Anda di halaman 1dari 14

Dasar Penswastaan Dari Sudut Ekonomi Politik

EKONOMI POLITIK DASAR PENSWASTAAN

Pendahuluan Ekonomi politik adalah satu pendekatan dalam bidang sains


sosial yang digunakan untuk melihat fenomena dunia secara menyeluruh. Ia
juga satu kaedah bagi melihat bagaimana hubungan ekonomi dan politik yang
berkait rapat di dalam dunia yang begitu kompleks. Menerusi pendekatan ini,
seseorang penyelidik dapat melihat dan mengkaji bagaimana sesuatu polisi
atau dasar yang diambil kerajaan mempunyai hubungan yang rapat dan
bertujuan mendapatkan kelebihan dalam bidang ekonomi. Ekonomi politik
wujud dan dapat dilihat dengan ketara merangkumi faktor-faktor pengeluaran,
penggunaan buruh dan cara pengagihan dilakukan dengan melihat kepada
peranan politik atau negara dan ekonomi yang juga disebut sebagai
pasaran.Maka, ekonomi politik melihat ekonomi sebagai manisfestasi yang
berlindung di bawah pelbagai polisi dan undang-undang yang ditetapkan oleh
kuasa politik atau kerajaan. Perbincangan yang meluas mengenai ekonomi
politik menghasilkan teori-teori seperti ekonomi politik klasik, neo-klasik,
Keynesian, Marxist, neo-Marxist dan sebagainya. Kesemua teori ini
mempunyai pandangan berbeza mengenai interaksi ekonomi dan politik serta
aspek-aspek pengeluaran, pengagihan dan kekayaan. Menurut Adam Smith
(1723-1790) di dalam The Wealth Of Nation, ekonomi politik adalah satu
cabang sains kenegaraan di mana seseorang negarawan itu mempunyai
tanggung jawab mencapai dua objektif, pertamanya memberi kekayaan yang
banyak kepada rakyat dan pada masa yang sama menyumbang kekayaan
kepada negara bagi membolehkan usaha meyediakan perkhidmatan awam
yang mencukupi kepada warganegara. Dalam kata lain, ekonomi politik dapat
memberi kekayaan kepada kedua-dua pihak iaitu rakyat dan negara.Dalam
makna yang lebih mudah, politik di dalam metodologi ini dirujuk kepada
penggunaan kuasa oleh negara untuk membuat keputusan mengenai siapa
mendapat apa, bila dan bagaimana di dalam masyarakat. Politik adalah
proses pilihan bersama, membabitkan nilai dan minat yang bersaing oleh
pelbagai pelaku termasuk individu-individu, kumpulan-kumpulan, perniagaan-
perniagaan dan parti-parti politik. Manakala ekonomi pula adalah berhubung
kait dengan sumber-sumber yang diagihkan untuk penggunaan yang pelbagai
di kalangan individu menerusi proses pasaran. Analisa ekonomi dan analisa
politik sering kali melihat kepada persoalan yang sama tetapi analisa ekonomi
kurang menekankan isu-isu kuasa dan lebih kepada isu-isu kekayaan dan
pendapatan serta minat-minat individu. Ekonomi politik menggabungkan
kedua-dua kaedah untuk melihat fenomena dunia bagi mendapatkan
kefahaman yang lebih luas.Berdasarkan perbincangan mengenai ekonomi
politik ini, maka jelaslah tujuan esei ini melihat kepada Dasar Penswastaan
yang menjadi agenda besar-besaran dunia sejak diperkenalkan lebih 20
tahun lalu oleh kuasa kapitalis dunia iaitu Amerika Syarikat dan Britain.
Tulisan ini akan membincangkan dan seterusnya mengaitkan pelaksanaan
dasar tersebut dari segi ekonomi dan politik. Bagaimana ia dilaksanakan oleh
kuasa politik bagi kepentingan ekonomi sesebuah negara. Dengan sokongan
organisasi-organisasi seperti Bank Dunia, Tabung Dana Antarabangsa, IMF
dan Bank Pembangunan Asia, dasar ini tidak dapat dielakkan lagi kerana ia
berjaya memberi faedah yang besar kepada kerajaan yang melaksanakannya
terlebih dahulu. Dari segi pendapatan negara, kerajaan dapat memungut
pelbagai cukai hasil kejayaan syarikat-syarikat swasta dan dengan lahirnya
lebih ramai kelas-kelas menengah yang menikmati imbuhan besar hasil dasar
ini, membentuk masyarakat sivil yang kukuh bagi memastikan kerajaan yang
mengamal dasar ini terus menikmati keutuhan politik. Definisi Dasar
Penswastaan Dasar Penswastaan adalah fenomena politik dan ekonomi
yang dilaksanakan pada hari ini di Barat dan juga Timur, oleh negara maju
dan negara sedang membangun, oleh negara berideologi demokrasi dan
diktator serta negara-negara kapitalis, sosialis dan komunis. Dasar ini
bermaksud pemindahan kepentingan atau pelaburan tertentu kerajaan
kepada sektor swasta. Definisi lain adalah kepentingan bersama iaitu
kerajaan dan rakyat yang menjadi asas kepada organisasi awam akan
bertukar bentuk kepada kepentingan persendirian yang berasaskan
keuntungan. Dengan itu, kuasa membuat keputusan kini beralih daripada
tangan orang ramai kepada pihak swasta atau pemilik baru organisasi
awam. Pengertian lain yang diberikan kepada dasar ini adalah pengurangan
campur tangan kerajaan dalam kegiatan ekonomi. Pendapat lain adalah
mengenai maksud penswastaan adalah lebih kepada fenomena politik
berbanding ekonomi, fiskal atau pentadbiran. Daripada perspektif ini,
penswastaan menjadi strategi polisi yang digunakan untuk mengalih kuasa di
kalangan pelbagai institusi, mengubah kapasiti struktur kerajaan dan
tanggung jawabnya, penyusunan semula institusi pembuat keputusan dan
membentuk kumpulan seminat serta kelas masyarakat yang baru
(Feigenbaum dan Henig 1994), (Gormley 1994), (Chamberlin dan Jackson
1987). Rakyat juga akan lebih bergantung kepada institusi-institusi swasta
berbanding kerajaan bagi memenuhi keperluan-keperluan mereka (Savas
1992). Latar belakang Dasar Penswastaan Pelaksanaan dasar ini menjadi
agenda besar-besaran ekonomi dunia sejak 1980-an selepas diperkenalkan
oleh dua pengamal dari negara kapitalis iaitu Presiden Amerika Syarikat,
Ronald Reagan dan Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher. Kedua-dua
pemimpin ini menyokong kuat amalan pasaran bebas di dalam negara dan
pada peringkat antarabangsa dengan campur tangan kerajaan paling sedikit
dari segala segi aktiviti ekonomi. Selain itu, dasar ini juga diperkenalkan
dengan elemen-elemen anti-komunis yang ketara berikutan era Perang
Dingin ketika itu. Ketika gerakan komunis dan sosialis bertujuan untuk
menghapuskan harta swasta yang menyebabkan penindasan berleluasa
terhadap golongan proletariat, dasar penswastaan dengan usaha yang jelas
cuba meluaskan penguasaan harta-harta swasta di kalangan rakyat yang
berkemampuan serta berkepentingan.Kejayaan polisi ini di Amerika Syarikat
dan
Britain serta dengan kejatuhan Blok Komunis menjadikan ia begitu meluas
diamalkan di seluruh dunia. Pengurangan peranan kerajaan di dalam pasaran
dilakukan menerusi pengurangan kuasa kerajaan terhadap industri,
penswastaan sektor awam dan pengurangan beban cukai oleh individu dan
perniagaan. Pemilihan Margaret Thatcher pada 1979 sebagai Perdana
Menteri Britain dan kemenangan Ronald Reagan sebagai Presiden Amerika
Syarikat pada 1980 menggerakkan penswastaan sebagai dasar baru.
Beberapa siri proses denasionalisasi dan penjualan syarikat-syarikat milik
kerajaan
Britain misalnya bermula seawal 1979 iaitu membabitkan British Petroleum,
British Aerospace, Britoil, National Freight Corporation, Cable & Wireless,
Jaguar, British Telecom, British Gas, British Airways, Rolls Royce dan
pelbagai lagi syarikat tunjang negara.Amerika Syarikat pula tidak mempunyai
begitu banyak syarikat awam tetapi aktif menswastakan dengan penawaran
kontrak kepada perkhidmatan sokongan, pemprosesan data, perkhidmatan
makanan, penyelenggaraan bangunan dan perkhidmatan kawalan
keselamatan pada peringkat kerajaan pusat. Manakala pada peringkat
kerajaan tempatan, perkhidmatan langsung kepada pengguna seperti
pembersihan jalan raya, kutipan sampah, perkhidmatan ambulans dan
pelbagai lagi diswastakan kepada kontraktor-kontraktor (Savas 1992).Di
kalangan negara sosialis,
China adalah yang pertama melaksanakan dasar ini bermula dengan sektor
pertanian pada 1978 menerusi penghapusan ladang-ladang milik kerajaan
dan menukar kepada ladang swasta. Ia menghasilkan pengeluaran makanan
yang meningkat dan menamatkan masalah kebuluran ketika itu. Industri
sektor swasta dan operasi perniagaan dibenarkan untuk penswastaan hanya
pada 1980-an sebagai sebahagian progam reformasi ekonomi China. Ia
membabitkan pemilikan yang pelbagai iaitu pengkoperasian, pemilikan
bersama, perkongsian, perkongsian tempatan dan pemilikan menerusi
saham. Kejatuhan blok komunis Eropah Timur pada 1989 menggalakkan
pelaksanaan dasar ini di Hungary, Poland dan Czechoslovakia. Kesatuan
Soviet pula menukar rangka kerja perundangannya pada 1990 untuk
membenarkan penswastaan bagi pemilikan faktor-faktor pengeluaran.
Negara-negara Baltik pula seperti Bulgaria, Romania dan Slovenia turut
melaksanakan dasar yang sama. Vietnam yang terdesak untuk bangkit dari
segi ekonomi juga membenarkan penggabungan syarikat-syarikat swasta dan
di Cuba, kerajaannya mula menjual perumahan awam kepada penyewa
seperti yang dilakukan
Britain sebelum ini.Dengan ini, jelas kesan besar yang dibawa oleh dasar ini
tidak kira apa fahaman sesebuah kerajaan itu, dasar ini tetap akan memberi
apa yang diperlukan oleh sebuah negara iaitu ekonomi yang kukuh dan politik
yang stabil kerana menerusi penguasaan masyarakat sivil dan kekayaan
yang dicipta di dalam negara memberi sesuatu kepada warganegaranya
untuk melupakan sebarang tentangan kepada kerajaan.Alasan-alasan untuk
melaksanakan dasar ini terbahagi kepada empat iaitu pragmatik, ideologikal,
komersil dan populis. Matlamat kelompok pragmatis adalah untuk
meningkatkan tahap keberkesanan di dalam pengeluaran barangan dan
perkhidmatan. Mereka yang melaksanakan dasar ini di atas faktor gerakan
ideologi adalah untuk mengurangkan peranan kerajaan berbanding sektor
swasta, manakala yang bersifat komersil adalah melakukan lebih kerja untuk
menjana keuntungan. Matlamat populis pula untuk mencapai masyarakat
yang lebih baik dengan memberikan kuasa kepada rakyat menerusi dasar ini
serta memenuhi kehendak mereka menerusi pengurangan kuasa birokrasi
sektor awam.Dengan itu matlamat-matlamat keseluruhan pelaksanaan dasar
ini boleh dibahagikan kepada berikut:1. Mengurangkan perbelanjaan
kerajaan – Objektif ini adalah paling banyak digunakan berikutan organisasi
awam sering kali dikaitkan dengan jumlah kakitangan yang ramai kerana sifat
organisasi awam sebagai penaung dan pemberi pekerjaan kepada orang
ramai. Berikutan organisasi yang besar dengan pekerja yang ramai tetapi ia
tidak mampu menjana keuntungan kerana prinsip organisasi awam adalah
pemberi perkhidmatan kepada rakyat. Berikutan itu, proses pertama yang
dilakukan apabila dasar ini dilaksanakan adalah pengecilan saiz organisasi
dan mengurangkan jumlah pekerja. Dengan itu, kerajaan tidak lagi perlu
mengeluarkan belanja yang besar untuk membayar gaji dan menguruskan
organisasi yang tidak memberi pendapatan.

2. Meningkatkan keberkesanan dan kecekapan organisasi – Organisasi


dan kakitangan awam di mana-mana negara mendapat label sebagai lembab,
tidak bermotivasi di dalam memberi perkhidmatan serta tidak cekap
berbanding sektor swasta. Menerusi dasar ini, pendekatan berbeza
digunakan kerana motif keuntungan organisasi memerlukan sebuah
organisasi yang cekap dan pekerja yang kreatif bagi mencapai tujuan itu.
Bagaimanapun, berdasarkan kajian menunjukkan peningkatan kecekapan
dan prestasi adalah tidak dijamin walaupun pertukaran status awam kepada
swasta seringkali dikaitkan dengan peningkatan prestasi organisasi (Parker
1993).

3. Meningkatkan kualiti dan maklum balas terhadap aduan orang ramai –


Pendekatan yang digunakan oleh sektor swasta adalah berbeza dan
dianggap lebih berkualiti daripada sektor awam. Kebanyakan kerajaan
memberi alasan ini untuk melaksanakan dasar penswastaan kerana ia boleh
meningkatkan kualiti menerusi pelaburan terhadap teknologi terkini misalnya
dan kelengkapan lain yang membolehkan sesebuah organisasi bertindak
balas dengan cepat kepada aduan orang ramai.

4. Meningkatkan pendapatan negara – Seiring dengan peningkatan


jumlah syarikat awam yang diswastakan, cukai-cukai yang dikenakan
terhadap syarikat-syarikat memberi kesan yang besar kepada pendapatan
negara. Selain itu, kemasukan pelaburan asing juga memberi kerajaan satu
sumber pendapatan yang dapat mengukuhkan ekonomi sesebuah negara.

5. Meluaskan pemilikan aset-aset ekonomi – Dasar ini membenarkan


beberapa konsep pemilikan bersama dilakukan berasaskan kepentingan
sesebuah negara. Konsep asas yang biasa diamalkan menerusi dasar ini
adalah pengapungan awam, penjualan swasta, pelan pemilikan saham
perkongsian antara pekerja dan majikan serta lain-lain lagi.

6. Disentralisasi ekonomi – Dasar Penswastaan dengan jelas


mengurangkan peranan kerajaan di dalam pasaran menerusi proses
disentralisasi. Dengan itu, diharapkan melalui dasar ini, akan berlaku
persaingan lebih kompetitif di dalam pasaran dan pengguna akan mempunyai
pilihan yang lebih banyak dalam mencapai kepuasan. Bagaimanapun, di
dalam pasaran sebenar, monopoli tetap berlaku terutama kepada
perkhidmatan dan produk-produk keperluan asas pengguna seperti tenaga
elektrik, air, telekomunikasi dan sebagainya. Penswastaan hanya berlaku
pada peringkat pengurusan dan pengguna perlu membayar lebih untuk
menikmati perkhidmatan monopoli yang diberikan.

Seperti ulasan V.I. Lenin:

“Monopoly is exactly the opposite of free competition, but we have seen the
latter being transformed into monopoly before our very eyes, creating large-
scale industry and eliminating small industry, replacing large-scale industry by
still larger-scale industry, finally leading to such a concentration of production
and capital that monopoly has been and is the result”.

7. Mempercepatkan pembangunan ekonomi – Kombinasi antara


kerajaan dan sektor swasta boleh mempercepatkan pembangunan ekonomi
dan fizikal. Menerusi pemberian projek-projek kerajaan kepada sektor swasta
mempercepatkan pembangunan sesebuah negara. Pertukaran teknologi
khususnya yang dikuasai oleh sektor swasta memberi kelebihan kepada
kerajaan dalam mempercepatkan kemajuan dan seterusnya meningkatkan
ekonomi.

8. Menarik pelaburan baru – Menerusi dasar ini, jelas memberi


kelonggaran kepada pelabur-pelabur asing terutamanya untuk datang dan
menanam modal di dalam syarikat-syarikat swasta dan organisasi awam yang
ingin diswastakan dengan tujuan memudahkan peralihan teknologi luar ke
dalam sesebuah negara. Bagaimanapun, kebanyakan negara mengenakan
syarat-syarat lebih ketat dan menggalakkan perkongsian antara pelabur
tempatan dan luar terhadap sesuatu organisasi terutama jika syarikat-syarikat
tersebut mempunyai kepentingan seperti bagi menembusi pasaran
antarabangsa dan mendapatkan teknologi.

9. Mendapatkan sokongan popular – Dengan meluasnya pelaksanaan


dasar ini akan turut melahirkan masyarakat sivil dan kelas-kelas pertengahan
yang menikmati hasil lumayan daripada dasar ini. Seperti di Malaysia
misalnya, pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, DEB yang mempunyai kaitan
dengan dasar ini bertujuan meluaskan pemilikan saham oleh kelompok etnik
tertentu untuk terus bersaing di dalam pasaran.

Jadi, kerajaan sebagai pelaksana dasar ini memperolehi sokongan popular


daripada mereka yang menikmati hasil dasar ini. Berdasarkan pandangan
Antonio Gramsci (1891-1937) yang mengemukakan teori hegemoni, sesiapa
yang dapat menguasai masyarakat sivil akan menguasai politik. Masyarakat
sivil dalam konteks ini termasuklah media cetak, elektronik, badan-badan,
organisasi-organisasi, pertubuhan-pertubuhan, sekolah-sekolah dan
sebagainya. Dengan demikian, menerusi dasar penswastaan ini, kebanyakan
mereka memperolehi dan menikmati imbuhan yang besar seperti kontrak-
kontrak, tender-tender dan sebagainya daripada kerajaan. Selain itu,
masyarakat sivil ini kebanyakannya menguasai dewan-dewan perniagaan dan
persatuan-persatuan yang memudahkan mereka mendapat kelebihan
berbanding masyarakat lain.

10. Memuaskan pihak pemberi pinjaman luar – Seperti telah diketahui,


agensi luar yang aktif menyokong dasar ini adalah Bank Dunia, IMF dan Bank
Pembangunan Asia yang juga pemberi pinjaman kewangan terbesar dunia.
Dengan menuruti agenda mereka, akan membolehkan pinjaman luar lebih
senang diperolehi oleh sesebuah kerajaan.

11. Memperbanyakkan peluang pekerjaan – Objektif dasar ini secara


umumnya adalah jelas iaitu usaha memperbanyakkan peluang pekerjaan
kepada rakyat menerusi pelbagai projek kerajaan yang diswastakan
merangkumi pembinaan, telekomunikasi, perkhidmatan, pengangkutan dan
sebagainya. Pada masa yang sama, penindasan terhadap golongan pekerja
juga berleluasa dan dapat dijelaskan menerusi pendekatan Marxisme.

Berikutan kesan hebat dasar ini yang telah terbukti di semua negara yang
mengamalkannya, pelbagai negara termasuk negara-negara komunis seperti
China dan Russia serta negara-negara Eropah Timur turut melaksanakan
dasar ini untuk tujuan pengukuhan ekonomi serta perkembangan pesat yang
meluas sistem ekonomi kapitalisme di seluruh dunia dan tidak dapat dihalang
lagi oleh sistem sosialis serta komunis. Contoh Pelaksanaan Dasar
Penswastaan DiMalaysia Dasar ini diperkenalkan di Malaysia pada 1983
berikutan kelembapan prestasi sektor awam yang memerlukan perubahan
polisi. Kritikan ketika itu begitu ketara sehingga kakitangan sektor awam
dilabel sebagai lembab, tidak produktif serta kurang kreatif dalam memberi
perkhidmatan kepada orang ramai. Pendekatan untuk beralih kepada
penswastaan ini dipersoalkan kerana tiada usaha yang bersungguh-sungguh
untuk mengubah mentaliti dan prestasi kakitangan sektor awam selain
pendekatan penswastaan (Jomo 1992). Penswastaan sebenarnya tidak
mengatasi masalah pada peringkat akar umbi seperti melatih kakitangan
sektor awam ke arah lebih cekap dan berkesan dalam memberi perkhidmatan
kepada pengguna. Di Malaysia, penswastaan dilihat sebagai peralihan kuasa
monopoli kepada pihak swasta untuk memaksimumkan keuntungan.
Malaysia menjadi antara negara terawal melaksanakan dasar ini di bawah
pentadbiran Tun Mahathir Mohammad. Dari sudut ekonomi politik, jelas dasar
ini digunakan bagi membolehkan kaum Bumiputera di bawah Dasar Ekonomi
Baru, DEB menikmati pertumbuhan ekonomi yang setanding bangsa-bangsa
lain. Bagi pemerhati luar, campur tangan kerajaan ini bersifat sosialisme dan
sokongan kepada dasar penswastaan sebagai langkah ke arah pengukuhan
hegemoni kapitalis. Berikutan itu, ia memberi kesan langsung dari segi
kebajikan kepada rakyat terutama kakitangan awam, pengguna dan golongan
miskin (Jomo 1992). Antara syarikat awam yang diswastakan sejak tahun
1980-an di Malaysia termasuk Syarikat Penerbangan Malaysia, Telekom
Malaysia Berhad, Perbadanan Otomobil Nasional, PROTON dan lain-lain.
Bidang lain yang diswastakan adalah tenaga elektrik, air, telekomunikasi dan
keperluan penting pengguna yang lain.Pelan Induk Penswastaan, PIP
diperkenalkan di negara ini bagi melaksanakan dasar ini dan membenarkan
bentuk-bentuk pelaksanaan penswastaan seperti berikut:
• Penswastaan keseluruhan
• Penswastaan sebahagian
• Penswastaan terpilih
• Penswastaan kontrak
• Penswastaan bina-kendali-pindah, BOT dan bina-kendali, BO
• Penswastaan pajakan
• Penswastaan pemilikan saham
• Penswastaan bercorak pengurusan
• Penswastaan melalui perubahan

Berdasarkan jenis-jenis penswastaan ini amat jelas bahawa kerajaan pada


praktiknya mempunyai peranan yang luas dalam pasaran dengan menguasai
syarikat-syarikat swasta menerusi pemilikan saham bersama atau pelantikan
mereka yang mempunyai hubungan terus serta berkepentingan dengan
institusi politik. Di Malaysia, pelaksanaan dasar penswastaan juga merujuk
kepada aktiviti-aktiviti berikut berdasarkan keterangan K.S Jomo di dalam
bukunya “Privatizing Malaysia: Rents, Rhetoric, Realities” (1995):

• Penjualan atau pelucutan pemilikan awam yang bermaksud perkhidmatan


awam terbabit perlu dikorporatkan secara sah sebagai syarikat berhad bagi
memudahkan penjualannya seperti penubuhan Syarikat Telekom Berhad,
Tenaga Nasional Berhad dan lain-lain.

• Penjualan saham minoriti atau majoriti syarikat yang dimiliki negara


kepada orang awam seperti Sistem Penerbangan Malaysia, MAS pada 1985
dan Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia, MISC pada 1987.

• Penjualan saham kepada pelabur institusi contohnya penjualan 5 peratus


saham MAS kepada kerajaan Brunei pada 1986.

• Penjualan atau penyewaan asset fizikal seperti penjualan Hospital Lady


Templer kepada syarikat Rampai Muda dalam tahuan 1984.

• Pelaburan bersama kerajaan dan sektor swasta. Ini jelas dilihat pada
tahun 1983 dengan penubuhan Perbadanan Otomobil Nasional, Proton
dengan pegangan saham 70 peratus oleh Syarikat Industri Berat Malaysia,
HICOM, 30 peratus saham dimiliki oleh Syarikat Mitsubishi dan Syarikat
Motor Mitsubishi.

• Pembiayaan projek-projek infratruktur oleh sektor swasta menerusi skim-


skim yang dirangka kerajaan misalnya pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan
dan pembinaan skim rumah murah pada pertengahan 1980-an.

• Pengeluaran kontrak kerja dan perkhidmatan kepada kontraktor luar yang


sebelum dilaksanakan oleh kerajaan seperti
medan letak kereta, kutipan sampah, perkhidmatan terminal kontena
Pelabuhan Klang dan pembangunan telekomunikasi.
• Membenarkan persaingan swasta yang sebelum ini dimonopoli oleh pihak
kerajaan. Sebagai contohnya, pelancaran saluran TV3 pada 1984 yang
dimiliki oleh Sistem Televisyen Malaysia Berhad untuk memberi saingan
kepada Radio Televisyen Malaysia, RTM.Selepas 20 tahun, Dasar
Penswastaan Malaysia[1] ini terus diamalkan dengan meluas dan begitu
banyak projek terus diberikan kepada syarikat-syarikat awam yang
diswastakan yang kemudian menjana begitu banyak keuntungan.

Hubungan Masyarakat Sivil Dan Dasar Penswastaan Di Malaysia

Tradisi Marxis terutama yang dipelopori oleh Antonio Gramsci menganalisa


bagaimana sistem kapitalisme begitu berjaya dan meluas tanpa ada revolusi
oleh golongan pekerja di Eropah pada abad ke-20. Gramsci mendapati
kejayaan utama sistem kapitalisme adalah kerana kejayaan mereka
menguasai masyarakat sivil menerusi hegemoni iaitu persetujuan untuk
mendapatkan kuasa tanpa kekerasan. Takrifan lain berhubung
masyarakat sivil adalah sebagai satu kesatuan sivil diterjemahkan sebagai
ruang tindakan yang bebas daripada pengaruh pemerintah dan amat
berpotensi untuk menggerakkan penentangan politik terhadap regim
pemerintah terutama yang bersifat oligarki. Masyarakat sivil adalah
satu set institusi bukan kerajaan yang mempunyai kekuatan untuk
mengimbangi kuasa kerajaan, menghalang tindak tanduk pemerintah yang
bertentangan dengan nilai kemanusiaan. Masyarakat sivil juga bertindak
sebagai pengawal keamanan dan penjaga kepentingan umum. Masyarakat
sivil juga adalah sebuah institusi yang mampu menghalang pemerintah
daripada mendominasi dan memanipulasi majoriti masyarakat. Selain itu,
masyarakat sivil kebiasaannya digunakan untuk menjelaskan hubungan
sosial yang bukan sahaja semata-mata ebrsifat persendirian atau awam tetapi
hubungan sosial yang terkandung di dalam sesebuah organisasi yang bersifat
sukarela yang bertujuan memoralkan sistem yang telah sedia wujud. Ia dapat
dilihat di dalam konteks kesatuan sosial seperti pertubuhan bukan kerajaan,
NGO, persatuan-persatuan, dewan perniagaan dan sebagainya.Dalam
kerangka pemikiran Marxis ini, perbincangan mengenai masyarakat sivil
mestilah menumpukan kepada perbincangan dalam konteks kesatuan sivil
yang bersifat sebagai penentang kepada pemerintah. Ia juga membawa
maksud konsep masyarakat sivil sebagai agen perubahan terhadap sistem
politik sesebuah negara. Sebagai kesan daripada perbincangan ini, aliran
pemikiran Marxis mengemukakan teori bahawa entiti sosial yang dilabel
masyarakat sivil itu berfaedah, berfungsi atau amat diperlukan di dalam
masyarakat. Kewujudannya akan membawa kepada pembentukan kehidupan
sosial yang ideal dalam hubungan hidup bermasyarakat dan bernegara.Pada
zaman sekarang, konsepsi terhadap masyarakat sivil tidak lagi berbentuk
neutral dan idea mengenai masyarakat sivil adalah idea politik. Dan Gramsci
menegaskan bahawa, mana-mana pihak yang dapat menguasai masyarakat
sivil akan memperolehi kuasa dan sesebuah kerajaan itu akan menjadi kuat
kerana sokongan kelompok ini yang memainkan peranan penting di dalam
negara. Di dalam konteks Malaysia, kelas pertengahan menguasai
sebahagian besar masyarakat sivil menerusi pembabitan dan memegang
jawatan-jawatan tinggi di dalam badan-badan masyarakat sivil serta
melahirkan lebih ramai anggota kelas pertengahan serta perluasan kelas ini
akan mengukuhkan kerajaan.Di sinilah pendekatan ekonomi politik amat jelas
serta berguna dalam melihat pelaksanaan dasar penswastaan di negara-
negara dunia. Menggunakan tindakan atau polisi bersifat ekonomi dan pada
masa yang sama mampu mengukuhkan politik sesebuah kerajaan dapat
memastikan kelangsungan mereka memegang kuasa. Kebanyakan kelas
menengah lahir menerusi faedah dan imbuhan besar yang disalurkan
menerusi dasar ini dan mereka yang menikmati pelbagai imbuhan dan
dengan kehendak yang dipenuhi akan menjadi pengawal kepada sesebuah
kerajaan.Jika di Malaysia, kaitan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, DEB
dengan Dasar Penswastaan adalah jelas dan menjadi sasaran kerajaan untuk
membantu kaum Bumiputera mencapai sasaran 30 peratus pemilikan saham
atau ekuiti syarikat pada 1990. Pada 1970 pemilikan saham oleh Bumiputera
hanya sekitar 2.4 peratus dan bagi tempoh 1981 hingga 1985, jumlah itu
meningkat kepada 17 peratus dan pada 1990, jumlah keseluruhan saham
Bumiputera termasuk saham persendirian dan amanah mencecah 31 peratus
saham. Peratusan yang meningkat ini juga menunjukkan dasar ini telah
berjaya membantu kerajaan mencapai aspirasi untuk menyaksikan kaum
Bumiputera ini mencapai kejayaan ekonomi yang merapatkan jurang dengan
kaum lain dan pada masa yang sama melahirkan golongan-golongan elit dan
kelas-kelas yang berpihak kepada kerajaan.Dasar penswastaan berjaya
menukar konsep masyarakat sivil sebelum ini yang dianggap sebagai
kumpulan penyemak, pengkritik, pemantau dan penentang kepada kerajaan
kepada kumpulan yang kuat menyokong sesebuah kerajaan berikutan
keperluan hidup yang berjaya dipenuhi oleh kumpulan ini dan ganjaran yang
dinikmati mereka.

Pihak Yang Terjejas Berikutan Dasar Penswastaan Menerusi pendekatan


ekonomi politik juga, dua golongan yang terjejas dan menanggung kesan
langsung ekoran dasar ini adalah rakyat yang tidak berkepentingan di dalam
kerajaan atau parti-parti pemerintah. Mereka ini adalah rakyat biasa yang
tidak mempunyai jawatan tinggi dan terpaksa menanggung kos yang tinggi
bagi mendapatkan perkhidmatan daripada kerajaan. Sebelum penswastaan,
rakyat hanya perlu membayar kos yang sedikit untuk perkhidmatan kerajaan
seperti penggunaan lebuh raya, tarif tenaga elektrik dan air misalnya,
perkhidmatan pembentungan dan sebagainya. Bagaimanapun, bayaran itu
kemudian meningkat lebih tinggi apabila dasar ini dilaksanakan kerana sektor
awam yang menjadi penaung rakyat mula beroperasi bagi mencari
keuntungan dan menjana kekayaan kepada negara. Dengan mudah,
dasar ini mencipta keuntungan yang besar melalui tekanan kepada rakyat
yang perlu membayar harga yang tinggi untuk perkhidmatan-perkhidmatan
kerajaan. Sehingga di dalam masyarakat, perbezaan adalah amat jelas di
antara kelas-kelas iaitu kelas atasan dan pertengahan lebih mudah
dikenalpasti kerana kemampuan mereka untuk menggunakan perkhidmatan-
perkhidmatan swasta yang lebih mahal, manakala golongan bawahan
cenderung untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan yang masih ada bagi
perkhidmatan kerana kos yang murah. Ini jelas sekali memberi implikasi
buruk kepada sektor kebajikan kepada rakyat terutama yang miskin dan tidak
mempunyai pendapatan tinggi. Golongan lain yang menghadapi kesan
langsung ekoran dasar ini adalah kumpulan pekerja. Syarikat awam yang
diswastakan terlebih dahulu akan melaksanakan proses pengecilan
organisasi bagi meningkatkan kecekapan syarikat dan memaksimumkan
penggunaan tenaga kerja. Pelaksanaan dasar ini menyaksikan begitu ramai
pekerja yang diberi pilihan untuk persaraan awal dengan jumlah pampasan
yang tidak setimpal atau diberhentikan tanpa adanya sistem sokongan yang
dapat membantu golongan pekerja selepas proses pengecilan
organisasi.Kikeri (1998) di dalam kajiannya untuk Bank Dunia menyatakan
bahawa para pekerja terbabit dan kesatuan sekerja perlu dimaklum mengenai
proses reformasi apabila sesebuah organisasi awam ingin diswastakan dan
memastikan pekerja menerima manfaat menerusi dasar berkenaan seperti
mekanisme pemilikan melalui saham pekerja. Selain itu, pekerja yang
diberhentikan perlu diberi pampasan setimpal dan sokongan pendapatan
yang lain bagi menjamin kebajikan golongan pekerja dan membantu mereka
menjalani proses intergrasi semula ke dalam pasaran buruh di samping
menghapuskan halangan-halangan ke arah penciptaan peluang pekerjaan
baru.Pembayaran pampasan menerusi skim pemberhentian sukarela
merupakan amalan biasa bagi mengurangkan pekerja sesebuah organisasi
apabila berlaku penswastaan dan kerajaan perlu memainkan peranan penting
seperti menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk membantu pekerja.
Penstrukturan semula pekerja adalah sesuatu yang perlu biarpun proses
penswastaan tidak berlaku kerana ia adalah sebahagian proses dalam
meningkatkan keupayaan syarikat terutama yang sentiasa mengalami
kerugian. Maka dalam hal ini, jelas golongan pekerja sentiasa terdedah
kepada risiko persaraan awal dan kehilangan punca pendapatan utama serta
memerlukan latihan semula bagi memasuki pasaran buruh.Tansel (1998)
yang menjalankan kajian terhadap pekerja di Turki yang diberhentikan
berikutan penswastaan mendapati golongan pekerja bawahan paling teruk
terjejas berikutan kehilangan sumber pendapatan utama berbanding pekerja-
pekerja yang lebih muda, pekerja yang berpendidikan dan mereka yang
bekerja sendiri. Daripada aspek kebajikan pula, keadaan adalah lebih teruk
selepas diberhentikan berikutan ketiadaan jaringan keselamatan sosial yang
efektif di negara berkenaan. Berikutan itu, sebahagian besar daripada 1,248
responden yang dikaji berhasrat untuk kembali semula kepada pekerjaan
lama bagi meningkatkan tahap kebajikan mereka.Fretwell, Benus dan
O’Leary (1999) menjalankan penilaian semula terhadap kesan program buruh
aktif membabitkan mereka yang terjejas seperti diberhentikan atau terpaksa
bersara awal berikutan pelaksanaan penswastaan serta lain-lain
penstrukturan ekonomi. Program buruh aktif telah menimbulkan perdebatan
berikutan perbezaan pandangan bagaimana golongan pekerja ini dapat
dibantu. Dua pendapat yang sentiasa bercanggah dalam menyediakan lebih
banyak peluang pekerjaan adalah pembabitan kerajaan dan peranan pihak
pelabur atau swasta. Ada pihak yang mengatakan langkah yang bersifat kos
efektif untuk meningkatkan peluang pekerjaan adalah menerusi penciptaan
iklim pelaburan yang baik dan mengurangkan campur tangan kerajaan dalam
pasaran. Penyertaan kerajaan hanya dibenarkan dalam memberi latihan
kemahiran kepada mereka yang mengganggur supaya membolehkan mereka
kembali bersaing dalam pasaran buruh. Kajian berkenaan
mencadangkan supaya program-progam latihan kepada pekerja yang terjejas
tersebut diadakan termasuk memberi pekerjaan sementara yang bersifat
kemasyarakatan dan mengadakan pemantauan terperinci untuk menganalisa
tren terkini pasaran buruh serta membolehkan mereka menerima latihan
bersesuaian untuk bersaing semula.Kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa,
ILO (1996) mengenai kesan penswastaan di Pakistan melihat isu pekerja dari
sudut statik dan dinamik. Dari perspektif yang statik, apa yang berlaku
terhadap pekerja dan sektor pekerjaan di Pakistan berikutan penswastaan
adalah relevan dan aspek dinamik pula adalah bidang pekerjaan berhubung
rapat dengan objektif kerajaan untuk meningkatkan produktiviti. Dalam jangka
masa panjang, peningkatan produktiviti dan ekonomi akan mewujudkan
suasana positif kepada pertumbuhan pekerjaan walaupun pihak pekerja
menerima kesan agak negatif. Di Pakistan, penswastaan
menyebabkan pekerja-pekerja di sektor awam kehilangan perlindungan sosial
mereka yang sebelum ini disediakan oleh kerajaan sebelum proses
penswastaan. Kebanyakan pekerja juga terpaksa menjalani latihan kemahiran
semula bagi menyesuaikan diri dengan organisasi baru yang bertujuan
meningkatkan keuntungan syarikat.Wilde (1999) yang menjalankan kajian
mengenai peranan majikan dalam proses penswastaan menjelaskan bahawa
golongan pekerja dan kesatuan sekerja perlu diberi penjelasan terperinci
mengenai segala aspek yang membabitkan mereka dalam proses berkenaan
dan majikan perlu mengambil apa yang terbaik untuk memastikan proses
tersebut berjalan dengan lancar. Latihan untuk meningkatkan kecekapan
pengurusan perlu diikuti oleh jabatan pengurusan supaya semua aspek
penswastaan dapat ditangani khususnya pengendalian tenaga buruh.Bagi
menjelaskan fenomena ini dari sudut ekonomi politik maka amat tepat jika
pendekatan teori Marxisme dan konflik antara kelas. Antara pandangan
kritikal Karl Marx adalah asas ketidakseimbangan kuasa antara kelas-kelas.
Bagi pendukung liberal, borjuis iaitu pemilik faktor-faktor pengeluaran dan
golongan proletariat iaitu pekerja sepatutnya mempunyai kebolehan
membentuk persefahaman atau perhubungan yang aman dan bermanfaat.
Bagi Marx, borjuis dan proletariat terperangkap di dalam satu hubungan yang
berat sebelah. Pekerja-pekerja yang menganggur dan ketidakmampuan
mereka menyusun gerakan pekerja memberikan kapitalis kuasa di dalam
semua perbincangan. Tekanan akibat persaingan dan usaha mencipta
keuntungan yang paling maksimum menyebabkan borjuis dengan kejam
mengekploitasi pekerja di bawah mereka. “Each system of production creates
ruling and ruled classes. Each epoch is marked by a particular way of
extracting income for the rulers. In Roman times, whoever owned a slave
owned a claim on output. In feudal times, lords owned a claim on a output of
serfs. Under capitalism, owners of factories and land owned a claim on the
output of their wage laborers”“Modern industry has converted the little
workshop of patriarchal master into the great factory of industrial capitalists.
Masses of laborers, crowded into the fatory, are organized like soldiers. As
private of the industrial army they are placed under the command of a perfect
hierarchy of officers and seargents. Not only are they slaves of the bourgeois
class, and of the bourgeois state, they are daily and hourly enslaved by the
machine, by the overlooker and above all, by the individual bourgeois
manufacturer himself. The more openly this despotism proclaims gain to be
its end and aim, the more petty, the more hateful and the more embittering it
is”.

Marx dan Engels Marx berhujah bahawa penumpuan kekayaan di


dalam tangan segelintir kapitalis seterusnya membawa kepada penghapusan
sebilangan besar pekerja. Dalam masa yang sama, teknologi yang turut
menjadi sebahagian komponen dasar penswastaan ini secara berperingkat
akan menggantikan pekerja mewujudkan pengangguran dan menghadkan
bayaran gaji kepada tenaga buruh. Inilah realiti yang sedang dialami oleh
pasaran buruh di semua negara yang mengamalkan dasar ini sebagai
pengukuhan kepada ekonomi dan politik negara terbabit. Perspektif Teori
Ekonomi Politik Klasik Terhadap Dasar Penswastaan Asas pendekatan teori
ekonomi politik klasik atau liberlisme yang dikenali sebagai “Laissez-Faire,
Laissez-Passer” mengangkat pandangan mengenai kebimbangan campur
tangan kerajaan yang keterlaluan di dalam pasaran dan usaha membebaskan
pembebasan individu daripada tekanan negara. Pihak liberal yakin terhadap
usaha memimpin ke arah pasaran bebas. Dalam konteks klasik ini,
tokoh utama pendekatan ini adalah Francois Quesnay (1694-1774), Adam
Smith (1723-1790) dan David Ricardo (1772-1823) yang menolak
sepenuhnya penyertaan kerajaan di dalam pasaran ekonomi kerana ia
menjejaskan masyarakat dalam mencari kekayaan serta mencipta
keuntungan. Quesnay mengutuk campur tangan kerajaan di dalam pasaran
kerana menjejaskan masyarakat selaras dengan slogan pendekatan ini iaitu
“Laissez-Faire, Laissez-Passer” yang bermaksud “let be, let pass” yang juga
mempunyai semangat “jangan campur tangan, biarkan kami sendirian” yang
ditujukan kepada kerajaan atau negara. Smith menyifatkan kerajaan
sebagai berbahaya dan tidak boleh dipercayai serta tidak boleh aktif di dalam
pasaran bebas yang menyokong inisiatif individu, pemilikan harta swasta dan
campur tangan yang terhad oleh kerajaan. Keadaan itu boleh digambarkan
menerusi pernyataan Smith di dalam karyanya The Wealth Of Nation, seperti
di bawah: “According to the system of natural liberty, the sovereign has only
three duties to attend to, three duties of great importance, indeed, but plain
and intelligible to common understanding; first, the duty of protecting the
society from the violence and invasion of other independent society;
secondly, the duty of protecting, as far as possible, every member of the
society from the injustice or oppression of every other member of it, or the
duty of establishing an exact administration of justice; and thirdly, the duty of
erecting and maintaining certain public works dan certain public institutions,
which it can never be for the interest of any individual, or small number of
individuals, to erect and maintain; because the profit could never repay the
expence to any individual or small number of individuals, though it may
frequently do much more than repay it to the great society”.

Melalui pendekatan klasik ini, jelas peranan kerajaan hanya untuk bertindak
sebagai pelindung kepada anggota masyarakat menerusi bidang
perundangan dan membina kemudahan-kemudahan rakyat. Walaupun, dasar
penswastaan dikatakan sebagai satu proses meliberalisasikan pasaran
dengan pengurangan peranan kerajaan di dalam pasaran, ia hanya berlaku
pada sudut teori sahaja. Ini kerana, dasar penswastaan membolehkan
kerajaan atau sesebuah negara memainkan peranan lebih besar di dalam
pasaran. Syarikat-syarikat awam yang diswastakan mempunyai kuasa
monopoli dan kerajaan tetap mempunyai kepentingan serta suara di dalam
organisasi-organisasi tersebut melalui pemilikan saham bersama atau
menerusi pelantikan wakil-wakil atau individu-individu yang berkepentingan
untuk melindungi hak-hak kerajaan di dalam syarikat. Hubungan kerajaan dan
individu terbabit pula memudahkan pemberian kontrak-kontrak besar kepada
mereka untuk dilaksanakan menerusi syarikat-syarikat swasta. Dengan
itu, kerajaan mempunyai kuasa penuh di dalam pasaran dan memudahkan
proses penciptaan keuntungan dengan memberi perkhidmatan bercaj tinggi
kepada rakyat umum. Bukti yang nyata pula, kemudahan-kemudahan rakyat
yang disebut “public works” turut mengalami proses penswastaan dan
sebahagian besarnya mengenakan bayaran untuk rakyat mendapatkan
perkhidmatan. Penguasaan kerajaan di dalam pasaran ini terbukti dengan
kenaikan caj atau bayaran bagi sebahagian besar projek atau perkhidmatan
yang telah diswastakan yang menjelaskan lagi betapa pengaruh kerajaan
dapat menentukan hala tuju pasaran tempatan. Analisa Dasar Penswastaan
secara keseluruhannya telah berjaya mengukuhkan sesebuah kerajaan yang
melaksanakannya dan bagi politik dunia, ia telah berjaya mengurangkan
populariti ideologi komunis yang bertujuan menghapuskan penindasan atara
kelas-kelas yang disebabkan oleh pemilikan harta swasta. Kejayaan besar
dasar ini tidak dapat lagi ditandingi oleh mana-mana kerajaan sekalipun
termasuk komunis di China, Russia dan negara-negara bekas komunis
Eropah Timur kerana ia memberi manfaat yang terlalu besar kepada
sesebuah kerajaan, kesan ekonomi dan politik yang kukuh.

Selain menjana pendapatan negara dan pengukuhan ekonomi,


kelahiran ramai kelas-kelas menengah dan atasan yang mengisi peranan
sebagai masyarakat sivil akan menjadi pengawal kepada sistem politik dan
memastikan kerajaan yang melaksanakan dasar ini terus kukuh. Mereka akan
dikatakan sebagai pengawal kerajaan kerana amat penting memelihara
kerajaan daripada unsur-unsur yang boleh menidakkan mereka daripada
menikmati imbuhan serta keselesaan hidup hasil dasar ini. Peralihan syarikat
awam kepada swasta memberi ruang kepada kerajaan untuk meluaskan
kewujudan masyarakat sivil terutama yang menikmati banyak imbuhan dari
segi kemewahan dan keperluan hidup.. Secara ringkas, menerusi dasar ini,
kerajaan sebenarnya telah berjaya menguasai dua elemen penting iaitu
ekonomi dan politik.Sistem politik yang teguh dan pendapatan yang besar
berjaya diperolehi daripada dasar ini. Pihak yang menjadi mangsa adalah
rakyat kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi menerusi dasar ini dan
ia pula semakin meningkat. Umumnya, keuntungan yang diperolehi syarikat-
syarikat swasta ini adalah daripada rakyat yang perlu membayar harga mahal
untuk menikmati sesuatu perkhidmatan meliputi sistem jalan raya,
telekomunikasi, elektrik dan lain-lain lagi. Dibimbangi kegiatan yang terlalu
menekankan kepada keuntungan akan menghakis nilai-nilai murni dalam
sesebuah masyarakat.

Dengan itu, pada pendapat saya, pelaksanaan dasar ini memerlukan


keseimbangan yang teliti yang memberi faedah kepada kerajaan, sektor
swasta dan pentingnya rakyat dilindungi dan bukan dieksploitasi semata-mata
untuk keuntungan segelintir pihak tertentu. Mungkin selepas berdekad
dilaksanakan dengan meluas, akan sampai pada satu titik setiap negara
untuk melihat semula kesan-kesan negatif dasar penswastaan ini seterusnya
menyediakan satu perancangan alternatif untuk membolehkan hasilnya
dinikmati oleh semua lapisan rakyat tanpa ada diskriminasi.

[1] Berdasarkan laporan Rancangan Malaysia Kelapan, RMK8, 98 projek utama negara telah
diswastakan membabitkan pelbagai sektor seperti pembinaan, pengangkutan, elektrik, gas dan
sebagainya. Manakala, sejak 1983, sebanyak 203 syarikat telah diswastakan dengan ekutiti Bumiputera
mencecah 25.6% peratus pada tahun 2000 dengan nilai melebihi RM8 bilion bagi saham pemilikan
syarikat awam yang diswastakan sahaja tidak termasuk saham amanah dan saham persendirian