Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Budi Bahasa

Nilai budi bahasa sangat penting kepada diri seseorang, bangsa, negara dan
terutama agama. Walaupun manusia berlainan bangsa, etnik, negara dan agama,
namun nilai budi bahasa tetap diharapkan menjadi amalan. Dikatakan bahawa orang
yang diingati, dikenangi dan disayangi oleh seseorang ialah orang yang berbudi
bahasa, sebagaimana gambaran pantun di bawah.

Anak merpati disambar helang,


Terbang ketitir di dalam huma;
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama.
Nama seseorang disebut-sebut bukan kerana kekayaannya. Nama seseorang
disebut-sebut kerana budi bahasanya. Sebagai tanda penghargaan terhadap budi
bahasa seseorang, maka namanya diabadikan pada bangunan, institusi, jalan dan
sebagainya. Pengabadian nama-nama itu pula berdasarkan kategori budi bahasa
orang berkenaan. Nama Za’ba atau Aminuddin Baki misalnya, diabadikan pada
bangunan perpustakaan atau sekolah, sesuai dengan sumbangannya dalam bidang
pendidikan. Nama Tunku Abdul Rahman diabadikan pada bangunan pentadbiran
seperti Putra Jaya atau Pusat Dagangan Dunia Putra, sesuai dengan sumbangannya
dalam bidang pentadbiran. Nama-nama masjid pula diambil daripada nama-nama
tokoh ulama atau khalifah.

Salah satu motto yang digunakan dalam urusan surat-menyurat kerajaan ialah
“Bahasa Jiwa Bangsa.” Motto ini menggambarkan secara halus struktur fizik dan
struktur metafizik bahasa dan bangsa berkenaan. Melalui struktur fizik dan struktur
metafizik bahasa yang dipertuturkan oleh seseorang dapat diketahui bangsanya.
Memang mudah membezakan fizik bahasa antara dua bangsa, misalnya bangsa
Melayu dengan bangsa Inggeris, kerana perbezaannya yang ketara. Motto ini bukan
dapat membezakan struktur fizik dua atau lebih bahasa sesuatu bangsa sahaja,
malahan dapat membezakan struktur metafizik dua atau lebih bahasa sukuan kaum
dalam rumpun yang sama. Misalnya, melalui pertuturan bahasa kita dapat mengenali
dan membezakan orang Melayu Kelantan, orang Melayu Kedah, orang Melayu
Terengganu, orang Melayu Negeri Sembilan dan orang Melayu Johor. Dalam satu
negeri sekalipun, bahasa dapat membezakan lokasi petempatan. Misalnya,
pertuturan orang Melayu Terengganu dari Besut berbeza dengan pertuturan orang
Melayu Terengganu dari Kuala Berang atau orang Melayu Terengganu dari Dungun.
Dalam kelompok orang Melayu Dungun pula misalnya, bahasa masih berperanan
sebagai penunjuk petempatan kerana bahasa orang Melayu Dungun dari Kampung
Pasir Raja berbeza dengan bahasa orang Melayu Dungun dari Kampung Tokkah
dan bahasa kedua-duanya juga berbeza dengan bahasa orang Melayu Dungun dari
Kampung Paka. Perbezaan itu dapat dikenali melalui nada, kelancaran, cara ujaran,
dialek, struktur ayat, sebutan, nahu dan sebagainya.

Melalui motto “bahasa jiwa bangsa” juga dapat diketahui budi bahasa
seseorang, walaupun mereka berasal dari petempatan atau kampung atau taman
perumahan yang sama. Laras bahasa alim ulama atau mereka yang berpendidikan
tinggi berbeza dengan laras bahasa petani-nelayan, ahli perniagaan atau mereka
yang berpendidikan rendah. Manakala, dalam pantun di bawah pula menunjukan
amalan budi bahasa dapat mengelakkan persengketaan.

Pucuk pauh sedang terjela,


Penjuluk bunga gelundi;
Agar jauh silang sengketa,
Perhalus bahasa dan budi.