Anda di halaman 1dari 2

Covid - 19 : Satu Pengajaran

Corona Virus Disease-19 atau lebih dikenali sebagai Covid-19 benar-benar sedang mengecam
kita. Hampir 168 buah negara di global ini sedang bertarung dengan virus ini. Penyakit ini tidak
mengenal warna kulit, status, malah kekayaan harta kerana semua orang ada potensi untuk
dijangkiti lalu menyebarkan kepada orang lain. Jumlah individu yang dijangkiti wabak itu
seluruh dunia sudah mencecah lebih 12 juta.

Pelbagai perkara telah kita lalui semenjak virus ini muncul, sehinggalah undang-undang
perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan. Pelbagai reaksi muncul, ada yang tenang, gelisah,
panik, marah, gembira dan segala jenis emosi bercampur dalam satu situasi. Banyak pengajaran
yang dapat diperoleh daripada Covid-19 yang membawa manusia mengubah cara hidup bagi
memulakan zaman baru. Sememangnya Covid-19 ini telah membawa pelbagai pengajaran
kepada kita.

Antaranya, jika kita tidak dibelenggu dengan wabak Covid-19 ini, mungkin kita tidak
ingat tentang kepentingan bersama ahli keluarga. Sebahagian besar daripada masyarakat dunia
ketika ini berlumba-lumba mencari kekayaan sehinggakan terlupa perkara yang sangat penting
iaitu keluarga. Wabak ini juga memberi peluang kepada kita pulang dan kekal di rumah untuk
seketika dan menyedari bahawa keluarga merupakan syurga bagi setiap insan.

Selain itu, wabak pandemik Covid-19 mengingatkan kita bahawa kesihatan ini sangat
tidak ternilai harganya. Mungkin sebelum ini kita tidak begitu mengendahkan penyakit-penyakit
ini kerana walaupun ia berbahaya, tetapi masih boleh dikawal. Pengajarannya tidak kira sama
ada wabak melanda kita atau tidak, kesihatan perlu menjadi perkara utama. Ini kerana. tanpanya
kehidupan kita tiada lagi maknanya. Jika kita terus mengabaikan kesihatan, penyakit ini akhirnya
boleh memerangkap kita semua bagai telur di hujung tanduk.

Di samping itu, wabak Covid-19 juga menyedarkan kita betapa materialistiknya


masyarakat pada hari ini. Apabila masalah sebegini melanda , kita hanya memberikan perhatian
kepada keperluan asas sahaja seperti air, makanan, ubat-ubatan, topeng, sanitizer, malah tisu. Ini
secara tidak langsung, menunjukkan bahawa segala barangan mewah dan duniawi yang
sebahagian besar daripada kita kejarkan selama ini tidak lagi penting bagi kita. Apa yang penting
bagi semua manusia tanpa mengira status hanyalah barang keperluan asas untuk meneruskan
hidup.

Kesimpulannya, ramai yang melihat Covid-19 ini sebagai satu malapetaka, namun jika
kita melihat dengan mata hati, ia sebenarnya suatu yang dapat mengubah dunia yang pada ketika
ini sedang tenat daripada pelbagai aspek. Saya percaya satu hari nanti kita bersama akan berjaya
mengatasi masalah ini dan menikmati kehidupan seperti sedia kala. Persoalaannya hanyalah
cepat atau lambat sahaja. Walau bagaimanapun setelah virus ini dihapuskan nanti, ada beberapa
perkara yang harus kita imbas kembali, dan bersedia sekiranya berlaku bencana seperti ini lagi,
kita semua akan lebih tenang dan matang untuk mengatasi masalah pandemik sebegini.

Anda mungkin juga menyukai