiplin murid.

8. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih


kepada PDRM terutamanya Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan
seluruh warga pendidik atas daya usaha untuk menjayakan Program Jom
ke Sekolah. Program Jom ke Sekolah merupakan Strategi Lautan Biru
Kebangsaan (NBOS) KPM bersama-sama PDRM melalui Jabatan
Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

9. Sukalah saya mengingatkan anak-anak agar dapat memberi


tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah segala
peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan
sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Jadikanlah
sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk
bakat, dan mengasah budaya kepimpinan kerana andalah merupakan aset
negara yang bernilai pada masa hadapan. Dalam menghadapi persaingan
global yang semakin sengit pada hari ini, banyak ilmu dan kemahiran
baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan.
Jauhilah perkara yang tidak berfaedah dan jangan terpengaruh dengan
gejala yang tidak sihat dan tidak bermoral seperti ponteng, buli, dadah
serta lain-lain gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan masa depan
anak-anak sekalian. Sayangi diri, hormati ibu bapa dan guru- guru anda.
Gunakanlah masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya kerana masa muda
hanya sekali. Oleh itu, berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam
dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Only the
best among you will survive and thrive.

10. Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim saya dengan ini merasmikan


Program Jom Ke sekolah Peringkat Kebangsaan 2017.

Sekian.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi


wabarakatuh. 

YB. Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid

Menteri Pendidikan Malaysia


Kementerian Pendidikan Malaysia

Anda mungkin juga menyukai