Anda di halaman 1dari 5

Norma Baharu Pasca Wabak Covid-19

Sejak beberapa bulan belakangan ini, penyakit berjangkit Covid-19 telah merebak ke seluruh
dunia. Pendemik ini dah bermaharajalela di dunia ini. Tanpa kita sedari, virus ini telah meragut
10 nyawa dalam masa 1 minit. Demi memutuskan rangkaian Covid-19, pihak Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyeru anak watan tanah air tercinta ini agar mengamalkan
norma baharu dalam kehidupan seharian. Secara umumnya, norma baharu ditakrifkan sebagai
cara hidup baru dan menjalani kehidupan,pekerjaan dan interaksi kita dengan orang lain. Kini,
norma baharu pasca covid-19 ini telah menjadi topik perbualan hangat sama ada di meja
persidangan, di parlimen atau di warung-warung kopi. Bahkan berita tentang norma baharu ini
turut sering menjadi tajuk utama atau dipaparkan pada muka depan sama ada di media massa
atau media elektronik. Bak kata pepatah “jika tiada angin masakan pokok bergoyang”. Jangkitan
Covid-19 ini telah mengubah kehidupan manusia di mana-mana sahaja. Selaras dengan hasrat
negara untuk mencapai taraf negara maju,masyarakat hendaklah mematuhi norma baharu yang
telah ditetapkan sepanjang berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya dapat
mengelakkan wabak penyakit ini daripada berleluasa. Persoalannya,apakah norma baharu yang
diamalkan oleh marhean nusa ini?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa antara norma baharu yang perlu kita patuhi ialah
menjaga jarak sosial dengan orang lain. Jarak sosial telah menjadi komponen utama dalam
membendung virus ini. Penjarakkan sosial ialah penghindaran hubungan antara masyarakat seperti
berjabat tangan,duduk berdekatan atau perhimpunan. Di kala krisis pandemik ini, amatlah penting
untuk kita mengamalkan tabiat penjarakan sosial. Hal ini dikatakan demikian supaya kita dapat
mengelakkan diri kita daripada terdedah dengan persekitaran sekeliling pesakit yang tercemar. Kita
seharusnya menjaga jarak setidaknya 1 meter ketika sedang berinteraksi dengan orang lain kerana
virus corona ini merupakan virus yang agresif dengan tingkat penularan yang tinggi. Semua orang
mengetahui bahawa penyebaran sesama manusia dapat dielakkan secara efektif apabila kita
mengamalkan penjarakan sosial dengan orang lain. Dalam hal ini dapatlah dirumuskan bahawa
penjarakkan sosial haruslah sentiasa diamalkan supaya dapat mencegah daripada wabak virus
yang berbahaya ini.
Sentiasa menggunakan penutup muka dan hidung atau topeng muka setiap kali hendak
keluar dari rumah merupakan amanah daripada pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr.
Noor Hisham. Pihak kerajaan telah menyeru semua individu termasuk barisan hadapan yang
merupakan barisan yang sentiasa bergusti dengan pandemik ini haruslah memakai penutup mulut
dan hidung ketika bertuga mahupun berada di tempat awam sebagai usaha untuk menghentikan
penularan wabak covid-19. Keadaan ini sekali gus dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti
kuman daripada mereka yang tidak sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila seseorang
itu batuk, dia akan menyebarkan sebanyak yang mungkin titisan yang mungkin mengandungi
virus covid-19 ini. Memakai penutup mulut dan hidung merupakan satu bentuk perlindungan
untuk mengelakkan kuman daripada tersebar. Malah, murid-murid di alma mater juga telah
diterapkan untuk memakai penutup muka untuk mengelakkan jangkitan kuman daripada mereka
yang tidak sihat. Tuntasnya,penggunaan penutup muka dan hidung haruslah dipraktikkan oleh
orang ramai supaya kita dapat memutuskan rantaian covid-19 ini.

Pada waktu yang sama, kita haruslah sering mencuci atau mensanitasi tangan dengan pembersih
tangan atau sabun. Membasuh tangan adalah salah satu norma baharu yang penting untuk
mengelakkan penyebaran penyakit berjangkit seperti jangkitan covid-19. Kita mestilah mencuci
tangan dengan lebih kerap ketika kita pergi ke tempat awam kerana inilah norma baharu yang perlu
dipraktikkan oleh orang ramai khususnya kanak-kanak. Hal ini terjadi kerana tangan adalah antara
bahagian anggota badan yang paling kerap menyentuh pelbagai tempat yang mempunyai kuman
seperti memegang pemegang pintu dan lain-lain. Sebagai contoh, sekiranya kita sering menyentuh
hidung atau mulut tanpa sedar,tangan yang tercemar akan memindahkan kuman ke saluran
pernafasan kita melalui mulut hidung atau mata. Membasuh tangan dengan sabun dapat
menyingkirkan kuman dan mencegah pelbagai penyakit. Kita juga digalakkan untuk menggunakan
hand sanitizer sekiranya tiada tempat untuk membasuh tangan. Misalnya,kita boleh membawa
sebotol kecil hand sanitizer ketika hendak keluar dari rumah dan kita boleh memakainya di mana-
mana tempat. Dengan cara ini,tangan yang bersih dapat mengelakkan dari penyebaran
mikroorganisma antara seseorang individu kepada individu yang lain. Setelah meneliti dan mengkaji
sehingga ke akar umbi,ternyata bahawa membasuh tanganmerupakan norma baharu yang sangat
penting untuk mengelakkan virus melekat pada tangan kita.
Orang ramai juga tidak dibenarkan untuk sering keluar dari rumah jika tiada urusan penting.
Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diumumkan oleh perdana menteri kita pada 19 Mac,
2020 telah mengehadkan pergerakan masyarakat kita dalam rumah sahaja. Pada masa yang
sama, hanya ketua rumah dibenarkan untuk membeli barangan keperluan seharian untuk ahli
keluarga. Hal ini supaya pergerakan di luar rumah dapat dikurangkan.Hanya seorang wakil atau
ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan
rumah dan dinasihatkan untuk terus pulang ke rumah setelah membeli barang.Tambahan
lagi,orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak boleh merentas negeri.Menyedari perkara
ini,pihak kerajaan juga telah menasihatkan orang ramai agar tidak pulang ke kampung halaman
mereka kerana dibimbangi ia boleh menyebabkan penularan virus. Walau
bagaimanapun,sekiranya mereka yang mempunyai urusan penting atau kecemasan sahaja
dibenarkan untuk membuat perjalanan keluar negeri dengan syarat perlu memaklumkan kepada
polis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Izharlah bahawa orang ramai
haruslah kurangkan pergerakan keluar dari rumah adalah merupakan satu norma baharu yang
patut diamalkan untuk menghentikan penyebaran jangkitan covid-19.

Mari kita bincnagkan isu ini dengan minda kelas pertama, terdapat juga banyak norma
baharu yang perlu diamalkan ketika bermulanya sesi persekolahan. Norma baharu perlu
dipraktikkan dalam sistem pendidikan apabila semua murid dan guru perlu mematuhi segala
Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah bagi mencegah penularan wabak covid-
19 ini. Keadaan ini berlaku untuk memastikan proses pembelajaran berlangsung dalam keadaan
selamat malah semua pihak telah disarankan untuk merujuk garis panduan pengoperasian
sekolah yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.Antara contoh norma baharu yang perlu
diamalkan di sekolah ialah sentiasa melakukan pembersihan, mematuhi etika batuk dan bersin
dan sebagainya. Pihak ibu bapa juga telah dinasihatkan agar memastikan anak tidak ke sekolah
jika bergejala dan menasihati anak supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial ketika berada
di sekolah. Hal ini demikian untuk mengelakkan penyebaran virus kepada murid yang lain
sepanjang keberadaan murid di sekolah.Tambahan pula,pihak sekolah juga disarankan untuk
membuat saringan kesihatan pelajar di pintu masuk sekolah dan tiada aktiviti yang melibatkan
perhimpunan. Berdasarkan huraian di atas, ternyatalah kerjasama semua pihak dalam hal ini
amat penting dalam memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancer dan bebas dari
gejala covid-19.
Sebelum mata pena diskusi melabuhkan noktahnya, wajar ditegaskan bahawa terdapat banyak
norma baharu yang dikenal pasti yang perlu dipraktikkan oleh orang ramai untuk mengatasi
masalah jangkitan penyakit covid-19 ini. Walaupun penyakit berjangkit covid-19 ini tidak dapat
diatasi seratus peratus, sebaik-baiknya hendaklah dibendung agar tidak menjadi duri dalam
daging. Dalam hal ini,semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing mengamalkan
norma baharu yang telah ditetapkan sehingga mencapai objektifnya bak kata pepatah alang-alang
berdakwat biar hitam. Dengan itu, dapatlah masyarakat tidur lena walaupun hujan lebat turun.
Saya berharap, norma baharu ini akan diteruskan untuk kepentingan semua pihak dan generasi
akan datang. Semoga yang direncanakan bukan semata-mata fantasi,sebaliknya menjadi realiti
bagi membentuk negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Mari kita sama-sama
menyahut seruan pihak kerajaan dengan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Anda mungkin juga menyukai