Anda di halaman 1dari 26

20 Tahun Membangun Bersama Islam

Nik Abdul Aziz Nik Mat   


UCAPAN SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN 20 TAHUN PENTADBIRAN MEMBANGUN
BERSAMA ISLAM NEGERI KELANTAN

Pada 12 Zulkaedah 1431 bersamaan 20 Oktober 2010, jam 9.00 malam di Dewan
Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu.

Firman Allah SWT, (Surah Al Hasyr


Ayat 18) bermaksud: “Wahai 
orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan larangannNya); dan
hendaklah tiap-tiap diri, melihat
dan memerhatikan apa yang ia
telah sediakan (dari amal-amalnya)
untuk hari esok (hari akhirat).
(Sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.”

Alhamdulillah segala  syukur dan pujian itu hanya bagi Allah S.W.T., selawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., ahli keluarga baginda serta
sekalian sahabat dan pendukung perjuangan baginda.

Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V,  Al-Sultan bagi
Negeri Kelantan Darulnaim.

Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

Di kesempatan yang bermakna ini, patik bagi pihak diri patik dan seluruh warga
pentadbiran Negeri Kelantan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih diatas
kesudian Tuanku, untuk berangkat mencemar duli, merasmikan Majlis Sambutan 20
Tahun Pentadbrian Membangun Bersama Islam, pada malam yang penuh berbahagia
ini. Semoga dengan keberangkatan Tuanku menambahkan keserian majlis ini. 
Harapan patik, agar Tuanku sentiasa dilimpahkan keberkatan oleh Allah S.W.T. di
dunia dan di akhirat.

Untuk pengetahuan Tuanku, pada hari ini, 20 Oktober 2010 genaplah dua dekad
atau 20 tahun Kerajaan Negeri Kelantan diterajui dengan dasar Membangun
Bersama Islam.  Alhamdulillah, dan segala puji bagi Allah S.W.T. yang telah
memberikan kekuatan kepada patik dan seluruh warga pentadbiran Kerajaan
Negeri, untuk terus cekal, mengharungi segala pahit-maung yang ditempuhi selama
menerajui kerajaan ini.   Semoga dengan limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Tuanku, menambahkan lagi kekuatan bagi patik sekalian, untuk terus
memikul amanah, yang telah dipertanggungjawabkan ini.

Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun.

Sekali lagi patik merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuanku, diatas
kesudian berangkat mencemar duli, hadir ke majlis ini.  Semoga dengan kehadiran
Tuanku, bertambahlah kasih dan sayang rakyat Kelantan, khususnya, dan akan
sentiasa mengutuskan doa, agar Kerajaan Tuanku disirami rahmat oleh Allah
S.W.T.,   Patik mohon izin limpah perkenan Tuanku, untuk menyampaikan kata-
kata pesanan kepada pacal rakyat sekalian.

Sesungguhnya ingat mengingati dan tegur menegur adalah merupakan kerja


agama.  Al-Quranul karim menggunakan pelbagai bahasa bertujuan untuk menegur
manusia.  Ada yang dimulakan dengan berkataan “wa iz”  iaitu ingatlah olehmu.
Ada yang terang-terang menggunakan “Wazkur” Atau “wazakkirhum”. Demikian
juga Al-Quran itu sendiri dinamakan dengan tazkirah menunjukkan bahawa ingat
memperingati adalah merupakan salah satu daripada ajaran agama.  Justeru, apa
yang kita lakukan pada hari ini iaitu mengingati dua puluh tahun Kelantan
Membangun Bersama Islam adalah kerja agama.  Ia bukan dilakukan hanya sekadar
untuk bersuka-suka semata-mata.

Dua puluh tahun yang lampau, pada tarikh ini 20 Oktober, rakyat Kelantan telah
membuat keputusan yang terpahat selama-lamanya di dalam sejarah.   Pilihan yang
termaktub lewat Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 telah menjadi bahan
perhatian bukan sahaja di seluruh negara bahkan seluruh dunia.  Bolehkah sebuah
negeri, ditadbir dengan dasar-dasar Islam?  Lebih jauh lagi, bolehkah dasar yang
diperkenalkan, iaitu Membangun Bersama Islam, dapat diterima di dalam sebuah
masyarakat majmuk?

Persoalan demi persoalan muncul, bukan sahaja di kalangan non muslim.  Bahkan
umat Islam sendiri pun, yang tidak memahami dengan baik dasar-dasar pentadbiran
secara Islam, mempertikaikan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan, pada masa itu. 
Segala pujian bagi Allah S.W.T.  tempoh tiga bulan yang diberikan sesetengah
pihak, berjaya kita lalui, bulan demi bulan, tahun demi tahun, kita berdepan
dengan tekanan yang tidak menghormati amalan demokrasi dan federalisme.  Dan
hari ini Alhamdulillah,  Membangun  Bersama Islam sebagai dasar utama
pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan, kini sudah berusia 20 tahun. 

Memerintah dan mentadbir negara, pada hakikatnya termasuk di dalam urusan


agama.  Ini dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W. sendiri yang juga merupakan Perdana
Menteri Negara Islam Pertama berpusat di Madinah Al-Munawarrah telah setiap hari
mengurus tadbir urusan negara.  Ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak
bahawa pentadbiran negara, ialah urusan yang berasingan dengan agama.  
Rasulullah S.A.W.  telah membuat perjanjian bertulis dengan musuh tradisi iaitu
Yahudi di Madinah.   Baginda juga turut mengirim surat-surat kepada Raja-Raja
yang ada di sekitar Semenanjung Arab serta mempunyai cop mohornya sendiri.   Ini
menunjukkan asas-asas pentadbiran negara telah diletakkan oleh baginda.

Kita menyaksikan bagaimana usia dakwah Rasulullah S.A.W. ialah selama dua puluh
tiga tahun; tiga belas tahun di Mekah dan sepuluh tahun di Madinah.  Tempoh yang
begitu panjang ini, sangatlah mustahil dijadikan oleh Allah S.W.T. hanya untuk
mengajar solat dan puasa semata-mata, tanpa sebarang aktiviti yang lain khususnya
pengurusan negara.  Melalui Perlembagaan Langit  yang namanya Al-Quran, Allah
S.W.T.  menyampaikan wahyuNya yang bukan sekadar memerintah supaya bersolat
dan berpuasa, bahkan terdapat padanya urusan hukum-hukum jenayah, jihad,
urusan pembahagian harta pusaka, mengurus rampasan perang, melantik al-ummal,
umara al ajnad, menjawab persoalan-persoalan rumah tangga dan menyelesaikan 
kekusutan jenayah seks dan mal.  Alangkah salahnya jika wujud dakwaan bahawa
Islam dan Al-Quran langsung tidak berbicara mengenai pemerintahan walhal ia
telah menyusun semua urusan hidup manusia semenjak seribu empat ratus tahun
sebelum wujudnya Perlembagaan Lord Reid.  Allah S.W.T sendiri menjanjikan
pahala di sebalik setiap amalan yang dilakukan asalkan  selari dengan syariat Allah. 
Bagaimana pahala boleh dianugerahkan kiranya ianya tidak dikira agama?
FirmanNya (Surah At Taubah Ayat 120) bermaksud:

“Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan
merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah;
dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan
musuh; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari
pihak musuh – semua itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh.
Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya.  Bahkan diantara tujuh golongan yang dijemput berteduh
di bawah naungan  Arasy-Nya ketika mana tidak ada sebarang teduhan lain di
Padang Mahsyar ialah Imam adil.”

Menyedari hakikat itulah, dasar Membangun Bersama Islam kita perkenalkan apabila
diberikan mandat oleh rakyat pada tahun 1990.  Membangun Bersama Islam dengan
maksud kita akan terus memacu pembangunan selari dengan landasan yang
ditentukan oleh Allah S.W.T.  Pembangunan perlu terus dilaksanakan kerana dunia
ini dijadikan oleh Allah S.W.T. untuk manusia, bukan untuk malaikat atau makhluk
lain.   Namun pembangunan yang kosong rohaninya hanyalah umpama pokok besar
yang akarnya buruk dan reput.   Daunnya sekalipun merimbun tidak akan lama
menaungi, masanya tersemban jatuh sangat mudah.  Di antara ajaran penting
dalam Islam ialah dunia ini bersambung dengan akhirat dan ini tidak ada di dalam
ajaran ideologi yang lain selain Islam. Oleh yang demikian, sangatlah jauh berbeza
pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular.  Orang-orang Mukmin
melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat
dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama
ibunya ke pasar.   Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat
permainan yang boleh menyeronokkan.  Berbeza dengan pemikiran si ibu yang
berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk
pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti.   Itulah
perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak
lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya
semata-mata!

Alhamdulillah, dengan amanah diberikan oleh Allah S.W.T. ini, kita melaksanakan
apa yang selama ini hanya dapat disebut di dalam masjid sahaja.  Sudah lama kita
menyebut tentang haramnya judi, arak, riba, pendedahan aurat dan sebagainya. 
Namun ia hanya dapat dikuatkuasakan bila kita ada kerajaan.  Kita telah
mengharamkan riba dan kita wujudkan Ar-Rahn apabila ada kerajaan dan
menggalakkan perbankan Islam dengan memindahkan semua wang kerajaan ke
perbankan Islam.  Di dalam bidang pendidikan, kita wujudkan Maahad Tahfiz Al-
Quran Wal-Qiraat dan Maahad Tahfiz Sains yang dulunya dianggap mustahil.   Di
dalam pentadbiran, kita namakan teras UMI atau Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan. 
Tenaga urus tadbir diajar bahawa kerja yang dilakukan ini dikawal oleh CCTV Allah
S.W.T. melalui Polis Rahsia Allah yang  namanya Malaikat.

Hasilnya, dalam masa 20 tahun, kita tidak dengar warga tadbir Kerajaan Negeri
Kelantan didapati bersalah atas tuduhan rasuah di mahkamah.   Untuk keselesaan
tenaga pekerja, kita perkenalkan cuti dua hari seminggu.   Masih tergiang-giang
tuduhan yang menyatakan rakyat Kelantan akan menjadi pemalas dengan
perubahan ini.  Namun kini tanpa segan silu ia ditiru oleh seluruh negara.  Rupanya
untuk memperkenalkan dasar semudah itupun, tidak terlintas di benak pemikiran
mereka kerana terlampau bergantung kepada telunjuk barat.

Di samping itu, kebajikan rakyat tidak dilupa, kita wujudkan Skim Takaful Kifaalah
untuk warga emas tanpa mengira fahaman politik,  Ladang Rakyat diwujud yang
kini ditiru oleh sesetengah negeri di samping kita menjaga kebajikan armalah atau
ibu tunggal.  Alhamdulllah, budi yang ditabur ini saya yakin dapat dinikmati setelah
Kelantan mempunyai kerajaan berlandaskan Islam. [Pantun]

Di sana padi di sini padi

Baru sempurna bernama bendang

Di sana budi di sini budi


Baru sempurna bernama orang

 Perubahan dan pembaharuan selama 20 tahun tentunya tidak dapat diceritakan di


dalam masa yang singkat.  Apa yang pasti, Kelantan Alhamdulillah terus
membangun.  Rakyat Kelantan menikmati arus pembangunan tanpa terjejas dengan
gangguan-gangguan yang dibuat-buat.  Bezanya, pembangunan ini dipasak di atas
asas yang namanya rohani.  Pembangunan rohani inilah yang sering kali tidak
dipedulikan.  Yakinlah, manusia jika hanya membangun jasmaninya tetapi
mengenepikan rohaninya, ia akan pincang.  Umpama kapal terbang yang
mempunyai dua sayap dipaksa terbang dengan satu sayap, bagaimana jadinya?  
Manusia diciptakan menggunakan dua bahan mentah satunya jasmani manakala satu
lagi  rohani.  Kedua-duanya dicampur dan bercantum seperti kembar siam yang
tidak boleh dipisahkan.  Firman Allah S.W.T. (Surah al-Hijri Ayat 29) bermaksud:

“Kemudian apabila Kami sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh 
dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.”

Kerana itu, Allah S.W.T. menjanjikan di sebalik kesenangan di dunia dan


kemewahannya itu, disediakan satu lagi  ganjaran abadi di akhirat, sekiranya hidup
itu dilandaskan di atas iman dan taqwa kepada Allah dalam semua bidang hidup. 

Firman Allah S.W.T.  (Surah Muhammad Ayat 36) bermaksud: “Sesungguhnya


kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau.  Tetapi jika kamu beriman
dan bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu di akhirat dan Dia tidak
akan meminta harta-hartamu.”

Akhir kata, besarlah harapan saya agar benih yang kita tanam pada hari ini dapat
dijaga sebaik mungkin oleh generasi yang akan datang.  Nakhoda bahtera boleh
bertukar ganti, namun kemudinya biarlah sentiasa terarah ke destinasi yang betul,
iaitu arah “Siratal lazi na an am ta alaihim, Minan nabi yiin wassa diqin wasyuhada’
wassalihin” seperti yang setiap masa kita pohon dalam sembahyang. Semoga Negeri
Kelantan terus dipayungi dengan rahmat dan keberkatan oleh Allah S.W.T. dan
terus membangun bersama Islam.  Junjung kasih patik Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Al-Sultan Kelantan yang sudi berangkat mencemar duli merasmikan majlis ini
pada malam ini.   Sekian, saya sudahi dengan “aqu lu qau li  wastaghfirullah al azim
li wa lakum, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.”

Membangun Bersama Islam: Kelantan menerajui perubahan (Siri 1)


KELANTAN terkenal dengan penduduknya orang
beragama. Buktinya gelaran Serambi Mekah dinukil orang sejak dari dahulu
sehingga sekarang. Kelantan juga sinonim dengan gelaran Negeri Tadahan Wahyu.
Dikenali juga dengan panggilan Tanah Serendah Sekebun Bunga atau negeri
berbudaya. Penduduknya 95 peratus beragama Islam. Jumlah penduduknya
sekarang melebihi 1.5 juta orang.

Ini sesuai dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah
bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang membuktikan) kemurahan Allah)
terdapat di tempat tinggal mereka iaitu: dua kebun (yang luas lagi subur) yang
lertetak di sebelah kanan dan kiri (kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada
mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah
kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan
(Tuhan kamu adalah) Tuhan yang amat Pengampun” (Al-Quran, Surah Saba’: 15).

Justeru William R. Roff (1974) pula mengiktiraf Kelantan sebagai: “The Islamic
State of Kelantan, in the north-east corner of mainland Malaysia bordering
southern Thailand, has existed as a locus of power in the peninsular for the least
a thousand years.”

Prof. Ismail Hussein (1989) mencatat di Kelantan sudah lama tumbuh suatu
penghidupan keintelektual dan kesusasteraan yang sama suburnya, yang sedikit
diketahui orang hari ini.

Di sebalik kenyataan tersebut, ternyata Kelantan merupakan negri yang unik,


terutama dari segi wajah kuasa rakyat dan kehidupan budaya politiknya.
Maksudnya, Negeri Kelantan sejak sebelum merdeka melalui proses sejarah yang
pernah dinaungi kuasa Siam (sebelum 1909) dan selepas itu dinaungi (melalui
perjanjian Bangkok) oleh penjajah Inggeris sehinggalah merdeka. Namun
menjelang merdeka berlaku pilihan raya Persekutuan 1955 kuasa politik rakyat
telah memberi mandate kepqada Umno menang di Kelantan. Tetapi pada pilihan
raya pertama 1959 (selepas meredeka) berlaku pula perubahan mandat rakyat
Kelantan apabila parti PAS dipilih mengetuai kuasa politik negeri.

Mandat kuasa kepada parti PAS berlaku sehinggalah tercetus ‘politik darurat’ 1977
yang menyaksikan mandat kuasa rakyat beralih kepada Umno tahun 1978.
Perubahan mandat kali ketiga itu berlangsung sehingga 1990, dan Umno berdepan
dengan kemerosotan populariti kerana pada pilihan raya umum ke-8 21 Oktober
1990, rakyat sudah beralih sokongan dan menyaksikan parti PAS sekali lagi
mendapat mandat mentadbir negeri untuk kali kedua.

Mandat kuasa rakyat itu berlangsung kini dan tatkala 21 Oktober 2010 adalah ulang
tahun ke-20 pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di bawah dominasi dasar
Membangun Bersama Islam. Suatu tempoh yang menciptakan kejayaan Negeri
Kelantan menerajui perubahan dari segi kuasa dan politik rakyat yang berteraskan
cara hidup Islam.

PEMBENTUKAN KERAJAAN 1959 - 1978

Bermula pilihan raya 1959, PAS mendominasi kuasa politik di Kelantan. Sebelum
itu, Umno menenangi pilihan raya Persekutuan atas sentimen rakyat inginkan
kemerdekaan. Justeru sokongan adalah semata-mata menyokong usaha merdeka
yang turut dipersetujui semua parti-parti politik termasuk PAS. Namun, sleerqa
rakyat Kelantan kepada Umno berubah kerana parti itu tidak serasi dengan jiwa
beragama rakyat Kelantan. Maka parti PAS yang memperjuangkan dasar politik
Islam menjadi pilihan dalam pilihan raya 1959.

Mulai 1959 PAS mentadbir kerajaan Negeri Kelantan. Ia berlangsung selama 12


tahun. Dalam tempoh itu, berlaku liku-liku cabaran kuasa rakyat dan politik
Kelantan. Parti PAS di Kelantan secara eksklusifnya merupakan parti yang sentiasa
di hati rakyat. Maka dalam era dominasi kuasa (sejak 1959-1978) parti PAS boleh
disifatkan melalui suatu tempoh pembentukan pentadbiran memimpin politik
rakyat Kelantan yang berjaya mencetuskan sejarah tersendiri di sisi rakyat
Kelantan. Dalam tempoh itu, menyaksikan Umno sukar diterima rakyat di Negeri
Serambi Mekah yang terkenal sebagai pusat penyebaran Islam yang subur di
Nusantara selepas Acheh.

Membina harapan rakyat

Di atas sokongan rakyat itu, parti PAS yang mentadbir negeri tetap membina
harapan rakyat dengan pelbagai usaha pembangunan yang meliputi fizikal, sikap
dan rohani rakyat. Justeru dari aspek fizikal, dalam tempoh 10 tahun PAS
memerintah Kelantan sejak 1959 sebanyak 7,620 keluarga penduduk miskin
dianugerah tanah. Seluas 78,170 ekar diberi kepada mereka sebagai penempatan
baru di Hulu Kelantan.

Hari ini pembangunan tanah di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan
(LKTN) telah membuahkan hasilnya. Ramai peneroka di rancangan tanah LTKN
berubah taraf hidup. Terdapat sebanyak 27 rancangan tanah dikendalikan di bawah
LKTN.

Lihat apa yang berlaku di Sungai PAS, Mengkebang, Chuchuh Puteri, Sungai Sok dan
Sungai Syam di Kuala Krai, Air Lanas di Jeli, Kemahang 1, Tanah Merah serta Sungai
Terah di Gua Musang sekarang.

Penduduk yang pernah bergelar sebagai peneroka kini sudah jauh berubah. Hutan
belantara sudah menjadi perkampungan tersusun. Pokok getah dan kelapa sawit
subur menghijau melimpah rezeki kepada mereka.

Sedangkan sebelum wujud LKTN, kawasan berkenaan merupakan hutan belantara.


Namun, hasil idea dicetus kerajaan PAS, kawasan hutan sekarang sudah bertukar
menjadi kampung dan pekan.

Apa yang lebih penting setiap peneroka memiliki geran tanah tanpa perlu
membayar hutang kepada agensi kerajaan seperti Felda atau Kesedar. Penduduk
tidak perlu risau tentang hutang tanam semula seperti dialami rakan mereka di
tanah rancangan milik Kesedar atau Felda.

Pembangunan berjalan lancar

Biar pun sumber kewangan kerajaan negeri agak terhad, namun pembanguan tetap
berjalan lancar. Kerajaan Negeri pimpinan PAS mampu membina jambatan Sultan
Yahya Petra, Stadium Sultan Mohammad Ke- IV dan Rancangan Tali Air Kemubu.

Pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra dimulakan pada 1963 melibatkan


perbelanjaan awal sebanyak RM2.86 juta. Selepas siap sepenuhnya pada 1965
jumlah keseluruhan kos meningkat kepada RM6.7 juta.

Ketika pembinaan dijalankan Umno mendakwa jambatan itu tidak mampu


disiapkan tanpa bantuan kerajaan pusat.

Malah pada kempen pilihan raya 1964 ada pemimpin Umno memberitahu mereka
akan berbogel di atas jambatan itu kalau berjaya disiapkan kerajaan PAS.

Sehingga sekarang janji politik itu tidak ditunaikan pemimpin Umno.Jawatankuasa


pembinaan jambatan dipengerusi Menteri Besar, Dato’ Asri Muda (Tan Sri).
Manakala Stadium Sultan Mohammad Ke IV dibina di kawasan seluas 13 ekar
melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta.

Rancangan Tali Air Kemubu pula dibina bagi faedah pesawah padi di kawasan
seluas 51,000 ekar meliputi jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh dan Bachok.

Projek itu mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan kos sebanyak RM45
juta. Dana bagi menyiapkan projek berkenaan dipinjam dari Bank Dunia.

Pegawai Kewangan Negeri ketika itu, Dato’ Abdul Aziz berlepas ke Washington,
Amerika Syarikat bagi melobi pinjaman tersebut untuk membiayai pembinaan tali
air.

Projek tali air sepanjang 500 batu akhirnya berjaya disiapkan dengan kos melonjat
sehingga RM75 juta.

Ini antara projek besar dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan. Tidak ramai yang tahu
sejarah itu kerana Umno sering mendabik dada merekalah yang membina Kota
Darulnaim dan kompleks Balai Islam di Lundang dan Pasar Siti Khatijah.

Awan mendung––politik darurat

Namun, cerah di langit tidak selama-lamanya. Awan mendung bermula selepas jasa
perpaduan akibat 13 Mei 1969 mewujudkan Kerajaan Campuran 1971 dan
kemudiannya membawa kepada penyertaan PAS dalam BN 1974. Seketika gelora
kuasa rakyat digoda dengan ujian tegar dan parti PAS berdepan dengan kemelut
kepimpinan. Berlakunya kekeliruan dalaman parti PAS yang memaksa usul undi
tidak percaya dan usaha menyingkir Dato’ Mohamad Nasir dari kerusi Menteri Besar
Kelantan. Ia kerana terserlah sikap dan tindakan politik menteri besar itu sehingga
dianggap sebagai boneka Umno.

Lalu berlaku ’politik darurat’ dan tapak kuasa rakyat sudah goyah bersama PAS
berikutan Kerajaan BN yang menguasai Pusat menguatkuasakan perintah darurat
melalui Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) di Kelantan. Diikuti suatu pilihan nraya
khas mac 1978 menyaksikan peralihan kuasa kepad Umno dengan bantuan kuasa
MAGERAN. Justeru kuasa rakyat yang membolehkan pembinaan kerajaan oleh parti
PAS (1959-1978) tetap melakar sejarah unik politik Kelantan.

1978 – 1990: PEMBINAAN PENGARUH DI KALANGAN RAKYAT

Bagi generasi lama tentunya masih segara dalam ingatan, kerana belum pudar
mengenangkan nasib menimpa PAS selepas kehilangan kuasa pada 1978. Timbul
persoalan, bagaimana untuk mencerahkan semula langit Kelantan agar rakyat yang
sedia beragama terus subur nilai-nilai keagamaannya. Justeru itu, komitmen parti
PAS selepas kalah 1978 ialah menyuburkan semula siraman wahyu negeri kelantan
dengan pengajuran kulaih-kuliah agama dan majlis-majlis ilmu. Ia telah
menyemarakkan kepudaran kesan politik darurat.

Ramai tidak lupa setelah PAS kecundang, ahli parlimen Pengkalan Chepa ketika itu,
Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sekian lama menyampaikan kuliah agama di
Masjid Muhammadi telah dihalang berkuliah. Ketagih rakyat terhadap majlis-majlis
ilmu tiba-tiba terhalang.

Maka mengambil kira halangan kuasa yang dimiliki Umno dan Barisan Nasional
(BN), Dewan Ulamak PAS Kelantan memutuskan kuliah agama perlu diteruskan di
lokasi lain. Pilihan yang ada di Dewan Prof Zulkifli Muhamad, Pejabat Perhubungan
PAS Kelantan.

Sambutannya semakin hangat dan ketokohan Ustaz Nik Abdul Aziz (Ustaz Nik Aziz)
mula terserlah. Beliau sebagai seorang ulama muda yang sendat dengan ilmu
agama di dada berupaya menarik ramai peminat. Anak-anak murid yang sudah
serasi turut sama berpindah ke Dewan Zulkifli Muhamad bagi mengikuti kuliah
agama Ustaz Nik Aziz.

Kedudukan pejabat Perhubungan PAS Kelantan di tengah-tengah bandar Kota


Bharu, di Jalan Dato’ Pati tiba-tiba menjadi tumpuan ramai. Penduduk datang dari
pelbagai tempat. Ada yang datang dari jauh dan dekat. Mereka tidak jemu
mengelek kitab bagi memasak lagi ilmu agama di dada.

Kerajaan BN ketika itu diketuai Dato’ Mohamad Yaakub, seorang pemimpin Umno
lulusan dalam bidang undang-undang. Kerajaan BN dibentuk selepas PAS tinggal
dua kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun). PAS ketika itu diwakili Wan Abdullah
Wan Su di Dun Manek Urai dan Nik Abdullah Arshad di Dun Sering.

Sebagai parti yang memperjuangkan Islam, PAS tidak pernah merasa gundah
dengan kekalahan yang menimpa. Ia tidak lebih sebagai satu cabaran bagi
meningkatkan lagi jati diri perjuangan.

Bermula dari situlah sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Aziz
menggerakkan tenaga ulama’ dan ustaz-ustaz melalui kuliah-kuliah agama ke
seluruh Kelantan. Beliau sendiri begitu istiqamah mengajar kitab di masjidnya
sendiri di Pulau Melaka. Selari dengan itu, premis-premis milik PAS diguna dan
dipopularkan sebagai markaz tarbiah, iaitu sebagai pusat pengembangan ilmu.
Sementara di Dewan Zulkifli Muhamad, Bangunan PAS Negeri diperkenalkan kuliah
lima minit setiap kali lepas solat zohor. Sejak itu, siri kuliah Jumaat dan kuliah
Maghrib mula mendapat sambutan.
Menyokong kepada usaha pendidikan (kuliah-kuliah) agama kepada rakyat, pihak
Jawatankuasa Penerangan PAS juga menggerakkan tenaga penerangan
menjalankan kempen dan ceramah isu semasa serta gerak gempur penerangan.
Antara tenaga penting termasuklah (Dato’) Haji Omar Mohamad, Haji Mustapha
Ibrahim dan haji Buniyamin Yaakob. Di samping Ustaz Nik Aziz sendiri yang siang
dan malam bekerja, tanpa rasa jemu dan penat menyebarkan perjuangan Islam.

Seterusnya ketokohan Ustaz Nik Aziz mulai terserlah sebagai seorang ulama’ muda
yang disegani kawan dan lawan. Sifat warak dan kealimannya menambahkan lagi
tarikan ribuan ’murid’ pelbagai lapisan generasi yang cintakan ilmu agama hadir
belajar (menadah) kitab di masjidnya di Pulau Melaka dan di Dewan Zulkifli. Maka
tidak hairanlah ramai orang mula memanggilnya sebagai tok guru, selaras dengan
keilmuan dan sifat warak yang ada pada dirinya.

Bermula dari situlah panggilannya bertukar daripada ‘ustaz’ kepada ‘tok guru.’
Gelaran itu bukan beliau yang meminta, sebaliknya ia suatu pengiktirafan sosial
daripada orang ramai yang senang memanggilnya begitu. Lebih-lebih lagi sering
timbul cerita-cerita ‘kelebihan’ Tok Guru Nik Aziz yang dikaitkan dengan kejadian
bersifat ‘karomah’ yang jarang berlaku atas tok-tok guru lain.

Pernah suatu ketika Hai Omar dan Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood melihat dalam
kereta dipandu Tok Guru Nik Aziz penuh dengan penumpang. Selanjutnya Haji
Omar menceritakan: “Saya mengekori kereta ‘tok guru’ yang baru selesai
berceramah di Mata Air, Pulai Chondong.

“Saya lihat keretanya ‘sengek’ dan kelihatan ramai orang di dalam. Kemudian
keesokan harinya saya bertanya apa yang dilihatnya malam tadi.

“Tok Guru Nik Aziz mengakui bahawa dia seorang diri sahaja memandu pada
malam tadi ketika pulang dari ceramah. Mendengar jawapan itu, saya dan Ustaz
Wan Jamil mengucap panjang,” kata Haji Omar.

Sesungguhnya banyak peristiwa aneh berlaku melibatkan Tok Guru Nik Aziz
sepanjang beliau menjalankan tugas sebagai penceramah mahupun pengkuliah.
Tambahan pula, setiap hari Jumaat beliau akan hadir solat Jumaat di serata masjid
dan acap kali dijemput berkhutbah. Caranya begitu telah menambahkan lagi
perhatian orang ramai terhadap ketokohannya.

Membangun Bersama Islam: Kelantan menerajui perubahan (Siri 2)

Sesungguhnya, berkat usaha gigih dan komitmen tinggi pemimpin PAS dan Tok Guru
Nik Aziz sepanjang berhadapan kekalahan sejak 1978 telah membuahkan hasil.
Rakyat mula memberi perhatian kepada apa yang disampaikan oleh PAS.
Sebahagian timbul kesedaran untuk bersama perjuangan Islam yang dibawa PAS.
Tok Guru Nik Aziz dan beberapa ulama’ serta pemimpin PAS sering diundang
menyampai kuliah dan ceramah ke segenap Dun dan Parlimen di Kelantan.

Sehinggalah PAS mendapat sokongan padu golongan rakyat semasa pilihan raya
umum 1990. PAS mencapai kemenangan mutlak bersama-sama dengan Angkatan
Perpaduan Ummah. Mandat daripada kemenangan mutlak itu, menjadi kekuatan
bagi parti PAS menerapkan dasar peruangannya di dalam pentadbiran negeri.
Justeru dasar Membangun Bersama Islam dijadikan pakaian rasmi di dalam
mentadbir kerajaan negeri. Inti pati kepada dasar pentadbiran ini adalah amal
maaruf nahi mungkar yang berpaksikan ketakwaan kepada Allah. Oleh itu, rekod
kemenangan PAS dan kejayaan memerintah Negeri Kelantan penuh berliku, dan
liku-liku itulah yang telah mencorak senario politik rakyat Kelantan sehingga dua
dekad ini rakyat kekal memberi mandat kepada PAS.

Dua dekad Membangun Bersama Islam: 1990–2010

Pada 20 Oktober 2010 PAS genap dua dekad Negeri Kelantan di bawah

kepemimpinan ulama’ dan didapati Kelantan yang


dipacu oleh asas-asas keagamaan terus maju ke hadapan. Sejak 20 tahun lalu,
perubahan ketara boleh dilihat, biar pun Umno masih mendakwa Negeri Kelantan
dalam kemunduran, miskin dan tidak membangun. Namun, mata memandang sedia
menjadi saksi bila mana susuk pembangunan berlaku di setiap pelosok negeri.
Malah penyaksian itu turut merakamkan selama dua dekad ini, Negeri Kelantan
menerajui perubahan dan mendahului di dalam beberapa aspek pembangunan.

Kerajaan BN tinggal hutang.

Namun, di sebalik liku-liku itu ramai yang tidak tahu hakikat kemenangan dan
perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. Misalnya, tatkala kemenangan berlaku
kerajaan PAS yang mengambil alih tampuk pentadbiran turut mewarisi hutang yang
ditinggalkan oleh kerajaan BN terdahulu berjumlah RM760 juta. Hutang tersebut
menjadi beban kepada rakyat dan kerajaan negeri untuk dilunaskan. Sehingga 2006
hutang tersebut mengecil kepada RM635 juta. Sehingga kini, beban hutang itu
terus dibayar.

Apa pun, berkat pentadbiran negeri yang berteraskan Islam, keberkatan dan rezeki
itu tetap disanadarkan kepada ketentuan Allah SWT. Meskipun beban hutang
tertunggak sebanyak itu, ia tidak mematikan ikhtiar untuk menambahkan punca
hasil baru. Sejak Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman (semasa menjawat Timbalan
Menteri Besar) dan kini ahli Exco, Dato’ Husam Musa sebagai perancang kewangan,
ia dilihat berjaya menguruskan kewangan negeri bersama-sama Pegawai Kewangan
telah melaksanakan tadbir urus terbaik. Tunggakan cukai dan kutipan hasil dapat
dipertingkatkan, di samping seni pengurusan kewangan yang berhemat terus
dihayati. Hasilnya upaya kewangan negeri mampu membiayai semua peningkatan
kos pentadbiran ekoran kenaikan harga minyak. Malah setiap kali pihak Kerajaan
Pusat mengumumkan pembayaran bonus, maka tiadalah ketinggalan pihak Menteri
Besar, Tok Guru Nik Aziz turut mengumumkan pembayaran bonus kepada semua
pegawai dan kakitangan awam negeri.

Berdasarkan realiti kewangan sedemikian, ia telah dibuktikan oleh kajian Abd.


Rahim Anuar dan Azizah Mohd Yusof dari Universiti Utara Malaysia (2001) bahawa
kesan pelaksanaan Membangun Bersama Islam terhadap hasil Negeri didapati telah
memberikan kesan positif kepada hasil Negeri––hasil Negeri meningkat.

Kerajaan Pusat kontra federalisme

Konsep federalisme membelah kerajaan di Malaysia kepada dua entiti kuasa iaitu
kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Pembahagian itu ditentukan berasaskan
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Apa pun dalam konteks amalan
serta kesannya kepada keutuhan Kerajaan Negeri Kelantan, didapati Kerajaan
Pusat sedia melaksanakan tindakan-tindakan kontra dengan hukum federalsime
yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Paling ketara tindakan itu
adalah ketidakpatuhan amalan kewangan dan menafikan kuasa-kuasa Kerajaan
Negeri mengurus projek yang disalurkan oleh kementerian di bawah Kerajaan
Pusat. Ia menyimpang daripada amalan good governance dalam prinsip birokrasi
yang demokratik!

Berpandukan perlembagaan tersebut Kerajaan Negeri diberi kuasa berkaitan hal


ehwal agama, tanah di samping pertanian dan perhutanan. Kuasa pusat pula lebih
dominan merangkumi hubungan luar, pertahanan, keselamatan, pentadbiran,
keadilan, kewangan, perdagangan, perhubungan, pengangkutan dan banyak lagi.
Manakala bagi perkara-perkara yang tidak dinyatakan dalam senarai di atas diletak
di bawah Senarai Bersama. Kuasanya meliputi kebajikan masyarakat, biasiswa,
perlindungan hidupan liar, kebudayaan, sukan, perumahan dan perlembagaan
persekutuan.

Bagaimanapun dalam amalan rule of law (berperlembagaan) kerajaan pusat


melakukan tindakan over rule. Contohnya kewujudan Putrajaya di Prang Besar,
Selangor tanpa mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja dan Dewan Undangan Negeri
Selangor. Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusof (1995) menyifatkan tindakan
tersebut sebagai quasi-federal, iaitu tidak menepati kehendak federalisme.

Sebenarnya bukan sekadar kes Prang Besar yang mencerminkan tindakan over rule
kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap negeri, malah banyak lagi kes lain.
Antaranya turut melibatkan hubungan Pusat dengan Kelantan. Contoh yang berada
di hadapan kita sekarang iaitu pencabulan perjanjian penyerahan hak cari gali
petroleum Kelantan kepada Petronas pada 1975 yang jelas tidak mematuhi Akta
Pembangunan Petroleum. Kerajaan Pusat telah mengkhianati perjanjian setelah
tidak membayar bayaran wang tunai (royalti) hasil cari gali itu kepada kerajaan
Kelantan.

Lihat afidavit Tun Abdul Rahman Yakub dalam kes kerajaan Terengganu lawan
Petronas dan kerajaan Malaysia pada 2001. Kerajaan Pusat secara terang-terangan
telah melakukan over rule.

Namun, anehnya beberapa pemimpin Pusat dari Kelantan (pemimpin parti Umno)
seperti Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan Dato’ Dr Awang Adek Hussin menafi
berkali-kali perairan negeri Kelantan ada menghasilkan minyak. Mereka menegak
hujah seumpama menegak benang basah, dengan menukar hak royalti kepada wang
ihsan. Lalu mendakwa wang ihsan diberi atas nasihat Peguam Negara.

Biar pun banyak kemucup politik melekat di kaki, Kelantan tetap melangkah jauh
ke hadapan. Malangnya ketika langkah semakin deras, masih ada lagi pemimpin
Umno menganggap PAS gagal mentadbir Kelantan sepanjang 20 tahun ini.

Imbas sejenak tahun 1990

Menjelang pilihan raya umum ke-8, Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan)


berjaya dibentuk. Kemudian PAS telah menjalin kerjasama dengan Angkatan.
Angkatan pula mengandungi kerjasama tiga parti, iaitu Semangat 46, Berjasa dan
Hamim. Semuanya adalah akibat pergolakan dalaman Umno pada 1987 menjadi
detik permulaan sehingga lahirnya Semangat 46. Pertembungan antara Dr Mahathir
dan Tengku Razaleigh merebut jawatan presiden Umno ketika itu membawa Umno
yang ditubuh pada 1946 diharamkan Mahkamah Tinggi. Dr Mahathir kemudiannya
menghidupkan Umno Baru, manakala Tengku Razaleigh menubuh Semangat 46. Ini
bermakna Umno yang ditubuh Dato’ Onn Jaffar pada 1946 sudah tidak wujud lagi.
Umno yang ada hari ini ialah Umno Baru dipelopori Dr Mahathir.

Hasil kerjasama erat PAS bersama Angkatan, menyaksikan pilihan raya umum 20
Oktober 1990, kekalahan teruk BN dan terpaksa meninggalkan pejabat pentadbiran
yang dirampas melalui MAGERAN pada 1978. Ketika itu PAS bertanding di 24 Dun
dan enam parlimen, Semangat 46 bertanding 13 Dun serta tujuh kerusi parlimen.
Manakala Berjasa dan Hamim masing-masing bertanding di satu kerusi Dun.
Maka pada tanggal 20 Oktober mencatatkan sejarah baru di Malaysia, apabila
Umno gagal memenangi sebarang kerusi di Kelantan. Ia suatu sejarah yang tidak
pernah berlaku dalam sejarah politik negara. Angka keramat dengan agregat 39-0
(Dun) dan 13-0 (parlimen) menjadi saksi penerimaan terhadap PAS dan penolakan
Umno oleh rakyat ketika itu. Bermula dari detik 1990 itu, kerajaan BN
bertunjangkan parti Umno yang selama 12 tahun 7 bulan berkuasa di Kelantan
akhirnya roboh.

Dua hari selepas 20 Oktober, majlis angkat sumpah pembentukan kerajaan


Angkatan diadakan. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (Dun Semut Api)
sebagai Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (Dun Banggol) dilantik
sebagai Timbalan Menteri Besar I dan Rozali Isohak (Dun Dabong) dari parti
Semangat 46 sebagai Timbalan Menteri Besar II. Di ikuti dengan saf ahli majlis
mesyuarat kerajaan (Exco), iaitu tiga Adun dari PAS––Ustaz Yahya Othman (Dun
Banggol Judah), Ustaz Idris Ahmad (Dun Tawang) dan Dato’ Halim Mohamad (Dun
Bunut Payong), dari parti Semangat 46 pula Zianon Abdin Ali (Dun Panglima Bayu)
dan Daud Jaafar (Dun Jelawat) dan Dato’ Wan Hashim Wan Ahmad (Dun Padang
Garong) dari parti Berjasa turut dilantik sebagai Exco.

Adun Semangat 46 keluar parti

Biar pun rumah tangga Angkatan utuh, namun cabaran dan mehnah politik dan
pentadbiran tidak dapat dielak. Semangat 46 mulai dilanda masalah dalaman
apabila dua Adunnya, Nordin Salleh (Sungai Pinang) dan Wan Mohamad Najib Wan
Mohamad (Limbongan) melompat parti. Kedua-dua Adun terbabit mendapat
sokongan Setiausaha Perhubungan Semangat 46, Kassim Mohamad dan Ketua
Penerangan, Yaakub Mohamad bagi menentang kepemimpinan Tengku Razaleigh.

Ekoran tindakan mereka, persidangan Dun pada 25 April 1991 telah meluluskan
pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri bagi menggugurkan mana-mana Adun yang
melompat parti.

Pada 3 Julai 1991 Speaker Dun mengisytiharkan kedua-dua kerusi terbabit kosong
kerana melanggar perlembagaan negeri. Ekoran itu pada 24 Ogos 1991 pilihan raya
kecil diadakan di Sungai Pinang dan Limbongan. Keputusan pilihan raya kecil
berpihak kepada calon Semangat 46. Sungai Pinang diwakili Mahmud Yaakub dan
Limbongan pula Samat Mamat.

Bagaimanapun Umno telah mencabar pindaan perlembagaan negeri ke Mahkamah


Tinggi. Pada 8 November 1991 Mahkamah Tinggi memutuskan pindaan tersebut
sebagai tidak sah. Kemudian pada 22 Januari 1992 Mahkamah Tinggi juga
memutuskan pengisytiharan kekosongan kerusi Dun Sungai Pinang dan Limbongan
sebagai tidak sah.
Kes tersebut akhirnya dibawa Mahkamah Agung. Pada persidangan mahkamah
tertinggi terbabit tanggal 3 April 1992 telah memihak kepada Umno. Nordin dan
Wan Najib mendapat semula kedudukan sebagai Adun. Keputusan mahkamah
tersebut menyebabkan rakyat Kelantan menggelarkan mereka sebagai wakil
mahkamah dan bukannya wakil dipilih rakyat.

Kera jaan Negeri sekali lagi berdepan


dengan ujian pilihan raya kecil berikutan kematian Adun PAS di kawasan Dun
Lundang, Ustaz Mawardi Ahmad. Pilihan raya kecil yang diadakan pada 29 Mac
1994. PAS diwakili Ustaz Mohamad Daud Iraqi. Keputusannya berpihak kepada
calon PAS dan sekali gus membuktikan sokongan rakyat terhadap dasar-dasar
Kerajaan Negeri tetap utuh.

Apa yang menariknya pada pilihan raya kecil Lundang itu, tok Guru Nik Aziz
bertindakan secara berstrategi dengan mengungkap kata-kata ‘tak dok sebab demo
nak lawe kawe’ di samping melancarkan perang psikologi melalui ungkapan ‘beri
kain pakai, beri gula kacau, bila undi, undi bule’ sehingga menyebabkan jentera
kempen BN terperangkap dan gagal melaksanakan pendekatan kempen kebendaan.

Membangun Bersama Islam: Kelantan menerajui perubahan (Siri 3)

Kerajaan Negeri Kelantan diterajui PAS bersama Angkatan dilihat komited


(istiqomah) menjayakan amalan pentadbiran berteraskan Membangun Bersama
Islam. Segala dasar atau polisi kerajaan dipacu berpandukan al-Quran dan al-Hadis
serta ijmak-qias ulama’. Justeru pendekatan amalan pentadbiran itu telah
melakukan transformasi dan pembinaan keyakinan kepada model pemerintahan
Islam yang pernah mencapai kegemilangan pada zaman Madinah dan era khulafa
ar-Rasyidin serta Othmaniah.

Model itu dipakai dengan teliti, maka sebaik sahaja memerintah Kelantan, Tok
Guru Nik Aziz selaku pencetus dan peneraju siasah Kerajaan Negeri telah
memindahkan akaun tetap kerajaan negeri dari bank konvensional-riba ke Bank
Islam. Amalan kewangan dipraktik mengikut acuan Islam dengan mewujudkan dua
akaun kerajaan negeri iaitu halal dan haram. Kerajaan Negeri mengamalkan dasar
tender terbuka. Implikasinya telah mendorong kepada pelaksanaan sistem
perbankan tanpa faedah (SPTF) atau sistem perbankan Islam (SPI) dan pembukaan
kaunter kewangan syariah di bank-bank konvensional.

Ulama’ menerajui perubahan

Justeru, survival kepimpinan ulama’ yang menerajui Kerajaan Negeri Kelantan


sekarang ini dilihat sebagai menyambung kembali usaha-usaha Islamik yang telah
dilakukan kepimpinan PAS ketika mentadbir negeri sebelum 1978. Antaranya
menutup lubang-lubang maksiat dengan memastikan lesen premis tempat-tempat
perjudian dan hiburan tidak lagi dibenarkan. Premis menjual arak juga dikawal
iaitu selaras dengan nisbah penduduk bukan Islam.

Demikian pula, komitmen pentadbiran Islamik diteruskan dengan mengawal kedai-


kedai gunting serta salon unisex agar tidak lagi berorientasikan kebebasan tanpa
batasan seksual. Persembahan hiburan yang melampau juga tidak dibenarkan.
Makyong dan menora yang jelas bercanggah dengan Islam kerana mengandungi
unsur khurafat (pemujaan mensyirikkan Allah) turut diharamkan.

Bagi membantu rakyat keluar dari amalan riba, kerajaan negeri pada 1992
memperkenalkan sistem gadaian Islam (Ar Rahn) yang diuruskan melalui anak
syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Ekoran langkah
tersebut pajak-pajak gadai konvensional-riba tidak lagi mendapat sambutan
sehingga banyak yang terpaksa menutup operasi. Ar-Rahn kemudian
diperkembangkan ke seluruh Kelantan dan negeri-negeri lain. Malah sistem pajak
gadai Islam itu menjadi perintis kepada pelbagai agensi kewangan di bawah
kawalan Kerajaan Pusat turut mengambilnya sebagai projek kewangan Islam.

Menteri Besar juga menekankan polisi berjimat cermat bagi menjaga harta
kerajaan. Langkah awal yang diambil iaitu memotong elaun Menteri Besar,
Timbalan Menteri Besar, anggota Exco dan Speaker sebanyak 20 peratus yang
dimasuk ke dana parti.

Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar serta para Exco juga memotong elaun
sebanyak lima peratus yang dimasukkan ke dalam Tabung Serambi Mekah. Amalan
memberi cenderamata kepada pemimpin juga dihentikan. Turut dilakukan adalah
tidak menggunakan peruntukan majlis hari raya dan imbuhan kerana tidak
menduduki rumah kerajaan. Ia telah menjimat wang Kerajaan Negeri, malah turut
memulang balik secara tidak langsung kepada rakyat menerusi akaun kerajaan
(Kumpulan Disatukan dan Tabung Serambi Mekah). Selama 20 tahun ia berlaku dan
sudah lebih puluhan juta, ia dipulangkan balik kepada akauan Kerajaan Negeri.
Sehingga kini belum ada mana-mana Kerajaan Negeri diterajui Umno sanggup
berbuat demikian!

Kerajaan Negeri juga memberi cuti bersalin kepada kakitangan wanita daripada 42
hari kepada 60 hari. Kerja lima hari seminggu mulai dikuatkuasa pada 1 Januari
1996 serta memendekkan waktu pejabat bulan Ramadhan dengan cara tidak ada
waktu rehat tengah hari.

Kesemuanya adalah gambaran berhemat di sisi kepemimpinan, cermat dalam


berbelanja dan bermanfaat untuk rakyat dalam konteks semasa dan masa depan. Ia
suatu gambaran kekuatan model pentadbiran Islamik selama dua dekad menerajui
perubahan di Negeri Kelantan.

Keluarga bahagia

Kerajaan Negeri juga terus berusaha memperkasakan kedudukan serta


penghormatan terhadap kaum wanita (khususnya kaitangan awam) dengan
menambahkan cuti bersalin daripada 42 hari kepada 60 hari. Seterusnya mulai
tahun 2011 cuti bersalin akan ditambah kepada 90 hari. Cuti bersalin boleh diambil
lebih awal sekiranya mereka tidak mampu melaksanakan tugas di pejabat.

Selain itu kakitangan wanita yang kematian suami juga dicadang diberi cuti iddah.
Ini dilakukan selaras dengan tuntutan Islam di mana wanita kematian suami
mempunyai iddah selama empat bulan 10 hari. Ketika iddah tersebut mereka tidak
digalakkan berada di tempat-tempat awam, bagi mengelakkan sebarang fitnah
berlaku.

Kerajaan Negeri juga memberi kemudahan cuti kepada suami untuk menjaga isteri
ketika bersalin. Kemudahan itu dapat dimanfaat bagi menjaga anak-anak
memandangkan isteri perlu berpatang, dan tidak dapat melakukan tugas-tugas
yang agak berat.

Cuti 2 hari seminggu

Kerja lima hari seminggu mulai dikuatkuasa pada 1 Januari 1996. Kelantan
merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan hari bekerja lima hari
seminggu. Amalan pentadbiran ini adalah rasional dan selari dengan psikologi
pekerja serta mendapat pengiktirafan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang
kemudiannya ditiru oleh Kerajaan Pusat meskipun pada awalnya ditentang hebat.
Sehingga mendapat kritikan pemimpin Kerajaan Pusat kononnya dengan cuti dua
hari boleh mengurangkan prestasi jentera kerajaan. Namun tidak lama kemudian
cuti tersebut turut dipraktikkan sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat. Signifikannya,
amalan cuti dua hari seminggu turut membawa kebaikan kepada keakraban
kekeluargaan. Ini kerana melalui cuti dua hari seminggu telah membolehkan
kakitangan awam mempunyai masa lebih lama bersama keluarga. Ia turut
menggalakkan indsutri pelancongan domestik dan terbukti jumlah bas dan jadual
penerbangan antara Kota Bharu-Kuala Lumpur begitu kerap dan mengatasi mobiliti
domestik penduduk Terengganu dan Kedah.

Sementara pihak Tok Guru Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan telah
menjadikan hari Jumaat sebagai hari untuk menuntut ilmu agama dan Sabtu pula
bersama keluarga. Sekali gus menggerakan pemikiran rakyat kepada kehidupan
berilmu dan kerukunan hidup berumah tangga. Meskipun, aspek ini terlalu
subjektif untuk diukur, tetapi ruang ilmu dan kekeluargaan itu sudah menjadi
dasar dan program Kerajaan Negeri Kelantan.

Walaupun begitu, pihak Kerajaan Pusat cuba mengelak daripada dikatakan meniru
apa yang dilakukan Kerajaan Kelantan, malah pelaksanaan cuti Sabtu pada awalnya
dipraktikkan pada cuti hari Sabtu minggu pertama dan minggu ketiga sahaja.
Pelaksanaan kaedah itu mengelirukan dan akhirnya Kerajaan Pusat menerima
hakikat, apa yang Kerajaan Kelantan buat adalah mewakili kehendak majoriti. Lalu
pelaksanaan cuti hari Sabtu sepenuhnya mengikut apa yang dilakukan di Kelantan
telah diterima.

Pembangunan pendidikan Islam

Sepanjang 20 tahun parti PAS yang memperjuangkan Islam mentadbir Kelantan


terus menampilkan perubahan bersifat transformasi dan paling ketara ditumpukan
kepada aspek pembangunan berimbang antara tuntutan rohani dan jasmani. Ini
selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam. Tumpuan pembangunan rohani
adalah kepada aspek pendidikan.

Kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Kelantan menubuh Maahad Tahfiz Al Quran
Wal Qiraat di Pulai Chondong. Maahad tersebut berjaya melahirkan ramai pelajar
cemerlang sehingga kini memiliki kerjaya dalam bidang profesional termasuk
pensyarah, peguam dan pegawai tadbir.

Profesional lulusan maahad tersebut berbeza berbanding dengan sekolah-sekolah


lain kerana mereka mampu menjadi imam solat dan menyampaikan dakwah. Di
dalam dada mereka ada 6,666 ayat suci al Quran.

Sehingga kini Maahad Tahfiz Al Quran diperkembangkan ke beberapa jajahan lain


termasuk Pasir Mas dan Bachok. Malah menjadi misi Tok Guru Nik Aziz untuk
memastikan setiap jajahan memiliki sekolah tahfiz al-Quran.
Maahad Tahfiz Sains pula mula diperkenalkan dengan penubuhan Maahad Tahfiz
Sains Al- Bustanul Ariffin di Kampung Berangan, Tumpat. Selepas itu dibina Maahad
Tahfiz Sains yang lebih besar dengan kemudahan asrama yang lebih selesa di Tanah
Merah dan diikuti dengan sebuah lagi di Kok Lanas. Apa yang penting ialah produk
maahad tahfiz sains telah berjaya melahirkan lebih ramai profesional dalam bidang
sains dan teknologi yang berkemampuan menghafal ayat-ayat al Quran.

Sebelum itu YIK membuka kelas aliran sains tulen di Maahad Muhammadi Lelaki
dan Maahad Muhammadi Perempuan. Pelajar-pelajar lulusan sains tulen kedua-dua
sekolah terbabit kini berjaya dalam bidang sains dan teknologi. Ramai di kalangan
mereka sekarang menjadi doktor, jurutera dan ahli sains.

Kecemerlangan akademik kedua-dua sekolah terbabit menyebabkan setiap tahun


permohonan pelajar baru sentiasa bertambah. Ia turut mendapat sambutan
(permohonan) daripada ibu bapa dari luar Kelantan untuk menghantar anak-anak
belajar di kedua-dua maahad tersebut. Kesan transformasi pendidikan Islamik yan
lebih dikenali dengan pendidikan sepadu itu turut mengundang Kementerian
Pelajaran Malaysia melaksanakan pengajaran mata pelajaran agama disepadukan
dengan mata pelajaran sains dan iktisas di sekolah-sekolah menengah. Lalu
tumbuhlah sekolah-sekolah yang dikenali sebagai sekolah mnengah kebangsaan
agama (SMKA), iaitu sekolah berasrama yang menyeimbangkan kurikulum agama
dan akademik biasa di bawah kawalan Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian
Pelajaran Malaysia. Justeru itu, pihak Kerajaan Negeri menerusi YIK terus
memperluaskan pendekatan sepadu pengajaran sains tulen dan agama ke sekolah-
sekolah YIK di setiap jajahan.

Kerajaan Negeri juga menghidupkan kembali kegemilangan Yayasan Pengajian


Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) di Nilam Puri sebagai sekolah tinggi yang dimatikan
kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika memerintah Kelantan pada 1978. Kerajaan
BN ketika itu menyerapkan YPTIK kepada Akademi Pengajian Islam Universiti
Malaya sebagai kampus cawangan di Nilam Puri. Sekolah tinggi dalam bidang
agama itu dikenali sebagai Maahad ad-Dakwah Wal-Imamah ditubuhkan 1994 dan
pelaksanaannya merupakan suatu tunai janji manifesto PAS pada pilihan raya
umum1990. Penubuhannya adalah atas hasrat menjadi pusat pengajian tinggi
agama peringkat diploma dalam bidang usuluddin, dakwah dan syariah serta ke
arah melahirkan pelapis kepimpinan masyarakat yang berdakwah dalam
masyarakat.

Maahad tersebut yang terletak di Nilam Puri mendapat pengiktirafan Universiti Al-
Azhar, Mesir dan universiti ternama di Asia Barat. Maahad Dakwah berkembang
pesat dan menjadi perintis kepada penubuhan institut pendidikan tinggi Islam.
Selepas itu (tahun 1999), Kerajaan Negeri telah menubuhkan Kolej Islam
Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Maahad ad Dakwah Wal Imamah telah
diserap ke dalam KIAS. Kini KIAS telah berjaya sebagai institusi pendidikan awam
Kerajaan Negeri yang mendapat pengiktirafan Lembaga Akreditasi yang mencapai
taraf pendidikan global. Statusnya sedang mencerah nama melalui kursus-kursus
yang ditawarkan, di samping turut mengadakan program ijazah berkembar dengan
beberapa universiti di Timur Tengah dan Indonesia serta universiti tempatan.

Perkembangan pendidikan Islam terus semarak dengan pembinaan Kolej Yayasan


Islam Kelantan di Kok Lanas bagi menempatkan pelajar-pelajar tingkatan enam.
Kolej khusus disediakan bagi membolehkan pelajar-pelajar lepasan SPM yang
berminat melanjut pelajaran ke universiti di Timur Tengah menduduki peperiksaan
Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan STPM. Hal ini meletakkan pendidikan Islam
Kelantan sebagai rujukan kepada negeri-negeri lain, terutama dari segi sukatan
pengajiannnya serta keberkesanannya. Sehingga kini, kurikulum YIK dipakai di
beberapa sekolah agama di Johor, Selangor dan Sarawak. Malah YIK turut
mengeksport kepakarannya sampai ke Kampuchea bagi mendidik masyarakat
Melayu Cham di sana. Kelangsungan daripada kecemerlangan YIK yang popular
dengan peperiksaan sijil rendah agama (SRU), sijil menengah agama (SMU) dan sijil
tinggi agama (STU) telah memberi ilham kepada Kerajaan Pusat melaksanakan
peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan terpakai di seluruh negara dan
kelayakannya adalah setanding Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (SPTM).

Membangun Bersama Islam: Kelantan menerajui perubahan (Siri 4)

Suatu perkara penting yang


mencorakkan senario baru politik negara pasca 1990 adalah terjelmanya kuasa
politik Islam yang dibawa oleh PAS tatkala berkuasa di Kelantan. Hal itu telah
mencetuskan suatu keyakinan baru umat Islam betapa dasar-dasar Islam yang
selalu diceramahkan di corong radio, TV dan tertera di dada akhbar sudah
mencapai realiti. Justeru, kunci kepada senario baru itu adalah komitmen Tok
Guru Nik Aziz memakai kandungan dasar perjuangan Islam yang terkandung di
dalam Perlembagaan PAS sebagai prinsip pentadbiran yang wajar dipraktikkan.
Antara kandungan itu ialah Fasal 5, Perlembagaan PAS menyebut untuk
memperjuangkan sebuah masyarakat dan pemerintahan di dalam negara ini yang
terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan juga mempertahankan kesucian
Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara. Seterusnya diperjelaskan lagi
oleh Fasal 6, iaitu dinyatakan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk
merealisasikan tujuan Fasal 5 itu, antaranya dengan menyeru umat manusia
kepada Syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya sama ada melalui lisan, tulisan dan
amalan. Kini dua dekad PAS mentadbir Kelantan memakai prinsip kuasa politik
berteraskan dasar-dasar Islam. Ia telah dan sedang dibuktikan dalam aspek
pentadbiran Negeri.

Pentadbiran Islam

Dasar pentadbiran Kerajaan Negeri berpandukan moto Membangun Bersama Islam


yang merupakan tema manifesto PAS bagi pilihan raya umum 1990. Teras
membangun Bersama Islam ialah berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu
ubudiah, masuliah dan itqan (UMI). Kunci kepada kejayaan pentadbiran di bawah
dasar Membangun Bersama Islam kerana memberi penumpuan kepada nilai-nilai
takwa yang mencapai keberkatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Kalau sekiranya
penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membukakan
kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit
dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu kami timpakan mereka
dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan” (Al-Quran Surah
Al Araf:96).

Ubudiah berkait soal iman atau aqidah iaitu merujuk tanggungjawab manusia
sebagai hamba Allah SWT. Penekanan terhadap seseorang penjawat awam ditekan
dari aspek sifat diri, tujuan hidup dan aktiviti harian yang dilakukan hendaklah
selaras dengan kehendak agama (berimana dan bertakwa). Begitu juga dalam tugas
seharian hendaklah menepati matlamat yang ditetapkan kerajaan.

Masuliah menekankan soal amal tanggungjawab (akauntabiliti) yang selaras dengan


tuntutan syariat. Penegasan tanggungjawab itu ialah tugas harian seseorang
kakitangan awam di pejabat itu sebenanrya mempunyai hubung kait dengan agama
(aspek dosa dan pahala). Setiap kakitangan awam diperingatkan segala gerak kerja
mereka akan diadili di akhirat kelak.

Itqan berkait dengan amalan soleh atau akhlak. Akhlak bagi seseorang kakitangan
awam menekankan aspek ketekunan, kesungguhan dan komitmen tinggi dalam
melaksanakan tugas. Seseorang penjawat awam yang mempunyai akhlak tinggi
tentunya tidak terbabit dengan sebarang penyelewengan dan salah laku atau
bekerja sambil lewa dan curi tulang. Sifat itu menerbitkan asas kualiti dalam
setiap tugas yang dilakukan.
Kesan amalan pentadbiran ini telah mencetuskan perubahan dan transformasi
Islamik seperti diulas sebelum ini (di bawah beberapa sub-topik di atas) turut
menzahirkan betapa aspek jimat cermat, hemat dan berpada termasuk di dalam
berbelanja. Slogan popular yang kerap digunakan Menteri Besar iaitu ”berbelanja
jangan sampai boros dan berjimat jangan sampai kedekut.”

Sebagai ketua kerajaan Tok Guru Nik Aziz mempraktikkan amalan berjimat cermat
di pejabatnya. Lampu pejabat dipadamkan pada waktu rehat atau dibuka suisnya
mana yang perlu sahaja. Ini kerana semua harta itu adalah hak orang ramai. Maka
setiap pegawai mesti menganggapnya sebagai amanah yang perlu dijagai demi
mencapai keberkatan Allah dan kepercayaan rakyat. Amalan itu kini menjadi
lumrah di pejabat Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan anggota-anggota
Exco kerajaan negeri serta para pegawai.

Selain itu mulai tahun 2010, kakitangan lelaki di Kota Darulnaim digalakkan
memakai pakaian baju Melayu bersamping pada setiap hari Khamis di bulan
Ramadan. Pemakaian baju Melayu menggantikan baju batik seperti diamalkan
sebelum ini adalah usaha memberi imej kemuliaan jati diri beragama kalangan
kakitangan awam. Juga turut dilakukan pembaharuan dengan merasmikan setiap
awal bulan hijriah (pada hari pejabat) diadakan himpunan warga Kota Darul Naim
bagi mendengar ucapan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan mengikuti amanah
Menteri Besar Kelantan. Ia suatu langkah pembinaan semula (reinventing) integriti
dan penyatuan semangat bekerja selepas dua dekad dinaungi oleh dasar
Membangun Bersama Islam.

Negeri berkebajikan

Dalam aspek kebajikan Kerajaan Negeri terus bersungguh-sungguh melaksanakan


konsep Negeri Berkebajikan. Ia termasuklah langkah mewujudkan Tabung Amanah
Darulnaim atau dikenali sebagai Tabung Serambi Mekah (tahun 1991). Tabung
tersebut digunakan bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan dan sesuatu
musibah seperti kebakaran, ribut atau banjir.

Dana bagi menggerakkan tabung adalah sumbangan daripada orang ramai dan
syarikat-syarikat korporat. Setiap tahun diadakan sambutan ulang tahun bagi
menerima sumbangan dan derma daripada orang ramai dan anak-anak syarikat
kerajaan negeri. Hasil sumbangan dan derma tersebut kemudian digunakan
kembali bagi membantu rakyat.

Selain itu kerajaan negeri juga mewujudkan Tabung Amanah Tok Kenali bagi
melaksanakan program pembangunan ihsan. Dana tabung tersebut dikumpul dari
sumbangan dibayar Tenaga Nasional Berhad hasil royalti penggunaan air di
empangan Hidro Elektrik Pergau di Jeli.
Turut melalui perubahan adalah dasar kecaknoan Kerajaan Negeri terhadap
golongan warga emas juga terbukti apabila dilaksanakan program Skim Takaful
Kifalaah bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Setiap warga emas
didaftarkan dalam polisi takaful tersebut sebagai perlindungan kepada mereka
apabila meninggal dunia dibayar pampasan sebanyak RM1,500. Keluarga warga
emas yang meninggal dunia akan menerima pendahuluan sebanyak RM500 pada
hari kematian.

Kerajaan Negeri juga membina rumah secara percuma kepada penduduk miskin
yang mempunyai bilangan anak ramai. Program itu dikenali sebagai rumah
dhu’afat. Rumah bernilai RM30,000 dibina di setiap kawasan Dewan Undangan
Negeri.

Selepas 2004, beberapa dasar sejahatera rakyat untuk pelbagai lapisan rakyat
terus diperkasakan dengan terlaksananya beberapa projek kebajikan. Antaranya
lagi ialah bantuan kepada para pesakit kronik, skim bantuan armalah,
meningkatkan lagi peruntukan untuk membaiki rumah golongan daif dan miskin,
mempertingkatkan sumber pendapatan menerusi skim dividen Ladang Rakyat. Ia
diikuti dengan penubuhan Urusetia Hal Ehwal Penghulu dan penubuhan koperasi
penghulu. Di samping pewujudan Urusetia Armalah di peringkat negeri bagi
memantau program pembangunan rohani dan ekonomi armalah (ibu tunggal) di
setiap daerah sdan mukim.

Pertanian

Selama 20 tahun berada di bawah dasar Membangun Bersama Islam, sektor


pertanian terus diperkasakan. Kelantan tidak pernah berganjak daripada paksi
pertanian sebagai bidang utama yang menjadi sebahagian punca rezeki kepada
rakyat. Ini kekuatan yang menjadi backup atau ‘serandang’ kepada pendapatan
rakyat kerstabilan ekonomi negeri.

Ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: ”Dan Dialah (Allah) yang
menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak
menjalar dan pohon-pohon tamar (Kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan
(bentuk, rupa dan) rasanya dan buah zaitun dan delima yang bersamaan (warnanya
atau daunya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia
berbuah dan keluarkahlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya
dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau
belanjakan), sesungguhanya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau”
(Al-Quran Surah al-An’am:141).

Berasaskan kepada maksud ayat di atas, Kerajaan Negeri mulai 2009 melancarkan
kempen “Bertani Satu Ibadah.” Secara tersirat kempen ini adalah satu mesej
kerohanian pihak Kerajaan Negeri kepada para petani, betapa segala usaha titik-
peluh para petani, peladang, penternak dan nelayan adalah sebahagian daripada
amal ibadat yang menjadi suruhan agama. Hakikat pahala dan keberkatan sentiasa
wujud dalam apa sahaja usaha memakmurkan bumi Allah ini. Natijahnya rakyat
terus dididik dengan falsafah kehidupan beragama iaitu manusia sebagai khalifah
di bumi. Konsep kehidupan beragama itu seiring dengan dasar Membangun Bersama
Islam yang digagas Kerajaan Negeri seawal mengambil alih teraju kerajaan pada
Oktober 1990. Matlamat akhirnya supaya rezeki yang melimpah akan menjadi
tambah berkat.

Selain itu Kerajaan Negeri juga mencetus harapan bagi menjadikan Kelantan
sebagai Jelapang Makanan Negara pada 2015. Sehingga kini usaha ke arah itu
sedikit sebanyak membuah hasilnya apabila beberapa sektor pengeluaran pertanian
terutamanya padi, apabila jumlah hasilnya sudah melebihi permintaan. Begitu juga
buah-buahan sehingga kini memasuki pasaran di luar Kelantan. Ia diikuti dengan
usaha pertanian tanah tinggi Lojing bagi meningkat pengeluaran sayur-sayuran
melalui cadangan pembinaan pusat pengumpulan hasil berasaskan teknologi
penyimpanan bilik sejuk. Atas perkembangan ini, pihak Kerajaan Pusat turut
membina Terminal Makanan Negara (Teman) dekat Bandar Baru Tunjong, Kota
Baharu.

Projek masa depan

Pemerkasaan peranan Islam dalam setiap bidang kehidupan merupakan misi projek
masa depan Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan ulama’ di Kelantan. Justeru
itu, kesungguhan ke arah yang lebib baik berteraskan Membangun Bersama Islam
turut dimantapkan dalam setiap bidang pembangunan rakyat dan Negeri.

Biar pun ada pihak mendakwa ulama’ tidak pandai mentadbir, namun dua dekad
lalu dan selepas 2010 nanti Kerajaan Negeri telah merangka suatu acuan kukuh
berpaksikan siasah syariyyah. Hingga kini, keberadaan di bawah dasar Membangun
Bersama Islam, maka rakyat boleh melihat dan merasai sendiri perubahan yang
berlaku.

Mengukuhkan nilai keberadaan itu, perubahan fizikal dapat dilihat di mana-mana


di seluruh Kelantan. Biar pun tanpa lebuh raya seperti di negeri-negeri lain, namun
pembangunan bandar dan pusat pertumbuhan baru diwujudkan di beberapa lokasi
strategik bersifat masa depan (futuristic development). Antaranya yang utama
pelaksanaan perbandaran Islam, pelancongan Islam, pelancongan pondok Islam dan
penjanaan ekonomi Negeri di wilayah anjung selatan (khsusunya di Gua Musnag dan
Lojing). Sedia terlaksana juga bagi tujuan masa depan adalah Bandar Baru
Tunjung, Bandar Satelit Islam Pasir Tumbuh, Bandar Baru Kubang Kerian, Bandar
Baru Gua Musang dan Bandar Baru Pasir Mas serta pembangunan pusat komersial
Bandar Tasek Raja Pasir Mas, kewangan berteraskan syariah (dinar dan dirham),
perladangan (sawit, hutan dan getah klon serta koridor depu), perindustrian dan
perlombongan serta tuntutan royalti minyak.

Berdasarkan kepada perkembangan tersebut kini tidak lagi kedengaran dakwaan


mengatakan Negeri Kelantan tidak membangun. Ini secara tidak langsung
membuktikan Kelantan berkemampuan melangkah jauh menuju masa depan
bersama kepemimpinan ulama’ selepas dua dekad ini. Ia bakal dibuktikan oleh
kesungguhan seluruh rakyat Kelantan memanfaatkan ‘kuasa yang Allah berikan’
bagi memilih kuasa yang mentadbir Negeri setiap penggal pilihan raya. Semoga
Kelantan terus Membangun Bersama Islam memenuhi harapan menerajui
perubahan untuk semua rakyat.

Petikan: http://greencresent-wanibrah.blogspot.com/

Anda mungkin juga menyukai