Anda di halaman 1dari 3

Kepentingan Pendidikan Seni

Oleh : Puan Mesna Abd. Rahman


Ketua Panitia Pendidikan Seni SMK Jelai (Felda)

Pendidikan berkait rapat dengan kreativiti dan pemikiran kreatif. Pendidikan Seni dalam
Kurukulum Bersepadu Sekolah Menengah, bermaksud seni tampak yang bertujuan
melahirkan warganegara berbudaya, khususnya individu yang kreatif, berpengetahuan
dalam bidang seni, mempunyai kemahiran mencipta dan peka terhadap ciri estetik.

Kurikulum Pendidikan Seni melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar melalui
penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan rasa kepuasan dan
kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar. Pelajar yang mengikuti program
Pendidikan Seni akan menjadi lebih peka dan perasa, bersikap sederhana dan mampu
mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan
kehidupan. Pendidikan Seni juga mampu meningkatkan kualiti berfikir . Pengetahuan dan
kemahiran Pendidikan Seni melalui penjanaan idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi
maklumat serta idea, pengolahan simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari
pelbagai perspektif, menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara
rasional dan fleksibel.

Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang merentas kurikulum dan boleh dikatakan
sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Pelajar yang didedahkan dengan Pendidikan
Seni berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan tugasan dalam mata
pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.
Kefahaman menerusi visual tentunya lebih mudah daripada penghafalan fakta menerusi
catatan berjela. Peta minda yang digrafikkan secara mudah lebih berkesan untuk
menyatakan sesuatu konsep atau penerangan yang sukar. Prinsip dalam Pendidikan Seni
berupaya memenuhi tuntutan dalam masalah ini.

Pendidikan Seni juga selari dengan konsep pembelajaran seumur hidup (learning
throughout life) yang dikatakan sebagai salah satu syarat untuk menghadapi dunia abad
ke-21. Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang mengaplikasikan ilmu dengan
kemahiran. Pelajar belajar melalui tindakan membuat (learning by doing), yang
kemudiannya kelak dapat dilanjutkan kepada learning to be dan learning to live together,
apabila tiba masanya untuk berada dalam masyarakat dan pasaran kerja. Asas ini dibina
dalam pengajaran Pendidikan Seni terutamanya dalam membentuk pemikiran tinggi.
Sebagai contoh awal, proses mereka bentuk dalam Pendidikan Seni, melibatkan pelajar
melalui beberapa proses berfikir dan bertindak seperti : Pengenalpastian masalah
Menentukan keperluan, lakaran situasi atau masalah. Penjelasan tentang perkara utama
dan limitasi serta persolan yang sepatutnya dapat dijelaskan. Kajian dan Penyelidikan
Aspek persekitaran, ergonomik, masa, faktor keselamatan, kekuatan, bentuk, bahan, kos
dan pembuatan serta pelbagai sumber.
Idea dan cara penyelesaian – dilakukan secara lakaran beberapa idea dan
penyelesaiannya.
Perkembangan – memperincikan idea bersama lakaran dan huraian. Bekerja dengan idea
yang telah dikenal pasti bagaimana bahagian-bahagian dipasang (kalau ia model).
Mungkin carta aktiviti atau carta produksi diperlukan pada peringkat ini. Foto atau
lakaran visual yang menampakkan pelbagai persepsi juga boleh membayangkan kegiatan
seterusnya menjadi lebih jelas.
Proses membuat.
Proses dan teknik.
Percubaan dan Penilaian Membandingkan spesifikasi asal dengan senarai fungsi.
Mencatat sebarang masalah yang timbul sepanjang kegiatan.
Mencuba. Membuat rumusan.

Apabila melihat proses mereka bentuk yang disenaraikan, nyatalah bahawa Pendidikan
Seni mementingkan aplikasi ilmu dengan kemahiran. Dalam proses tersebut juga, inovasi
teknologi yang merangkumi tiga tahap digabungkan. Gabungan tersebut ialah idea yang
kreatif, aplikasi secara praktikal dan penerimaannya terhadap masyarakat. Ini dikaitkan
dengan maksud kreatif yang menekankan sesuatu yang unik, baru dan bermakna, dalam
konteks norma kita sendiri.

Melalui informasi teknologi dalam Pendidikan Seni, idea yang banyak dapat dilahirkan
dan pelbagai. Ini akan membantu pelajar menghasilkan ciptaan terbaru dengan mudah,
tepat, cepat, dan menarik. Namun, sebagai suatu disiplin yang mengutamakan daya
imaginasi dan kreativiti ketika pembentukan konsep dalam minda, yang harus dijelmakan
dalam bentuk visual secara manual, pelajar tidaklah diketepikan ilmu untuk mendapatkan
kemahiran tertentu dan sebaliknya hanya menggunakan teknologi moden seperti
komputer melakukan segala-galanya. Komputer, dalam hal ini adalah sebagai tool atau
kadang-kadang sebagai tutee bagi memudahkan cara melaksanakan kegiatan Pendidikan
Seni. Banyak pakar yang berpendapat bahawa pendidikan yang berkesan sepatutnya
dilakukan secara bersepadu, sama ada dengan memenuhi tuntutan pelajar melalui ikutan,
analisis logik, kemahiran mengaplikasi ilmu seni, dan sebagainya.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang mengarah kepada suasana riang dan ria serta
mengundang minat pelajar akan membangkitkan semangat ingin melakukan sebarang
kegiatan pembelajaran dengan baik. Penyelesaian masalah merupakan satu kaedah yang
berkesan dalam Pendidikan Seni kerana ia bukan sahaja melibatkan tingkah laku ingin
tahu pelajar tetapi juga berkait dengan perasaan pelajar yang menjurus kepada Learning
is fun.

Konsep pengajaran bersepadu dalam Pendidikan Seni telah diperjelaskan dalam Sukatan
Pelajaran yang dapat disimpulkan bahawa ia merangkumi domain yang dihasrat secara
bersepadu melalui pendekatan yang terancang. Pendekatan yang terancang dan terarah ini
berteraskan objektif pencapaian iaitu, ekspresi kreatif, penggubahan, penghasilan dan
persembahan, persepsi estetik, pertimbangan estetik, warisan budaya kraf, dan seni
tampak. Justeru, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang terkandung hasrat murni di
dalamnya dapat direalisasikan melalui subjek Pendidikan Seni.

( Disesuaikan daripada Seminar Pendidikan Seni oleh Encik Mat Desa bin Mat Radzi,
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan

Anda mungkin juga menyukai