Anda di halaman 1dari 14

PELAJARAN 14

KEFAHAMAN TEKS PROSA - CERPEN

1.0 Pengenalan
Dalam pelajaran ini, pelajar akan diperkenalkan dengan kemahiran
penulisan prosa iaitu cerpen.

2.0 Hasil Pembelajaran


Pada akhir pengajian ini, pelajar akan:
2.1 Memahami maksud cerpen.
2.2 Memahami bentuk-bentuk cerpen.
2.3 Mampu menghasilkan cerpen.

3.0 Senarai Tajuk


3.1 Cerpen

4.0 Istilah
4.1 Cerpen
Cerita pendek.

4.2 Cerpenis
Penulis cerpen.

4.3 Watak
Tokoh atau pelaku dalam karya sastera atau seni.

4.4 Novel
Novel ialah cerita dalam bentuk prosa yang panjang dan
kompleks.
5.0 Tajuk

5.1 Cerpen

5.1.1 Persembahan

Cerpen ialah gabungan kata dasar cerita dan pendek. Berbeza


dengan novel yang panjang dan kompleks, cerpen hanyalah
karya prosa yang pendek. Sesebuah cerpen biasanya
mengandungi antara 500 hingga 1500 patah perkataan sahaja.

Dalam sesebuah cerpen, ceritanya berpusat pada watak yang


menggambarkan satu siri aksi atau peristiwa yang terbatas.
Sebaliknya novel lebih banyak menunjukkan watak yang
berkembang akibat daripada beberapa peristiwa yang
dialaminya.

Cerpen mengemukakan cerita dengan latar yang terbatas,


jangka waktu yang pendek. Pertalian ceritanya pula tidaklah
kompleks berbanding dengan novel.

Aspek-aspek Penting dalam Cerpen

1. Tema
Tema ialah sesuatu yang menjadi dasar sesuatu cerita. Ia
merupakan idea atau persoalan pokok yang mengawal
sesebuah karya sastera. Dalam sesebuah karya sastera, tema
tidak dapat dilihat hinggalah pembaca selesai membaca
karya berkenaan. Dalam sesebuah cerpen, tema juga amat
penting. Walaupun cerpen adalah hasil penulisan yang
pendek, namun tetap memerlukan tema.
2. Latar
Latar ialah suasana di mana plot cerita itu berkembang. Latar
ada empat jenis iaitu latar tempat, latar masa, latar masyarakat
dan latar peralatan cerita dan watak.

(a) Latar tempat merujuk persekitaran sekeliling sesuatu


tempat di mana cerita dalam cerpen itu berkembang.
Dalam erti kata lain, latar tempat ialah ruang di mana
peristiwa itu berlaku. Contoh latar tempat ialah di
kaki gunung, di sawah padi, di tepi pantai, di tebing
bukit, di tepi sungai dan tempat-tempat lain.

(b) Latar masa merujuk bila peristiwa itu berlaku. Latar


masa menunjukkan zaman, era, sejarah, atau musim.
Secara lebh khusus, latar masa boleh jadi waktu pagi,
petang, senja, atau malam.

(c) Latar masyarakat atau citra masyarakat ialah gambaran


keadaan masyarakat dalam cerita yang merangkumi
bangsa, etnik, status dan kehidupan social, ekonomi, dan
sebagainya yang bersesuaian dengan watak.

(d) Latar peralatan ialah alatan yang digunakan oleh watak


dalam sesebuah cerita.

3. Watak

Watak ialah tokoh atau pelaku dalam karya sastera seperti


novel, cerpen atau drama. Watak ialah gambaran sifat zahir
dan batin seseorang yang dibentuk oleh penulisnya. Dalam
sesebuah karya sastera, watak boleh diwujudkan sendiri
oleh penulis hasil daripada imaginasi dan kreativitinya.
Watak juga boleh berdasarkan personaliti sebenar.

Watak dalam sesuatu karya perlu hidup dan meyakinkan.


Watak dalam cerita adalah ciptaan penulisnya. Namun
begitu watak-watak yang diwujudkan itu perlu mirip
kepada watak manusia yang sebenar. Ini penting supaya
watak dalam cerita itu dapat diterima oleh pembaca.

Dalam sesebuah cerpen, wataklah yang menggerakkan


cerita dengan cara berinteraksi sesama watak yang lain, atau
dengan alam sekelilingnya. Sifat perwatakan digambarkan
dengan melalui tindak-tanduknya, cara watak itu berfikir,
cara dia bercakap, gambaran rupa parasnya, dan sifat
fizikalnya.

Ada beberapa jenis watak seperti watak pipih, watak bulat,


watak dinamik, watak statik, watak utama, dan watak protagonis.

a) Watak pipih ialah watak yang tidak kompleks, tidak


berkembang dan tidak memeranjatkan pembaca.

b) Watak bulat amat menarik kerana watak jenis ini menuju


ke pelbagai arah sama ada menambah pengalamannya,
mengubah sikapnya dan fizikalnya.

c) Watak dinamik ialah watak yang mengalami pelbagai


konflik, persoalan, dan permasalahan dari awal hingga
akhir.
d) Watak statik ialah watak yang kaku dan tidak mengalami
apa-apa perubahan atau perkembangan dan tidak
bergerak.

e) Watak utama ialah watak yang mempunyai peranan yang


penting, atau paling penting dari kalangan semua watak
yang lain. Plot sesebuah cerpen adalah berasaskan watak
utama ini.

f) Watak sampingan ialah watak yang kurang penting dalam


sesebuah cerpen.

g) Watak protagonis ialah watak utama. Watak ini bersifat


baik. Lawan kepada watak ini ialah watak antagonis.

h) Watak antagonis ialah watak yang bersifat jahat atau apa


saja sifat yang bertentangan dengan watak protagonis
tadi.

4. Plot
Plot ialah jalan cerita dalam sesebuah cerpen. Plot dalam
cerpen adalah lebih mudah difahami, ringkas, dan tidak
berbelit-belit seperti dalam novel.

Antara teknik plot ialah:

a) Imbas kembali, iaitu satu teknik pengarang mengenang


semula peristiwa yang pernah dialaminya. Peristiwa itu
boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang,
khayalan pengarang, dialog, monolog atau monolog
dalaman.
b) Imbas muka, iaitu pengarang memberikan gambaran awal
atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan
berlaku, kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita
berkenaan. Imbas muka dapat mewujudkan keyakinan di
kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku.

c) Suspens, iaitu peristiwa dalam cerita yang menimbulkan


keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu di
kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku
selanjutnya.

d) Konflik, iaitu pertentangan antara dua pihak atau dua


kekuatan dalam satu urutan plot. Konflik boleh berlaku
secara dalaman, dan secara luaran. Konflik dalaman ialah
konflik dalam diri watak itu sendiri. Konflik luaran pula
ialah konflik antara watak-watak, atau konflik antara
watak dengan alam sekitarnya. Konflik juga dapat
digambarkan melalui pertentangan pendapat, idea, sikap
dan pemikiran.

e) Kejutan atau perubahan dalam urutan peristiwa yang


berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga oleh pembaca.
Selalunya, kesan yang timbul daripada kejutan ini adalah
tidak sama dengan apa yang dijangkakan oleh pembaca.

f) Dialog iaitu pertuturan antara dua watak atau seorang


watak dengan beberapa watak yang lain.

5. Nilai
Nilai ialah unsur-unsur murni dalam sesebuah cerpen. Karya
cerpen yang baik memaparkan nilai-nilai tertentu kepada
pembacanya. Contoh nilai dalam cerpen ialah baik hati,
berdikari, berhemah, hormat-menghormati, kasih saying, keadilan,
kebebasan, keberanian, kebersihan mental dan fizikal, kejujuran,
kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional dan
semangat bermasyarakat.

6. Gaya bahasa
Gaya bahasa ialah cara bagaimana seseorang penulis itu
menggunakan bahasanya dalam menyampai sesuatu kisah atau
cerita. Gaya bahasa dalam cerpen perlu baik, indah, jelas dan
kreatif. Tanpa kreativiti dan keindahan, gaya bahasa dalam
cerpen akan menjadi mendatar seperti laporan dalam
akhbar atau rencana ilmiah. Keindahan bahasa itu sendiri
akan hilang.

Bentuk-bentuk Gaya Bahasa

a) Diksi ialah pemilihan dan penyusunan kata-kata oleh


pengarang dalam karyanya. Diksi memperlihatkan
kesesuaian kata yang dipilih dengan tema dan persoalan,
watak, latar dan mesej cerita.

b) Personafikasi ialah pengarang memberikan sifat-sifat


manusia kepada benda-benda bukan manusia, binatang
atau benda-benda mati. Juga disebut pengorangan atau
penginsanan. Contoh: ‘benaknya mendandan sejuta
persoalan.’

c) Simile ialah perbandingan dengan menggunakan kata


konkrit yang boleh dihitung dengan kata abstrak yang
tidak boleh dihitung. Contoh: perahu luka, lading
kesabaran.
d) Metafora ialah perbandingan secara terus atau langsung
tanpa menggunakan kata-kata seperti, bak, umpama atau
ibarat. Contoh: samudera hampa, lautan pemikiran.

e) Perlambangan ialah kata-kata yang digunakan untuk


menerangkan sesuatu benda, keadaan, atau peristiwa
yang membawa maksud yang lain atau maknanya lebih
mendalam. Contoh: ‘senja’ melambangkan usia tua.

Contoh cerpen:

Hujan masih lebat membasahi bumi yang sudah beberapa hari


ketandusan. Dia hanya berdiri sandar di dinding sementara
menanti hujan berhenti. Lagipun masih awal. Belum pukul 6
petang. Stesyen LRT Masjid Jamek masih penuh sesak dengan
penggunanya. Hafiz merungkaikan tali lehernya. Rimas.
Matanya sesekali mengerling merenung beberapa anak muda
yang bingit bercerita sambil bergelak ketawa.

Penumpuannya tertumpu pada seorang lelaki dan perempuan


yang sedang berbual. Lagaknya macam bergaduh. Gadis itu
cuba berjalan untuk turun ke oscilator. Lelaki itu menahannya.
Hatinya berdegup kencang apabila menyedari gadis itu
Syazrin.

Pelbagai persoalan muncul di benaknya tiba-tiba. Mungkin


lelaki itu kekasihnya. Mungkin suaminya? Ah! Masih muda
kan. Takkan sudah berkahwin. Eh! Mana tau kalau lelaki itu
benar-benar suaminya.
Tidak! Tak mungkin kot. Hatinya sudah gundah. Baru rasa itu
tumbuh di sudut hati, tercantas pula. Syazrin sudah hilang di
balik orang ramai.

Nampaknya dia harus melupakan Syazrin.. Syazrin.. kenapa


engkau hadir dan mengetuk pintu hatiku yang sudah lama
sejuk beku ni? Arhhhg!

Pelbagai rasa sudah menerjah di ruang hati yang bertahun-


tahun tandus dek rasa yang sungguh halus, mulus seperti ini.

Seminggu di Pulau Pinang. Hari ini dia harus memulakan


tugas seperti kelazimannya. Harus menapak menaiki LRT.
Harus bersesak-sesak dengan pengguna yang lazim sepertinya
juga.

Dia memberikan ruang kepada seseorang yang duduk di


sebelah. Briefcasenya yang tadi berada di sebelah, terus beralih
tempat di ribanya. Dia menoleh. Syazrin! Di sebelahnya gadis
pujaan yang seminggu tidak di tatap. Ada rasa yang menjalar.
Rindu kot! Eh! Syazrin kan orang punya. Mana boleh dia
masuk jarum pula. Dulu lagi dia bertegas takkan mengganggu
hak orang lain. Tapi matanya masih mengerling pada gadis itu.
Seperti biasa dengan novel dan earphonenya.
Hari ini dia membaca karya Hlovate. Sesekali dia tersenyum.
Hafiz ikut senyum. Dia benar-benar menghayati jiwa Syazrin
tika itu.

Apa yang gadis itu rasa, mungkin dia rasa. Mungkin kerana
mereka terlalu hampir. Bahunya hampir bergesel dengan bahu
Syazrin. Mungkin itu buatkan jiwa mereka makin dekat.
Bisiknya di dalam hati.
Tiba-tiba telefon bimbit Syazrin berdering. Lagu Hot n Cold
nyanyian Katy Perry. Dia meletakkan novelnya di sebelah.
Antara dia dan Hafiz. Lama bercakap di talian. Suaranya
perlahan. Tidak mahu mengganggu pengguna lain yang
masing-masing buat hal sendiri.

LRT berhenti. Dia bergegas turun sambil masih bercakap


dengan panggilan dari sana. Hafiz hanya merenung sehingga
gadis itu hilang dari pandangan. Eh! Novel awak! Awak! Dia
tertinggal novel dia pula. Lalu Hafiz memasukkan ke dalam
begnya.

Nanti dia akan pulangkan. Esok mungkin mereka akan


bertemu lagi. Boleh lah dia pulangkan novel Syazrin. Usai
mesyuarat di Putrajaya dia tidak terus balik ke pejabat.
Sebaliknya ke Taman Maluri, Jaya Jusco menjadi destinasi. Dia
ingin memulangkan novel kepunyaan gadis pujaan. Eh! EX
gadis pujaan. Ada ker macam tu?

Hafiz mengelamun sendiri. Dia sengaja masuk ikut pintu


belakang saja. Tak jauh sangat ke bahagian yang Syazrin kerja.
Langkahnya terhenti tatkala terdengar pertengkaran kecil.
Syazrin dan lelaki itu.

Syazrin mengatakan sesuatu kepada lelaki itu. Pang! Satu


tamparan hinggap di pipi mulusnya. Lelaki itu ingin
menampar sekali lagi. Hafiz menahan. Dia sendiri tidak tahu
kenapa dia bertindak begitu.

Perempuan harus dilindungi. Ya. Mungkin itu yang


sepatutnya.
Kau sapa nak masuk campur hal orang ni?,” lelaki itu menjerit
kepadanya. Syazrin berlindung di belakang Hafiz sambil
memegang pipinya yang sudah merah.

Bro, jangan lah buat perempuan macam ni. Tak baik,” aduss…
dia punya kekuatan entah dari mana untuk mencampuri
urusan orang begitu.

Dia adik aku la. Punya pasal lah aku nak buat apa pun,” wah!
Rupanya mereka bukan seperti apa yang dia sangka. Yahoo!
Masih ada peluang! Hatinya berbisik gembira. Sempat lagi!
Terasa Syazrin menarik bajunya dari belakang. Tangannya
terketar-ketar.

Gadisku! Aku akan menjadi pelindungmu. Tetapi dia tak


sepatutnya begitu. Lelaki itu kan abangnya. Abang lebih
berhak dari dia yang entah siapa-siapa kepada Syazrin. Syazrin
pun mungkin tidak mengenali dia.

Relaks lah bro. Aku tau lah dia adik kau. Tapi mana boleh kau
buat macam ni pada dia. dia pompuan,” dia cuba bercakap
baik-baik dengan lelaki itu. Bakal abang iparnya. Eh! Melalut
lagi dia.
Kau ni sapa? Dia adik aku. Kau tak payah pening kepala
masuk campur hal aku dengan dia. Kau sapa, hah?” Lelaki itu
masih dengan amarahnya yang tidak berkurang. Mencerun
merenung Hafiz.

Sorry lah. Aku pun tak mau masuk campur. Tapi tolong lah
cakap baik-baik dengan dia. Dia kan perempuan. Kau tak malu
ke kat orang, bro? Orang asyik tengok kau je,” nasihatnya
sambil cuba memegang bahu abang Syazrin.

Kau ni pehal?” Gedebup! Sebijik tumbukan padu hinggap di


pipi Hafiz. Aduh! Sakitnya. Badannya kurus saja. Tapi sakitnya
sampai nak pecah pipi dia. Nasib baik rahang tak patah.

Awak! Abang! Sudah lah. Jangan lepaskan kat orang lain pula.
Nanti orang bagi la duit yang abang minta tu,” Syazrin
menerpa kepada Hafiz yang sudah rebah ke lantai. Dia
memandang wajah abangnya takut-takut.

Ha! Macam tu la. Kalau aku minta kau kena bagi. Kalau tak
siap kau! ujarnya lalu meninggalkan Syazrin dan Hafiz.

Saya minta maaf sebab saya, awak jadi mangsa,” Syazrin


merenungnya sayu. Matanya redup. Dia kesal melihat pipi
Hafiz yang sudah lebam.

Tak apa. Itu perkara kecik aja,” gentleman lagi dia. Dia simpati
pada Syazrin. Rupanya gadis itu punya kisah hidup yang
tragis. Ibunya meninggal dunia ketika melahirkan adiknya
yang bongsu. Bapanya pula berkahwin lain setelah beberapa
hari setelah kematian ibunya. Langsung tidak mengambil tahu
tentang dia dan adik beradiknya lagi. Dia punya empat adik-
beradik. Abangnya sudah tidak boleh diharap. Dari mat rempit
sudah jadi penagih dadah. Adiknya yang ketiga pula masih
bersekolah. Tingkatan 5. Bakal menduduki SPM. Adik kecilnya
baru berusia enam tahun. Bermakna hidupnya sudah
berkecamuk sejak enam tahun lalu.
Semenjak pemergian ibu tersayang. Mujur rumah flat yang
mereka duduki sekarang di beli oleh ibu. Kalau tidak mesti dia
dan adik beradiknya merempat entah di mana.

Awak balik pukul berapa?” Dia merenung wajah Syazrin.


Gadis itu sedang melipat baju yang di cuba oleh pelanggan
tadi. Dia pula duduk di kerusi yang diberikan Syazrin.

Lambat lagi. Hari-hari buat OT. Boleh tambah duit sikit,” gadis
itu senyum. Hafiz di serbu rasa pilu. Dia kesiankan Syazrin.
Dia kasihkan Syazrin.. Ya. Dia sedang mencambahkan rasa
kasih pada gadis bernama Syazrin.

(Dipetik dari laman web http://www. motiontopic.com/


17587246842-cerpen-dia-aku)

5.1.2 Aktiviti

Sila layari laman web berikut untuk melihat contoh cerpen:

http://www.tentangcinta.com/cerpen-cinta/cerpen-ketentuan/

6.0 Ringkasan

6.1 Cerpen ialah gabungan kata dasar cerita dan pendek. Sesebuah
cerpen biasanya mengandungi antara 500 hingga 1500 patah
perkataan sahaja.

6.2 Sesebuah cerpen memerlukan tema, latar, watak, plot, nilai dan
gaya bahasa. Tanpa elemen-elemen ini, sesebuah cerpen
menjadi tidak sempurna dan tidak mampu menarik para
pembaca.

7.0 Latihan Kendiri

1. Dengan contoh yang sesuai, huraikan maksud gaya bahasa dalam


sesebuah cerpen.
2. Huraikan tentang aspek latar dalam sesebuah cerpen.

Anda mungkin juga menyukai