Anda di halaman 1dari 7

PUNCA-PUNCA BERLAKU GEJALA BULI

Soalan: 

Anda telah menyertai pertandingan syarahan anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah
anda.  Tajuk syarahan anda ialah punca-punca berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar
di sekolah dan langkah-langkah menanganinya.  Tuliskan teks syarahan anda selengkapnya. 

           Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Dato' Syed Esa, Puan Hjh Rohanah bt Esmail, Yang
dihormati Guru Penolong Kanan Petang Puan Kalsom bte Haron,  barisan hakim yang adil
lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Asalamualaikum , salam
sejahtera serta salam satu Malaysia

           Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

            Berdirinya  saya pada hari ini yang berbahagia ini, adalah untuk menyampaikan
syarahan yang bertajuk 'Punca-punca Gejala Buli di Sekolah serta langkah-langkah
menanganinya.  Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin saya kemukakan satu
soalan iaitu , apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rangkai kata 'gejala buli?

           Hadirin yang dihormati sekalian,

Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan
seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang
dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya.Menurut kajian, kes buli ini menjadi
semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius
masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah
yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal
pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.
   Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai
agama yang ada pada pelajar yang terlibat.   Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-
nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama.  Umpamanya, nilai
hormat-menghormati sesama manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah,
bertanggungjawab dan sebagainya.  Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli ini tidak
lagi menghayati dan mengamalkan suruhan agama.  Mereka sanggup berbuat demikian
hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada
orang lain. Ringkasnya,   ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka  menyebabkan
gejala buli ini semakin berleluasa.

           Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli ini.  Pada zaman yang
serba moden inil kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk
meningkatkan taraf kehidupan mereka.  Hal ini menyebabkan mereka kurang memberikan
belaian kasih sayang, kemesraan dan prihatian kapada anak-anak mereka. Contohnya,
terdapat segelintir Ibu bapa yang keluar bekerja seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam.
Mereka tidak ada masa untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak terutama yang
remaja.  Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada
pembantu rumah.  Justeru, kekurangan perhatian daripada ibu bapa turut menjadi punca
gejala buli ini.
.   Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga merupakan salah satu punca yang
penting menyebabkan pelajar terlibat dalam kegiatan membuli ini.  Para pelajar yang masih
terlalu muda,  dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk
pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan
matang.  Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebaya dan
tidak dapat berfikir tentang baik buruknya tindakan mereka itu. Jika kawan-kawannya
merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya
dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya.  Jelaslah,  rakan sebaya yang menjadi orang
penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca gejala buli ini.

Bagaimana dengan pihak media massa?  Seperti yang kita ketahui, media masa terutamanya
televisyen sering menayangkan filem-filem yang berunsur keganasan, pergaduhan dan
sebagainya.  Filem dan rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan
unsur keganasan seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan
jelas membewa pengaruh buruk kepada remaja kita.  Pelajar meniru aksi yang disaksikan di
televisyen untuk membuli rakan-rakan mereka yang lain.

     Tuan-tuan dan puan-puan serta rakan seperjuangan sekalian,

               Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.  Terdapat pelbagai


langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.
Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus
menitikberatkan isu kes buli ini dalam kurikulum di sekolah.  Contohnya,  melalui mata
pelajaran seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya, ilmu
tentang gejala-gejala negatif terutamanya buli dan kesan-kesan buruknya perlu dimasukkan
dalam sukatan.   Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan
satu kesalahan yang boleh menggelapkan masa hadapan meeka.   Pelajar juga didedahkan
dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara
mengelakkan mereka daripada terbabit dalam kes buli ini.

                  Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan
secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedarkan para pelajar
agar menjauhi diri daripada gejala buli.   Pihak luar seperti NGO boleh dipanggil untuk
mengadakan pameran dan ceramah tentang gejala buli ini.  Selain itu pihak sekolah sendiri
boleh menganjurkan aktiviti seperti kuiz, pidato dan sebagainya tentang kes buli dan juga
boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah
dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan
tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam
kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-
rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

    Seterusnya , yang paling penting ialah diri pelajar itu sendiri.  Para pelajar juga harus
pandai memilih kawan kerana kawan yang baik akan membawa mereka ke arah kebaikan
dan begitulah sebaliknya.  Umpama berkawan dengan penjual minyak wangi, secara tidak
langsung badan kita juga akan sentiasa wangi. Contohnya, jika berkawan dengan orang yang
minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan gemar membaca
bersama-sama. Oleh itu, jika pelajar mesti  bijak memilih kawan, supaya tidak terjebak
dalam gejala buli di sekolah.

                 Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah
dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar boleh menjadi mata dan telinga
kepada para guru di sekolah.  Contohnya jika para pelajar ternampak kes buli itu berlaku
atau menjadi mangsa pembuli, mereka harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada
guru disiplin atau pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan
secepatmungkin demi kesejahteraan sekolah.

          Hadirin yang dihormati sekalian,

.      Memang tidak dapat dinafikan lagi, pihak sekolah turut memainkan peranan penting
untuk menangani gejala buli ini. Setiap laporan yang diterima daripada guru atau pelajar
mesti diambil tindakan dengan segara.  Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang
disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah
yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah tidak
harus berkompromi dengan kes buli malah harus mengenakan hukuman yang setimpal
kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan
sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

            Tidak syak lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk
membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-
anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka.  . Ibu bapa juga
perlu menunjukkan tingkah laku yang baik, contohnya  tidak bertengkar atau bergaduh di
hadapan anak-anak , bergaul dengan baik dan mesra ketika berurusan dengan jiran tetangga
dan orang lain.  Bak kata bidalan, bagaimana acuan , begitulah kuihnya.  Ibu bapa yang baik
akan melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.

.             Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk


bekerja, ibu bapa juga harus meluangkan masa dengan anak-anak dan sentiasa mengambil
berat tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah. Contohnya, pada hujung minggu
atau cuti, ibu bapa boleh membawa anak-anak bercuti untuk mempererat kemesraan
keluarga.  Perhatian dan  belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka akan
menyebabkan  mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk
nilai-nilai murni dalam sanubari anak-anak mereka sejak kecil lagi seperti pepatah, melentur
buluh biarlah dari rebungnya.  Dengan ini anak-anak akan menyayangi ibu bapa dan sentiasa
sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya
bersama-sama.

             Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin
melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai
khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal
sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan
aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata
peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak
haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini
walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga
berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang
nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan memohon kemaafan jika ada
kesilapan tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi.  Semoga apa yang telah
saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua.  Akhir kata
terimalah dua rangkap pantun daripada saya.

        Kalau ada jarum yang patah,

     Jangan di simpan di dalam peti;

Kalau ada silap dan salah,

     Jangan disimpan di dalam hati.

        Padi muda jangan ditampi;

    Padi huma si beras jati;

Generasi muda harapan pertiwi,

    Didiklah mereka seikhlas hati.

Sekian.  Terima kasih

Anda mungkin juga menyukai