Anda di halaman 1dari 7

 Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Dato' Syed Esa, Puan Hjh

Rohanah bt Esmail, Yang dihormati Guru Penolong Kanan Petang


Puan Kalsom bte Haron,  barisan hakim yang adil lagi bijaksana,
guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian.
Asalamualaikum , salam sejahtera serta salam satu Malaysia

           Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


            Berdirinya  saya pada hari ini yang berbahagia ini, adalah
untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Punca-
punca Gejala Buli di Sekolah serta langkah-langkah
menanganinya.  Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin
saya kemukakan satu soalan iaitu , apakah sebenarnya yang
dimaksudkan dengan rangkai kata 'gejala buli?

           Hadirin yang dihormati sekalian,


Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud
masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina,
mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan
oleh seseorang terhadap pemangsanya.Menurut kajian, kes buli
ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan
pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana
angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah
yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa
punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada
masalah kes buli ini.

   Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah


kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar
yang terlibat.   Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai
murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama.
Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama manusia, kasih-
sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan
sebagainya.  Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli ini
tidak lagi menghayati dan mengamalkan suruhan agama.  Mereka
sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian
orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain.
Ringkasnya,   ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka
menyebabkan gejala buli ini semakin berleluasa.

           Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala


buli ini.  Pada zaman yang serba moden inil kebanyakan ibu bapa
terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk meningkatkan
taraf kehidupan mereka.  Hal ini menyebabkan mereka kurang
memberikan belaian kasih sayang, kemesraan dan prihatian
kapada anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir Ibu
bapa yang keluar bekerja seawal 6.30 pagi dan pulang lewat
malam. Mereka tidak ada masa untuk mengambil tahu
perkembangan anak-anak terutama yang remaja.  Tugas dan
tanggungjawab menjaga anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada
pembantu rumah.  Justeru, kekurangan perhatian daripada ibu
bapa turut menjadi punca gejala buli ini.
.   Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga
merupakan salah satu punca yang penting menyebabkan pelajar
terlibat dalam kegiatan membuli ini.  Para pelajar yang masih
terlalu muda,  dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah
setampuk pinang sebahagian besarnya masih belum boleh
berfikir dengan matang.  Contohnya, mereka amat mudah
terpengaruh dengan tindakan rakan sebaya dan tidak dapat
berfikir tentang baik buruknya tindakan mereka itu. Jika kawan-
kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-
ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli
kumpulannya.  Jelaslah,  rakan sebaya yang menjadi orang
penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca
gejala buli ini.
Bagaimana dengan pihak media massa?  Seperti yang kita
ketahui, media masa terutamanya televisyen sering menayangkan
filem-filem yang berunsur keganasan, pergaduhan dan
sebagainya.  Filem dan rancangan terutamanya dari barat dan
Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti
rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan
jelas membewa pengaruh buruk kepada remaja kita.  Pelajar
meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli rakan-
rakan mereka yang lain.

     Tuan-tuan dan puan-puan serta rakan seperjuangan sekalian,

               Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada


penyembuhnya’.  Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh
dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.
Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan
juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam
kurikulum di sekolah.  Contohnya,  melalui mata pelajaran seperti
Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan
sebagainya, ilmu tentang gejala-gejala negatif terutamanya buli
dan kesan-kesan buruknya perlu dimasukkan dalam sukatan.  
Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini
merupakan satu kesalahan yang boleh menggelapkan masa
hadapan meeka.   Pelajar juga didedahkan dengan pelbagai
maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan
cara-cara mengelakkan mereka daripada terbabit dalam kes buli
ini.

                  Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti


buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari
semasa ke semasa bagi menyedarkan para pelajar agar menjauhi
diri daripada gejala buli.   Pihak luar seperti NGO boleh dipanggil
untuk mengadakan pameran dan ceramah tentang gejala buli ini.
Selain itu pihak sekolah sendiri boleh menganjurkan aktiviti seperti
kuiz, pidato dan sebagainya tentang kes buli dan juga boleh
menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah
Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan
memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara
mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa
dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi
yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua
pelajar tahu akannya.

    Seterusnya , yang paling penting ialah diri pelajar itu


sendiri.  Para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana
kawan yang baik akan membawa mereka ke arah kebaikan dan
begitulah sebaliknya.  Umpama berkawan dengan penjual minyak
wangi, secara tidak langsung badan kita juga akan sentiasa wangi.
Contohnya, jika berkawan dengan orang yang minat membaca
buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan gemar
membaca bersama-sama. Oleh itu, jika pelajar mesti  bijak
memilih kawan, supaya tidak terjebak dalam gejala buli di sekolah.

                 Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu


dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini.
Para pelajar boleh menjadi mata dan telinga kepada para guru di
sekolah.  Contohnya jika para pelajar ternampak kes buli itu
berlaku atau menjadi mangsa pembuli, mereka harus
memberanikan diri untuk melaporkan kepada guru disiplin atau
pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi
dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

          Hadirin yang dihormati sekalian,

.      Memang tidak dapat dinafikan lagi, pihak sekolah turut


memainkan peranan penting untuk menangani gejala buli ini.
Setiap laporan yang diterima daripada guru atau pelajar mesti
diambil tindakan dengan segara.  Pihak sekolah boleh berjumpa
dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan
juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi
oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak
sekolah tidak harus berkompromi dengan kes buli malah harus
mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar
dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai
iktibar kepada pelajar yang lain.

            Tidak syak lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang


penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa
haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak
mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka.
. Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku yang
baik, contohnya  tidak bertengkar atau bergaduh di hadapan
anak-anak , bergaul dengan baik dan mesra ketika berurusan
dengan jiran tetangga dan orang lain.  Bak kata bidalan,
bagaimana acuan , begitulah kuihnya.  Ibu bapa yang baik akan
melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.

.             Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan


dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus
meluangkan masa dengan anak-anak dan sentiasa mengambil
berat tentang keadaan anak mereka semasa di
sekolah. Contohnya, pada hujung minggu atau cuti, ibu bapa
boleh membawa anak-anak bercuti untuk mempererat kemesraan
keluarga.  Perhatian dan  belaian kasih sayang yang sepenuhnya
kepada mereka akan menyebabkan  mereka tidak berasa sunyi
dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk nilai-nilai murni
dalam sanubari anak-anak mereka sejak kecil lagi seperti
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Dengan ini
anak-anak akan menyayangi ibu bapa dan sentiasa sudi
meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka
bagi mengatasinya bersama-sama.

             Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian


negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat
mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja.
Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan
tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini
kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan
akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa
Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu,
semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam
usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa
mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga
berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi
muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat
martabat bangsa dipersada dunia.

Hadirin yang dikasihi sekalian,


Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh
dan memohon kemaafan jika ada kesilapan tutur kata semasa
menyampaikan syarahan saya tadi.  Semoga apa yang telah saya
sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita
semua.  Akhir kata terimalah dua rangkap pantun daripada saya.

        Kalau ada jarum yang patah,


     Jangan di simpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
     Jangan disimpan di dalam hati.

        Padi muda jangan ditampi;


    Padi huma si beras jati;
Generasi muda harapan pertiwi,
    Didiklah mereka seikhlas hati.

Anda mungkin juga menyukai