Anda di halaman 1dari 7

Teks Pidato : Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia

Bahasa Melayu indah nan santun,


  Mekar-megah di pentas dunia,
Jari sepuluh kemas kususun,

Mohon bicara nan menyusun kata.

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,  salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
Salam aprisiasi saudara pengatur majlis,
Barisan panel penghakiman penuh berkarisma,
Guru-guru seterusnya rakan-rakan yang sentiasa celik akal minda  dan penerus  wadah
tonggak negara.

Sidang hadirin yang dihormati,

Tajuk pidato saya Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia.   Bahasa sangat luas pengertiannya,
bahasa tidak hanya merujuk sebagai satu sistem linguistik  semata-mata, tetapi bahasa juga
citra  budaya bangsa Malaysia dan fungsi bahasa  itu sendiri sebagai alat perhubungan sosial
dalam masyarakat.  Menurut Pendeta Bahasa  Zaaba  , bahasa merupakan citra masyarakat,
budaya, akal budi, jiwa atau roh sesuatu bangsa.  Keintelektualan dan tamadun bangsa
membuktikan peranan terbesar bahasa sesuatu bangsa. Melalui bahasa orang dapat mengenal
sesuatu bangsa  atau petunjuk kepada sesuatu kebudayaan.  Sebagai warga Malaysia, kita
seharusnya menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan sebagai jiwa bangsa kita dan
citra jati diri kita. Sesungguhnya jiwa sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada bahasanya .  Pada
bahasa itulah tergambar etos atau semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan
tanah air yang dipunyai secara bersama.

Bicara saya yang pertama,

Bahasa Melayu Citra Bangsa 1 Malaysia

Bahasa Melayu merupakan wasilah  terpenting  dalam  menyatukan bangsa Malaysia.


Sesungguhnya, apa yang termaktub dalam Perkara 152 yang menyediakan peruntukkan-
peruntukkan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan .Bahasa
Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu yang merdeka, bahasa Melayu bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah,
bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Justeru niat murni mendaulatkan bahasa Melayu dapat  menyatupadukan kaum-kaum, yang
terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, dan lain-lain di bawah satu bahasa.  Cuba kita bayangkan,
bagaimana selepas hampir 55  tahun merdeka, jika kaum Melayu hanya dengan bahasa
Melayunya, dan kaum Cina dengan bahasa Mandarin,Tionghua, ataupun Hokkien nya, dan
kaum India pula dengan bahasa Tamil nya sahaja, maka bagaimanakah kewujudan bangsa
Malaysia dapat direalisasikan?  Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan
asal-usul mendaulatkan bahasa  Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka akan terzahirlah
citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa, iaitu bangsa  1 Malaysia. Sebaliknya, jika
kitamendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing’. Lantas, akan
terencatlah pembentukan jati diri  kita sebagai bangsa 1 Malaysia.  Ayuh , marilah k ita
berbahasa Melayu   sebagai  bahasa kebangsaan – 1 bahasa,  1 bangsa, 1 nusa  dalam
merealisasikan wawasan 2020.

Hadirin hadirat sekalian,


Bicara  saya yang kedua,
Bahasa Melayu Memajukan Bangsa Malaysia,

Bahasa Melayu menjadi pemancu   ke arah kemajuan bangsa. Sesungguhnya untuk


mewujudkan satu bangsa itu bukanlah mudah. Suka saya tegaskan di sini, bahawa dalam
konteks  pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan
sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan, bukannya bahasa-bahasa asing.
Walaupun kita mempelajari bahasa asing sebagai bahasa  global, namun kita tidak
seharusnyamembiarkan jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing.  Cuba kita
teladani , Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea,  negara-bangsa di benua
Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus
membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing .
Nah , sewajarnya kita menjadikan bahasa Melayu  sebagai bahasa ilmu, teknologi dan
peradaban moden.  Justeru, akan tercapailah gagasan pemajuan negara dan pembinaan
bangsa Malaysia, jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan kita
sendiri, siapa lagi?
Inilah prinsip umbi yang seharusnyakita junjung, jika kita benar-benar serius untuk mewujudkan
bangsa Malaysia, bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Seterusnya, izinkan saya meneruskan  bicara saya yang ketiga
Bahasa Melayu Memartabatkan Bangsa Malaysia

Bahasa Melayu memartabatkan bangsa Maysia . Bahasa adalah penanda identiti atau jati diri
sesuatu bangsa.Tetapi malangnya,dewasa kini kita dapat lihat bangsa kita sendiri telah
memusnahkan kesantunan bahasa Melayu itu dengan pelbagai aspek yang tidak bermoral.
Kesannya, bagaimana untuk kita memartabatkan bangsa kita? Bagaimana untuk dunia
memandang tinggi bangsa kita? jika kita sendiri tidak tahu menghargai keunikan dan
keindahannya. Pembudayaan bahasa Melayu harus nyata .Di plaza tol lebuh raya kini terdapat
bahasa tanda yang berbunyi, Lorong Touch n Go. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak
rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang
memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah Lorong pacu segera Sudahkah kita betul-
betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan touch n
go Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran
istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch n go. Tepuk
dada, tanya selera.
Sudah sampai masanya semua pengiklanan dalam negara menggunakan bahasa Melayu
dengan betul daripada aspek hukum nahu bahasa Melayu.  Penggunaan  bahasa Melayu yang
diselangi perkataan dan nilai bahasa asing secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-
mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya
dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi bahasa Melayu yang berterusan. Bahasa Melayu
yang baik akan memartabatkan bangsa Malaysia.

Kesimpulannya, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan membentuk jiwa kita sebagai
satu bangsa.Sekiranya bahasa yang kita martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang
akan terpancar daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa memandang
tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah jiwa kebangsaan kita, dan berjayalah
pembentukan jati diri kita sebagai bangsa yang bermaruah. Bahasa itu citra sesuatu bangsa.
Akhir kata;

Yang kurik itu kendi,


Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warah matullahiwabarakatu.

Bismilahhiramannirahim

         Kalau tidak kerana bintang,

         Tak akan bulan kelihatan tinggi ,

         Kalau tidak kerana pidato,

         Tak akan saya berada disini.

        Datang bahtera dari Medan ,

        Singgah sebentar di laluan Kerai,

        Salam satu Malaysia saya hulurkan ,

        Kepada warga dewan pembuka tirai.

Assalamualikum  W.B.H      

       Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi bijaksana yang
sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak
jamnya, para perserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya hormati.

  

       
Jauh berlayar si pedagang Cina ,

            Singgah di Melaka menjual sutera .

        Bahasa melayu bahasa perantara ,

            Tonggak utama perpaduan negara

Hadirin dan hadirat yang dihormati

            Cogan kata Hidup Muafakat Membawa Berkat merupakan antara cogan kata yang
dicipta untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam kehidupan
masyarakat yang berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang, permuafakatan bererti
perpaduan. Situasi ini dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu teguh bercerai roboh. Keadaan ini
membawa kebaikan dan kejayaan kepada seluruh anggota masyarakat berkenaan.
Sesungguhnya, negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia berpaksikan pada
perpaduan untuk meneruskan kelangsungan keharmonian di dalam negara. Saya yakin bahawa
perpaduan penting dalam sesebuah negara. Dalam usaha melonjak status negara
berpendapatan tinggi dan bagi merealisasikan dasar transformasi kerajaan, soal perpaduan
tidak boleh dipandang enteng kerana bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan
mendaulatkan maruah bangsa. Usaha membina negara bangsa yang bersatu padu ini
sebenarnya boleh dilakukan jika setiap rakyat mengerti akan kepentingan bahasa kebangsaan
sebagai tonggak perpaduan setiap rakyat di Malaysia. Oleh itu, izinkan saya untuk menjelaskan
dengan lebih terperinci tentang wacana ilimiah kita pada hari ini yang bertajuk Bahasa Melayu
Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.

Hadirin yang dirahmati,

          Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita menelusuri akar-
akar cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah negara Malaysia. Apabila
memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang lampau, nyatalah bahawa Bahasa Melayu
sudah berfungsi sebagai lingua franca yang didefinisikan sebagai bahasa perantaraan antara
masyarakat pada zaman itu.Hal ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila kita meneliti catatan
ilmuwan Inggeris seperti R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah
digunakan sebagai bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat yang
berkunjung ke Melaka ketika itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah ke golongan biasa,
setiap insan di Melaka ketika itu berkomunikasi dengan bahasa tercinta kita yang tidak lapuk
dek hujan tak lekang dek panas. Tidak lain dan tidak bukan,sudah tentulah Bahasa Melayu.
Nah, apa lagi yang kita pertikaikan tentang kemampuan bahasa kebangsaan kita sebagai
wadah perpaduan? Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa hamparan sejarah jelas
membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan yang cemerlang di
dunia.

Hadirin yang dihormati,

          Melalui bahasa Melayu, sebarang konfrantasi, buruk sangka dan salah faham antara
kaum dapat dikikis dengan mudah. Saya suka untuk meminjam kata-kata pujangga pendeta
Zaaba yang berbunyi bahasa menunjukkan bangsa. Apabila kita melihat masyarakat bertutur
dalam bahasa Melayu, sudah terang lagi bersuluh bahawa mereka ialah bangsa Malaysia.
Daripada kata-kata hikmat tersebut, saya sangat percaya bahawa bahasa Melayu sedikit
sebanyak akan mengurangkan semangat kecinaan, kemelayuan ataupun keindiaan.

          Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan ah

          Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu

          Pelatlah dengan pengaruh bahasa natif,asalkan setiap kaum di Malaysia dapat bermesra
dan bertukar-tukar maklumat dan fikiran hanya dengan menggunakan bahasa Melayu. Langkah
Dewan Bahasa memasukkan entri perkataan baharu setiap kali edisi baharu terbit merupakan
langkah yang patut dipuji kerana perkataan pinjaman daripada bahasa Cina dan India yang
mengalami proses kemalaysiaan sememangnya dapat mewujudkan perpaduan. Apa yang
penting, setiap kaum di Malaysia tidak akan kekok untuk berbicara dalam bahasa kebangsaan.
Apabila tidak kekok berbicara, sudah tentulah juga tidak kekok untuk bermesra. Apabila sudah
bergaul mesra, nyatalah bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk itu akan
terbina kukuh di bawah payung Satu Malaysia. Berdasarkan hujah ini, nyatalah bahawa bahasa
Melayu itu merupakan medium untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyrakat di
Malaysia.

Hadirin yang dikasihi,

          Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah bahasa Melayu
turut menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan data yang saya peroleh
daripada Arkib Negara, saya amat kagum dengan pencapaian bahasa Melayu kerana hampir
800 buah buku ilmiah ditulis dalam bahasa Melayu oleh rakyat Malaysia sendiri. Untuk
pengetahuan hadirin, ilmu pengetahuan merupakan perkara yang sangat penting untuk
memupuk perpaduan. Masarakat yang tidak berilmu ibarat masyarakat yang tidak bertamadun.
Apabila tidak bertamadun, sudah tentulah masyarakat bertindak membuta-tuli mengikut hati dan
naluri. Oleh itu, sudah tentulah kucar-kacir akan menodai keamanan sesebuah negara. Saya
juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan
segunung pernghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mengembalikan
mandat kepada bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik. Sesungguhnya,
langkah ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara murid-murid di luar bandar dan di
kawasan bandar. Dalam soal keharmonian, sudah tentulah kita tidak mahukan sebarang jurang
bertatah di dalam kehidupan masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu boleh
memecahbelahkan perpaduan. Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran subjek
kritikal ini, sudah tentulah jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan itu dirapatkan,
sudah tentulah perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi. Selain dasar baharu itu,
usaha Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program Memartabatkan Bahasa
Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMBMI) dilihat sebagai wahana yang sangat utama
untuk menjadi tonggak perpaduan. Pengisiannya jelas menunjukkan bahawa betapa prihatinnya
pihak kerajaan terhadap kedaulatan bahasa Melayu dan betapa arifnya kerajaan tentang
peranan bahasa Melayu sebagai tonggak perpaduan.

Hadirin yang dirahmati,

          Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan
kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa kebangsaan akan
merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa
insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan kita di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu,
sayangilah bahasa Melayu kita, hormatilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu
tonggak perpaduan bangsa.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai