Anda di halaman 1dari 5

Hadiah

Aripin Said

Watak

FAUZIAH Ibu yang berwajah sedih. Berusia 38 tahun.


PAK MAIL Datuk yang sudah tua tetapi masih kuat dan tabah.
HAYATI Gadis yang berusia 15 tahun.
DATUK PENGHULU Penghulu yang mengambil berat akan hal anak
buahnya.
ENCIK MUSA Pegawai tentera yang berbadan tegap dan memakai
uniform.

MASA: Pagi hingga tengah hari.


SUASANA: Ruang tamu dengan perabot yang ala kadar. Di satu sudut terletak sebuah
buaian anak kecil. Pada dinding tergantung sekeping gambar seorang tentera yang
kacak berpakaian seragam.
ARAHAN: (FAUZIAH sedang menghayun buaian untuk menidurkan anaknya.
Seketika kemudian, dia bangun lalu menuju ke meja. Dia mengambil satu sampul surat
lalu mengeluarkan isinya dan membaca surat tersebut.)
SUARA HAYATI
Hayati Akhbar,
Sekolah Menengah Seri Setia,
Melaka.
Ke pangkuan bonda, nenda serta adinda yang dikasihi, semoga semuanya sihat dan
sejahtera.
Bonda,
Dimaklumkan bahawa anakanda di sini berada dalam keadaan sihat. Janganlah
bonda berasa risau akan anakanda. Anakanda sentiasa ingat akan pesanan bonda dan
nenda dahulu.
Walaupun pada masa ini anakanda berada jauh di rantau, namun anakanda dapat
merasakan suasana sedih yang menyelubungi keluarga kita semenjak pemergian
ayahanda yang dikasihi.
Bondaku, hidup ini tidak selalunya indah. Sebagaimana yang bonda maklum,
dengan menjelangnya bulan Jun ini telah tiga bulan ayahanda meninggalkan kita.
Selain rasa sedih yang mendalam yang menyelubungi keluarga kita, pemergian
ayahanda telah menggugat persekolahan anakanda juga.
Dua bulan belakangan ini, bayaran asrama anakanda tidak beres sepenuhnya.
Anakanda masih berhutang dengan pihak sekolah sebanyak empat buluh ringgit. Oleh
itu, anakanda telah membuat keputusan untuk pulang ke kampung buat sementara
waktu. Sekiranya anakanda terus berada di asrama ini, tentulah masalah kita akan
bertambah.
Apabila anakanda pulang nanti, anakanda akan menatap potret ayahanda yang
tentunya masih tergantung pada dinding ruang tamu rumah kita itu. Anakanda selalu
teringat akan arwah ayahanda.
Sekianlah dahulu untuk kali ini. Sembah salam daripada anakanda untuk bonda,
nenda dan adinda yang dikasihi.
Yang benar,
HAYATI
ARAHAN: (FAUZIAH menangis teresak-esak. Sekali-sekala kelihatan bahunya
bergoncang. Dia melipat surat tersebut serta mengesat air mata dengan lengan bajunya.
Surat itu dipegangnya. Dia kembali ke buaian lalu menghayun buaian. Dia terus
menangis.)

PAK MAIL (Berjalan keluar dari dalam) Kamu baca surat Hayati itu lagi,
Fauziah? Sudahlah. Biarkan dia balik ke sini dulu. Kemudian, kita
sama-sama ikhtiar supaya dia dapat belajar terus. Pagi tadi aku
berjumpa dengan Datuk Penghulu. Aku telah menceritakan masalah
kita kepadanya. (Menuju ke meja sambil mencari-cari paipnya.) Oh,
ya! Menurut suratnya itu bila Hayati nak balik? (Duduk di salah
sebuah kerusi).
FAUZIAH (Memandang ayahnya) Kalau mengikut suratnya pada hari ini, ayah.
Dia mungkin akan sampai petang ini.
PAK MAIL Kalau tak ada apa-apa hal nanti aku akan menunggunya di hadapan
Kedai Kopi Ngah Deraman. Tempat bas selalu berhenti itu.
HAYATI (Dari bawah) Mak, oh, mak! Mak, Yati dah balik. (HAYATI naik ke
rumah.)
PAK MAIL Aku dengan emak kamu baru saja bercakap pasal kamu.
HAYATI (Bersalaman dengan ibu dan datuknya) Apa khabar, mak? Apa
khabar, tuk? Ada mak terima surat Yati?
FAUZIAH Ada, Yati. Sudahkah kamu memberitahu guru asrama bahawa kamu
hendak balik hari ini?
HAYATI Sudah, mak. Yati sudah memberitahunya dan Yati telah
menceritakan segala-galanya.
PAK MAIL Eloklah begitu, Yati. Kamu mesti memberitahu guru asrama, kalau
tidak, susah pula orang di sana. Tentang hal persekolahan, janganlah
kamu bimbang. Datuk akan ikhtiarkan.
HAYATI Adakah peluang Yati untuk meneruskan pelajaran di sekolah itu,
tuk?
PAK MAIL Tuk akan ikhtiarkan, Yati. Pada pagi tadi tuk sudah berjumpa
dengan Datuk Penghulu. Tuk terangkan masalah kita.
HAYATI Di sekolah pun Yati sudah memberitahu Guru Besar, tuk. Beliau
telah berjanji untuk menolong Yati.
PAK MAIL Baguslah, Yati. Moga-moga Tuhan akan menolong kita.
FAUZIAH Pergilah masuk, Yati. Tukar pakaian itu. Kalau engkau lapar, nasi
ada di dapur.
HAYATI Mak dan datuk sudah makan?
FAUZIAH Datuk kamu sudah makan tadi. Kalau kamu nak makan, makanlah
dulu. Mak akan makan kemudian.

ARAHAN: (HAYATI masuk membawa begnya ke dalam.)


PAK MAIL Beginilah hidup kita di dunia, Fauziah. Segala-galanya dalam kuasa
Tuhan. Ada isteri yang kehilangan suami. Ada anak yang kehilangan
bapa. Kita menganggap bahawa kitalah orang yang paling malang di
dunia tetapi yang sebenarnya ada orang yang lebih malang daripada
kita.
FAUZIAH (Sedih) Entahlah, ayah. Saya ... saya tidak tahu apa nak buat lagi.
PAK MAIL Kematian Akhbar menyebabkan engkau kehilangan suami. Aku
kehilangan menantu. Hayati dan Farid pula kehilangan bapa. Akhbar
tidak sempat melihat anaknya yang bongsu, Farid tetapi kita harus
berbangga kerana kematiannya itu sebagai seorang pahlawan.
Sekarang, kita haruslah berani mewarisi kehidupan yang
ditinggalkannya.
DATUK Assalamualaikum. (Dari bawah).
PENGHULU
FAUZIAH Ayah, ada orang datang.
PAK MAIL (Bangun menuju ke pintu) Waalaikumussalam. Oh, Tuk Penghulu!
Sila naik, Tuk.

ARAHAN: (DATUK PENGHULU dan ENCIK MUSA masuk ke dalam rumah.)

DATUK PENGHULU Pak Mail, saya perkenalkan, ini Encik Musa, pegawai
tentera dari Kementerian Pertahanan di Kuala
Lumpur.
PAK MAIL Apa khabar, Encik Musa? Sila duduk.
ENCIK MUSA Khabar baik. Terima kasih.

ARAHAN: (Setelah mereka duduk, FAUZIAH masuk ke dalam.)

DATUK Begini, Pak Mail. Encik Musa datang ke sini kerana ada tugas.
PENGHULU
PAK MAIL Oh, begitu! Apa halnya, Encik Musa?
ENCIK MUSA Begini, Pak Mail. Saya datang ini untuk menyampaikan
penghargaan negara kepada keluarga Pak Mail kerana kematian
Sarjan Akhbar semasa bertempur di sempadan dahulu. Kami
bersimpati benar dengan keluarga Pak Mail, terutamanya
kepada Puan Fauziah dan dua orang anaknya.
PAK MAIL Terima kasihlah, Encik Musa. Kami memanglah sedang
menghadapi masalah sekarang ini, terutamanya dalam hal
persekolahan Hayati. Hari ini dia pulang dari asrama.
ENCIK MUSA Mengapa begitu, Pak Mail?
PAK MAIL Masalah belanja, Encik Musa. Nampaknya saya terpaksa
mencari satu punca tetap untuk membantu persekolahannya.
Saya sudah pun memberitahu Tuk Penghulu akan hal ini.
DATUK Betul, Encik Musa. Saya akan berikhtiar untuk mengatasi
PENGHULU masalah yang dihadapi oleh Pak Mail sekarang. Pak Mail tentu
tidak dapat mengharapkan pencen bulanannya yang sedikit itu
untuk menyara keluarga.
PAK MAIL Betul, Tuk.
ENCIK MUSA Begini, Pak Mail. Kedatangan saya ini juga untuk
menyampaikan sekeping cek yang bernilai sepuluh ribu ringgit
untuk Puan Fauziah. Di manakah Puan Fauziah sekarang, Pak
Mail?
PAK MAIL Dia di dalam agaknya. (Memanggil) Fauziah!
FAUZIAH (Dari dalam) Ya, ayah.
PAK MAIL Keluar sekejap.
FAUZIAH Baik, ayah. (FAUZIAH keluar.)
ENCIK MUSA Begini, Puan Fauziah. Kami datang untuk menyampaikan
sekeping cek bantuan untuk keluarga puan. (Bangun untuk
menyampaikan cek itu). Jadi terimalah cek ini. (Mengunjukkan
sekeping cek).
FAUZIAH (Sambil menerima) Terima kasih, encik. (Mengesat air
matanya).
ENCIK MUSA Nampaknya tugas kami dah selesai. Kami minta diri dulu, Pak
Mail.
PAK MAIL Terima kasih, Encik Musa, Tuk. Bantuan ini amat besar ertinya
kepada kami sekeluarga.
ENCIK MUSA Saya harap wang itu dapat membantu persekolahan anak-anak
Allahyarham. Allahyarham telah berjasa kepada negara, jadi
sewajarnyalah keluarga beliau mendapat penghargaan.
DATUK Kami balik dululah, Pak Mail.
PENGHULU
PAK MAIL Baiklah, Tuk. Terima kasih banyak-banyak.

ARAHAN: (HAYATI keluar dari dalam.)

PAK MAIL Ha, itu pun Yati! Yati, esok datuk akan hantar Yati ke asrama
semula. Yati mesti belajar rajin-rajin.
HAYATI Yati boleh belajar semula, tuk?
ENCIK MUSA Betul, Yati. Kamu mesti rajin-rajin belajar (Kepada PAK
MAIL). Kami minta diri dulu, Pak Mail.
PAK MAIL Terima kasih, Encik Musa. Terima kasih, Tuk. (Bersalaman
sekali lagi dan PAK MAIL menghantar ENCIK MUSA serta
DATUK PENGHULU ke pintu).
Antologi Drama Mendung Hitam Beralih Jua, 2007
Sasbadi Sdn. Bhd.