Anda di halaman 1dari 3

Sejarah Pembangunan

Cetak

Sejarah 1956, 1965, 1967, 1996


UiTM nyata lebih segar diingati dengan penubuhannya sebagai Institut Teknologi MARA (ITM) pada tahun
1967. Institut ini merupakan buah hasil para pemimpin Malaysia yang penuh visi, terutamanya bekas
Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak. Sepanjang era beliau sebagai ‘Bapa Pembangunan’,
salah satu misi negara memberi fokus terhadap usaha untuk membangunkan taraf sosioekonomi kaum
bumiputera di negara ini. Allaryarham Tun Abdul Razak telah meletakkan batu asas pembinaan kampus di
atas tanah yang berukuran 300 ekar luasnya di Shah Alam tanggal 14 Oktober 1967. Ia merupakan visi
Allaryarham Tun untuk menjadikan ITM sebagai katalis bagi menjana kesemua sumber yang ada dan
melahirkan serta melipatgandakan jumlah graduan bumiputera yang terlatih dan berkelayakan bukan sahaja
dalam bidang sains dan teknologi malah di dalam bidang-bidang lain. Walaupun kini memegang status
universiti, ia adalah mustahil untuk melupakan setiap detik permulaan institusi ini. Lakaran sejarah UiTM
bertitik tolak pada tahun 1956 dengan tertubuhnya Dewan Latehan RIDA.

Dewan Latehan RIDA 1956 - 1965


Penubuhan Dewan Latehan RIDA ditubuhkan ekoran hasil lawatan ke
Ceylon (kini Sri Lanka) untuk program pembangunan dalam negeri pada
tahun 1951. Satu kertas kerja lawatan tersebut yang mengandungi tentang
penubuhan RIDA dan objektifnya untuk membangunkan serta
meningkatkan taraf ekonomi masyarakat luar bandar telah diketemukan.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Industri mempunyai dua pusat
utama di bawah naungannya iaitu Taman Asuhan RIDA (Kuala Lumpur)
dan Dewan Latehan RIDA (Petaling Jaya).

Dewan Latehan RIDA mula beroperasi pada bulan November 1956 dan
dirasmikan oleh Menteri Perdagangan dan Industri pada 14 oktober 1957. Beberapa kursus profesional yang
ditawarkan oleh badan antarabangsa seperti London Chamber of Commerce, Australian Chartered
Secretaryship of Management telah ditawarkan di Dewan Latehan RIDA. Pada tahun 1964, Dewan Latehan
RIDA telah melangsungkan majlis konvokesyennya yang pertama dan telah menyaksikan seramai 50 orang
graduan dianugerahkan sijil oleh Y.A.B. Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Maktab MARA 1965 - 1967


Dewan Latehan RIDA telah ditukar nama kepada Maktab MARA pada bulan Jun 1965. Menurut Y.A.B. Tun
Abdul Razak, pertukaran nama ini adalah bertujuan untuk memberi nafas baru dan aspirasi kepada pusat
latihan itu sendiri. Pertukaran ini juga menandakan yang institusi ini bukan lagi di bawah bidang kuasa
RIDA, sebaliknya menjadi sebuah unit terpenting bagi Bahagian Latihan MARA.

MARA, nama singkatan bagi Majlis Amanah Rakyat telah mengambil alih institusi ini dan mengukuhkan
lagi peranan dan tanggungjawab RIDA. Pada tahun 1966, apabila British Institute of Management
memansuhkan penawaran peperiksaan jarak jauh atau “External Exam”, kolej MARA mula menjalankan
program Diploma Pengajian Perniagaan yang tersendiri. Program tersebut telah mendapat pengiktirafan
antarabangsa oleh Ealing Technical College of London yang turut menjadi pemeriksa luar.
Institut Teknologi MARA 1967 - 1999
Hasil dari kajian dan penyelidikan yang diusahakan oleh kerajaan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu pada tahun 1965 menyatakan bahawa negara menghadapi masalah kekurangan pekerja
terlatih pada tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera. Bagi mengatasi masalah ini,
300 ekar tanah di Shah Alam telah diluluskan untuk menjadi tapak kampus kolej MARA. Pada 14 Oktober
1967, batu asas bagi pembinaan kampus telah diletakkan oleh Y.A.B. Tun Abdul Razak dan dengan itu, nama
Maktab MARA secara rasminya ditukar kepada Institut Teknologi MARA.

Pembangunan ITM dalam tempoh tahun-tahun tersebut dikatakan berkembang pesat ekoran perkembangan
program pembelajarannya, yang sejajar dengan peningkatan keperluan tenaga kerja pada masa itu. Pelbagai
bidang kursus mendapat hasil kerjasama dengan institusi antarabangsa dan ITM telah menawarkan program-
program Diploma lanjutan setaraf dengan program ijazah. Pembangunan ITM boleh dilihat dalam jangka
masa tiga fasa yang merangkumi tempoh selama 32 tahun secara keseluruhannya. Fasa yang pertama (1967-
1976) khusus kepada pendeklarasian ITM sebagai satu badan bebas yang memiliki kampus seluas 300 ekar
di Shah Alam dan diletakkan di bawah penjagaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Fasa yang kedua
(1976-1996) memperlihatkan ITM dengan kemampuannya di dalam bidang pengajian tinggi. Ia telah
membawa kepada pelepasan Akta ITM 1976 yang menempatkan ITM di bawah Kementerian Pendidikan.
Fasa yang ketiga (1996-1999) mengambil tempat berikutan dari keputusan pindaan Akta 1976 yang
meletakkan ITM setaraf dengan universiti-universiti lain di dalam negara. ITM telah dimandatkan dengan
kuasa penuh beroperasi sebagai sebuah universiti namun kekal dengan nama asalnya sehingga tahun 1999.
Berikut adalah penukaran yang telah dibuat :

1. Badan pentadbiran ITM, Lembaga Majlis, telah ditukar kepada Ahli Lembaga Pengarah dengan
pembabitan lebih ramai perwakilan dari sektor swasta;
2. Ahli Lembaga Pengarah diberi kuasa untuk menggubal bagi pihak institut;
3. Senat telah ditubuhkan;
4. Ramai ketua pegawai ITM mengalami proses pertukaran lantikan. Pengarah ditukar kepada Rektor,
Ketua Pegawai kepada Provos, manakala Ketua dan Pensyarah Senior ditukar kepada Profesor dan
Profesor Madya;
5. Setiap jabatan diberi nama Fakulti;
6. ITM diberi kuasa untuk menganugerahkan Ijazah kedoktoran;
7. ITM telah diberi keistimewaan untuk menubuhkan kursus dan kampus cawangan di luar negara
dengan kelulusan dari Kementerian Pendidikan;
8. ITM telah diberi kuasa tambahan untuk membolehkan ia menjalankan perniagaan, terlibat dalam
pelaburan, menubuhkan syarikat dan terlibat dalam penyelidikan berunsurkan komersial.
9. Kuasa disiplin di kalangan pegawai telah dipindahkan daripada Kementerian kepada Lembaga
Pengarah.
10. Untuk memperbaiki akauntabiliti staf, ITM diberi kuasa untuk mengenakan surcaj;
11. Hak prosedur pelajar dalam sebarang pembicaraan mengenai perilaku dan disiplin diperketatkan.
Ketika itu, ITM telah menubuhkan sebuah cawangan di setiap negeri. Kampus yang pertama dibina di
Sabah pada tahun 1973 dan kampus yang terakhir adalah di Kuala Pilah, Negeri sembilan pada Jun
1999. Hampir kesemua kampus cawangan memulakan operasi di premis sementara, namun,
penubuhan ini memunyai strategi dan pelan yang teratur. Kesemua kampus cawangan telah berpindah
ke lokasi yang tetap kecuali kampus Kuala Pilah.

Universiti Teknologi MARA 26 OGOS 1999


Pada 26 Ogos 1999, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Dato’ Seri Dr.
Mahathir Mohamad telah mengumumkan pertukaran nama ITM kepada Universiti Teknologi MARA
(UiTM). Aspirasi UiTM adalah untuk menjadi sebuah pusat pengajian tinggi bertaraf dunia serta menjadi
universiti terbaik. Justeru itu, UiTM telah mendapat pengiktirafan ISO 9001:2000 pada 5 Ogos 2004 dan
menjadi universiti pertama di dunia yang mendapat pensijilan keseluruhan yang meliputi pengurusan
korporat, perkhidmatan sokongan, pengajaran dan pembelajaran. UiTM sentiasa menumpukan kepada
kecemerlangan akademik, inovasi, sosial, pengiktirafan antarabangsa, global dan teknologi baru yang
menyumbang kepada pembangunan industri dan negara. Ini semua dibuktikan melalui pencapaian dan
anugerah yang dimenangi sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Antaranya ialah menawan
puncak Everest, ekspedisi Solo Antartika dan Kutub Utara, serta kejayaan memenangi pingat emas dalam
pertandingan inovasi di Geneva, juara dalam pertandingan kereta solar dan SIFE, serta terkini kejayaan
ekspedisi solo berbasikal menjelajah 7 benua.

Universiti Teknologi MARA Akta 173


Akta 173 telah digubal sempena penubuhan UiTM. Akta ini dianggap penting kerana ia menyediakan garis
panduan untuk penyelenggaraan dan kelancaran pentadbiran serta perkara-perkara lain yang berkaitan. Akta
ini juga bertindak sebagai perakuan peralihan institusi dari sebuah institut kepada sebuah universiti, beserta
kuasa yang diberi untuk membolehkan ia berfungsi seperti universiti-universiti lain, termasuklah penawaran
kursus-kursus pengajian dan penganugerahan ijazah pada semua peringkat.

Anda mungkin juga menyukai