Anda di halaman 1dari 17

Tafsir al-Quran Tempatan Serta Metodologi Penafsiran dan Penulisannya

Posted on July 13, 2017

1. PENGENALAN

Terdapat pelbagai karya-karya utama mufassirin terdahulu antaranya ialah yang cukup dikenali dan
tersohor dalam dunia Islam, kitab Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Quran oleh Abu Ja’far Muhammad
b. Jarir al-Tabari (m. 310H), Tafsir al-Qur’an al-‘Azim oleh Ibn Abi Hatim al-Razi (m. 327H)dan banyak
lagi yang telah menjadi rujukan penting para ilmuwan Islam terkemudian. Kepentingan kitab-kitab
tersebut terserlah apabila kitab-kitab tersebut turut menjadi sumber rujukan ulama’-ulama’ di
Nusantara yang lahir selepas kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu seawal abad ke-7 M dan
berkembang ke Tanah Melayu melalui peranan mubaligh-mubaligh Islam yang datang berdagang
dengan satu matlamat menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat setempat.

Kemunculan ulama’-ulama’ Islam di Alam Melayu membuktikan keberkesanan terhadap


penyampaian ilmu oleh para mubaligh Islam yang pada ketika itu adalah berbentuk lisan sahaja.
Pembudayaan ilmu yang diterapkan ke dalam jiwa mereka menjadi pemangkin semangat mereka
menimba ilmu ke Timur Tengah bagi mendalami pelbagai bidang keilmuan seperti fiqh, tauhid,
tasawwuf, hadis dan tafsir yang seterusnya disampaikan dan disebarkan melalui hasil-hasil karya
bahasa Melayu-Jawi yang amat bernilai bagi mengurangkan tahap kejahilan di kalangan masyarakat
setempat. (Yahya, 2001)

Pengajian al-Quran dan tafsir di Malaysia sudah lama bermula sejak zaman dahulu, sama ada secara
formal atau tidak formal. Pengajian bermula di rumah-rumah Tok Guru, surau, madrasah, masjid dan
sebagainya yang merupakan pusat-pusat pengajian agama. Pengajian berkenaan dengan al-Quran
lebih rasmi dan tersusun apabila sistem Pengajian Pondok diadakan di Malaysia dan dipelajari pula di
sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi. Penulisan kitab-kitab agama dalam bahasa
Melayu telah berlaku lebih awal jika dibandingkan dengan penulisan kitab-kitab tafsir. Selepas tahun
1909 penulisan berkenaan dengan tafsir al-Quran berkembang lebih luas sehingga ke hari ini.
(Yusoff, 1995)

Pada peringkat awal, pengajian tafsir di Malaysia berkembang dalam sistem pengajian pondok.
Institusi pengajian ini menjadikan karya-karya tafsir klasik sebagai teks bagi para pelajar dengan
huraian tekstual. Bagaimanapun orientasi pengajian tafsir al-Quran berubah menjadi sistem
pengajian formal di peirngkat sekolah. Ini dapat dibuktikan dengan subjek tafsir dimasukkan dalam
mata pelajaran di Sekolah Arab Maahad Muhammadi pada 1945. Beberapa tahun kemudian, ia
dimasukkan ke dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia pada 1959 bagi sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Pada peringkat ini, para pelajar
tidak hanya disajikan dengan karya-karya tafsir klasik, malah juga karya-karya tafsir moden dengan
sajian metodologi pengajaran yang lebih efektif. Kepentingan menguasi ilmu tafsir untuk memahami
al-Quran semakin mendesak, justeru pengajiannya diangkat ke peringkat lebih tinggi. Ini dapat
dilihat apabila ilmu tafsir mula diajarkan kepada mahasiswa di Akademi Pengajian Islam, Fakulti Sains
Sosial, Universiti Malaya pada tahun 1959. Pengajian ilmu ini terus berkembang ketika subjek yang
berkaitan dengan tafsir menjadi sebahagian dari silibus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi
lain seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti
Sains Malaysia dan beberapa universiti lain dari semasa ke semasa. (Abdullah et al., 2009)
Tugasan ini adalah bertujuan bagi memperkenalkan di antara sebahagian daripada karya dan
pengarang tafsir al-Quran tempatan di Malaysia khususnya dan di nusantara amnya serta
metodologi penafsiran dan penulisannya. Tugasan ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu
bahagian pertama akan memperkenalkan karya dan pengarang tafsir al-Quran tempatan yang
terdapat di Malaysia antara lain menjelaskan secara umum berkenaan dengan nama karya tersebut,
pengarang, penerbit, tahun terbitan, jumlah halaman, cetakan dan perkara berkaitan dengan intipati
karya tersebut. Bahagian kedua di dalam tugasan ini pula akan menjelaskan secara lebih terperinci
dua daripada karya-karya yang dinyatakan di bahagian pertama dengan menggunakan pendekatan
ulasan kepada karya-karya tersebut secara kritis dan analitif dalam akademik atau ilmiah. Bahagian
ketiga ialah bagi menjelaskan berkenaan dengan metodologi pentafsiran dan penulisan secara
perbandingan dengan terperinci kepada dua buah karya yang telah dinyatakan di bahagian kedua.
Bahagian terakhir tugasan ini pula akan membincangkan berkenaan dengan kekuatan dan
kelemahan dengan lebih mendalam kepada kedua-dua buah karya tersebut dengan lengkap beserta
dengan fakta-fakta yang releven.

2. KARYA DAN PENGARANG TAFSIR AL-QURAN TEMPATAN

            Penulisan karya tafsir di Malaysia merupakan kesinambungan daripada pengajian tafsir yang
diadakan di masjid, pondok, dan institusi pengajian formal. Muncul karya-karya tafsir setempat
dengan berbagai aliran sesuai dengan latar belakang pendidikan tokoh lulusan Mekah, Madinah,
Mesir, Pakistan dan India. Pengaruh dari institusi tersebut mewarnai aliran penafsiran yang dibawa
oleh mereka seperti tradisional, islah dan al-Dihlawi. (Abdullah et al., 2009). Terdapat usaha dirintis
oleh ‘Abd al-Ra’uf al-Sinkili (m.1695 M) dengan karyanya Tarjuman al-Mustafid di Indonesia.
(Sulaiman, 2012). Merujuk kepada penulisan kitab-kitab tafsir di Malaysia, sepanjang yang dapat
dikesan bahawa kitab tafsir dalam bahasa Melayu yang dicetak pada peringkat awal ialah
Kitab Tafsir Nur al-Ihsan yang lengkap 30 juzu’ al-Quran yang dicetak kali pertama pada tahun 1934.
(Yusoff, 1995). Keseluruhan kitab-kitab tafsir dapat dikategorikan kepada lima bentuk iaitu lengkap
30 juzu’, Tafsir Surah-surah tertentu sahaja, Tafsir juzu’-juzu’ sahaja, Tafsir Maudhui’ (bertajuk), dan
tulisan di dalam bentuk manuskrip. Penulisan mengenai tafsir al-Quran di Malaysia ini terbahagi
kepada dua bentuk iaitu pertama melalui karya asal dan kedua ialah melalui terjemahan.

            Antara karya asal dan terjemahan yang menjadi rujukan masyarakat di Malaysia ialah
sebagaimana berikut:-

2.1       Karya Asal

 2.1.1    Tafsir Nur al-Ihsan

Kitab tafsir ini telah ditulis oleh Tuan Haji Muhamad Sa’id Bin Omar. Beliau lahir pada tahun 1854 di
Kampung Kuar, Jerlun, Kedah Darul Aman. Beliau pernah mendapat pendidikan awal di Pattani dan
Mekah dan beliau dikenali dengan panggilan Tok Lebai, penulis dan guru tafsir al-Aquran. Kitab tafsir
yang ditulis oleh beliau ini adalah lengkap 30 juzu’ dan telah dicetak beberapa kali. Cetakan ketiga
adalah pada tahun 1970 oleh Maktabah Dar al-Ma’arif, Pulau Pinang. Tafsiran di dalam karya ini
adalah ringkas dan boleh difahami maksud ayat dan tidak diperluaskan perbahasan mengenai
perbezaan pendapat dalam kalangan ahli-ahli tafsir. Bentuk penulisan di dalam karya ini adalah
terikat dengan gaya bahasa melayu lama yang sebahagiannya agak sukar untuk difahami oleh
generasi pada hari ini.
2.1.2    Tafsir Pimpinan Al-Rahman

Pengarang dan penterjemah bagi karya ini dikendalikan oleh dua tokoh mufassir iaitu Ustaz Faisal Hj.
Othman yang menyiapkan 10 juzu’ pertama dan Tuan Sheikh Abdullah Basmeih yang menyiapkan 20
juzu’ yang berikutnya. Manakala penyemakkan terhadap karya ini ialah melalui Tuan Hj. Muhammad
Noor Ibrahim yang merupakan mantan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan. Karya ini lengkap 30 juzu’ al-
Quran dan mula dicetak pada tahun 1980 Sehingga kini karya ini telah beberapa kali diulang cetak
dan telah diulang cetak untuk kali ke sepuluh pada tahun 1990 yang mana telah dikeluarkan oleh
Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Pusat Islam, JPM). Cetakan kedua
belas kitab ini juga diterbitkan oleh Darul Fikri, Kuala Lumpur pada tahun 2001. Kitab tafsir ini ringkas
dan mudah difahami oleh setiap pembaca kerana cara terjemahan makna adalah dengan bahasa
yang digunakan pada masa kini (pada ketika cetakan dibuat). Disamping itu, kitab ini juga dibuat
penjelasan pada nota kaki bagi menjelaskan mana-mana ayat yang perlu diberi penjelasan.
Walaubagaimanapun, kitab ini tidak dapat diperluaskan tafsirannya. Karya ini adalah antara karya
yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia dan sewajarnya dijadikan rujukan oleh masyarakat kini.

            2.1.3    Khulasan al-Quran

Kitab ini adalah dari penyusunan semula oleh Ustaz Wan Ismail bin Wan Nawang daripada isi kuliah
tafsir yang diberikan oleh Tuan Gurunya, Maulana Hj. Abdullah Awang Nuh. Kitab ini diterbitkan oleh
Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Cetatakan pertama kitab ini adalah
pada tahun 1982. Kitab ini adalah berlainan dengan kitab-kitab tafsir yang lain kerana tidak ditafsir
keseluruhan ayat. Terjemah maksud dan tafsirnya adalah merupakan intisari dan hikmat al-Quran
bagi setiap surah, sebagai satu kaedah untuk memahami isi kandungan al-Quran dengan mudah.
Dari segi susunan, kitab ini amat menarik keana dimulakan dengan panduan petunjuk ayat, iaiatu
dibuat bahagian-bahagian yang tertentu dengan disenaraikan ayat-ayat dan surah-surah mana untuk
dirujuk atau dicari seperti bahagian iman, tauhid, syirik, nifaq, kafir dan sebagainya.

            2.1.4    Tafsir al-Quran al-Hakim

Ditulis oleh Mustafa bin Abdul Rahman yang berasal dari Perak yang dilahirkan pada tahun 1918 dan
meninggal dunia pada tahun 1967. Beliau merupakan bekas penuntut Universiti Al-Azhar, Mesir dan
Masjidil Haram Mekah selama 15 tahun. Kitab ini adalah di antara kitab tafsir yang besar bentuknya
di dalam bahasa melayu. Pengarang hanya dapat menyiapkan sebanyak 27 juzu’ sahaja. Dicetak
sebanyak lima kali, cetakan pertama ialah pada tahun 1949 manakala cetakan kelima adalah pada
tahun 1959 oleh Persama Press Pulau Pinang. Tafsiran di dalam kitab ini sederhana, tidak terlalu
ringkas dan tidak terlalu panjang. Terdapat juga keadaan di mana dibawa pendapat-pendapat dalam
kalangan ahli-ahli tafsir pada sesetengah tempat. Bahasa yang digunakan di dalam karya ini juga
mudah difahami oleh semua pringkat pembaca.

            2.1.5    Tafsir al-Rawi Juzu’ ‘Amma

Ditulis oleh Tuan Haji Yusoff bin Haji Abdullah bin Haji Nuruddin al-Rawi, dilahirkan pada 8 Mei 1922
dan berasal dari Pulau Pinang. Pengarang mendapat pendidikan di Maahad al-Falah Mekah dan
mendapat Diploma al-Takhassus al-Dini. Terdapat sesetengah pandangan menyatakan bahawa
cetakan pertama adalah pada tahun 1950 dan diterbitkan oleh Maktabah al-Haj Abdullah bin
Muhammad Noordin al-Rawi, Pulau Pinang. (Abdullah et al., 2009). Tafsir al-Rawi ini hanya satu juzu’
sahaja iaitu juzu’ ‘Amma. Terdapat juga sesetengah pendapat menyatakan ianya dicetak pada tahun
1951 dan cetakan terakhir pada tahun 1975. (Yusoff, 1995). Walaupun tafsirannya ringkas, tetapi
menarik, dibawa maksud ayat kemudian dibuat huraian dan kesimpulan dari ayat-ayat tersebut.
Kitab tafsir ini mendapat pengikitirafan daripada Majlis Agama Islam dan Isitiadat Melayu Kelantan
melalui surat perakuan bertarikh 2 Mac 1952. (Kadir & Mazlan, 2002)

            2.1.6    Tafsir Pedoman Muttaqin

Kitab Tafsir Pedoman Muttaqin adalah kitab tafsir yang dikarang oleh Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor
(Abdul Hayei A.S.) yang dilahirkan pada 6 November 1947 di Pasir Mas, Kelantan. seorang tokoh
hadith yang mufassir terkemuka di Malaysia. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Pondok
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Sekolah Menengah Ma’had Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan sebelum
melanjutkan pelajaran ke Dar al-Ulum, Deoband, India. Seterusnya beliau melanjutkan pendidikan ke
Universiti al-Azhar, Mesir dan mendapat Ijazah master (S2) dalam bidang al-Qur’an dan al-Hadith.
Kemudian pada tahun 1988 beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Hadith dari
Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia dengan tesis yang berjudul “Sumbangan Syah Waliyullah
al-Dihlawi kepada Pengajian Hadith dan Pengaruhnya di Kelantan”.

Tafsir ini merupakan kesinambungan kepada Tafsir Pimpinan al-Rahman sebelumnya. Jika tafsir
Pimpinan al-Rahman ditulis untuk memimpin masyarakat Islam memahami dan menghayati isi
kandungan al-Qur’an, maka penulisan Tafsir Pedoman Muttaqin bertujuan untuk menjadi pedoman
kepada orang-orang yang bertaqwa setelah mendapat pimpinan dan bimbingan. Kitab ini ditulis
berdasarkan inisiatif dari Perdana Menteri Dato’ Seri ‘Abdullah Hj. Ahmad Badawi dalam pertemuan
beliau dengan ulama’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Perdana Putra,
Putrajaya, Malaysia pada 30 Oktober 2006. Perdana menteri pada saat itu memberikan pandangan
dan menyarankan agar interpretasi terhadap isi kandungan al-Qur’an perlu sentiasa dinamik sejajar
dengan keunggulan Islam. Berdasarkan inisiatif tersebut, kajian dan beberapa sesi perbincangan
dilakukan dan akhirnya JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) memberikan mandat kepada
Abdul Hayei A.S. untuk menyusun kitab tafsir sebagai pedoman kepada ummah dan demi ketinggian
Islam di Malaysia. (Abdullah M. , 2009).

Kitab ini telah diterbitkan sebanyak 4 juzu’ iaitu juzu 1 yang dimulai dari Surah al-Fatihah hingga
surah al-Baqarah ayat 141, dan juzu’ 2 mentafsirkan Surah al-Baqarah dari ayat 142 sehingga ayat
286 manakala juzu’ 28 dimulai dari Surah al-Mujadalah hingga Surah al-Tahrim dan juzu’ 29
mentafsirkan Surah al-Mulk sehingga Surah al-Mursalat. Juzu’ 3 dan 4 masih belum diterbitkan tetapi
majlis pentashihannya telah diadakan pada 6 hingga 8 April 2009 di Sepang, Selangor. Manakala bagi
juzu’ 5 dan 6 juga telah melalui pentashihan pada 22 sehingga 24 Jun 2010 di Bangi. (Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)).

Penerbitan pertama tafsir ini bagi juzu’ 1 dan 2 adalah pada tahun 2008 oleh JAKIM, Kuala Lumpur
dan terbitan keduanya pada tahun 2010 adalah melalui penerbit yang sama manakala juzu’ 28 dan
29 telah diterbitkan oleh Utusan Publication lebih awal sebelum penerbitan juzu’ 1 dan 2 iaitu pada
tahun 2003. Tafsir ini akan disempurnakan di dalam 30 juzuk. Setiap juzuk tafsir ini mengandungi
antara 750 hingga 800 halaman. Tafsir ini akan diterbitkan dalam dua juzuk setahun dan dijangka
siap sepenuhnya dalam tahun 2020. (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM))

2.2       Terjemahan
            Kitab-kitab tafsir yang telah diterjemahkan adalah di antara kitab-kitab yang terkenal dalam
kalangan umat Islam tempatan dan dunia Islam seluruhnya. Dalam tulisan ini, hanya beberapa buah
kitab terjemahan yang disentuh antaranya ialah tafsir al-Jalalain dan Tafsir fi Dzilal al-
Qur’an. (Yusoff, 1995)

            2.2.1    Tafsir al-Jalalain

Tafsir al-Jalalain yang dikarang asal dalam bahasa arab oleh dua orang ulama’ terkenal dari Mesir
iaiatu Jalal al-Din al-Mahalli dan Jalal al-Din al-Sayuti. Kitab tafsir ini adalah di antara kiab tafsir di
dalam bahasa arab yang ringkas, hanya ditafsir atau diberi penjelasan sahaja, iaitu pada ayat-ayat
yang susah difahami. Tafssir ringkas begini lebih sesuai kepada orang-orang arab atau orang yang
sudah memahami al-Quran. Kitab tafsir ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa melayu oleh al-
Marhum Tuan Shaikh Othman Jalaluddin yang berasal dari Kampung Panjang, Daerah Sering, Kota
Bharu, Kelantan. Beliau dilahirkan pada tahun 1880 dan meninggal dunia pada 1952. Beliau
mendapat pendidikan awal di Pondok Tok Kenali, Kota Bharu Kelantan dan selepas itu beliau
menyambung pengajian pondok di Bukit Mertajam, Seberang Perai.

                       2.2.2    Tafsir fi-Dzilal al-Qur’an

Karangan asal oleh Tuan Sayyid Qutb dari Mesir. Kitab tafsir ini antara yang terkenal di seluruh dunia
Islam. Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa melayu oleh dua tokoh yang berlainan iaitu
yang pertama oleh Ustaz Ismail bin Mohd Hassan, bekas Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri
Terengganu dan diterbitkan oleh Yayasan Islam Terengganu yang mana cetakan pertama adalah
pada tahun 1986 yang dicetak oleh Syarikat Percetakan Yayasan Islam Negeri Terengganu, Gong
Badak Kuala Terengganu. Terjemahannya hanya sempat untuk disiapkan pada satu juzu’ sahaja.
Kedua, diterjemahkan oleh Ustaz Yusoff Zaki Yaakub yang berasal dari Kota Bharu Kelantan. Beliau
dilahirkan pada tahun 1928 dan belajar di American Universiti, Cairo dalam bidang falsafah dan
psikologi. Kitab terjemahan ini dicetak oleh Percetakan Darul Naim, Kelantan dan telah dicetak
sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1989 dan 1990. Terjemahannya hampir siap 30 juzu’. (Yusoff,
1995)

3. DUA KARYA BESERTA ULASAN KRITIS DAN ANALITIS

            Berdasarkan kepada sebahagian daripada karya-karya penulisan tafsir tersebut, perbincangan


akan difokuskan kepada dua karya pilihan antaranya ialah Tafsir al-Rawi Juzu’ ‘Amma karya Haji
Yusof bin Haji Abdullah al-Rawi (Haji Yusof Rawa) dan Tafsir Pedoman Muttaqin karya Dr. Abdul
Hayei Abdul Sukor (Abdul Hayei A.S.).

            3.1       Tafsir Al-Rawi Juzu’ ‘Amma

Kitab yang dikarang oleh Haji Yusof Rawa dikenali dengan nama Tafsir al-Rawi Juzu’ ‘Amma yang
ditulis dalam bahasa Arab di depan muka kulit kitab. Haji Yusof Rawa telah menamakan kitab
penulisannya dengan nama al-Rawi, dinisbahkan kepada ketuninannya iaitu Rawa, tetapi dalam
bahasa Arab dikenali sebagai al-Rawi. Di samping itu juga, beliau sendiri telah menggunakan nama
pena dengan Ibn al-Rawi. Kitab ini dicetak oleh syarikat percetakan beliau sendiri yang diwarisi
daripada bapa beliau iaitu Syarikat Haji Abdullah bin Muhamad Noordin al-Rawi yang merupakan
kedai kitab yang terkenal bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di seluruh tanah air. Syarikat
percetakan ini didirikan pada tahun 1910, terletak berhampiran dengan Masjid Melayu, Pulau Pinang
di No: 55, Lebuh Acheh, 10200 Pulau Pinang. Kitab tafsir ini mula dicetak pada 23 Zulkaedah 1369
atau tahun 1950 dan diulang cetak beberapa kali kemudiannya. Kitab Tafsir al-Rawi ini adalah
sebuah kitab tafsir yang ringkas yang memuatkan tafsir surah-surah yang terkandung dalam juzu’
‘Amma atau juzu’ 30. Tafsir ini telah dibahagikan kepada dua bahagian, bahagian satu dan bahagian
dua. Ini adalah kerana Haji Yusof Rawa sendiri telah menyiapkan sebahagian surah-surah dalam juzu’
30 dan dijadikan bahagian pertama pada tahun 1950 dan kemudiannya menyiapkan sebahagian
surah-surah yang lain dan dijadikan bahagian kedua pada tahun berikutnya, iaitu tahun 1951. Di
samping itu juga, kemungkinan bagi memudahkan orang atau pelajar membawa atau memilikinya di
merata-rata tempat lebih-lebih lagi ke sekolah. Ia juga merupakan kitab yang mudah dan ringkas
untuk difahami erti atau makna ayat-ayat daripada surah-surah yang lazim dihafaz dan dibaca di
dalam solat. Kitab Tafsir al-Rawi ini mendapat pengiktirafan daripada Majlis Agama Islam dan
Istiadat Melayu Kelantan melalui surat perakuan yang terdapat di dalam kitab ini yang bertarikh
pada 2 Mac 1952. Menurut surat perakuan tersebut kitab ini telah disemak dan diedarkan kepada
Majlis Ulama’ serta disahkan bahawa kandungan kitab tafsir ini tidak mengandungi kesalahan dan
penafsirannya adalah betul mengikut kehendak ayat-ayat yang ditafsirkan. Pengarang telah
membahagikan kitab penulisan beliau kepada dua bahagian. Mengenai masa dan kadar yang diambil
oleh pengarang untuk menyiapkan kitab ini adalah tidak dapat dikenalpasti. Namun begitu
pengarang berjaya menyiapkan kitab ini pada bahagian yang pertama pada hari Khamis malam
Jumaat iaitu pada 9 Jamadilawal 1370H dan disemak serta diperbetulkan bagi cetakan kedua pada 9
Ramadhan 1379H. Bahagian keduanya pula ialah pada 9 Zulkaedah 1370H dan disemak serta dibuat
pembetulan untuk cetakan yang kedua pada 16 Rejab 1384H. Dalam bahagian pertama, pengarang
telah mentafsirkan beberapa surah dan memberikan sedikit huraian tentang Bismillah. Bahagian
pertama kitab ini telah menghuraikan surah-surah bermula dari surah al-Fatihah sehingga surah al-
Duha, yang terkandung dalam 104 halaman bercetak. Dalam bahagian kedua kitab Tafsir ini, beliau
menyambung surah yang seterusnya bermula dari surah al-Lail sehingga surah al-Naba’, yang
terkandung di dalam 203 halaman yang bermula daripada mukasurat 105 hingga 203. Pengarang
telah menggunakan beberapa kitab rujukan dalam menghasilkan karya beliau antaranya ialah Tafsir
Juz’ ‘Amma-Imam Muhammad ‘Abduh, Hasyiah al-‘Allamah al-Sawi ‘ala Tafsir al-Jalalayn, Tafsir al-
Maraghi-juzu’ 30, Tafsir al-Shawkani atau  Fath al-Qadir, Tafsir al-Jawahir Li Faylasuf
Tantawi Jawhari, The meaning of the Glorius Qur’an  karya Marmudake Pickthall, Khazinah al-
Ansar  dan Tafsir Nur al-Ihsan. (Kadir & Mazlan, 2002).

            3.2       Tafsir Pedoman Muttaqin

Kitab Tafsir Pedoman Muttaqin adalah sebuah kitab tafsir kontemporari berbahasa Melayu ditulis
oleh Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor. Baliau ialah salah seorang cendikiawan muslim termuka di
Malaysia. Tafsir ini ditulis sebagai kesinambungan kepada tafsir Pimpinan al-Rahman yang telah
dirintis sebelumnya dan bertujuan untuk menjadi pedoman kepada umat Islam setelah mendapat
bimbingan dari tafsir Pimpinan al-Rahman. Penulisan Tafsir Pedoman Muttaqin masih dalam peroses
penyelesaian dan dijangka siap sekitar tahun 2020. Secara ringkasnya kitab ini telah diterbitkan
sebanyak 4 juzu’ iaitu juzu 1 yang dimulai dari Surah al-Fatihah hingga surah al-Baqarah ayat 141,
dan juzu’ 2 mentafsirkan Surah al-Baqarah dari ayat 142 sehingga ayat 286 manakala juzu’ 28
dimulai dari Surah al-Mujadalah hingga Surah al-Tahrim dan juzu’ 29 mentafsirkan Surah al-Mulk
sehingga Surah al-Mursalat. Juzu’ 3 dan 4 masih belum diterbitkan tetapi majlis pentashihannya
telah diadakan pada 6 hingga 8 April 2009 di Sepang, Selangor. Manakala bagi juzu’ 5 dan 6 juga
telah melalui pentashihan pada 22 sehingga 24 Jun 2010 di Bangi. Penerbitan pertama tafsir ini bagi
juzu’ 1 dan 2 adalah pada tahun 2008 oleh JAKIM, Kuala Lumpur dan terbitan keduanya pada tahun
2010 adalah melalui penerbit yang sama manakala juzu’ 28 dan 29 telah diterbitkan oleh Utusan
Publication lebih awal sebelum penerbitan juzu’ 1 dan 2 iaitu pada tahun 2003. Tafsir ini akan
disempurnakan di dalam 30 juzuk. Setiap juzuk tafsir ini mengandungi antara 750 hingga 800
halaman. (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)).

Untuk memudahkan para pembaca, pengarang meletakkan beberapa judul khusus berdasarkan
kandungan ayat yang akan ditafsirkan. Kemudian mengemukakan fahrasat (daftar isi)
Hadith, athar dan sya’ir yang dimasukkan dalam pentafsiran pada akhir kitab setiap juz. Inilah di
antaranya keistimewaan Tafsir Pedoman Muttaqin dibandingkan dengan kitab tafsir lain. Kitab ini
ditulis menggunakan bahasa melayu tulisan rumi dan pengarang mengemukakan sinopsis pada
setiap surah yang ditafsirkan. Pengarang juga menggunakan
pendekatan ma’thur  dan ma’qul. (Sulaiman, 2012). Penjelasan secara terperinci akan dijelaskan di
dalam perbahasan seterusnya berkenaan dengan perbanding metodologi yang digunakan oleh
kedua-dua buah karya ini.

4. PERBANDINGAN METODOLOGI PENAFSIRAN DAN PENULISAN TERHADAP TAFSIR AL-RAWI


JUZU’ ‘AMMA DAN TAFSIR PEDOMAN MUTTAQIN

4.1       Metodologi Penafsiran Dan Penulisan Tafsir Al-Rawi Juzu’ ‘Amma

                        Cara atau metod penulisan yang digunakan secara umum oleh Haji Yusof Rawa dalam
penyusunan tafsir beliau adalah lebih teratur dan kemas. Pada bahagian atas tafsir beliau dinyatakan
nama surah yang akan ditafsir dalam bahasa Arab seperti biasa dalam mana-mana kitab-kitab tafsir.
Kemudian beliau menjelaskan pula surah tersebut sama ada ayat Makkiyyah atau Madaniyyah.
Seterusnya, dinyatakan bilangan ayat yang terkandung di dalam surah yang akan ditafsir yang mana
ia juga di dalam bahasa Arab. Terdapat juga pada sesetengah surah dinyatakan bila surah tersebut
diturunkan.

Beliau seterusnya menyatakan nas surah al-Qur’an yang hendak ditafsir sehingga selesai berserta
dengan baris mengikut Rasm Uthmani. Haji Yusof Rawa kemudiannya menyatakan erti ayat
Makkiyyah atau Madaniyyah dan bilangan ayat yang ditulis dalam bahasa Arab tadi serta nas surah
ke dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi. Haji Yusof Rawa kemudiannya akan menyatakan
huraian secara menyeluruh atau intisari umum terhadap sesetengah surah yang hendak ditafsir.
Beliau seterusnya akan mentafsirkan ayat al-Qur’an berdasarkan ayat ke suatu ayat yang lain
mengikut keadaan sesuatu ayat itu, ada yang huraiannya panjang dan ada yang pendek. Bagi surah
yang panjang didatangkan hanya sebahagian ayat kemudiannya didatangkan huraian secara
menyeluruh bagi sebahagian ayat tersebut dan seterusnya beliau mula mentafsir ayat ke ayat
sehingga selesai potongan sebahagian ayat tersebut. Begitulah metod beliau bagi potongan ayat
yang seterusnya.

Pada bahagian yang akhir sekali, dinyatakan tentang faedah-faedah dan hikmah yang terdapat pada
surah tersebut.

Apabila kita memperkatakan tentang metod penulisan secara khusus apa yang kita sedia maklum
metod terbaik dalam mentafsir al-Qur’an ialah menggunakan metod tafsir bi al-ma’thur, iaitu
mentafsir al-Qur’an dengan al-Qur’an, mentafsir al-Qur’an dengan hadis dan mentafsir al-Qur’an
dengan pendapat para sahabat dan pendapat yang disepakati oleh para tabi’in r.a, tetapi apabila kita
melihat kepada metod yang digunakan oleh pengarang dalam menulis tafsiran beliau tersebut,
hampir tidak didapati metod-metod tersebut digunakan di dalam tafsiran beliau. Beliau mungkin
tidak memasukkan metod tersebut disebabkan beliau ingin mengemukakan kepada para pembaca
satu bentuk tafsir yang ringkas yang mampu difahami oleh semua lapisan masyarakat dan pada
waktu yang sama agar masyarakat mampu memahami tafsiran ayat-ayat lazim yang sentiasa dibaca
sebagaimana yang telah diterangkan di dalam bahagian tujuan penulisan tafsir tersebut. (Kadir &
Mazlan, 2002). Melalui penilaian antara metod khusus yang digunakan oleh pengarang dalam
tafsiran beliau ialah didapati pengarang menekankan kepada tiga bentuk metod khusus sahaja iaitu
pertamanya tentang aspek sejarah dan sebab turun ayat dan yang keduanya menyatakan faedah
dari setiap surah yang ditafsirkan dan yang ketiganya ialah pengajaran yang dapat diambil dari ayat.

4.1.1    Penekanan Terhadap Aspek Sejarah dan Asbab al-Nuzul

Salah satu cara yang digunakan oleh al-Qur’an untuk memberi pengajaran kepada manusia adalah
dengan menghuraikan tentang peristiwa-peristiwa masa lalu atau sejarah dalam bentuk kisah. Kisah-
kisah tersebut ada yang disebut secara umum melalui beberapa perkataan atau ayat secara singkat
dan kemudiannya dihuraikan secara terperinci. Kadangkala al-Qur’an hendak menyampaikan
mesejnya kepada manusia menerusi kisah tertentu yang terdapat dalam sesuatu surah. Aspek
sejarah ini menjadi penting kerana dengan mengetahuinya boleh mendapat pengajaran daripada
kisah tersebut dan secara tidak langsung mengetahui cara terbaik untuk menyampaikan sesuatu
pengajaran itu melalui kisah-kisah atau sejarah. Suatu kisah atau sejarah akan menimbulkan kesan
yang mendalam bagi para pembaca dan pendengar. Namun begitu, sejarah tersebut mestilah tidak
menyimpang dari maksud asal al-Qur’an dan tidak berlebihan sehingga menjauhkan kita daripada
pengertian tafsir yang sebenarnya.

Haji Yusof Rawa dalam tafsirnya amat menekan aspek sejarah ini di samping menekan juga sejarah
dalam aspek sebab nuzul  sesuatu ayat atau surah yang diperbahaskan. Pengetahuan mengenai
sebab turunnya sesuatu ayat atau surah sangat mustahak bagi membantu memahami maksud ayat
al-Qur’an dan mengelak dari tersalah di dalam memahami maksud ayat yang sebenar. Bahkan
kadangkala terdapat beberapa ayat yang tidak difahami maksudnya kecuali setelah mengetahui
sebab nuzul  ayat tersebut. Pada surah al-Naba’ diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w
diutuskan oleh Allah SWT ketika dunia berada di dalam kegelapan dan kesesatan, kerendahan budi
pekerti, kebodohan dan pelbagai lagi keadaan-keadaan merosakan yang menyelubungi alam
termasuk tanah Arab. Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w dengan membawa agama Allah yang
terkandung di dalamnya perintah-perintah yang berlawanan dengan suasana pada ketika itu,
menyebabkan mereka merasa berat untuk menunaikannya. Lebih-lebih lagi terdapat perkara-
perkara yang dianggap menakutkan seperti hari kiamat dan sebagainya yang sukar dipercayai.
Kebanyakan orang-orang Quraisy langsung tidak mahu percaya kepada al-Qur’an yang dibawa oleh
Nabi s.a.w.

Sesetengah mereka berasa syak dan ragu-ragu dan ada pula yang terus terang mendustakannya.
Berita-berita yang diceritakan di dalam al-Qur’an menjadi tajuk perbualan dan bahan ajukan dan
olok-olokan mereka. Pada ketika orang Quraisy heboh membincangkan berita tentang hari kiamat
yang tidak lain dengan tujuan untuk mencabar kejujuran Nabi s.a.w yang membawa berita benar
tersebut, Allah SWT menurunkan surah al-Naba’ ini. Penurunan surah ini adalah untuk membantah
sikap orang-orang kafir tersebut, di samping memberikan bukti ke atas kebenaran al-Qur’an yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

4.1.2    Faedah dan Hikmah Beramal dengan Surah Tertentu

Di akhir hampir setiap surah perbahasan Tafsir al-Rawi ini dinyatakan beberapa faedah dan hikmah
beramal dengan surah tertentu, melainkan hanya terdapat sebahagian kecil surah sahaja yang tidak
dinyatakan faedah atau kelebihan sesuatu surah tersebut seperti surah al-Fajrdan surah al-
Insyiqaq. Kitab yang menjadi rujukan utama dalam bahagian ini ialah kitab Khazinah al-
Asrar  dan  kitab al-Dar Nazi’m fi Khawas al-Qur’an al-Azim. Metod ini adalah lebih kurang sama
sebagaimana yang dilakukan oleh Zamakhshari dalam kitab tafsirnya al-Kasysyaf. Kebanyakan hadith
tentang kelebihan surah-surah tertentu adalah merupakan hadith-hadith mawdu’ yang direka yang
tidak diketahui sanadnya.

Haji Yusof Rawa menyatakan secara ringkas kelebihan atau faedah beramal dengan surah-surah
tertentu yang mana sebahagiannya dinyatakan dari rujukannya dan sebahagian yang lain tidak
dinyatakan. Di sini dibawa contoh surah yang dinyatakan di dalam tafsir al-Rawi tengah faedah atau
hikmah bermal dengan surah tersebut. Di antara surah al-Ikhlas, al-Kauthar,  dan surah ‘abasa.

Faedah membaca surah al-Ikhlas amatlah besar pahalanya dan terdapat beberapa hadith yang
berkenaan dengannya. Ada hadith menyentuh tentang keistimewaan surah al-Ikhlas yang dianggap
oleh Rasulullah sebagai satu pertiga daripada al-Qur’an. Hadith Nabi tersebut merupakan hadith
sahih yang diriwayat oleh Imam Muslim yang bermaksud:-

“Tidak sanggupkah di kalangan kamu membaca satu pertiga al-Qur’an pada tiap-tiap malam, maka
mereka berkata: Bagaimanakah membaca satu pertiga al-Qur’an, sabdanya: Baca olehmu “Qul hu
wa Allah hu ahad” serupa dengan satu pertiga daripada al-Qur’an”

4.1.3    Menjelaskan Tentang Pengajaran Yang Terdapat Dalam Ayat

Haji Yusof Rawa menegaskan di dalam tafsirnya bahawa walaupun kebanyakan ayat-ayat ditujukan
kepada Rasulullah s.a.w namun ia sebenarnya perlu diambil pengajaran bagi semua umat Islam.
Beliau menggalakkan supaya umat Islam memerhati dengan teliti sesuatu tafsir itu supaya dapat
difahami dengan baik sehingga dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah dan dapat beramal
seperti mana yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan segala larangan Allah SWT.

 Sesungguhnya usaha murni yang dilakukan oleh beliau yang cuba menutup kekurangan kitab-kitab
tafsir dalam bahasa Melayu dan sekaligus membantu masyarakat Islam di Malaysia untuk
memahami al-Qur’an serta tafsiranya adalah suatu usaha yang baik walaupun terdapat beberapa
kekurangan di dalamnya tetapi ianya mampu diperbaiki dan oleh ulama’-ulama’ terkemudian untuk
memastikan agar perkembangan kitab-kitab tafsir Melayu ini terus hidup dan menjadikan
masyarakat Islam di Malaysia bukan sahaja celik al-Qur’an tetapi pada waktu yang sama juga adalah
masyarakat yang tahu tentang tafsiran setiap daripada isi kandungan al-Qur’an tersebut. (Kadir &
Mazlan, 2002) 

4.2       Metodologi Penafsiran Dan Penulisan Tafsir Pedoman Muttaqin


Kitab Tafsir Pedoman Muttaqin ditulis menggunakan bahasa Melayu tulisan rumi. Pengarang
memulai tafsirannya dengan mengemukakan sinopsis setiap surah yang akan ditafsirkan. Pentafsiran
terhadap surah biasanya dijelaskan nama surah, masa nuzulnya serta munasabah antara surah
dengan surah sebelum maupun surah sesudahnya. Kemudian mengemukakan ikhtisar atau makna
yang dikandung oleh setiap surah secara umum, dan pada akhir pentafsiran kelompok ayat yang
ditafsirkan pengarang menyertakan saranan dan pengajaran sebagai intisari daripada ayat yang baru
ditafsirkan. (Sulaiman, 2012)

Pengarang dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Qur’an menggunakan pendekatan Ma’thur dan Ma’qul.
Pendekatan Ma’thur bermaksud menjelaskan makna ayat al-Qur’an dan menguraikannya dengan
ayat al-Qur’an, sunnah yang sahih, pendapat para sahabat dan tabi’in . Namun pentafsiran al-Qur’an
berdasarkan pendapat tabi’in ulama berbeza pendapat. Sesetengah ulama mengatakan tidak
termasuk dalam kategori Tafsir Bi al-Ma’thur tetapi ia digolongkan kepada Tafsir Bi al-Ra’y.
Sedangkan Tafsir Bi al-Ra’y bermaksud usaha pentafsiran al-Qur’an secara rasional setelah
mendalami bahasa Arab yang mesti diketahui oleh setiap mufassir sebelum menjelaskan maksud al-
Qur’an . Seperti ilmu nahwu dan saraf, ilmu balaghah, ilmu qira’at, ilmu usul al-din, usul al-fiqh, dan
lain sebagainya . Pentafsiran seperti ini juga digunakan oleh Abdul Hayei A.S. dalam Tafsir Pedoman
Muttaqin. (Sulaiman, 2012)

Abdul Hayei A.S. dalam Tafsir Pedoman Muttaqin mentafsirkan ayat secara kelompok. Kemudian
mentafsirkan ayat-ayat tersebut satu demi satu setelah mengemukakan munasabah dengan
kelompok ayat sebelumnya dan mengemukakan sabab al-nuzul jika ada. Seterusnya, pada akhir
pentafsiran pengarang mengemukakan saranan dan pengajaran sebagai intisari dari kandungan ayat
yang baru ditafsirkan. Dalam menguraikan ayat pula pengarang mengutip pandangan para ulama
silam dan kontemporer seperti Muhammad bin Jarir al-Tabari (w. 310 H), Sayyid Qutub (w. 1966 M),
Wahbah al-Zuhayli, Sheikh Mutawalli al-Sha’rawi (w. 1998 M) dan lain-lain. Untuk memudahkan para
pembaca, pengarang meletakkan beberapa judul khusus berdasarkan kandungan ayat yang akan
ditafsirkan. Kemudian mengemukakan fahrasat (daftar isi) Hadith, athar dan sya’ir yang dimasukkan
dalam pentafsiran pada akhir kitab setiap juz. Inilah di antaranya keistimewaan Tafsir Pedoman
Muttaqin dibandingkan dengan kitab tafsir lain. (Sulaiman, 2012). Metod penafsiran beserta contoh
akan dijelaskan secara terperinci satu persatu dibahagian seterusnya. (Sulaiman, 2012)

                        4.2.1    Mengemukakan Perkaitan atau Munasabah

            Munasabah ialah ilmu yang membicarakan tentang hubungan antara ayat dengan ayat atau
antara surah dengan surah dalam al-Qur’an . Pengarang Tafsir Pedoman Muttaqin sebelum
mentafsirkan ayat terlebih dahulu mengemukakan munasabah atau hubung kait antara surah
dengan surah atau ayat dengan ayat yang akan ditafsirkan dengan ayat sebelumnya. Contoh
munasabah antara surah dengan surah salah satunya dapat dilihat pada pentafsiran beliau ketika
mentafsirkan Surah al-Baqarah. Menurut Abdul Hayei. A.S., hubung kait antara Surah al-Baqarah
dengan Surah al-Fatihah ialah berkenaan dengan permasalahan hidayah yang telah dibincangkan
pada ayat 6 daripada Surah al-Fatihah kemudian dinyatakan lagi pada ayat kedua dalam Surah al-
Baqarah. Berkenaan dengan hal tersebut pengarang menyatakan :

“Dalam Surah al-Fatihah ada tersebut doa untuk mendapatkan hidayah. Doa itu dibaca sekurang-
kurangnya 17 kali dalam solat lima waktu pada setiap hari iaitu :
Maksudnya : “Tunjukilah kami jalan yang lurus.”

Doa itu mendapat perkenan Allah swt lalu ditunjukkan kepada pemohonnya jalan untuk
mendapatkan hidayah; hidayah perlu didapatkan menerusi al-Qur’an pada ayat ke-2 surah ini,
firman Allah :

Maksudnya : “Kitab al-Qur’an itu tiada sebarang keraguan padanya. Ia memberi hidayah kepada
para muttaqin” .

Sedangkan munasabah antara kelompok ayat yang akan ditafsirkan dengan kelompok ayat yang
telah ditafsirkan sebelumnya dapat dilihat pada pernyataan beliau ketika mentafsirkan Surah al-
Baqarah dari ayat 26 sampai ayat 29 berikut :

“Ayat ke-23 yang terdahulu menyatakan al-Qur’an adalah sebuah kitab yang benar datangnya
daripada Allah. Sesiapa yang menyimpan keraguan terhadapnya, maka bawakanlah satu surah yang
sebanding dengan al-Qur’an. Ayat ke-26 ini dan ayat-ayat berikutnya menyatakan bahawa Allah swt
tidak segan untuk membuat perbandingan dengan nyamuk dan haiwan yang lebih kecil
daripadanya. maksudnya perbandingan ini tidak menjejaskan kedudukan al-Qur’an sebagai wahyu
yang benar” .

Munasabah dalam al-Qur’an terdiri daripada beberapa macam iaitu munasabah antara kata dengan
kata dalam satu surah, munasabah antara ayat dengan ayat selepasnya dan munasabah antara surah
dengan surah . Pada Surah al-Baqarah dalam Tafsir Pedoman Muttaqin Abdul Hayei A.S.
mengemukakan munasabah hanya melalui dua bentuk yaitu munasabah antara surah dengan surah
dan munasabah antara kelompok ayat yang akan ditafsirkan dengan kelompok ayat yang telah
ditafsirkan sebelumnya. Sedangkan munasabah antara satu ayat dengan ayat sebelum atau
sesudahnya dan munasabah antara kata dengan kata dalam satu surah tidak ditemukan pada Surah
al-Baqarah dalam Tafsir Pedoman Muttaqin.

                        4.2.2    Mengemukakan Makna Mufradat

Dalam sebahagian ayat Abdul Hayei A.S. menjelaskan makna kalimat secara khusus yang disebut
dengan makna mufradat. Penjelasan makna dilakukan bagi memudahkan pemahaman para
pembaca. Sebagai contoh firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Baqarah ayat 22 :

Maksudnya : “Dia-lah Allah yang menciptakan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit
sebagai bangunan dan Dia-lah menurunkan air hujan dari langit dan dengar air itu Dia
mengeluarkan buah-buahan menjadi rezeki bagi kamu. Oleh itu, janganlah kamu mengadakan bagi
Allah sebarang sekutu, pada hal kamu semua mengetahui”.

Abdul Hayei A.S. menafsirkan kata “Firashan”  dalam ayat di atas dengan “hamparan” yang


bermakna bumi ini adalah hamparan menjadi tempat istirahat bagi manusia. Pernyataan pengarang
sebagai berikut :

“  (firashan)  ertinya hamparan. Biasanya hamparan adalah sesuatu yang merehatkan; ia digunakan
sebagai pengalas belakang ketika rehat dan ketika tidur. Bumi ini pada hakikatnya hamparan yang
merehatkan kerana dibekalkan padanya air, angin, bulan, bintang yang semuanya itu
mendatangkan kerehatan kepada orang yang tinggal di bumi ini”.
                        4.2.3    Mentafsirkan al-Qur’an dengan al-Qur’an

Menafsirkan ayat dengan menggunakan ayat-ayat al-Qur’an merupakan metode yang paling terbaik
dalam penafsiran. Penafsiran seperti ini ditemukan dalam Tafsir Pedoman Muttaqin. Sebagai contoh
firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Baqarah ayat 2 :

Maksudnya : “ Kitab al-Qur’an itu tiada sebarang keraguan padanya. Ia memberi hidayah kepada
para muttaqin.”

Ketika menjelaskan makna hidayah dalam ayat ini beliau menyatakan bahawa hidayah secara umum
merujuk kepada dua pengertian, iaitu Takwiniyyah  (kejadian) dan Tashri’iyyah(perundangan).
Hidayah Takwiniyyah ialah bimbingan Allah s.w.t. sebagai pemilik alam semesta. Untuk menguatkan
pernyataan di atas beliau mengemukakan ayat berikut :

Maksudnya : “ Berkata (Musa) : Tuhan kami ialah Tuhan yang telah memberikan bentuk kejadian
kepada setiap sesuatu yang sesuai dengannya, kemudian Dia memberi hidayah.”

  Menurut Abdul Hayei A.S. nama-nama yang disebutkan dalam ayat 49-50 surah at-Thaha ini ialah
orang yang dimaksudkan dalam Surah al-Fatihah ayat yang ke-7. Beliau menyatakan dalam
tafsirnya :

“Nama-nama yang disenaraikan ini ialah orang yang dimaksudkan di dalam Surah al-Fatihah
terdahulu, iaitu firman-Nya :

Maksudnya : “ Jalan orang yang Engkau beri nikmat ke atas mereka dan bukan jalan orang dimurkai
dan bukan pula jalan orang sesat”

Dua ayat di atas adalah di antara contoh penafsiran Abdul Hayei A.S. menggunakan ayat al-Qur’an.
Namun demikian, kebanyakan ayat-ayat ayat-ayat al-Qur’an yang digunakan pada Surah al-Baqarah
dalam Tafsir Pedoman Muttaqin bukan secara langsung sebagai penjelas atau penguat terhadap ayat
yang sedang ditafsirkan, tetapi sebagai dalil (istidlal) terhadap pernyataan yang dikemukakan oleh
pengarang. Pernyataan di atas adalah dua contoh pentafsiran pengarang menggunakan ayat al-
Qur’an.

                        4.2.4    Mentafsirkan al-Qur’an dengan hadith

Selain menggunakan ayat-ayat al-Qur’an, Abdul Hayei A.S. juga menggunakan Hadith Nabi s.a.w.
dalam Tafsir Pedoman Muttaqin. Sebagai contoh dapat dilihat pada penafsiran beliau berkenaan
dengan membaca “Amin” setelah membaca Surah al-Fatihah. Abdul Hayei A.S. menyatakan menurut
pendapat yang sahih sunat hukumnya membaca “Amin” bagi orang yang membaca Surah al-Fatihah
ketika solat atau pun di luar solat, sama ada salat sendiri maupun solat berjemaah. Sebagai dalil
terhadap pendapat ini beliau mengemukakan Hadith berikut :

Ertinya : Daripada Abu Hurairah Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila pembaca (al-Fatihah)
mengucap “Amin”, hendaklah kamu turut mengaminkannya kerana malaikat juga mengucapkan
“Amin”. Sesiapa yang pengucapan aminnya sekata dengan pengucapan “Amin” malaikat nescaya
diampuni dosanya yang terdahulu”.
Berkenaan dengan penulisan Hadith, Abdul Hayei A.S. manuliskan Hadith dalam Tafsir Pedoman
Muttaqin dengan pelbagai bentuk. Terdapat Hadith-Hadith dinyatakan dengan mengemukakan
takhrij secara ringkas berkenaan dengan nama pengarang, kitab, bab dan nomor Hadith dan
terdapat pula Hadith hanya dikemukakan matannya tanpa sanad dan mukharrij. Pada akhir
pembahasan kitab beliau mengemukakan fahrasat Hadith bertujuan untuk memudahkan terhadap
Hadith-Hadith tersebut. Ini salah satu keistimewaan Tafsir Pedoman Muttaqin dari segi penulisan
Hadith.

4.2.5    Menyatakan Pendapat Sahabat

Jika ayat al-Qur’an dan Hadith tidak ditemukan untuk mentafsirkan ayat, maka hendaklah kembali
kepada pendapat sahabat. Mereka adalah generasi terbaik dalam hal pentafsiran al-Qur’an setelah
Rasulullah s.a.w. wafat . Abdul Hayei A.S. turut mengemukakan pendapat sahabat dalam
mentafsirkan al-Qur’an. Di antara contoh pendapat sahabat yang dipaparkan oleh Abdul Hayei A.S.
ialah pendapat Ibn ‘Abbas (w. 68 H) dan Ibn Mas’ud (w. 32 H) ketika mentafsirkan Surah al-Baqarah
ayat ke-34 berkenaan dengan definisi Iblis berikut ini. Allah s.w.t. berfirman :

Ertinya : “Dan (Kenangilah) ketika kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada
Adam.” Lalu mereka pun sujud melainkan Iblis; dia enggan dan angkuh dan dia termasuk dalam
golongan orang yang kafir”

Berkenaan dengan pentafsiran ayat ini Abdul Hayei A.S. menjelaskan :

“Mufassirin berselisih pendapat, apakah Iblis daripada jenis malaikat atau bukan daripada jenis
malaikat. Keterangan-keterangan yang dipetik daripada Ibn ‘Abbas dan Ibn Mas’ud menyatakan
bahawa Iblis itu adalah dari salah satu suku malaikat yang dipanggil jin yang dijadikan daripada api
yang sangat panas, sedangkan malaikat dijadikan daripada nur (cahaya). Nama asal Iblis ini ialah
Azazil, dia tergolong dalam pegawai tinggi malaikat, dia bertugas selaku pegawai penyelia syurga
merangkap pentadbir urusan langit dunia dan urusan bumi” .

Namun begitu, penafsiran al-Qur’an dengan pendapat sahabat amat sedikit digunakan oleh Abdul
Hayei A.S. dalam Tafsir Pedoman Muttaqin dibandingkan dengan pendapat mufassir selain sahabat.
Pada Surah al-Baqarah penulis mendapati hanya sebelas tempat pendapat sahabat dikemukakan
oleh beliau iaitu pada muka surat 138, 237, 243, 364, 405, 437, 446, 447, 459, 478 dan 480. Nama-
nama sahabat yang pendapatnya beliau kemukakan ialah ‘Umar bin al-Khattab (w. 23 H), Ibn Mas’ud
(w. 32 H), Usamah bin Zayd (w. 53 H) dan Ibn ‘Abbas (w. 68 H).

                        4.2.6    Menafsirkan al-Qur’an dengan Akal

Menafsirkan al-Qur’an dengan akal disebut juga dengan Tafsir Bi al-Ra’y iaitu menggerakkan akal dan
pandangan untuk memahami al-Qur’an berdasarkan pengetahuan bahasa Arab yang dimiliki oleh
setiap mufassir sama ada dari segi pengetahuan, syarat-syarat mufassir, akhlak dan sebagainya. Al-
Dhahabi dalam kitabnya al-Tafsir wa al-Mufassirun menjelaskan penggunaan Tafsir Bi al-Ra’y
diharuskan kerana pada dasarnya akal dan wahyu tidak bertentangan antara satu sama lain .
Merujuk kepada Tafsir Pedoman Muttaqin, boleh dikatakan Abdul Hayei A.S. menggunakan akal
secara meluas dalam mentafsirkan al-Qur’an. Sebagai contoh firman Allah s.w.t. dalam Surah al-
Baqarah ayat ke-20 :
Ertinya : “Kilat itu pula hampir-hampir menyambar penglihatan mereka. Setiap kali kilat itu
menerangi mereka, mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka
berhentilah mereka. Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya dihilangkan-Nya pendengaran dan
penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.”

Ketika menjelaskan ayat ini Abdul Hayei A.S. mengemukakan pernyataannya yang menggambarkan
tentang keadaan orang mukmin dan orang munafik. Pernyataan beliau berikut ini :

“Ayat ini secara tidak langsung menyatakan orang mukmin mengambil manfaat daripada sinaran
wahyu yang cerah bagaikan kilat memancar; mereka memegang sinaran itu dan membawanya
berjalan ke mana-mana; mereka tidak risau sekalipun gelap malam dan ketika hujan ribut. Lain
halnya dengan orang munafik yang gagal berinteraksi dengan wahyu yang bagaikan kilat itu.
Mereka hanya mendapat cahaya ketika kilat memancar sekelip mata kemudian gelap kembali,
mereka terus sesat kerana tiada cahaya lagi selain cahaya kilat yang hanya datang menyambar” .

Pernyataan ini menunjukkkan Abdul Hayei A.S. mentafsirkan ayat menggunakan akal dan pandangan
beliau sendiri. Malah pentafsiran seperti ini dalam Tafsir Pedoman Muttaqin lebih banyak digunakan
oleh beliau berbanding dengan pentafsiran al-Qur’an dan Hadith atau pun pendapat sahabat dan
tabi’in. Namun begitu, setelah mentafsirkan dan memahami ayat dengan pandangan sendiri beliau
mengemukakan ayat lain atau Hadith sebagai penyokong pernyataannya. Tetapi tidak semua
pernyataan yang beliau kemukakan disokong dengan ayat atau pun Hadith.

            4.2.7    Mengemukakan Pengajaran dan Saranan

Salah satu metode yang ditonjolkan oleh Abdul Hayei A.S. dalam Tafsir Pedoman Muttaqin ialah
mengemukakan pengajaran dan saran dengan judul khusus pada setiap akhir kelompok ayat yang
ditafsirkan. Sebagai contoh, Abdul Hayei A.S. mengemukakan dua pengajaran dan saran setelah
mentafsirkan Surah al-Jin ayat 1 sampai ayat 7. Pengajaran dan saranan tersebut seperti dalam
pentafsiran beliau antaranya:

 Mengambil maklum kisah jin banyak faedahnya, terutama untuk dijadikan pendorong oleh
kafir Quraisy agar beriman kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w. dan wahyu al-Qur’an.

 Antara maklumat yang diketahui tentang jin ialah mereka juga dibebankan dengan taklif
syarak sebagaimana manusia, mereka juga terbahagi kepada mukmin dan kafir, kalangan
mereka ada pendakwah yang mengajak kaumnya kepada iman, mereka memahami bahasa
manusia dan mendengarnya .”

Metod ini merupakan ciri khas pentafsiran Abdul Hayei A.S. dalam Tafsir Pedoman Muttaqin
sekaligus membezakannya dengan karya tafsir bahasa Melayu yang lain. Tidak ditemukan ada tafsir
bahasa Melayu yang lain secara khusus mengemukakan metode ini. Dengan adanya pentafsiran
seperti ini para pembaca dapat lebih mudah mengetahui intisari kandungan ayat yang telah
ditafsirkan.

5. KEKUATAN DAN KELEMAHAN

Tafsir al-Rawi’  mempunyai kekuatan tersendiri antaranya ialah kerana tafsirannya adalah lebih
teratur dan kemas. Pada setiap surah di dalam kitab tafsirannya dinyatakan berkenaan dengan di
mana ayat tersebut diturunkan sama ada ayat Makiyyah  atau Madaniyyah. Pengarang juga
menyatakan huraian secara menyeluruh atau intisari umum terhadap sesetengah surah yang hendak
ditafsir. Ini menjadikan secara tidak langsung pembaca akan lebih jelas berkenaan dengan maksud
sesuatu ayat atau surah tersebut. Kekuatan yang dapat dilihat di dalam tafsir ini juga ialah apabila
pengarang menekankan di dalam tafsirannya berkenaan dengan asbab al-nuzul  sesuatu ayat atau
surah tersebut dan juga faedah melalui setiap surah yang ditafsirkannya serta pengajaran yang dapat
diambil daripada ayat atau surah tersebut. Ini adalah lebih penting bagi memastikan setiap pembaca
lebih memahami akan intisari kandungan al-Qur’an dalam bahasa yang lebih mudah difahami tanpa
menafikan maksud asal ayat-ayat al-Qur’an tersebut. Penceritaan berkenaan dengan sejarah-sejarah
di dalam setiap surah menjadikan pembaca lebih memahami dan menghayati al-Qur’an dan secara
tidak langsung akan menanamkan minat pembaca bagi terus meneliti dan mentadabbur al-Qur’an.
Namun disebalik kekuatan tafsir ini terdapat juga kelemahan yang tidak dapat untuk disembunyikan
antaranya ialah apabila tafsiran adalah melihat kepada faedah dan hikmah beramal dengan surah-
sruah tertentu yang mana sumber rujukan kepada faedah beramal tersebut yang dinyatakan melalui
hadith-hadith adalah tidak secara menyeluruh dan jelas. Sebaliknya pengarang hanya menyatakan
sebahagiannya sahaja dari sumber rujukan yang mana diambil hadith-hadith tersebut dan
sebahagian yang lain tidak dinyatakan. Keadaan ini menjadikan pembaca mungkin akan keliru untuk
menilai status dan taraf hadith-hadith yang dirujuk memandangkan terdapat juga sesetengah
tafsiran pada masa kini yang mempunyai unsur-unsur israilliyat. Oleh yang demikian amatlah penting
sekiranya terdapat golongan yang mampu dan alim dalam disiplin ilmu ini untuk mengkaji berkenaan
dengan tafsir ini dan menyenaraikan berkenaan dengan sumber rujuk hadith yang lebih tepat dan
kompetan bagi memastikan golongan pembaca tidak tersasar dalam memahami nas al-Qur’an.
Antara kelemahan yang lain ialah kaedah tafsiran dalam tafsir ini tidak jelaskan sama ada
melalui tafsir bi al-ma’thur atau tafsir bi al-ra’yi sebaliknya hanya melebihkan tafsiran kepada unsur-
unsur asbab nuzul,  faedah-faedah membaca surah-surah di dalam juzu’ ‘amma  serta pengajaran
yang dapat diambil di dalam surah-surah tersebut.

Tafsir Pedoman Muttaqin  adalah antara tafsir kontemporari yang masih dalam proses penafsiran
sehingga ke hari ini. Ia adalah satu usaha murni kerajaan ketika zaman pemerintahan mantan
Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi bagi memastikan terdapat karya ulung
dalam bidang penulisan di Malaysia. Terbitan karya ini yang terkini adalah melalui JAKIM dan
dijangkan akan tamat penafsirannya pada tahun 2020 ke 2022 bagi keseluruhan 30 juzu’ al-Qur’an.
Kekuatan tafsiran ini dapat dilihat apabila pengarang menggunakan kedua-dua jenis metod
penafsiran iaitu tafsir bi al-ra’yi  dan tafsir bi al-ma’thur  namun terdapat dalam beberapa keadaan
adalah lebih kepada tafsir bi al-ra’yi. Kitab ini juga lebih mudah difahami berbanding dengan kitab-
kitab tafsir yang lain memandangkan pengarang meletakkan jadual khusus kandungan ayat yang
akan ditafsirkan dan kemudian mengemukakan fahrasat (daftar isi) Hadith, athar dan syair yang
dimasukkan dalam pentafsiran pada akhir kitab setiap juz. Ini adalah lebih memudahkan carian
pembaca untuk mengetahui berkenaan dengan kata kunci di dalam intisari sesuatu ayat di dalam
surah-surah al-Qur’an. Antara kekuatan metod pentafsiran yang telah diaplikasikan oleh Abdul Hayei
A.S. dalam tafsir ini ialah berasaskan kepada al-Qur’an dan al-Hadith di samping menggunakan
pentafsiran dengan akal. Malah ketika menghuraikan isu-isu masa kini dan menjelaskan pemahaman
ayat pentafsiran dengan akal lebih banyak digunakan oleh beliau. Pentafsiran Abdul Hayei A.S. juga
tidak terikat kepada pandangan mazhab tertentu. Beliau turut mengutip kira pendapat dan
pandangan ulama lain berkenaan dengan beberapa permasalahan kemudian memilih salah satu di
antara pendapat tersebut yang sesuai dengan pandangan beliau. Antara kelemahan yang mungkin
perlu diperbaiki ialah berkenaan dengan metod penafsiran tafsir ini yang dilihat lebih condong ke
arah tafsir bi al-ra’yi  meskipun pengarang banyak menggunakan ayat dan Hadith tetapi tidak secara
langsung mentafsirkan ayat-ayat tersebut. Berkenaan dengan penulisan hadith, hadith-hadith
dalam Tafsir Pedoman Muttaqin dituliskan dengan pelbagai bentuk. Sebahagian hadith dinyatakan
dengan mengemukakan sanad dan takhrijnya  secara ringkas berkenaan dengan nama pengarang,
kitab, bab dan nombor hadith. Namun begitu, terdapat juga hadith yang tidak dinyatakan matannya
saja tanpa sanad dan mukharrijnya. Selain itu, hadith-hadith yang dinyatakan oleh Abdul Hayei A.S.
tidak semua berstatus sahih masih ada hadith yang dha’ifbahkan mawdu’. (Sulaiman, 2012). Pun
begitu, tafsir ini adalah antara tafsir kontemporari yang mampu untuk menjadi karya termasyhur
yang menjadikan sumber rujukan pada masa akan datang kerana penjelasannya bersifat ilmiah,
mudah diahami oleh masyarakat awam serta menyentuh pembahasan yang relevan dengan keadaan
dan situasi umat Islam masa kini.

6. KESIMPULAN

                  Terdapat beberapa kitab tafsir yang telah diterjemahkan dalam bahasa melayu oleh para
ulama’ dari Malaysia sendiri. Mereka telah menjalankan suatu tugas yang mulia dan amat berguna
kepada bangsa melayu dan agama Islam. Walaubagaimanapun, usaha menterjemah kitab-kitab tafsir
ke dalam bahasa melayu masih lagi berkurangan dan agak sedikit jika dibandingkan dengan usaha-
usaha yang telah dilakukan oleh ulama’-ulama’ di Indonesia yang mana mereka lebih aktif dalam
menyiapkan dan menterjemah kitab-kitab tafsir dalam bahasa melayu Indonesia. Masyarakat Islam
di Malaysia masih lagi memerlukan ulama’ tempatan bagi melakukan usaha mentafsir dan
menterjemah kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab agama supaya dapat menambahkan lagi bahan
bacaan agama kepada umat Islam di rantau ini dan dapat memahami dengan mudah apabila ditulis
oleh bangsanya sendiri. Untuk yang terkini, satu kredit dan penghargaan yang perlu diberikan
kepada pengarang Tafsir Pedoman Mutaqqin karangan Dr. Abdul Hayei A.S. yang kini masih dalam
proses untuk menyiapkan karya agung tafsir 30 juzu’ al-Qur’an di dalam bahasa melayu.

 BIBLIOGRAFI

Al-Dhahabi, M. (1976). Al-Tafsir wa al-Mufassirun. Kaherah: Dar al-Kutub al-Hadithah.

Ab. Kadir, M., & Mazlan, I. (2002). Kitab Tafsir al-Rawi Juzu’ ‘Amma: Satu Analisi. Jurnal Usuluddin,16,
91-104.

Abdullah, M. (2009). Khazanah Tafsir di Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Al-Quran dan Hadith,
Akademi Pengajian Islam Univerisiti Malaya.

Bin Abdullah, M., & Abdul Manan, S. (2009). Khazanah Tafsir di Nusantara: Penelitian Terhadap
Tokoh dan Karyanya di Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand. Kontekstualita,25(1),
33-35.

Http://e-muamalat.gov.my/en/jakim-akan-terbit-tafsir-pedoman-muttaqin. (n.d.). Retrieved March


8, 2017, from http://e-muamalat.gov.my/en/jakim-akan-terbit-tafsir-pedoman-muttaqin
Http://m.e-muamalat.gov.my/en/bengkel-pengesahan-dan-semakan-tafsir-pedoman-muttaqin-
juzuk-5-dan-6. (n.d.). Retrieved March 8, 2017, from http://m.e-muamalat.gov.my/en/bengkel-
pengesahan-dan-semakan-tafsir-pedoman-muttaqin-juzuk-5-dan-6

Sulaiman, I. (2015, August 19). Seminar Internasional Budaya Nusantara Melayu Raya, 16-18 Mac
2012, Padang, Indonesia. In Sejarah dan kontrubusi ulama melayu dalam bidang tafsir : Kajian
terhadap Tafsir Pedoman Muttaqin karya Abdul Hayei Abdul Sukor. Retrieved March 8, 2017,
from http://eprints.um.edu.my/13969/

Yahaya, M. H. (2001). Islam di Alam Melayu (2nd ed.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Yusoff, I. (1995). Perkembangan Penulisan dan Terjemahan Kitab-Kitab Tafsir di


Malaysia. Islamiyyat,16.

Anda mungkin juga menyukai