Anda di halaman 1dari 2

Lebah bukan sebarang lebah,(refer buku teks)

Lebah bersarang di pohon bidara,

Sembah bukan sebarang sembah,

Sembah hamba pembuka bicara.

Assalamualaikum dan salam sejahtera, terima kasih saya ucapkan kepada saudari Pengerusi Majlis,
barisan hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat,para pensyarah rakan-rakan siswa serta
seterusnya hadirin sekalian.

“ Bahasa Melayu Bahasa Dunia.”merupakan tajuk pidato pilihan saya hari ini. Sebagaimana yang
kita sedia maklum, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan digunakan dengan meluas,
Bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga
merupakan bahasa yang digunakan sebagai agen perpaduan pelbagai kaum di negara kita. Oleh itu,
bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan berdaya saing dengan
bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita harus berusaha memantapkan bahasa Melayu agar
menjadi bahasa yang dinamik dan lebih relevan mengikut arus peredaran zaman.

Saudara saudari yang saya hormati,


Langkah prima dalam menjulang Bahasa Ibunda kita adalah dengan menanam kesedaran akan
kepentingan bahasa kepada anak-anak sedari kecil. Antaranya melalui peranan yang dimainkan oleh
ibu bapa dan guru-guru. Misalannya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul
apabila berkomunikasi dengan anak-anak mereka. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan
bahasa Melayu di negara kita dan juga salahsilah sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua
franca pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka suatu ketika dahulu. Sekiranya kesedaran
ini dapat disemai dan dibajai sejak kecil,sudah pasti hasilnya kecintaan mereka terhadap bahasa itu
sendiri akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila. Ibarat kata pepatah, “Kalau hendak
melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Hadirin Dewan sekalian,


Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang
bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan pelbagai kempen untuk dalam
memantapkan misi dan visi menobatkan bahasa Melayu di mata dunia. Pihak kerajaan sewajarnya
menjalankan usaha murni ini dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkenaan
seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan badan-badan NGO. Kempen- kempen yang dijalankan
haruslah berkesan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar sayang dan cinta
akan bahasa Melayu yakni bahasa warisan mereka. Sebagai contohnya, pihak kerajaan boleh
bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi dalam menjalankan kempen-
kempen bergerak. Media massa turut memainkan tanggungjawab dalam membantu mengangkat
imej bahasa Melayu pada pandangan masyarakat dunia dan dalam kalangan bangsa itu sendiri. Hal
ini demikian kerana, media massa berupaya meyakinkan masyarakat agar terkesan dengan sebarang
propaganda yang disebarkan. Justeru , penekanan yang diberikan dalam penggunaan bahasa Melayu
secara meluas menjana kepada peningkatan kualiti bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain
di dunia. Tidak mustahil jika suatu hari nanti, Bahasa Melayu berupaya ,mengalami anjakan
paradigma yangmana setanding dengan bahasa-bahasa penting dunia seperti bahasa Inggeris dan
Mandarin.

Sidang hadirin sekalian,


Langkah ketiga ialah dengan memperkasakan akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994,
Hal ini bermakna , pihak kerajaan perlulah menaik taraf penguatkuasakan akta ini seperti
mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Tidak
sewajarnya kita mendominankan bahasa asing sebagai bahasa harian dan dalam urusan rasmi
sedangkan bahasa Ibunda sendiri dianaktirikan, ibarat anak di riba mati kelaparan,kera di hutan
disusukan. Dengan pelaksanaan ini, semua pihak termasuk pihak swasta dan badan-badan korporat
akan terikat di bawah akta ini. Tiada lagi mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya memandang
enteng akan kredibiliti bahasa Melayu sebagai bahasa intelektual kerana sudah pasti mereka akan
didenda sekiranya melanggar kata tersebut. Maka dengan penegasan langkah ini, pihak yang
terbabit tidak akan menggunakan bahasa lain dalam urusan mereka seperti pengendalian
mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu
dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan
mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Maka sebagai impaknya,bahasa Melayu akan
didaulatkan secara mapan dan berterusan.

Walhasil daripada hujah tersebut dapat saya tuntaskan bahawa bahasa Melayu amat berpotensi
untuk dijulang tinggi setanding dengan bahasa asing penting yang lain. Namun, ingin saya tegaskan
bahawa usaha untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu yang suatu ketika dahulu juga
pernah menjadi bahasa dunia perlulah diperkasa seusai sekarang. Disamping itu, semua pihak
perlulah mengembleng tenaga dan membulatkan usaha dalam mengahkan bahasa Melayu tanpa
mengira perbezaan etnik bangsa. Jika usaha pemusatan bahasa Melayu secara mutlak tidak
dititikberatkan oleh warga bangsa itu sendiri ,dikhuatiri bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada
menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita, bahkan akan dipandang sepi
akan keindahan bahasa itu sendiri jika tidak digunakan secara total. Justeru, marilah kita bersama-
sama mempesatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan dan
berpotensi untuk terpahat sebagai antara bahasa penting dunia yang lain. Bak kata pepatah, “kalau
tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya,”begitulah jua akan signifikasi kepada usaha yang
seharusnya kita gerakkan bersama.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan sebelum saya mengundurkan diri ingin saya memohon maaf
sekiranya tersilap bicara dan terlajur kata yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato
sebentar tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai