Anda di halaman 1dari 3

SETIAP umat Islam diciptakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini merupakan

seorang khalifah yang dijadikan oleh Maha Pencipta dengan sebaik-baik kejadian.
Sebagai seorang muslim, kita perlu mengetahui tentang rukun Islam sebagai
perkara yang wajib dilakukan oleh kita. Sebagaimana kita sebagai rakyat Malaysia
yang telah didedahkan dan diajar tentang rukun negara dari peringkat sekolah
rendah lagi sehingga kita menghafalnya. Begitulah juga dengan rukun Islam,
malah kita perlu lebih daripada itu sehingga kita benar-benar memahami,
melaksanakan serta menyempurnakan setiap rukun itu semata-mata kerana Allah
SWT.

Rukun Islam mempunyai lima perkara iaitu mengucap kalimah syahadah,


menunaikan solat lima waktu sehari semalam, mengeluarkan zakat, berpuasa di
bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang mampu. Kelima-lima ini perkara
ini adalah berkaitan dengan setiap umat Islam dan perlu dilaksanakan serta
disempurnakan dalam kehidupan seharian dengan keikhlasan yang mendalam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Islam dibangunkan di atas lima
perkara: Persaksian bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah
dan bersaksi (syahadah) Muhammad Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan
zakat, mengerjakan haji dan puasa Ramadan.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan
Muslim)

Kaabah iaitu Baitullah diciptakan oleh Allah SWT sebagai tempat manusia untuk
berhimpun bersama-sama dalam keadaan yang harmoni dan aman semata-mata
untuk mengabdikan diri kepada Maha Pencipta. Berziarah ke Baitullah itu
memberikan peluang kepada seseorang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah
SWT dan menerbitkan rasa cinta yang lebih kepada-Nya.
Justeru, ibadah haji adalah satu ibadah yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya
sekali seumur hidup oleh setiap umat Islam yang berkuasa dan berkemampuan.
Allah SWT berfirman dalam kitab suci al-Quran yang bermaksud: “Dan
berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang
kepadamu dengan berjalan kaki dan unta yang kurus, yang datang dari segenap
penjuru (dan ceruk rantau) yang jauh.”(Surah Al-Hajj : 27)

Setelah Baitullah iaitu Tanah Suci Mekah, tiada lagi tempat yang lebih mulia
diciptakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini selain Kota Madinah yang juga
dikenali sebagai Madinatul Rasul atau Kota Rasulullah SAW. Ini jelas
membuktikan Baitullah yang juga dikenali sebagai tanah haram adalah tempat
yang sangat Istimewa kepada umat Islam di atas dunia ini. Maksud tanah haram
adalah tempat Baitullah itu sendiri yang dijaga oleh Allah SWT akan kesuciannya
daripada dicemari oleh perkara-perkara maksiat atau larangan-larangan daripada
penciptanya iaitu Allah SWT. Ini bertujuan untuk memberikan keselesaan dan
ruang terbaik kepada hamba-hambanya dalam kesempatan yang diperoleh untuk
menumpukan sepenuh perhatian dalam beribadah kepada-Nya tanpa sebarang
gangguan.

Oleh itu, sekiranya seseorang telah memasuki Mekah, mereka seringkali


diingatkan bahawa mereka telah tiba di suatu tempat yang suci sebagaimana yang
dinyatakan oleh Allah SWT sendiri. Secara tidak langsung, mereka akan menjadi
takut sekiranya tidak terpilih dalam golongan orang yang berkesempatan
mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dengan itu, mereka akan sentiasa berdoa
dan berusaha dengan sungguh-sungguh agar mampu untuk mencapai rahmat dan
reda Allah SWT sewaktu menjejakkan kaki di Mekah Baitullah.
Dalam satu hadis, daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda :
“Barang siapa yang mengerjakan Ibadah Haji di Baitullah dan tidak melakukan
persetubuhan serta tidak pula fasik (melakukan kemaksiatan), maka keluarlah ia
daripada semua dosanya sebagaimana hari ia dilahirkan oleh ibunya.” (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)

Di samping itu, jika dilihat kepada seseorang yang ingin menunaikan haji, mereka
pasti akan menemui dan berjumpa dengan ahli keluarga, saudara mara, sahabat
andai dan sebagainya. Tujuannya hanyalah untuk memohon maaf jika ada
membuat kesilapan, mohon dihalalkan segala makan dan minum, jika ada hutang
mohon dimaklumkan segera dan lain-lain urusan. Situasi ini sering berlaku apabila
seseorang itu ingin pergi ke Baitullah Tanah Suci Mekah dan tidak akan berlaku
apabila seseorang itu ingin ke tempat lain selain dari itu. Ini cukup jelas
menceritakan tentang rahsia dan keistimewaan ibadah haji itu kepada setiap umat
Islam.

Sehubungan itu, perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diberi kesempatan
untuk bersama-sama menjadi tetamu Allah SWT setidak-tidaknya sekali seumur
hidup kita. Sekiranya, kita telah mampu dan cukup dari segi tenaga dan wang
ringgit, maka wajiblah bagi seseorang itu untuk bersegera merancang bagi
menunaikan rukun Islam kelima ini. Janganlah sesekali bertangguh atau
melewatkan sekiranya telah bersedia kerana mungkin kita akan menemui Allah
SWT terlebih dahulu, walhal kita telah diberikan kesempatan tetapi tidak
bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

Anda mungkin juga menyukai