Anda di halaman 1dari 1

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan 270 individu dalam

kalangan pesakit COVID-19 yang sudah pulih di negara ini, untuk menjalani kajian
bagi mengukur tahap kehadiran antibodi dihasilkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebelum ini
kajian sedemikian pernah diadakan dalam kalangan pesakit COVID-19 di Sungai Lui
di Hulu Langat.

Hasil kajian itu, katanya selepas tiga bulan kehadiran antibodi dalam badan bekas
pesakit dikesan antara 18 hingga 20 peratus sahaja.

"Sekarang kita perlukan lebih ramai lagi pesakit yang sudah pulih. Kita anggarkan
untuk satu kajian bermakna yang dapat kita tafsirkan dengan baik, memerlukan
seramai 270 individu yang dijangkiti dan pulih.

"Tetapi setakat ini baru ada 106 individu yang didaftarkan dalam kajian itu," katanya
ketika sidang media harian COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menjalankan rawatan susulan terhadap mereka yang
sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 setiap tiga bulan dan melihat situasi terkini
mereka.

Katanya, pihaknya menggalakkan bekas pesakit untuk menyertai kajian berkenaan


bagi membolehkan KKM melihat sama ada antibodi dalam badan mereka
berkekalan atau sebaliknya.

"Kita ada banyak persoalan dan memerlukan jawapan dan kajian ini yang akan
memberikan jawapan kepada kita," katanya.