Anda di halaman 1dari 3

PENYUSUAN SUSU IBU

Mengapa Bayi Anda Harus Diberi Susu Ibu?

Susu ibu mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi. Malah susu ibu juga
merupakan imunisasi yang pertama untuk seseorang bayi, mudah dicerna dan sentiasa boleh
diperolehi dengan suhu yang sesuai pada bila-bila masa.

Penyusuan ibu pada bulan-bulan awal selepas kelahiran boleh membantu pertumbuhan dan
perkembangan kecerdasan seseorang bayi.

Dengan menyusui bayi, ibu juga akan mendapat beberapa kebaikan. Penyusuan ibu dapat
menjalinkan perhubungan rapat antara ibu dan anak. Ia juga membantu mengecutkan rahim
ibu kepada saiz asal yang lebih cepat. Ramai ibu juga kembali kepada berat dan bentuk asal
dengan lebih mudah. Anda juga boleh menghindari penyakit barah buah dada dan barah ovari.
Penyusuan dengan susu ibu dapat menjimatkan masa dan belanja.

Bolehkan Semua Wanita Menyusui Bayi?

Hampir semua wanita boleh menyusui bayi. Ukuran buah dada tidak boleh dijadikan ukuran
sebanyak mana susu akan dihasilkan.

Kekerapan bayi menghisap akan merangsang lagi penghasilan susu ibu yang banyak. Masalah
puting buah dada yang leper atau tenggelam boleh diatasi semasa hamil dengan mendapatkan
nasihat doktor atau jururawat.

Untuk menampung buah dada semasa hamil, baju dalam yang berukuran satu saiz lebih besar
daripada biasa adalah diperlukan.

Pada bulan-bulan akhir kehamilan, elakkan daripada mencuci buah dada dengan menggunakan
sabun atau bahan-bahan lain yang boleh mengeringkannya. Gunakan air biasa sahaja.

Pastikan buah dada diperiksa oleh doktor pada awal kehamilan untuk memastikan puting buah
dada tidak tenggelam dan tidak mengalami masalah-masalah lain.

Pada bulan-bulan akhir anda harus belajar teknik dan cara memerah susu. Ini akan membantu
anda selepas kelahiran bayi anda.

Selepas Melahirkan Bayi

Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir adalah sesuatu yaang membanggakan seseorang
ibu.
Bayi yang baru lahir mempunyai naluri hisapan yang kuat. Jadi, susuilah bayi sebaik sahaja
dilahirkan dan pada bila-bila masa bayi kelihatan lapar. Jika bayi tidur lebih 3 jam, kejutkan dia
dan galakkan ia menyusu.

Pada masa-masa awal selepas kelahiran, bayi hanya perlu menghisap susu ibu untuk tempoh
beberapa minit sahaja. Berikan bayi menyusu lebih lama jika ia ingin terus menghisap.
Keperluan seseorang ibu dan bayi yang dilahirkan adalah berbeza dengan ibu dan bayi yang
lain.

Pada peringkat awal selepas melahirkan bayi, susu ibu tidaklah banyak tetapi pekat dan
berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum dan kaya dengan protein serta antibodi
yang boleh melindungi bayi dari penyakit. Kolostrum ini sudah cukup untuk mengenyangkan
bayi anda. Bayi tidak perlu diberi susu botol ataupun air.

Penyusuan yang sekejap tetapi kerap akan mengelakkan buah dada daripada menjadi bengkak.
Ini akan menambahkan lagi penghasilan susu ibu. Jika buah dada anda terasa kepenuhan atau
bengkak, anda harus terus menyusukan bayi dengan lebih kerap lagi. Biasanya rasa kepenuhan
ini akan dirasa dalam masa 2 - 3 hari sahaja.

Petua Untuk Ibu-Ibu

Amalan Positif:-

1. Dapatkan maklumat-maklumat berguna mengenai penyusuan ibu semasa hamil.


2. Yakinkan diri yang susu anda mencukupi untuk bayi anda.
3. Menyusui bayi dalam keadaan tenang dan banyak berehat pada minggu-minggu awal
selepas kelahiran bayi.
4. Pastikan penyusuan dilakukan dengan posisi yang betul dan selesa supaya tidak terasa
lenguh.
5. Makan makanan yang seimbang dan minum air atau cecair yang mencukupi.
6. Ingatlah bahawa lebih kerap penyusuan dilakukan semakin banyak susu akan dihasilkan.

Amalan Negatif:-

1. Jangan terpengaruh dengan kata-kata bahawa susu anda tidak mencukupi untuk bayi
anda. Bayi hanya perlukan kolostrum pada hari-hari awal selepas kelahiran.
2. Bayi tidak memerlukan sebarang minuman lain seperti susu botol atau air. Cara
menghisap puting botol dan puting buah dada adalah berbeza. Ini akan mengelirukan
bayi dan seterusnya menggagalkan penyusuan susu ibu.
3. Dalam masa 6 minggu pertama adalah 'masa latihan' untuk ibu dan bayi. Anda harus
tenang dan sabar semasa melakukan penyusuan kerana cara ini dapat menyelesaikan
banyak masalah.
4. Adalah menjadi suatu kebiasaan jika bayi yang diberi susu ibu kerap membuang air
besar. Najis ini biasanya cair dan berwarna kekuningan. Adakalanya bayi tidak
membuang air besar beberapa hari lamanya. Ini juga merupakan suatu perkara biasa.

Berapa Lama Bayi Perlu Menyusu?

Penghasilan susu ibu yang secukupnya diperolehi dalam masa 6 minggu. Dengan ini ibu boleh
meneruskan pemberian susu selama mana yang diingini. Para doktor mengesyorkan supaya
bayi harus diberi susu ibu sekurang-kurangnya selama 6 bulan.

Ramai juga ibu-ibu yang berjaya menyusukan bayi mereka sehingga 2 tahun. Amalan begini
sangatlah digalakkan kepada keluarga yang mempunyai banyak alahan.

Oleh kerana banyak susu akan terhasil selepas kelahiran, adalah tidak mustahil bagi ibu-ibu
yang bekerja terus menyusui bayi mereka walaupun mereka bekerja sepenuh masa atau secara
sambilan.

Pilih Tempat Bersalin

 Pilih hospital "Baby-Friendly" untuk melahirkan bayi anda.


 Ini adalah langkah pertama bagi penyusuan susu ibu.
 Dapatkan nasihat daripada kumpulan sokongan Laktasi Hospital Queen Elizabeth, Kota
Kinabalu.

Anda mungkin juga menyukai