Anda di halaman 1dari 4

TUGASAN 2-CERPEN

ASAL-USUL KEWUJUDAN RAMA-RAMA YANG BERWARNA-WARNI DAN KUPU-KUPU


YANG BERWARNA PUDAR

Pada suatu masa dahulu, terdapat sebuah alam maya yang indah sekali di atas kayangan,
bernama Dunia Avalon. Dunia Avalon dipenuhi dengan pari-pari yang cantik dan berwarna-
warni dan dunia ini diperintah oleh Raja Curlan dan Permaisuri Evie. Rakyat Avalon hidup
dengan aman dan harmoni serta berkerjasama antara satu sama lain. Kesemua rakyat
Avalon amat setia kepada raja dan permaisuri mereka, sehingga mereka terlupa akan ratu
utama mereka yang paling berkuasa, iaitu Ratu Titania.

Jauh dari kayangan tersebut, terdapat suatu istana yang sungguh besar dan mewah, di
mana Ratu Titania tinggal di sana bersama sotong kuritanya yang tersayang, iaitu Occie.
Ratu Titania merupakan seorang yang adil dan baik hati, tetapi beliau juga merupakan
seorang yang panas baran dan akan menjatuhkan hukuman yang berat jika rakyatnya
melakukan kesalahan yang melampau. Dari atas langit tersebut, beliau memerhatikan
segala-galanya.

Hampir semua pari-pari yang tinggal di Avalon berasa gembira dan bangga di atas
kecantikan sayap mereka, kecuali seekor, iaitu Zinnia, yang dikenali sebagai pari-pari
bunga. Zinnia sering berasa sedih kerana sayapnya hanya berwarna merah jambu tanpa
corak tambahan. “Bersyukulah dengan apa yang dikurniakan kepada kamu Zinnia,” ibunya
Dharma, sering menasihati anaknya. Setiap kali Zinnia cuba untuk menghargai dirinya
seperti yang sedia ada, dia sering diejek oleh kawannya Daisy, yang amat angkuh dan
berlagak akan kecantikkan sayapnya yang berwarna-warni. “Hai sayap buruk, apa khabar?”
Daisy mengejeknya dengan kasar. “Shhh Daisy, kamu akan dapat balasannya satu hari
nanti!” Zinnia merungut dan beredar dengan sedih. Zinnia bertambah sedih dan geram
sehari demi sehari akan ejekan Daisy yang makin melampau.

Pada suatu hari, Zinnia berasa tidak tahan diejek dan bercadang untuk ke rumah neneknya,
Ruby, yang terkenal dengan sakti ajaibnya yang kuat. Zinnia berharap agar neneknya dapat
menyelesaikan masalahnya itu. Setelah malam tiba, Zinnia menunggu sehingga ibunya
terlelap dan bercadang untuk keluar tanpa pengetahuan ibunya. Dia memasuki bilik ibunya
secara senyap setelah ibunya tidur dan mencium dahi ibunya dengan air mata yang
berlinangan, “Selamat tinggal ibu, saya akan balik secepat yang mungkin.” Zinnia
mengangkut barang keperluannya dan memulakan perjalanannya yang jauh itu. Sepanjang
perjalanannya, Zinnia mengharungi pelbagai rintangan yang bahaya seperti binatang buas
dan bunyi-bunyi yang menyeramkan. Selepas dua hari yang memenatkan, akhirnya Zinnia
tiba juga di rumah neneknya. “Zinnia? Mengapa kamu datang ke sini secara tiba-tiba nak?
Mana ibu kamu?” neneknya menyoal cucunya setelah terkejut melihatnya berseorangan.
“Saya akan menerangkan kemudian nenek,” jawab Zinnia sambil memeluk nenek
kesayangannya.

Zinnia dan neneknya, Ruby berehat diiringi oleh kehangatan kayu api yang dibakar serta teh
bunga dan biskut coklat yang lazat. Zinnia memberitahu neneknya tentang perkara sebenar.
Ruby memarahi cucunya kerana melawatnya tanpa izin ibunya terlebih dahulu. “Nenek,
adakah nenek tahu sebarang jalan untuk mengubah warna sayap saya ini? Tolonglah saya
nek.” Zinnia merayu kepadanya. Ruby yang berasa simpati terhadap cucunya berkata,
“nenek akan beritahu kamu, tapi kamu harus menyimpannya sebagai rahsia. Jauh di dalam
sebuah hutan yang bernama Hutan Ogji, terdapat sebuah labu gergasi yang berwarna ungu.
Kamu harus menggosoknya dua kali dan menyebut ‘TEETANIA OPENIUS’ dan kamu akan
tergamam dengan apa yang ada di dalamnya.” “Ada apa di dalamnya nek, tolong beritahu
saya.” Zinnia merayu. “Dalam labu tersebut, terdapat beribu-ribu labu kecil yang
mengandungi warna-warna yang berlainan serta warna yang kamu tidak pernah lihat
sebelum ini. Kamu harus ingat bahawa kamu tidak boleh menyentuh lebih daripada lima
warna dan kamu harus meletakkannya balik ke tempat yang asal,” Ruby memberi amaran
kepada cucunya. “Tetapi semua ini bukanlah senang seperti yang kamu fikir Zinnia, kerana
labu gergasi tersebut adalah milik Ratu Titania yang amat berkuasa,” Ruby mengeluh. “Oh
tidak, apa yang telah nenek lakukan! Nenek tidak sepatutnya memberitahu kamu tentang ini.
Zinnia, tolong lupakan sahaja apa yang nenek katakan. Nenek tidak akan membenarkan
kamu ke sana! Zinnia, janji kepada nenek bahawa kamu tidak akan pergi ke sana!” Ruby
berkata dengan cemas. “Haih, saya berjanji nenek,” Zinnia berkata secara tidak ikhlas.
Walaupun Ruby telah merayu kepadanya, Zinnia tetap berdegil dan berhasrat di dalam
hatinya untuk ke sana tanpa pengetahuan neneknya.

Sekali lagi, Zinnia mencium dahi neneknya sebelum berlepas ke Hutan Ogji. Zinnia
memulakan perjalannya dengan penuh semangat untuk mendapatkan sayap yang baru.
Setelah beberapa jam, Zinnia terjatuh selepas terhentak pada suatu benda yang besar dan
keras. Dia tidak boleh meneruskan perjalanannya kerana benda tersebut menyekatnya jalan
seterusnya. Kemudian, Zinnia memerhati benda tersebut dan alangkah terkejutnya dia
selepas mendapati bahawa benda tersebut merupakan labu ungu yang sedang dicarinya.
“Oh! Ku tidak boleh percaya! Aku sudah menjumpainya! Aku sudah menjumpai labu ungu
itu!” Zinnia menjerit dengan keseronokan. Sepantas kilat, Zinnia menggosok labu tersebut
dua kali dan menjerit, “TEETANIA OPENIUS!” Zinnia melihat dengan matanya yang
terbeliak ketika labu gergasi itu terbuka dengan perlahan.
Tanpa melengahkan masa, Zinnia terus masuk ke dalam labu tersebut dan terkejut apabila
melihat beribu-ribu labu yang mengandungi warna-warna yang berbeza yang menambat
hatinya. Zinnia terus melupakan dirinya apabila melihat keajaiban tersebut dan menjadi
tamak dalam sekelip mata. Zinnia lupa akan kata-kata neneknya yang menerangkan
bahawa dia tidak boleh mengambil melebihi lima warna dan terus menuang setiap warna
yang dilihat pada sayapnya. Dalam sekelip mata, Zinnia telah berubah menjadi pari-pari
yang cantik sekali dengan sayap yang berwarna terang dan corak yang mengagumkan.
Malangnya, Zinnia terlupa untuk meletakkan semula labu-labu tersebut dalam keadaan yang
asal dan telah melanggar syarat labu tersebut dengan mengambil lebih daripada lima warna.
Setelah puas mewarnakan sayapnya itu, Zinnia teringin untuk menunjukkan sayapnya
kepada neneknya. Zinnia terus meninggalkan tempat tersebut dan bergegas ke rumah
neneknya. Dalam perjalanan pulang, Zinnia mendapat tahu bahawa bukan sahaja sayapnya
telah bertambah cantik, malah kemampuannya untuk terbang juga telah meningkat.

“Nenek!” Zinnia menyahut setelah sampai di rumah neneknya. Malangnya, hanya kesunyian
sahaja yang membalas sahutannya. “Nenek!” Zinnia menyahut semula. Sekali lagi,
sahutannya tidak dibalas oleh neneknya. Zinnia mula berasa cemas dan terus masuk ke
dalam rumah dan mendapati neneknya berada di dapur. “Nenek, kenapa tidak balas
panggilan saya tadi?” tanya Zinnia dengan keliru. Tetapi, neneknya masih tidak memberi
respons kepadanya. Zinnia menyentuh neneknya tetapi neneknya kaku dan tidak bergerak
langsung. “Nenek! Apa yang telah terjadi nek? Mengapa nenek jadi begini?” soal Zinnia
dengan nada yang bimbang. Zinnia berasa bimbang akan neneknya dan terus berputus
untuk pulang ke rumah untuk memberitahu ibunya tentang perkara ini.

Zinnia sampai ke rumahnya hanya dalam beberapa jam. Alangkah terkejutnya Zinnia
apabila mendapati bahawa semua rakyat Avalon mengalami situasi yang sama. Kesemua
rakyat Avalon telah menjadi kaku dan tidak bergerak langsung, termasuk Raja Curlan dan
Permaisuri Evie yang berkuasa itu! Zinnia mula berasa cemas dan putus asa. Tiba-tiba, dia
terdengar suara Daisy, kawannya yang angkuh. “Apa yang sedang berlaku Daisy?
Mengapakah hanya kita berdua yang masih boleh bergerak?” soal Zinnia dengan cemas.
“Ish, mana aku tahu!” jawab Daisy dengan kasar. Daisy merenung sayap Zinnia yang baru
dan lebih cantik daripadanya dengan perasaan cemburu. “Hei, dari mana kamu dapat sayap
baru itu hah?” soal Daisy dengan perasaan geram. “Dari labu ungu kesayanganku!” jerit
Ratu Titania dengan suara yang amat kuat dan lantang. Kemunculan Ratu Titania secara
tiba-tiba diiringi oleh langit yang bertukar menjadi gelap serta kilat dan guruh yang
berdentum dengan kuat sekali. Ratu Titania kelihatan amat marah dan matanya kelihatan
amat merah. “Oi perempuan, siapakah kamu?” soal Daisy dengan kurang ajar. “Aku ialah
Ratu Titania yang berkuasa ke atas Dunia Avalon dan segala-galanya yang berada di sini!
Berani kau menyoal aku dengan cara yang begini!” jawab Ratu Titania dengan marah.

“Akulah yang telah membekukan semua rakyat Avalon, kecuali kamu berdua yang akan
menerima hukuman yang berat sebentar lagi!” kata beliau. “Wahai Ratu, apakah salah
saya? Mengapakah saya harus menerima hukuman ini?” tanya Zinnia dengan sayu.
“Dengar! Pertama, Zinnia, kamu telah mencerobohi labu kesayanganku dan merosakkan
labu-labu kecilku yang amat berharga! Untuk ini, kamu harus menerima balasannya agar
selepas ini, tiada siapa yang berani untuk mencerobohi hak kepunyaanku! Kamu juga
langsung tidak menghargai sayap yang telah dikurniakan kepadamu dan ingin menukarnya.
Ya, kamu akan dapat apa yang kamu mahukan. Kamu akan mendapat sayap yang paling
cantik dan semua orang akan kagum melihat sayapmu. Tetapi, jangka hayatmu adalah
sangat pendek dan kamu tidak lagi layak untuk tinggal di Dunia Avalon! Kamu akan
diturunkan ke bumi dan digelar sebagai rama-rama!” Ratu Titania memutuskan dengan nada
yang tinggi. Sebelum Zinnia dapat berkata apa-apa, badannya mula menyusut dan dia
bertukar menjadi rama-rama yang cantik dan terbang dari tempat tersebut. Daisy mula
berasa takut dan gerun selepas melihat kejadian tersebut. “Dan kamu Daisy, kerana kamu
sungguh angkuh dan berlagak, kamu tidak tahu menghormati orang lain termasuk diriku ini,
segala kecantikan kamu akan hilang mulai hari ini! Kamu akan bertukar menjadi kupu-kupu,
sejenis serangga yang mempunyai sayap yang pudar dan juga akan diturunkan ke bumi!”
kata Ratu Titania dan terus terbang ke atas langit dan menghilangkan dirinya. Daisy yang
malang juga akhirnya bertukar menjadi kupu-kupu dan diturunkan ke bumi selepas itu.

Inilah asal-usul kewujudan rama-rama yang berwarna-warni dan kupu-kupu yang berwarna
pudar.

Pengajaran: Kita haruslah sentiasa bersyukur dan berterima kasih dengan anugerah
pemberian Tuhan kerana perbuatan yang tamak membawa rugi. Pada masa yang
sama, kita juga haruslah hormat-menghormati antara satu sama lain agar dapat hidup
dengan harmoni.

Anda mungkin juga menyukai