Anda di halaman 1dari 1

IBU tunggal bersama empat anak termasuk seorang berstatus orang kurang upaya (OKU) tinggal

sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Pulau Duyong Kecil, Kuala Nerus, musnah
dijilat api, hari ini.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, rumah pusaka didiami Rohaini Yusof, 52, musnah 100 peratus
dengan kerugian dianggarkan bernilai RM50,000.

Rohaini berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika dia bersama empat anaknya berada di kawasan
halaman rumah sebelum dia terlihat asap dari ruang tamu disusuli api besar membakar
kediamannya.

"Saya nampak asap diikuti api dan terus beritahu jiran yang rumah terbakar sebelum suami kepada
jiran menghubungi bomba.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan kami memang tak sempat nak selamat atau ambil apa-apa
barang termasuk dokumen penting dan barangan berharga lain," katanya ketika ditemui di lokasi
kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Mokhtar
Dollah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.44 tengah hari
sebelum 23 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya berdepan kesukaran kerana jalan terlalu sempit selain pili bomba berada
pada jarak 120 meter dari tempat kejadian.

Katanya, api berjaya dipadam pada 2.04 petang dengan punca kejadian dan jumlah kerugian masih
dalam siasatan.