Anda di halaman 1dari 2

Cara-cara atasi krisis makanan global?

Krisis kekurangan makanan banyak kali berlaku di dunia ini. Kejadian ini menjadikan banyak nyawa
terkorban.

Jelaskan kaedah-kaedah yang boleh dilakukan oleh negara serantau untuk mengatasi isu ini.

Oleh: noor azman mahat

Kekurangan makanan merujuk ketiadaan bekalan makanan yang mencukupi untuk sesebuah
kawasan yang didiami oleh penduduk itu. Kebiasaannya, krisis kekurangan makanan muncul apabila
sesebuah negara itu mengalami bencana alam seperti banjir besar dan mengalami peperangan yang
panjang serta kawasan tanaman mereka diserang oleh wabak penyakit tertentu. Pihak media massa
terutamanya akhbar sering membuat liputan krisis sebegini sehingga menyebabkan masyarakat
Malaysia mengetahui perkara ini sedang melanda beberapa negara di Afrika, negara Arab dan juga
kawasan Amerika Tengah. Lantaran itu, negara serantau memikul tugas berat untuk menghulurkan
bantuan kepada negara yang sedang dilanda krisis kekurangan makanan itu.

Langkah praktikal yang boleh dilakukan oleh negara serantau dalam mengekang penularan krisis
kekurangan makanan ini ialah negara itu menghantar bekalan makanan yang berlebihan di negara
mereka ke negara yang memerlukannya. Penghantaran bekalan ini boleh dipercepatkan apabila
penggunaan pengangkutan awam seperti lori dan pengangkutan udara seperti kapal terbang serta
jenis pengangkutan lain terutamanya kereta api digunakan untuk menjamin bekalan itu sampai ke
destinasi segera. Apabila bekalan makanan yang berlebihan dari negara jiran dihantar itu sudah pasti
negara yang dilanda krisis akan memperoleh sumber makanan yang cukup dalam tempoh yang
singkat lalu kemelut kebuluran akan terhalang daripada berlaku. Jadi, tindakan menghantar bekalan
makanan yang berlebihan dari negara serantau boleh menghalang krisis kekurangan makanan
berlaku di dunia ini.

Selain itu, bantuan dalam bentuk perkongsian teknologi boleh diamalkan oleh negara serantau
dalam usaha mereka menghalang berlakunya krisis makanan serantau. Perkongsian teknologi ini
meliputi usaha sama atau bekerjasama dalam menyediakan peralatan pertanian seperti peralatan
menuai, memproses, menanam dan sebagainya yang amat diperlukan oleh negara jiran yang dilanda
krisis makanan itu. Apabila negara yang bermasalah dalam pertanian itu menerima peralatan
teknologi yang canggih ini sudah pasti semua kerja pertanian menjadi lebih cepat, mudah, dan
efektif sehingga menyebabkan produktiviti pertanian mereka meningkat secara mendadak itu.
Jelaslah, sikap sanggup berkongsi teknologi dalam pertanian akan menjadikan krisis kekurangan
makanan di dunia ini satu peristiwa lampau atau tidak lagi berlaku pula.

Tambahan pula, negara yang kekurangan sumber makanan boleh dibantu oleh negara jiran mereka
dengan pemberian bantuan kepakaran yang banyak itu. Pakar-pakar yang dihantar ini boleh
memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada petani negara yang dilanda masalah itu cara-cara
bertani yang betul menerusi beberapa siri kursus, taklimat bengkel serta seminar yang berinformasi
tersebut. Petani di negara yang bermasalah itu akan mempunyai banyak informasi yang berguna lalu
mereka memahami teknik pertanian yang betul sehingga mampu menjadikan hasil pertanian mereka
bertambah berlipat kali ganda dalam masa yang terdekat itu. Sesungguhnya, sikap keterbukaan
negara serantau yang sanggup menghantar pakar-pakar mereka membantu negara yang dilanda
krisis makanan ini harus menjadi pengajaran yang berguna kepada semua pihak dalam membendung
masalah kekurangan makanan dunia.

Kajian juga telah mengesahkan bahawa krisis makanan global boleh ditangani apabila petani diberi
bantuan pinjaman kewangan oleh negara serantau itu. Pinjaman itu diberikan dengan terma dan
syarat pinjaman yang lebih mudah dan telus serta kadar faedah yang tidak keterlaluan dikenakan
pula kepada petani-petani yang menerima pinjaman tersebut. Wang pinjaman ini boleh digunakan
oleh petani di negara terbabit untuk membeli tanah yang lebih luas bersama-sama benih pertanian
yang berkualiti serta peralatan pertanian yang akan mengubah masa depan mereka sebagai petani di
negara tersebut. Akibatnya, petani di negara yang dilanda masalah itu akan berupaya mengerjakan
ladang mereka dengan lebih baik dan produktif sehingga mampu menghasilkan makanan yang
mencukupi buat penduduk negara mereka pada masa hadapan itu.

Kekurangan makanan boleh diatasi apabila bantuan dalam bentuk khidmat nasihat diberikan oleh
negara serantau kepada negara yang dilanda masalah makanan itu. Bantuan khidmat nasihat ini
boleh diberikan dalam bentuk motivasi, galakan dan suntikan semangat yang diperlukan oleh petani
untuk menjadikan tanaman mereka lebih baik hasil tuaiannya pada tahun akan datang. Pemberian
semangat dan motivasi ini boleh mencetuskan idea yang bernas lagi kreatif tentang sesuatu pelan
pertanian yang boleh menjadikan negara itu bebas daripada masalah kebuluran makanan pula.
Sesungguhnya, kaedah khidmat nasihat ini boleh menjadikan minda dan fizikal petani lebih bersedia
untuk memikul tugas menyediakan makanan yang mencukupi buat rakyat dengan penuh rasa
bangga itu.

Kesimpulannya, masalah kekurangan sumber makanan telah menjadi isu yang membelenggu
kehidupan masyarakat dunia kini. Sememangnya, kerjasama daripada masyarakat dunia amat
diharapkan supaya kemelut ini boleh dihapuskan dengan sepenuhnya. Namun, ada sesetengah pihak
yang menaguk di air keruh tentang isu ini lalu masalah ini akan berterusan berlaku kecuali satu
tindakan drastik dilakukan oleh masyarakat dunia. Peribahasa nasi sudah menjadi bubur
membuktikan bahawa masalah kekurangan makanan jika dibiarkan berlaku pasti akan membawa
banyak nyawa yang tidak bersalah terkorban begitu sahaja terutamanya kanak-kanak.

Anda mungkin juga menyukai