Anda di halaman 1dari 10

Kontrak Sosial dan Keabsahan Politik Melayu

Berikut adalah kertas kerja yang dibentangkan di Wacana Bulanan Kumpulan Prihatin yang
diadakan di Shah Village Hotel, Petaling Jaya pada 12 Julai 2008. Kumpulan Prihatin ialah
sebuah kumpulan intelektual Melayu yang dianggotai oleh tokoh-tokoh budayawan Melayu,
ahli akdemik, golongan pendidik dan aktivis masyarakat. Turut menganggotai Kumpulan
Prihatin ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar
Islam Malaysia (PKPIM).
Kontrak Sosial dan Keabsahan Politik Melayu[1]

Marzuki Mohamad[2]

Teori kontrak sosial dalam tradisi Barat (sepertimana yang dikemukakan oleh John Locke,
Thomas Hobbes dan Jean Jaque Rousseau) adalah satu fiksyen sejarah. Perjanjian antara
sesama individu dalam masyarakat (atau antara individu dan negara) untuk hidup bersama
secara aman tanpa menyakiti satu sama lain serta menghormati hak masing-masing tidak
pernah berlaku di alam nyata. Tidak pernah wujud perjanjian bertulis atau lisan antara sesama
individu yang mengikat mereka kepada satu aturan hidup bermasyarakat. Ia hanyalah andaian
sejarah semata-mata. Namun begitu, teori kontrak sosial telah memberikan asas kepada
pembentukan masyarakat dan negara moden. ”Perjanjian” fiksyen ini menjadi asas yang
rasional kepada keperluan hidup bermasyarakat dan segala aturannya. Kertas ini akan
meninjau sisi-sisi debat kontrak sosial di Malaysia dan implikasinya kepada keabsahan politik
Melayu di negara ini.

Kontrak Sosial Malaysia

Kontrak sosial Malaysia yang merujuk kepada terma-terma perjanjian antara pemimpin-
pemimpin kaum utama ketika negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 pula bukanlah
satu fiksyen. Ianya benar-benar berlaku dalam sejarah. Terma-terma ini menyangkut soal hak-
hak istimewa Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai Agama Persekutuan,
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan hak kerakyatan kepada kaum bukan Melayu,
yang terkandung di dalamnya hak-hak ekonomi dan politik. Antara dokumen yang paling
lengkap menghuraikan terma-terma ini ialah ”Political Testament of the Alliance” (yang juga
disebut sebagai memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid) yang kemudiannya
menjadi asas kepada pembikinan Perlembagaan Persekutuan.[3] Terma-terma ini, yang
mungkin lebih layak dipanggil sebagai ”kontrak perlembagaan”, termaktub pula dalam
Perlembagaan Persekutuan.

Proses sejarah yang membawa kepada kewujudan terma-terma perjanjian berasaskan


kepentingan kaum - bukan kepentingan individu sepertimana yang difahami dalam teori
kontrak sosial Barat - juga real, bukan fiksyen. Jika ditelusuri sejarah pembikinan
perlembagaan negara, bermula dengan Perlembagaan Malayan Union pada tahun 1946 dan
kemudiannya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1947, isu-isu kepentingan
kaumlah yang melatari proses pembikinan perlembagaan.[4]

Umpamanya, memoranda dan surat yang dihantar kepada Cheeseman Consultative


Committee yang dibentuk untuk menerima pandangan awam mengenai Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu menyatakan dengan jelas kepentingan kaum-kaum yang berbeza
di Tanah Melayu pada ketika itu. Persatuan Melayu Ulu Terengganu menyebut Tanah Melayu
“adalah negeri Melayu yang sejak sekian lama diterima sebagai milik orang Melayu”. Oleh
yang demikian, mereka mendesak agar Bahasa Melayu diberikan keutamaan jika tidak
“Bangsa Melayu mungkin akan dianggap sebagai tidak wujud dan bermakna negeri ini bukan
milik orang Melayu”. Oleh kerana orang Melayu beragama Islam, mereka juga menuntut agar
peruntukan mengenai agama Islam dimasukkan dalam cadangan perlembagaan tersebut”.[5]

Masyarakat Ceylon yang diwakili oleh Persekutuan Ceylon Malaysia pula menegaskan “(The
Ceylonese) had made Malaya their permanent home … and … with traditional loyalty and
conservatism have given their entire lives exclusively to the service of Their Highnesses and
the British administrators, while other races ventured into vocations of great gains, namely,
planting, mining, trading and industry”. Oleh yang demikian, masyarakat Ceylon meminta
syarat-syarat kerakyatan yang lebih longgar di samping jaminan bahawa kedudukan mereka
dalam perkhidmatan kerajaan tidak terjejas.[6]

Persatuan India Terengganu juga melahirkan perkara yang sama. Mereka menyebut, “Men’s
memories are short and hence the tendency is to regard Indians as unwelcome intruders
whose contribution to Malayan economy is nil and their only contribution is to the English
language of the word “coolie” which has found a place in school text-books ... While the
Malay community may be excused for short memories the Raj cannot dispute the
contributions of India and Indians to the extension of its influence in this part of the world
from the founding of Singapore in the early part of the nineteenth century to the liberation of
Malaya a few months ago”. Oleh kerana itu, masyarakat India juga mendesak agar mereka
diberikan syarat-syarat kerakyatan yang longgar.[7]

Dua orang pemimpin masyarakat Cina (Tun) HS Lee dan (Tun) Leong Yew Koh yang
menganggotai jawatankuasa tersebut juga menekankan peranan kaum Cina dalam
pembangunan ekonomi Tanah Melayu dan oleh kerana itu mereka perlu diberikan syarat
kerakyatan yang longgar dan diperuntukkan jumlah keanggotaan yang lebih ramai dalam
Majlis Perundangan Persekutuan. Mereka berhujjah bahawa oleh kerana masyarakat Cina
membayar 70 peratus daripada jumlah cukai di Tanah Melayu, mereka layak untuk mendapat
layanan yang lebih istimewa, termasuklah hak kerakyatan secara otomatik.[8]

Ini adalah antara beberapa contoh tentang betapa identiti dan kepentingan kaum menjadi asas
kepada pembentukan negara majmuk Malaysia. Terma-terma yang terdapat dalam kontrak
sosial Malaysia adalah hasil daripada persefahaman antara kaum tentang betapa perlunya
mereka berkompromi dalam merealisasikan hasrat membentuk sebuah negara merdeka yang
didiami oleh kaum-kaum yang berbeza. Formula persefahaman ini bukanlah satu fiksyen
tetapi kenyataan. Tunku Abdul Rahman ketika berucap membentangkan cadangan
perlembagaan di Majlis Perundangan Kebangsaan pada 10 Julai 1957 menyebut tentang
formula kompromi antara kaum ini. Beliau berkata:

A formula was agreed upon by which it was decided that in considering the rights of the
various peoples in this country no attempt must be made to reduce such rights which they
have enjoyed in the past. As a result you find written into this Constitution rights of the
various peoples they have enjoyed in the past and new rights, in fact, accorded to new people
whom it was the intention to win over into the fold of the Malayan Nation. I refer to the
Citizenship rights. It is a right which has given the Malays very grave concern and fear.
Nevertheless because of their desire and anxiety to put Malaya on the pedestal as an
Independent Nation, they are prepared to give that right to the new people.[9]

Ancaman kepada Kontrak Sosial: Islamisasi?


Ada juga pihak yang berhujjah bahawa proses Islamisasi dalam pentadbiran awam, sistem
undang-undang, pendidikan dan sebagainya merupakan ancaman kepada kontrak sosial yang
sekular dan demokratik.[10] Perlu diingat bahawa proses Islamisasi telah berlaku di Alam
Melayu lama sebelum kedatangan penjajah British yang bertanggungjawab memperkenalkan
sistem pentadbiran yang sekular. Tasawwur Islam sebagai agama pembebasan (liberating
religion) telah terpahat dalam pandang alam umat Melayu terutamanya dalam memahami
konsep Kerajaan. Raja-Raja Melayu bukan lagi merupakan jelmaan Dewa-Dewa sebagaimana
yang dipaparkan dalam tradisi Hindu, tetapi merupakan hamba Allah yang mempunyai
tanggungjawab kekhalifahan dalam melaksanakan syariat Islam. Kedatangan penjajah British
dengan idea dan praktis sekular mereka tidak pernah merubah, malah mengiktiraf, peranan
Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam yang bertanggungjawab mentadbir hal ehwal
Islam dan adat istiadat Melayu. Islam telah sekian lama merupakan sebahagian yang
“integral” dalam sistem Kerajaan di Tanah Melayu dan diterima sebagai antara salah satu
terma penting kontrak sosial. Islam termaktub dalam Perlembagaan bukan sahaja sebagai
agama rasmi tetapi juga sebahagian daripada sistem politik dan undang-undang negara.

Yang dikatakan sebagai proses Islamisasi, iaitu peningkatan pengaruh Islam dalam pembuatan
dasar-dasar awam dan pembikinan undang-undang, bukanlah satu “invention” yang
mengancam kontrak sosial atau Perlembagaan. Malah, proses pembikinan kontrak sosial dan
Perlembagaan negara sudah mengambilkira pandang alam Islam mengenai konsep Kerajaan
yang tidak mengasingkan agama daripada institusi negara, malah menyediakan asas kepada
kewujudan peranan bermakna Islam dalam sistem negara. Oleh kerana itu, kita dapati
Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan mengenai pembentukan mahkamah-
mahkamah syariah (yang merupakan institusi negara yang bertanggungjawab melaksanakan
undang-undang Islam), jaminan perlembagan bagi peruntukan dana awam kepada institusi-
institusi Islam, malah menjadikan pungutan zakat, fitrah dan baitulmal sebagai sebahagian
daripada hasil negara.[11] Dalam konteks ini, walaupun Perlembagaan tidak menjadikan
negara ini sebagai sebuah teokrasi, kewujudan institusi-institusi Islam yang berperanan
melaksanakan syariat Islam dan tanggungjawab da’wah menunjukkan bahawa tidak berlaku
proses “desacralization of politics” secara total dalam sistem kenegaraan Malaysia untuk
melayakkan negara ini digelar sebagai sebuah negara sekular. Oleh itu, tidak ada asas yang
kukuh untuk mengatakan bahawa proses Islamisasi mengancam kontrak sosial dan
Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial dan Perlembagaan menyediakan asas yang kukuh
kepada proses tersebut untuk berlaku dalam masyarakat dan negara.

Sebaliknya, pemaksaan nilai-nilai sekular ke atas masyarakat Islam merupakan ancaman


sebenar terhadap kontrak sosial yang menyediakan asas kepada hubungan harmoni antara
kaum dan pada masa yang sama mengiktiraf keakraban masyarakat Islam dengan identiti
agamanya. Apatah lagi jika ditinjau realiti semasa, keakraban masyarakat Islam dengan
identiti agama bukan merupakan sesuatu yang unik bagi Malaysia, tetapi merupakan satu
fenomena global. John Esposito dan Dalia Mogahed dalam buku terbaru mereka Who Speaks
for Islam? mengesahkan perkara ini. Berdasarkan tinjauan pendapat yang dilakukan oleh
Gallup di 132 buah negara termasuk Malaysia, Esposito dan Mogahed mendapati:

The majority in the Muslim world see Islam ... as a moderate, peaceful religion that is central
to their self-understanding and their success ... Overwhelming numbers of Muslims continue
to identify religion as a primary marker of their identity, a source of guidance and strength,
and crucial to their progress.[12]
Farish Noor melihat kejituan identiti agama dan kebangkitan “political religion” sebagai
sesuatu yang menggerunkan.[13] Barangkali beliau menanggapi agama sebagai satu sistem
kepercayaan yang tidak rasional, “rigid” dan “uncompromising”, lantas mengatakan bahawa
fenomena kebangkitan agama merupakan ancaman utama kepada kontrak sosial yang
berasaskan kompromi antara kaum. Bagi beliau, tidak akan ada lagi ruang untuk
berkompromi sekiranya masyarakat menjadikan kepentingan agama sebagai asas untuk
mengemukakan tuntutan-tuntutan kepada kerajaan ataupun komuniti agama yang lain.
Pandangan ini gagal mengambilkira faktor keanjalan Islam sebagai agama yang rasional dan
akomodatif. Apatah lagi dalam konteks “political religion”, aplikasi siyasah syar’iyyah sudah
tentu memberi ruang kepada masyarakat Islam untuk menjadi lebih realistik dan akomodatif
dalam mendepani realiti kehidupan masyarakat majmuk. Pokok pangkal permasalahan ialah
“ketakutan” yang keterlaluan kepada agama, bukan sifat agama yang “rigid” atau
“uncompromising”.

Ancaman Kepada Kontrak Sosial: Dasar Ekonomi Baru dan Rakyat Kelas Kedua?

Seringkali kedegaran suara-suara yang mengatakan bahawa pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru
(DEB) adalah bertentangan dengan semangat kontrak sosial. Dasar yang memberi layanan
istimewa kepada masyarakat Melayu/Bumiputera ini dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi
kepada kaum-kaum lain yang menjadikan mereka sebagai rakyat kelas kedua (second class
citizen). Sedangkan, kontrak sosial sepatutnya mewujudkan “common citizenship” yang
menerima semua rakyat sebagai rakan setara. Apakah benar pandangan ini?
Persoalan mewujudkan “common citizenship” yang mengiktiraf hak samarata antara
penduduk pribumi dan masyarakat pendatang merupakan satu isu yang amat diperbahaskan.
Pegawai-pegawai Inggeris pun berselisih pendapat mengenai hal ini. Lord Mountbatten
menyokong idea ini kerana melihat ianya sebagai satu cara untuk memupuk perasaan taat
setia kepada Tanah Melayu terutamanya di kalangan orang-orang Cina yang mana ramai di
antara mereka yang masih menumpahkan taat setia kepada negeri asal mereka. OFG Stanley,
Setiausaha Negara bagi Wilayah Jajahan, sebaliknya berpendapat langkah tersebut sebagai
“tidak sensitif kepada perasaan orang Melayu”. Dalam sepucuk surat kepada Lord
Mountbatten bertarikh 13 Jun 1944, Stanley menulis:

“the presence of substantial numbers in Malaya of Chinese and Indians makes the future
constitutional development a matter of some delicacy, particularly as these communities are
likely to demand a more intimate place in the constitutional set up in the future than they have
been given in the Malay states in the past”.[14]
Telahan Stanley ternyata benar. Dalam masa satu dekad, orang Cina dan India yang mahu
menjadikan Tanah Melayu sebagai tanah air mereka menuntut hak kerakyatan berdasarkan
prinsip jus soli. Tuntutan ini ditentang oleh majoriti masyarakat Melayu yang melihat tuntutan
itu akhirnya akan menenggelamkan status mereka sebagai penduduk pribumi. Orang Melayu
sebaliknya menuntut agar mereka diberikan hak-hak keistimewaan sebagai penduduk pribumi
seperti kuota dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa dan latihan sebagai balasan
kepada pemberian hak kerakyatan kepada orang bukan Melayu. Oleh kerana kedudukan
ekonomi orang Melayu adalah mundur berbanding kaum-kaum lain, hak-hak keistimewaan
ini dilihat sebagai asas kepada dasar tindakan afirmatif untuk membebaskan mereka daripada
belenggu kemiskinan.
Walaupun hak-hak keistimewaan Melayu (kemudian termasuklah anak negeri Sabah dan
Sarawak) termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, tidak ada satu usaha yang
serius diambil oleh kerajaan untuk membina keupayaan ekonomi kaum Melayu. Hasilnya,
setelah lebih sepuluh tahun merdeka, orang Melayu/Bumiputera masih lagi bergelumang
dengan kemiskinan. Perkara 153 dan terma kontrak sosial yang melandasinya tidak
mempunyai apa-apa makna. Oleh yang demikian, Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan
selepas insiden rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 sebenarnya memberi makna kepada kontrak
sosial, bukan sesuatu yang bertentangan dengannya.
Hari ini kita sering mendengar analogi rakyat kelas pertama dan kedua apabila orang
berbicara mengenai hak keistimewaan Melayu dan DEB. Perkara ini bukanlah sesuatu yang
baru. Lebih 50 tahun yang lalu, perkara yang sama dibangkitkan oleh ahli-ahli politik bukan
Melayu seperti S.M Yong dan K.L Devaser. Tetapi, lebih 50 tahun yang lalu, antara orang
yang mempertahankan hak keistimewaan Melayu ialah pemimpin politik bukan Melayu
sendiri. (Tun) Tan Siew Sin ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Majlis
Perundangan Persekutuan dalam bulan Julai 1957 berkata:

The Malays cannot be expected to give up what they already have in the same way that they
do not expect the other communities to give up their existing rights. Far more important,
however, is the indisputable fact that as a race the Malays are economically backward and
well behind the other races in the field … It has also been asked why it has not been explicitly
stated that this provision is only temporary. I would remind our critics that the Malays are a
proud and sensitive race. They are also an intelligent race, and I know that they appreciate
the significance and implications of this provision far better than most people realize. I have
no doubt in my mind whatsoever that when the time comes, the Malays themselves will ask for
its abolition, but this is a matter which we must obviously leave to them to decide.

Menjawab kritikan S.M Yong dan K.L Devaser mengenai kewujudan “dua kelas kerakyatan”,
Tun Sambathan berhujjah:

We hear it spoken, Sir, of first class and second class citizenship. Is the first class citizen one
who is badly provided with roads, has leaky roof over his head, cannot even get a doctor on a
rainy-day even if his child is badly ill? Is that person, be he in the kampong or estate or new
village, the first-class citizen or is it he who has a bungalow in the Federal Capital, one
possibly in the Cameron Highlands and a couple more at a seaside resort who is the first
class citizen, I ask … An unbalance exists and it exists for various reasons. It may be that
colonial rule, with all its defects, its sins of omission, has rendered these things so. Freedom
with its new outlook and an economy based for the purpose of helping the people will
certainly solve most of these problems.

Pada hari ini, agak jarang kedengaran (atau tidak kedengaran lagi) suara-suara pemimpin
bukan Melayu mempertahankan hak-hak keistimewaan Melayu sebagai asas kontrak sosial
dan pembentukan negara Malaysia yang majmuk. Malah ada pula pemimpin-pemimpin
Melayu, atas perkiraan untung rugi politik pilihanraya barangkali, yang turut sama
menyanggah (debunking) konsep hak keistimewaan Melayu dan ketuanan Melayu. Mereka
menjadi apologetik apabila berbicara mengenai kedua-dua hal ini. Sebaliknya, konsep
“ketuanan rakyat” (kedaulatan rakyat?) yang lebih popular digunakan untuk menggantikan
ketuanan Melayu. Padahal tidak ada apa yang salahnya mempertahankan ketuanan Melayu
sekiranya konsep ketuanan itu ditafsirkan sebagai “kepribumian Melayu”, iaitu satu fakta
sejarah yang tidak boleh dinafikan. Manakala konsep “kedaulatan rakyat” boleh digunakan
untuk merujuk kepada amalan politik demokrasi di mana rakyat, tanpa mengira kaum dan
agama, mempunyai hak untuk berpartisipasi dalam politik. Malah, secara praktisnya pun,
inilah yang berlaku di Malaysia. Bilamana orang Melayu berbicara mengenai ketuanan
Melayu, mereka tidak pernah menafikan hak-hak orang bukan Melayu untuk berpartisipasi
dalam proses politik di negara ini. Sebagai sebuah masyarakat yang demokratik, kita boleh
menerima konsep “kedaulatan rakyat” tanpa perlu menolak “ketuanan Melayu”. Dalam
konteks ini, orang Melayu menjadi “tuan” di Tanah Melayu atas sifat mereka sebagai
masyarakat pribumi. Apabila mereka menjadi tuan, mereka tidak pernah bersikap zalim,
malah sentiasa melayani orang lain dengan penuh adab dan susila. Lihat saja konsep “tuan
rumah” dalam adat Melayu umpamanya. Tetamu sentiasa diberi layanan yang terbaik dan
dengan cara yang penuh hormat. Usman Awang dalam sajaknya “Melayu” menyifatkan sifat
baik hati Melayu dengan bait-bait berikut:

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan


Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Begitulah orang Melayu. Sifat baik hatinya berlebih-lebihan. Dalam konteks politik pula,
toleransi dan komprominya cukup tinggi. Menerima hak kerakyatan kaum bukan pribumi
yang berjumlah jutaan orang ketika negara mencapai kemerdekaan adalah bukti toleransi dan
kompromi orang Melayu yang cukup tinggi. Sedangkan di negara-negara maju, hak
kerakyatan kaum imigran, termasuklah hak untuk mengamalkan budaya asal masing-masing,
masih menjadi polemik yang berpanjangan sehingga ke hari ini. Justeru, konsep ketuanan
Melayu itu perlu ditafsirkan menurut adat susila dan perbendaharaan Melayu. Kesilapan
ramai orang ialah mentafsirkan konsep tuan itu menurut perbendaharaan Inggeris iaitu “the
master race” atau “the dominant race”. Tafsiran Barat ini seringkali menghasilkan pandangan
yang serong mengenai bangsa Melayu sehinggakan ada yang menyamakan amalan politik
Melayu di negara ini dengan sistem apartheid di Afrika Selatan. Sedangkan perkataan tuan
dalam perbendaharaan Melayu boleh mengandung maksud lain yang lebih cocok dengan nilai
dan budaya orang Melayu yang penuh adat susila, toleransi dan kompromi. Nilai dan budaya
Melayu inilah yang menjadi tunjang kepada kestabilan politik dan keharmonian kaum di
negara majmuk Malaysia.

Keabsahan Politik Melayu/Islam

Dengan mempersoalkan kontrak sosial, terutamanya yang berkait dengan terma-terma yang
menjamin hak-hak keistimewaan Melayu, menunjukkan bahawa asas keabsahan politik
Melayu itu sendiri sudah semakin terhakis. Tidak dinafikan bahawa arus perubahan sosial
yang ditandai oleh peningkatan status sosio-ekonomi orang Melayu, proses perbandaran dan
pemeluasan kelas menengah Melayu menyebabkan perjuangan politik Melayu yang
berorientasikan pembangunan material hampir mencapai tahap tepu. Semakin ramai golongan
muda Melayu, terutamanya generasi kedua DEB, yang sudah berjaya dan merasakan bahawa
dasar itu sudah tiada manfaatnya lagi kepada mereka. Malah, mereka lebih senang berbicara
tentang dimensi politik “expressive” seperti demokrasi, kesamarataan hak dan kebebasan
individu berbanding isu-isu politik “survival” seperti keperluan untuk hidup dan
pembangunan. Dalam kerangka pemikiran inilah mereka mula mempersoalkan kewajaran
hak-hak keistimewaan Melayu yang dilihat tidak cocok lagi dengan kepercayaan “baru”
mereka tentang prinsip-prinsip demokrasi dan kesamarataan hak.
Dari sini bermulalah kehakisan keabsahan politik Melayu. Untuk mendapatkan sokongan
rentas kaum (termasuk di kalangan Melayu “expressive”), adalah sesuatu yang strategik bagi
seorang pemimpin politik Melayu atau bukan Melayu untuk mencabar dasar pro-Melayu dan
mengemukakan dasar alternatif yang bersifat bukan perkauman. Bukanlah sesuatu yang asing
pada hari ini untuk kita mendengar kritikan demi kritikan terhadap dasar-dasar pro-Melayu.
Ini termasuklah kritikan bahawa tindakan afirmatif untuk membantu orang Melayu melalui
DEB sebagai satu dasar yang sudah lapuk. Anwar Ibrahim ketika berucap di Singapura pada
20 Mei 2008 mengatakan:

Young Malaysians are now open to more multi-racial socio-economic policies as opposed to
race-based ones. The general consensus is that affirmative action should be given to the poor
and the marginalised regardless of race or religion. Notions of social dominance and racial
superiority find no resonance among the people except for those diehards still bigoted over
ancient and archaic forms of political ideology.[15]
Dalam kerangka politik rentas kaum inilah pada hari ini kontrak sosial berasaskan kaum
semakin dipersoalkan. Politik perlembagaan yang berasaskan “ethnic bargaining” dilihat tidak
lagi sesuai dengan cita-cita membentuk sebuah negara yang bersatu-padu. Sebaliknya, nilai-
nilai persamaan hak - yang bermaksud tiada lagi kumpulan kaum atau agama yang menikmati
hak-hak istimewa - ingin dijadikan asas pembentukan masyarakat Malaysia. Mavis
Putucheary umpamanya berhujjah:

A constitution built on the idea of competitive bargain among ethnic blocs, our Malaysian
experience indicates, is fraught with difficulties. It has produced ambiguities and
contradictions in the Constitution and the judicial construal of its meaning. This lack of
clarity has allowed those in power to interpret it in accordance with their known immediate
needs at any time. In contrast, a Constitution aimed at fostering genuine inter-ethnic
cooperation through a national consensus inclusively based on acceptance of basic human
values - such as equality under the law, respect for individual freedoms and human dignity
and equal rights and obligations for all citizens irrespective of race - is likely to provide a
basis for the development of a more united nation in the future. No nation can be securely
grounded if the founding charter of its existence is confused or contested. A frail or fractured
foundation is no basis for “sharing the nation”.[16]

Kesimpulan

Idea “perkongsian negara” berasaskan persamaan hak bukanlah satu perkara yang baru. Hal
tersebut merupakan salah satu tema berpanjangan dalam politik kontrak sosial di negara ini.
Soalnya, sejauhmanakah tema ini akan menjadi dominan dalam perang idea politik semasa?
Sudah tentu persoalan ini hanya boleh dijawab dengan meneropong ke dalam budaya dan nilai
politik orang Melayu sendiri. Apakah mereka sudah bersedia untuk melakukan kompromi
sekali lagi untuk berpartisipasi dalam politik multikulralisme sekular yang berasaskan
kepentingan individu bukan kepentingan kaum atau agama? Yang pasti, jalannya bukan
mudah. Kerana kali ini, apabila berbicara mengenai persamaan hak daripada perspektif yang
sekular, ia juga menyangkut soal nilai-nilai agama yang dipegang kuat oleh orang Melayu.
Apakah orang Melayu demi “perkongsian negara” akan berkompromi dalam hal-hal yang
berkait dengan nilai-nilai asas agamanya. Atau, apakah orang Melayu akan bangkit
mempertahankan keabsahan politik Melayu/Islam dan mengekalkan asas-asas negara yang
dibina di atas terma-terma kontrak sosial berlandaskan kepentingan kaum dan agama.

http://marzukimohamad.blogspot.com/2008/07/kontrak-sosial-dan-keabsahan-politik.html
Ketuanan orang-orang Melayu perlu dipertahankan

Kekeliruan Mengenai Kontrak Sosial

Perdebatan mengenai kontrak sosial hangat dibincangkan di media tempatan apabila akhbar
Mingguan Malaysia pada 14 Ogos 2005 menyiarkan laporan yang memetik ucapan Presiden
Parti Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik di negara ini
melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana ia didakwa membuatkan masyarakat
Cina dan India merasa ‘kecil hati'. Berikutan itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO,
Khairy Jamaluddin membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa ia bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan. Reaksi serupa daripada kalangan beberapa pemimpin UMNO
turut disiarkan di media.

Datuk Seri Lim Keng Yaik kemudian menafikan beliau membuat kenyataan tersebut sambil
mendakwa bahawa kata-kata beliau telah disalah tafsir. Bagaimanapun beliau telah memohon
maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berhasrat mempersoalkan
atau menukar formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa Negara mencapai
kemerdekaan. Sehubungan dengan itu juga. Kabinet pada 17 Ogos 2005 mengarahkan supaya
semua perdebatan mengenai isu tersebut dihentikan.

Gembira menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi tanpa perasaan perkauman
(Sumber: Perpustakaan foto Jabatan Penerangan)

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak Sosial?

Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin
Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC.
Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan
masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu.
Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan
Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak
sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.

Mengapa Isu Kontrak Sosial Timbul?

Isu ini timbul mungkin kerana kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat
sebagai satu persetujuan antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini
menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Sebahagian
masyarakat bukan Melayu juga menganggapnya kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan
dengan kewarganegaraan. Ia suatu pemberian yang diberikan kepada mereka yang pada masa
itu yang merupakan imigran atau keturunan imigran.Oleh sebab itu generasi bukan Melayu
sekarang menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka juga tahu bahawa hak
istimewa masyarakat bumiputera adalah sebahagian daripada kontrak sosial. Oleh kerana
bukan Melayu diberikan kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera
pula diberikan perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa.
Kepada mereka kompromi ini terikat kepada masa tertentu, jadi mereka tidak nampak
relevannya sekarang.

Adakah Kontrak Sosial Terkandung Dalam Perlembagaan?

Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957
tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial
ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal
Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan,
persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial
tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.

Apakah Perkara Penting Perlu Difahami Dalam Kontrak Sosial?

Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta
sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada
empat perkara utama iaitu - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem
pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan
pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai
prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang
termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang
menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri
dan persekutuan.

Apakah Hubung Kait Kontrak Sosial Dengan Negara dan Bangsa Malaysia?

Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada
permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan
negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia.Malaysia adalah Negara
berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu.
Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada
bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara
dan diberikan jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami -
berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga
mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan
sistem pemerintahan beraja.

Sumber Maklumat:- Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik, Kementerian Penerangan


Malaysia

Anda mungkin juga menyukai