Anda di halaman 1dari 3

Contoh Karangan : Pencemaran 

Sungai

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai


”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara,
membersih dan  mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan
ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan
Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid  melahirkan rasa kecewanya kerana tidak
terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.

Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang


mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan
juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk
menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai


acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta
adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai
dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir
melalui kediaman atau bandar mereka  diami adalah milik mereka juga perlu
dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi
sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya
daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus
dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai
semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.    

Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan
Saliran,   Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita
sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah
sungai yang dipantau Jabatan Alam  Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya
semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai
dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun  kemudian hanya tinggal 58 sungai
yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala
setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53.
Bagaimanapun,  jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal
sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak
diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002
bertambah baik setahun kemudian.  
Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa
kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai,
kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran.
Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin
terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah
tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan
kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik
setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran
membuang najis dan sampah. Kalau  diperhatikan kawasan perumahan,
bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya
membelakangkan sungai. Ramai ketika itu  menjadikan sungai sebagai saliran
sampah dan najis.  Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah
tidak lagi  menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan
rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis
pandangan mereka terhadap sungai.

Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan,


selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan.
Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi.
Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan
kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih
prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan
peranan untuk meningkatkan kesedaran orang  ramai terhadap pentingnya
sungai dipelihara supaya terus bersih.

Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah


kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak
bertanggungjawab ini tetap diteruskan.  Pemantauan dan pencegahan oleh
Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan.
Lazimnya,  apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak.
Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa
sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada
peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan
sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah
diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya
boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali
dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan
menggunakan sungai terbabit.
Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada
keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul
tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

Anda mungkin juga menyukai