Anda di halaman 1dari 2

Dalam meniti arus kemodenan ini, terdapat pelbagai masalah sosial yang mampu

menjejaskan adab golongan remaja yang akan memberi impak yang besar terhadap bangsa dan negara.
Sejak kebelakangan ini, berita mengenai golongan remaja terjebak dalam gejala sosial kerap
terpampang di dada akhbar. Masalah sosial adalah suatu ketidaksuaian antara unsur-unsur kebudayaan
atau masyarakat yang akan membahayakan kehidupan kelompok sosial. Daripada kes rogol, hamil luar
nikah, siber buli, penderaan, pembuangan bayi, judi secara dalam talian dan lain-lain. Ibu bapa
memainkan peranan yang besar untuk menangani masalah sosial sehingga ibu bapa dianggap seperti
batu bata dalam sesebuah bangunan, jika tiada batu bata maka rubuhlah bangunan, jika tiada ibu bapa
maka runtuhlah akidah anak. Oleh itu, ibu bapa berperanan untuk mendidik anak supaya dapat
menengani masalah sosial dalam kalangan remaja.

Antara peranan ibu bapa dalam untuk menangani masalah sosial dalam kalangan remaja
ialah dengan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka. Dengan
memberikan kasih sayang yang secukupnya, ibu bapa dapat memberikan sepenuh perhatian kepada
anak-anak dan ibu bapa dapat mengawasi tingkah laku dan perkara yang mereka buat. Sebagai contoh,
ibu bapa boleh membawa anak-anak untuk keluar beriadah dan pada masa yang sama ibu bapa juga
dapat mendengar perkembangan atau masalah yang mereka hadapi. Perkara ini akan memberi kesan
terhadap anak-anak supaya mereka berasa selesa untuk meluah atau bercerita masalah mereka kepada
ibu bapa dan ibu bapa juga dapat memberikan bantuan kepada mereka. Apabila mereka sudah selesa
dengan ibu bapa mereka, mereka akan merasakan kasih sayang yang secukupnya yang diberikan oleh
ibu bapa mereka. Mendidik anak bukanlah mudah tetapi perkara ini dapat diselesaikan apabila ibu bapa
berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk anak mereka seperti mantang minyak yang penuh. Ibu
bapa mestilah memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak mereka supaya masalah sosial
dapat ditangani.

Selain itu, pemberian didikan agama juga memainkan peranan yang besar untuk menangani
masalah sosial dalam kalangan remaja. Agama merupakan senjata ampuh yang mampu membantu
mereka menangkis segala ansir yang bersifat negatif. Dengan adanya didikan agama yang secukupnya,
ibu bapa dapat melahirkan adiwangsa yang soleh dan solehah. Didikan agama dapat disalurkan dengan
mendidik anak sejak kecil seperti “melentur buluh biarlah dari rebungnya” dan ibu bapa juga dapat
menghantar anak mereka pergi ke kelas agama seperti kelas mengaji, kelas fardhu ain dan kelas tahfiz.
Kesannya akan dapat dilihat daripada segi akidah dan adab mereka akan menjadi lebih baik dan dapat
menghindari mereka daripada masalah sosial. Menurut pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah
mengatakan bahawa ibu bapa haruslah mencurahkan ilmu agama kepada putera puteri mereka kerana
itu merupakan benteng untuk mereka menempuh arus modenisasi kini. Tuntasnya, ibu bapa hendaklah
memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak kerana agama merupakan senjata yang
ampuh untuk mengelakkan modal insan terjerumus ke dalam kancah masalah sosial pada masa kini.

Seterusnya, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka
dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Perkara ini perlu dilakukan kerana
tingkah laku anak di sekolah tidak semestinya sama seperti tingkah laku mereka ketika berada di rumah
atau berada di pangkuan ibu bapa mereka. Dari semasa kesemasa, ibu bapa perlulah berhubung dengan
pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah atau tingkah laku anak mereka semasa di sekolah.
Sebagai contoh, ibu bapa perlu menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara guru dan ibu bapa
untuk berbincang berkenaan dengan tingkah laku anak-anak di sekolah. Dengan adanya pertemuan
antara guru dan ibu bapa, ibu bapa boleh mengetahui masalah yang anak mereka hadapi di sekolah.
Contohnya, seperti mempunyai masalah pembelajaran ketika di dalam kelas, melakukan perangai yang
tidak sepatutnya dilakukan di sekolah, tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan dan lain-lain.
Dengan ini, ibu bapa dan guru dapat bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan
mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan
oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah Bagai mencurahkan air ke daun keladi. Ibu bapa
memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan
anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit.

Kesimpulannya, masalah gejala sosial ini merupakan perkara yang sangat penting dalam
kalangan remaja, kerana perkara ini dapat memburukkan nama baik keluarga dan nama baik negara
kita. Oleh itu, ibu bapa memainkan pernan yang besar untuk menangani masalah sosial dalam kalangan
remaja kerana ibu bapa lah yang mencorak golongan remaja ini. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim
yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan Al-Hadis. Kita tidak mahu
remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pedana dihasilkan. Sebaliknya kita inginkan barisan remaja
yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka. Marilah kita
mendidik mereka, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”,
marilah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak yang tercinta.

Anda mungkin juga menyukai