Anda di halaman 1dari 30

BAB 4

TAMADUN INDIA

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Membincangkan latar belakang sejarah Tamadun India yang bermula dengan
peradaban Lembah Sungai Indus.
2. Memahami proses pembentukan, pandangan semesta dan pencapaian zaman
awal, zaman pertengahan dan zaman moden.
3. Menjelaskan hasil interaksi antara India dengan dunia luar.

4.1 PENGENALAN

Tamadun India merupakan tamadun ketiga yang akan dipelajari oleh para pelajar selepas
tamadun Islam dan tamadun Melayu. Sebelum ini, para pelajar telah didedahkan tentang
tamadun Islam yang lebih mementingkan keseimbangan antara elemen material dan
kerohanian serta tamadun Melayu yang merupakan sebahagian daripada induk tamadun
Islam. Dalam bab ini, para pelajar akan didedahkan pula tentang sejarah awal dan tahap
perkembangan, kedudukan geografi, pandangan semester, interaksi dengan tamadun lain
serta sumbangan tamadun India pada masyarakat dunia.

4.2 SEJARAH PERKEMBANGAN TAMADUN INDIA

Berdasarkan kajian arkeologi, terdapat pelbagai penemuan kesan ketamadunan tinggi


zaman prasejarah tamadun India di Lembah Sungai Indus. Penemuan tersebut dianggap
setanding dengan kemajuan tamadun Mesopotamia, Mesir dan China. Tamadun yang
telah mencapai tahap tamadun tinggi di bandar-bandar utamanya seperti Harappa
(Punjab) dan Mohenjo-Daro (Sindh) sekitar tahun 2500-1800 Sebelum Masihi (zaman
Proto-sejarah) diandaikan mengalami kemusnahan sekitar tahun 1700 Sebelum Masihi
serta tertimbus di bawah tanah. Penemuan tertua dikesan berlaku pada tahun 1920
sewaktu kerja-kerja awal pembinaan jalan kereta. Tidak terdapat persepakatan pandangan
dalam kalangan pengkaji sejarah mengenai faktor kejatuhan tamadun ini. Ada yang
mengaitkannya dengan faktor bencana alam seperti banjir besar, kemarau panjang serta
serangan wabak penyakit. Selain itu, ada juga sejarahwan yang mengaitkan keruntuhan
tamadun ini dengan kedatangan orang-orang Aryan pada 1500 Sebelum Masihi. Dalam
masa yang sama, terdapat juga sebahagian sejarahwan yang menolak dakwaan
kedatangan orang Aryan sebagai penyebab kejatuhan peradaban Lembah Sungai Indus.

78
Walau bagaimanapun, mereka bersetuju bahawa pencapaian peradaban ini sebagai asas
kepada pembentukan dan pembangunan serta budaya tamadun India selanjutnya.

4.3 KEDUDUKAN GEOGRAFI

Tamadun India mempunyai keluasan sekitar 2534175 KM persegi. Wilayah yang terletak
antara Lautan Hindi dan Pergunungan Himalaya bahagian Selatan benua Asia ini
dibahagikan kepada dua kawasan geografi iaitu India Utara dan India Selatan. Pemisahan
dan perbezaan bentuk muka bumi antara kedua-dua wilayah ini turut mempengaruhi rupa
bentuk fizikal, bahasa, budaya dan amalan keagamaan dalam kalangan penduduknya.

4.3.1 India Utara

Kawasan geografi India Utara meliputi Dataran Indus-Gangga dan Pergunungan


Himalaya di utara yang membatasi wilayah ini dengan Tibet dan Asia Tengah.
Masyarakat India Utara dikenali sebagai masyarakat Indo-Arya. Bahasa Sanskrit adalah
bahasa utama dalam kumpulan bahasa yang terdapat dalam masyarakat mereka. Terdapat
empat buah kitab atau Veda yang menggambarkan pemikiran, kepercayaan, amalan dan
kehidupan mereka iaitu Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda. Sejarah
mencatatkan empayar Maurya, Gupta, Mughal, Maratha, Sikh dan Kemaharajaan
Britania adalah sebahagian daripada wilayah India Utara.

4.3.2 India Selatan

Kawasan geografi India Selatan bermula dari Sungai Tapti di Pergunungan Vindhya
sehingga ke Kunyakumari atau Cape Comorin di Selatan. Masyarakat India Selatan
tergolong dalam golongan Dravida bersama kumpulan etnik lain seperti Telegu,
Malayalam dan Kannada. Kesemua etnik tersebut menggunakan bahasa Tamil sebagai
bahasa dasar serta mempunyai kebudayaan yang sama.

Zaman kegemilangan tamadun ini dikenali sebagai zaman Sangam. Istilah Sangam
merujuk kepada majlis atau akademi penyair-penyair mahir sekitar abad ke-2 Sebelum
Masihi hingga abad ke-2 Masihi yang berkumpul di Madurai untuk membincangkan dan
membentangkan hasil ciptaan masing-masing di samping mengawasi perkembangan
kesusasteraan dan bahasa Tamil. Puisi-puisi yang dihasilkan bolah diklasifikasikan
kepada dua bahagian utama iaitu aham (dalaman) dan puram (luaran). Aham merujuk
kepada perasaan dalaman hati serta membicarakan soal cinta manakala puram
membicarakan mengenai peperangan, keadilan, keberanian, perbuatan mulia dan
sebagainya. Selain memberi gambaran mengenai ketamadunan masyarakat Dravida,
puisi-puisi Sangam ini juga menceritakan mengenai kepercayaan, pemikiran, amalan dan
kehidupan para penduduknya yang berasaskan kepada mazhab Saivisme dan
Vaisanavisme.

Selain daripada kedua-dua masyarakat tersebut, terdapat juga golongan masyarakat yang
menetap di kawasan kaki gunung Himalaya dan pergunungan Assam. Antaranya, kaum
Gurka, Bhutiya dan Khasi yang memiliki ciri-ciri fizikal orang Mongolia tetapi

79
mengamalkan budaya serta berbahasa yang tersendiri. Manakala masyarakat orang asli
daripada kaum Mundas, Bhil dan Khol yang tinggal di kawasan hutan dan pergunungan
juga menggunakan bahasa dan amalan budaya mereka yang tersendiri. Kedua-dua
kelompok masyarakat ini diandaikan berasal daripada zaman Batu Baharu (Neolithic
Age).

4.4 PERADABAN TAMADUN LEMBAH SUNGAI INDUS

Peradaban Lembah Sungai Indus merupakan permulaan kepada perkembangan tamadun


India. Pelbagai penemuan arkeologi menunjukkan bahawa masyarakat Lembah Sungai
Indus telah mencapai satu tahap tamadun yang tinggi termasuk dalam bidang pertanian,
pembangunan ekonomi serta perancangan bandar dan pembinaan.

Kemajuan dalam bidang pertanian dapat dikesan melalui penggunaan sistem pengairan
dengan menggunakan teknologi bawah tanah, kincir angin serta pembinaan terusan.
Antara tanaman utama adalah kapas, gandum, barli, kacang dan bijan. Penemuan sebuah
gudang besar untuk menyimpan hasil pertanian seperti bijirin membuktikan bahawa
tamadun ini telah berjaya mencapai tahap kemajuan dalam bidang ekonomi yang
bercorak pertanian. Selain pertanian, terdapat juga aktiviti penternakan seperti kambing,
biri-biri serta seladang sebagai sumber makanan dan lain-lain serta perindustrian seperti
pembuatan pinggan mangkuk dan barang perhiasan.

Kawasan penempatan penduduk kota dibangunkan dalam keadaan tersusun dan


sistematik. Kota-kota mereka mempunyai jalan yang lebar dan lurus untuk kegunaan
kenderaan beroda dan pejalan kaki. Manakala bangunan-bangunan serta dinding kota
dibina dengan batu-batu salai yang sama saiz dan berat dalam keadaan seragam dan
tersusun. Reka bentuk rumah-rumah yang terletak di sepanjang jalan raya mempunyai
dua bilik tidur, bilik air dan perigi. Bagi menjamin peredaran udara yang baik, terdapat
ruang lapang yang menjarakkan di antara satu rumah dengan rumah yang lain. Antara
setiap kawasan perumahan tersebut pula terdapat jalan-jalan kecil yang menghubungkan
antara satu sama lain. Bagi menjamin kebersihan dan kesihatan penduduk, air kumbahan
dari rumah dialirkan menerusi longkang kecil menuju ke longkang besar yang ditutup
dengan tutupan yang diperbuat daripada sejenis tanah serta dibina selari dengan jalan
raya. Benteng-benteng pengawal banjir dengan ketinggian 13.1 meter juga dibina untuk
menjamin keselamatan masyarakat tempatan.

Antara struktur binaan paling unik ialah kolam permandian (The Great Bath) yang
digunakan untuk aktiviti keagamaan. Bahagian dasar kolam yang berukuran 11.9 meter
panjang, 7 meter lebar dan 2.4 meter dalam ini dibina dengan menggunakan batu yang
disadur dengan bitumen bagi menahan air. Air boleh dikosong dan diisikan semula
berdasarkan keperluan penduduk. Terdapat tangga yang berukuran 2.4 meter lebar di
kedua-dua belah kolam ini serta serambi di sekelilingnya. Pelbagai perancangan dan
pembinaan tersebut adalah sebagai satu gambaran peradaban yang telah dicapai semenjak
5000 tahun yang lalu.

80
4.5 TAHAP PERKEMBANGAN TAMADUN INDIA

Ketika zaman klasik, nama India dikenali sebagai Bharata Varsha atau Bharata-Khanda.
Gelaran daripada bahasa Sanskrit ini adalah sempena nama Bharata, seorang pemerintah
India pada ketika itu. Terdapat juga catatan yang mengatakan Jambu Dvipu merujuk
kepada India. Sejarah perkembangan tamadun India boleh diklasifikasikan kepada tiga
tahap utama iaitu zaman kuno (1500 Sebelum Masihi -1200 Masihi), zaman pertengahan
dan zaman penjajahan Barat (mulai 1750 Masihi).

4.5.1 Zaman Awal (1500 Sebelum Masihi–1200 Masihi)

Kedatangan masyarakat Aryan yang berasal daripada kawasan antara Poland dan Asia
Tengah diandaikan sebagai antara faktor utama keruntuhan tamadun Indus. Namun,
mereka juga telah berjaya mencetuskan satu transformasi budaya ke arah permulaan
pembentukan dan pembangunan tamadun India dengan mula menjalankan kehidupan
secara menetap.

Pertembungan budaya orang Aryan dengan penduduk tempatan telah melahirkan satu
budaya baharu yang dikenali sebagai Indo-Aryan. Hasil daripada perkembangan agama,
peraturan sosial dan bentuk-bentuk politik mereka mempunyai pengaruh yang utama
dalam sejarah awal ketamadunan India sehingga permulaan pemerintahan Islam antara
abad ke-8 dan ke-13 Masihi. Secara umumnya, terdapat beberapa komponen kecil
kerajaan yang berkaitan antara satu sama lain. Antaranya:

1. Zaman Vedik (1500 Sebelum Masihi -1000 Sebelum Masihi)

Pembentukan sejarah tahap zaman Vedik ini merujuk kepada permulaan kehidupan
beragama bagi masyarakat tersebut. Ketika ini dikatakan lahirnya agama Hindu serta
kitab-kitab Veda seperti Rig Veda, Sama Veda, Yajur Veda dan Atharva Veda di wilayah
India Utara. Pemikiran, tingkah laku dan kehidupan seharian mereka adalah
bersumberkan kepada kitab-kitab Veda tersebut. Stearns et al. (1996) merumuskan
bahawa orang-orang Aryan telah berjaya membina tamadun moden di wilayah benua
kecil India melalui pembangunan sistem tulisan, pembinaan bandar-bandar yang agak
besar, menghasilkan seni dan kesusasteraan yang agak sofistikated serta perkembangan
dua agama besar dunia iaitu Hinduisme dan Buddhisme.

2. Empayar Maurya (321 Sebelum Masihi -185 Sebelum Masihi)

Kemunculan empayar Maurya telah mencetuskan era baharu dalam sejarah tamadun
India melalui pembentukan sistem pemerintahan bercorak empayar sejagat. Pembentukan
empayar ini bermula apabila pengasasnya iaitu Chandragupta Maurya yang berasal
daripada puak Moriya berjaya memimpin pasukan tenteranya menewaskan kerajaan
Magadha pada tahun 321 Sebelum Masihi. Berbekalkan kekuatan tentera yang dimiliki,
beliau berjaya melebarkan penguasaan empayar Maurya dengan menguasai seluruh India
Timur dari Teluk Bengal di Timur hingga ke Laut Arab di Barat. Kemudian beliau
berjaya menguasai bahagian Barat Laut India dan mara sehingga Lembah Indus.

81
Manakala di sebelah selatan merangkumi Gujerat, Rajesthan dan Madhya Pradesh.
Kejayaan ini menyebabkan hampir seluruh kawasan utara India dikuasai oleh empayar
Maurya.

Kerajaan-kerajaan kecil yang wujud di seluruh India Utara sejak zaman Veda telah
disatukan di bawah satu pemerintah yang diketuai oleh golongan raja. Terdapat dua
bentuk kerajaan, iaitu janapada atau kerajaan kecil dan mahajanapada atau kerajaan
besar. Pada zaman ini juga muncul kitab Arthasastra iaitu teks tentang kerajaan dan
ekonomi yang disusun oleh Kautalya (penasihat Chandragupta). Kitab ini kemudiannya
menjadi karya klasik yang amat dihormati.

Asoka Piyadassi dianggap pemerintah Maurya yang paling unggul dan terkenal di dalam
sejarah India. Empayar ini mencapai kemuncak kegemilangan dalam bidang politik,
ekonomi dan agama pada ketika zaman pemerintahannya. Pemerintahan beliau boleh
diklasifikasikan kepada dua fasa. Fasa pertama merujuk kepada kejayaan dasar perluasan
kuasa beliau melalui penaklukan. Perang Kalinga penting dalam sejarah pemerintahan
empayar Maurya kerana ia telah menjadi asas yang mencetuskan fasa baharu dalam
pemerintahan beliau. Walaupun beliau berjaya menguasai Kalinga, namun peperangan
tersebut juga telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya apabila lebih
100,000 orang terkorban dan hampir 30,000 orang yang ditawan. Beliau mula merasakan
bahawa selain nikmat kemenangan, kekerasan dan keganasan dalam peperangan turut
menyebabkan penderitaan, kematian dan pertumpahan darah. Kekesalan terhadap
kemusnahan tersebut telah mendorong Asoka untuk menukar pemikiran dan dasar
politiknya. Beliau telah memeluk agama Buddha serta mencetuskan fasa baharu dalam
pemerintahannya dengan lebih menekankan kepada dasar perdamaian, kemajuan sosial
dan propaganda agama (Sundara Raja & Letchumanan, 2001).

Fasa seterusnya adalah penyebaran agama Buddha di beberapa bahagian di India


sehingga ke negara-negara luar seperti Sri Lanka, Asia Barat, Mesir dan Eropah Timur.
Beliau juga berpendapat adalah menjadi tanggungjawab raja untuk menjaga kebajikan
rakyat negaranya yang merangkumi keselamatan negara, harta benda iaitu kemakmuran
dari segi material dan juga meningkatkan nilai-nilai moral yang menjamin kebahagiaan di
akhirat. Hasilnya, Asoka telah berjaya menyatukan seluruh empayar yang luas tersebut
sebagai satu unit pentadbiran dari segi politik dan budaya di India. Bagaimanapun,
selepas kematian Asoka, empayar ini mula mengalami kemerosotan. Pemerintahan tujuh
orang raja selepas pemerintahannya sentiasa dibayangi dengan pemberontakan dan
serangan daripada kuasa-kuasa luar sehingga melemahkan penguasaan serta
mengakibatkan keruntuhan empayar tersebut.

3. Empayar Kushan (50 Masihi-200 Masihi)

Kejatuhan empayar Maurya menyebabkan India Utara diperintah oleh penakluk Yunani
dari Bactria dan beberapa buah kerajaan kecil. Menjelang abad pertama Masihi, orang-
orang Kushan telah menubuhkan empayar di utara India. Empayar Kushan berkembang
maju dalam daerah yang kini dikenali sebagai Pakistan, Afghanistan dan kawasan barat
laut India. Empayar ini mencapai keagungannya pada masa pemerintahan Kanishka yang

82
menyaksikan perkembangan agama Hindu dan kegiatan budaya serta sastera. Selepas
empayar Kushan runtuh, India mengalami perpecahan sekali lagi sehingga menyaksikan
kemunculan empayar yang lebih kuat iaitu Empayar Gupta.

4. Empayar Gupta (280 Masihi-550 Masihi)

Empayar Gupta telah diasaskan oleh Chandragupta 1 pada tahun 320 Masihi dengan
menggunakan gelaran Maharajadhiraja yang bermaksud King of the Kings. Semasa
pemerintahan Samudragupta, empayar ini meliputi seluruh India Utara serta sebahagian
India Selatan. Selain daripada meneruskan usaha perluasan wilayah melalui peperangan
dan menerima cukai daripada negeri-negeri yang dinaungi, pemerintah empayar ini juga
menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara jiran melalui perkahwinan.

Pemerintahan empayar Gupta dianggap sebagai zaman klasik atau zaman keemasan
tamadun India kerana kebudayaan Hindu semakin kukuh di kawasan utara India. Ketika
ini, berlaku perkembangan dalam bidang kesusasteraan Hindu, kesenian, seni bina kuil,
sains dan matematik. Terdapat beberapa karya yang sangat terkenal telah lahir pada
zaman ini seperti Shankuntala dan Kama Sutra. Empayar Gupta mula menampakkan
bibit-bibit kelemahan dan keruntuhan akibat daripada persaingan dalam perebutan takhta,
pemberontakan ketua-ketua feudal dan gabenor-gabenor tempatan serta serangan-
serangan daripada kuasa luar seperti China dan Greek pada pertengahan abad ke-5
Masihi. Empayar Gupta mengalami keruntuhan ekoran serangan orang-orang nomad
yang dikenali sebagai Hun Masihi.

5. Zaman Sangam (300 Sebelum Masihi-300 Masihi)

Zaman Sangam merupakan fasa terakhir kuasa Hindu di India Selatan. Antara kerajaan
yang wujud pada zaman ini ialah kerajaan Chera, Chola dan Pandhya yang sering
berperang antara satu sama lain. Dalam aspek ekonomi, masyarakat India Selatan telah
mengadakan hubungan perdagangan antarabangsa dengan negara Romawi, Greek,
Afghanistan, China serta negara-negara Asia Tenggara. Bukti kepada hubungan
perdagangan tersebut adalah berdasarkan kepada kewujudan pelabuhan atau pengkalan
kapal dekat Teluk Combay yang dilengkapi dengan menara api, pejabat kastam dan
bangunan serta kajian arkeologi yang berjaya menemui duit syiling emas, perak dan
tembaga. Zaman ini dianggap penting dalam sejarah India kerana ia menjadi perintis
kepada pembentukan kerajaan-kerajaan Tamil di India Selatan.

6. Zaman Pallava (600 Masihi-900 Masihi)

Selepas zaman Sangam, sejarah India Selatan amat kabur sehingga dirujuk sebagai zaman
gelap. Terdapat satu golongan yang dikenali sebagai Kalabhra telah menguasai India
Selatan dan memperkenalkan Buddhisme sebagai agama rasmi serta mementingkan
bahasa Sanskrit. Pemulihan agama Hindu telah dilakukan oleh pergerakan Bhakti
daripada mazhab Saivisme dan Vaisnavisme sehingga dapat menggantikan Buddhisme
dan Jainisme sebagai agama rasmi. Terdapat daripada kalangan raja-raja Pallava yang

83
telah memeluk agama ini serta memberikan keutamaan kepada bahasa Tamil dan terlibat
dalam pembinaan kuil-kuil Hindu.

7. Zaman Chola (850 Masihi-1200 Masihi)

Kerajaan Chola telah muncul sebagai kuasa utama di India Selatan selama 350 tahun.
Semasa pemerintahan Chola mereka mendirikan kuil-kuil Hindu, membangunkan
industri pertanian dan perairan serta pelbagai pembangunan infrastruktur. Kerajaan Chola
juga telah mengadakan hubungan perdagangan bertaraf antarabangsa dengan Kepulauan
Melayu dan rantau Asia Tenggara. Berdasarkan kajian arkeologi, terdapat kesan-kesan
antara hubungan India-Alam Melayu-Asia Tenggara telah ditemui di Kuala Selingsing
Perak, Takuapa di Thai Selatan dan Labu Tuwa di Sumatera. Kesan-kesan tersebut dapat
dilihat pada kepercayaan agama, ketatanegaraan, bahasa, sastera dan kesenian.

4.5.2 Zaman Pertengahan (1000 Masihi -1756 Masihi)

Zaman pertengahan merujuk kepada tahap kedatangan dan penyebaran Islam ke India.
Pada peringkat awal, penyebaran Islam berlaku secara tidak langsung melalui hubungan
perdagangan antara para pedagang Islam dengan penduduk tempatan di persisiran pantai
India Selatan. Agama Islam mula bertapak secara rasmi apabila Muhammad al-Qasim
berjaya menguasai Wilayah Sind pada tahun 706 Masihi (87 Hijrah). Selepas dilantik
sebagai Gabenor di wilayah Multan, beliau telah membebaskan orang yang tidak
menentang atau terlibat dalam peperangan, menjamin keselamatan nyawa dan harta
benda penduduk, mengenakan jizyah kepada bukan Islam serta jaminan kebebasan
beragama. Pemerintahan beliau terhenti di pertengahan jalan apabila telah diperintahkan
pulang oleh Khalifah Bani Umayyah.

Pada peringkat seterusnya, kedatangan Islam adalah dalam bentuk penaklukan yang
dilakukan oleh orang-orang Islam keturunan Turki, Afghan dan Mongol. Pemerintah
yang terkenal dalam kerajaan ini ialah Sultan Mahmud al-Ghaznawi. Antara sumbangan
terpenting beliau ialah menguasai sebuah wilayah yang luas di India melalui serangan-
serangan yang dilakukan terhadap beberapa bandar seperti Punjab, Thanesar, Kanauj dan
Mathura. Penaklukan tersebut berjaya menyelesaikan masalah ancaman lanun terhadap
para pedagang Islam serta ancaman raja Hindu terhadap Kerajaan Bani Umayyah.
Peristiwa tersebut menjadi permulaan kepada penguasaan Islam terutamanya di bahagian
utara India serta melahirkan satu konsep tamadun yang lebih cemerlang daripada
sebelumnya.

Pemerintah seterusnya, Muhammad Ghuri telah meneruskan dasar tersebut dengan


membuka penempatan-penempatan di sebelah utara pada tahun 1191. Bagaimanapun,
Muhammad Ghuri telah dibunuh oleh Qutbuddin Aibak, seorang pengikut (bekas hamba
beliau) beliau yang kemudiannya membentuk Kesultanan Delhi pada tahun 1206.

84
1. Kesultanan Delhi (Dinasti Hamba) (1206 Masihi -1290 Masihi)

Kesultanan Delhi yang diasaskan oleh Qutbuddin Aibak (1206 Masihi) ini merujuk
kepada satu bentuk siri pemerintahan berdinasti Islam di India daripada masyarakat Turki
dan Afghanistan selama beberapa abad lamanya. Gelaran Kesultanan Delhi adalah
sempena para pemerintahnya yang menggunakan gelaran sultan dan kerajaan yang
berpusat di Delhi. Pemerintahan ini yang dianggap sebagai permulaan zaman
pertengahan dalam sejarah India ini merangkumi Dinasti Mamluk (1206-1290 Masihi),
Dinasti Khilji (1290-1320 Masihi), Dinasti Tughluq (1320-1413 Masihi), Dinasti Sayyid
(1414-1451 Masihi) dan Dinasti Lodi (1451-1526 Masihi).

Selepas kematian Firoz Shah Tughlaq, kesultanan ini mula mengalami kemerosotan.
Dengan kekalahan Ibrahim Lodi yang juga merupakan pemimpin terakhir Kesultanan
Delhi kepada Baber dalam peperangan di Panipat (1526 Masihi), maka berakhirlah
Kesultanan Delhi dan kekuasaan berpindah ke tangan Monghul di India.

2. Empayar Monghul (1507 Masihi -1707 Masihi)

Kerajaan Monghul atau Mughal merupakan kerajaan yang diasaskan oleh orang-orang
yang berketurunan Mongol. Pemerintahan empayar Monghul merupakan kemuncak
kegemilangan pengaruh Islam di India. Ketika ini, India telah mencapai keagungan dan
kemajuan yang selaras dengan nilai dan ukuran tamadun yang wujud pada ketika itu. Para
pemerintah telah membawa masuk elemen-elemen dari Timur Tengah untuk
diasimilasikan dengan unsur-unsur tempatan sehingga melahirkan budaya baharu yang
dikenali sebagai Indo-Islam. Antara tokoh pemerintah Empayar Monghul yang terkenal
adalah seperti Babur, Humayun, Akbar, Jahangir, Syah Jehan, Aurangzeb, Bahadur Shah
dan sebagainya.

Ketika zaman pemerintahan Zahiruddin Babur (1494-1530 Masihi), beliau berjaya


menyatupadukan pemimpin Islam yang berpecah, mewujudkan Jabatan Kerja Raya serta
mendirikan pusat pengajian seperti kolej dan sekolah. Manakala Humayun (1530-1556
Masihi) berjaya menyatupadukan tentera yang berpecah belah serta pentadbiran yang
kucar kacir sehingga berjaya mengalahkan kerajaan Lodi dan menawan Delhi. Antara
pembaharuan yang diperkenalkan oleh pemerintahannya adalah seperti mengamalkan
sikap bertoleransi terhadap mazhab lain, mendirikan madrasah di Delhi serta menukarkan
pusat-pusat hiburan kepada perpustakaan. Dasar ini diteruskan oleh Akhbar yang
mendirikan kolej-kolej di Fatehpur, Sikri, Agra dan lain-lain. Beliau juga berjaya
membentuk hubungan yang baik dengan penganut Hindu melalui kaedah perkahwinan
campur. Manakala dasar pemerintahan Jahangir pula menetapkan bahawa harta pusaka
daripada kalangan hartawan yang tidak mempunyai waris akan digunakan untuk
membina dan memperbaiki madrasah, tempat-tempat ibadah dan lain-lain lagi untuk
manfaat orang ramai.

Zaman keemasan bagi kerajaan Monghul dikatakan semasa pemerintahan Shah Jahan
(1628-1658 Masihi). Dasar pemerintahan beliau berjaya menyusun tentera yang setia,
menangani ancaman luar yang serius, meningkatkan perkembangan sektor ekonomi

85
melalui kegiatan import dan eksport dengan Asia Barat dan Eropah serta menggalakkan
kegiatan kesusasteraan. Beliau juga banyak melakukan pembinaan bangunan yang tinggi
mutunya seperti Taj Mahal, masjid Mutiara dan sebagainya. Pemerintah berikutnya,
Aurangzeb (1659-1707 Masihi) pula berjaya menyatukan seluruh daerah yang lemah,
membentuk empayar yang terbesar di India dengan menakluki semua kuasa-kuasa Hindu,
berusaha menghapuskan saki baki ajaran Din Ilahi, melaksanakan undang-undang
pengharaman judi, arak dan lain-lain serta membentuk jabatan khusus untuk mengawal
dan membangunkan masjid-masjid. Sepanjang 400 tahun pemerintahan, empayar
Monghul menjadi kuasa yang dominan dalam sejarah Tamadun India. Sebahagian besar
daripada pencapaian tersebut terus diwarisi oleh masyarakat dan bangsa India sehingga
hari ini.

Walau bagaimanapun, empayar ini mula mengalami kelemahan apabila kerajaan-kerajaan


kecil di bawah pemerintahannya saling bermusuhan dan berperang antara satu sama lain.
Dalam masa yang sama kerajaan juga mengadapi tentangan dan pemberontakan Hindu-
Sikh serta serangan Inggeris. Kejatuhan Bahadur Shah Zafar sebagai penguasa dinasti
Mughal yang terakhir juga sebagai mewakili kejatuhan kerajaan Islam terakhir India
zaman pertengahan. Dengan itu, babak baharu dalam lembaran sejarah India ialah zaman
moden dengan kedatangaan kuasa-kuasa Eropah khususnya Inggeris.

4.5.3 Zaman Eropah (1750 Masihi -1947 Masihi)

Zaman Eropah merujuk kepada fasa kedatangan para penjajah Barat untuk menakluki
India. Keadaan politik yang tidak stabil kesan daripada perpecahan daripada pelbagai
bangsa yang terdapat di India telah memudahkan penjajah Barat menduduki tempat-
tempat penting di pantai selatan India. Antara kuasa penjajah Barat yang pernah
menakluki India ialah Portugis ke atas Goa (1510), Belanda (1602), Perancis (1664) dan
British pada (1612–1947).

Faktor yang menarik kedatangan kuasa-kuasa Barat tersebut adalah kerana kepentingan
perdagangan, politik dan penyebaran agama Krisitian. Kuasa Eropah yang paling awal
tiba di India ialah Portugis (1498) di bawah pimpinan Vasco da Gama dan berhasil
menempatkan kedudukan Portugis di Kannanore, Kochin dan Kalikut. Dalam pada itu,
penjajah Belanda telah menduduki Pulikat, Masulipatar dan Surat, manakala penjajah
British telah menawan Surat (1612), Madras (1640), Bombay (1655) dan Calcutta (1690).
Penjajah British terus mengembangkan pengaruhnya terutama selepas Perang Plassey
(1756) sehingga berjaya menguasai pemerintahan India secara keseluruhan dalam tempoh
yang panjang. Hasil daripada penentangan secara berterusan daripada para penduduk
tempatan, akhirnya penjajah Inggeris terpaksa memberikan kemerdekaan kepada India
pada tahun 1947.

86
SOALAN DALAM TEKS 4.1

1. Senaraikan kitab-kitab Veda yang terdapat dalam zaman Vedik dan


jelaskan peranannya.

2. Peradaban lembah Sungai Indus adalah asas kepada pembentukan


tamadun India selepasnya. Senaraikan pencapaian dalam bidang
pertanian.

3. Apakah faktor yang mendorong penjajah Barat menakluki India?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

4.6 PANDANGAN SEMESTA TAMADUN INDIA

Tamadun India merupakan sebuah tamadun yang berasaskan agama. Sepanjang sejarah
perkembangannya, tamadun ini bukan sahaja melahirkan pelbagai jenis agama sendiri
malah turut mengembang serta menggabungkan beberapa agama daripada tamadun lain.
Secara umumnya, tahap perkembangan agama tamadun India boleh diklasifikasikan
kepada tiga tahap utama iaitu zaman Vedik/Ortodok, zaman Heterodoks dan zaman
moden.

4.6.1 Zaman Vedik/Ortodok

1. Zaman Veda

Kepercayaan Veda merupakan bentuk agama terawal yang dibawa masuk oleh
masyarakat Indo-Aryan ke India. Mengikut kepercayaan masyarakat Hindu, Veda ialah
kata-kata atau ‘lagu-lagu suci’ yang diperturunkan oleh Tuhan sebagai ‘pengetahuan
suci’ kepada manusia. Ia merupakan sumber utama yang mempengaruhi pandangan
semesta pemikiran masyarakat, asas kepada pembentukan kebudayaan serta agama
masyarakat. Terdapat empat buah kitab Veda yang mengandungi pelbagai mazmur iaitu
Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda. Kitab-kitab tersebut pula
mengandungi empat bahagian utama iaitu Samhita (teks-teks suci atau mentera),
Brahmana (himpunan prosa mengenai panduan bagi menjalankan upacara pemujaan) dan
Aranyaka serta Upanishad (mengandungi tafsiran falsafah mengenai Tuhan, manusia dan
dunia). Ajaran ini mempercayai bahawa kuasa-kuasa alam seperti matahari, api, angin,
pokok, sungai dan sebagainya adalah Tuhan yang mampu mempengaruhi nasib baik dan

87
buruk bagi kehidupan manusia. Justeru, menjadi tanggungjawab manusia untuk
melakukan upacara pemujaan, pengorbanan dan penyembahan untuk memujuk kuasa-
kuasa tersebut. Upacara-upacara tersebut akan diiringi oleh nyanyian pelbagai lagu suci
dan mantera yang diselenggarakan dalam bahasa Sanskrit melalui perantaraan para Rishi.
Kebanyakan daripada unsur-unsur kepercayaan masyarakat Indus ini telah diwarisi dan
dipraktikkan oleh masyarakat Hindu sehingga kini.

2. Brahman

Fasa kedua perkembangan agama di India ialah Brahman. Kepercayaan ini adalah
lanjutan daripada perkembangan Vedisme sebelumnya. Brahman lahir daripada
pemikiran tentang kewujudan Brahman dan Athman. Brahman merujuk kepada Tuhan
yang dianggap sebagai satu prinsip yang menyelubungi segala-galanya. Ini adalah roh
duniawi, sementara Athman adalah roh individu. Tujuan Athman melepaskan diri
daripada Karma dan bersekutu dengan Tuhan ataupun mencapai Moksha.

3. Hindu

Agama ini percaya bahawa Tuhan mempunyai enam aliran iaitu Saivisme, Vaishnavisme,
Saktham, Ganapathyam, Kaumaram dan Saura. Mazhab penting yang menjadi pegangan
penganut agama ini iaitu Vaisnava dan Saiva. Pengikut Vaisnava menyembah Dewa
Vishu manakala mazhab Saiva menyembah Dewa Siva yang juga dikenali sebagai
Pasupati, Sankara, Parameswara dan Nataraja. Para pengikut mazhab Siva percaya, jiwa
perlu dibersihkan untuk mendapat kebebasan daripada ikatan dan akhirnya bersekutu
dengan Tuhan. Ajaran agama Hindu menerima kewibawaan kitab-kitab Veda dengan
menganggap ia adalah kitab suci mereka. Selain itu, terdapat juga kitab-kitab yang
dikenali sebagai Smarti dan Kitab-kitab sastera seperti Ithihasa, Purana, Agama dan
Darsana. Kegemilangan agama Hindu muncul pada masa empayar Gupta.

Penganut agama Hindu juga mempercayai Hukum Karma yang bersabit dengan kelakuan
manusia semasa hidup dan kelahiran semula selepas mati. Kelahiran semula adalah
bergantung pada Karma dan tujuan hidup pula adalah untuk mencapai Mosyak, iaitu
kebebasan mutlak. Sesiapa yang mencapai tahap ini akan bersatu dengan Tuhan dan tidak
akan lahir lagi ke dunia. Oleh yang demikian, seseorang itu perlulah berbuat baik semasa
hidupnya agar Mosyak dapat dicapai. Sejak zaman empayar Maurya, agama ini telah
menjadi agama yang penting dan memaparkan dominasi golongan Brahmin.
Bagaimanapun, agama ini mendapat saingan daripada agama Buddha terutamanya
semasa pemerintahan Chandragupta Maurya dan Asoka.

4. Agama Sikh

Agama ini diasaskan oleh Guru Nanak (1469-1539 Masihi). Ajaran dalam agama ini
berdasarkan mesej-mesej daripada beliau yang menekankan soal kod moral dan
kerohanian serta semangat kemanusiaan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan
jantina dalam masyarakat. Kandungan ajaran agama ini dikatakan bersifat sinkronisasi
antara agama Hindu dan Islam. Antara elemen Islam dalam ajaran ini ialah penggunaan

88
patung-patung diharamkan manakala elemen Hindu ialah idea kelahiran semula.
Ajarannya menekankan konsep monotheisme dan kepercayaan utama adalah mengenai
kewujudan Tuhan yang satu. Gambaran Tuhan adalah bersifat nirankar atau tidak
berbentuk abadi, amat berkuasa dan wujud di mana-mana jua. Segala sifat kesempurnaan
Tuhan atau Waheguru yang bermakna “Tuhan yang menakjubkan” tidak dapat
digambarkan melalui perkataan. Selepas kematian beliau, kepimpinan agama ini
diteruskan oleh sembilan orang guru Sikh seperti yang termaktub di dalam kitab
suci Guru Granth Sahib yang juga merupakan panduan hidup para penganut Sikh.

Selain itu, pandangan semesta Tamadun India juga dipengaruhi oleh enam aliran falsafah
(sekolah). Aliran yang menerima sepenuhnya ajaran di dalam kitab Veda adalah seperti
Nyaya (pertimbangan logik), Vaisheshika (semua benda terdiri daripada empat jenis
paramanu (atom) iaitu atom bumi, air, api dan udara, Sankhya (menghuraikan mengenai
realiti dalam bilangan yang terhad dan pengetahuan yang sempurna), Yoga (konsep
Tuhan mutlak iaitu memperjelaskan realiti Tuhan), Mimamsa (siasatan yang berobjektif
untuk menegakkan kewibawaan kitab Veda serta ritualnya) dan Vedanta (terdiri daripada
Advaita (non-dualistic) yang berpandangan bahawa Atman (jiwa) dan Brahman (Tuhan)
bukanlah dua entiti yang berbeza dan Dvaita (dualistic) yang menyatakan Atman dan
Brahman adalah berlainan tetapi tidak terpisah).

4.6.2 Zaman Heterodoks

Aliran fahaman yang lahir ketika ini tidak menerima konsep kewujudan Tuhan dan
menerima kewibawaan Veda. Bagaimanapun terdapat banyak persamaan dengan idea-
idea yang terkandung dalam karya-karya Upanishad. Agama-agama ini muncul pada
akhir zaman Vedik di India. Antaranya, Carvaka, Jaina dan Buddha.

1. Carvaka

Ajaran dalam kepercayaan ini menekankan bahawa semua benda tidak berciri
transendental. Hanya elemen yang boleh dilihat seperti bumi, api, air dan udara adalah
benar. Persepsi merupakan sumber utama bagi pengetahuan yang berasaskan logik ini.
Manusia harus mengharungi kehidupan yang penuh dengan penderitaan dan keseronokan
kerana kedua kedua-dua elemen tersebut adalah gabungan yang membentuk kehidupan.

2. Jaina

Istilah Jaina berasal daripada perkataan ‘Jin’ yang bermaksud menakluki kesengsaraan
hidup. Agama ini diasaskan oleh Nataputta Vardhamana, berasal daripada berketurunan
puak Licchawi yang tergolong dalam kalangan kasta Kasatriya. Ajaran ini mementingkan
undang-undang sebab dan akibat yang dipercayai akan menentukan kelahiran semula roh-
roh individu. Semua hidupan dianggap mempunyai roh yang abadi dan setiap manusia
harus bertanggungjawab kepada perbuatan-perbuatan mereka sendiri. Kandungan ajaran
ini menekankan konsep Karma dan Samsara yang terdapat dalam Upanishad
(kesimpulan daripada kitab Veda). Antara prinsip utama dalam ajaran ini adalah seperti
jiwa (roh dalam semua benda yang bernyawa), Ajiva (benda-benda yang tidak bernyawa),

89
Asrava (daya penarik), Karma (perbuatan yang menentukan kelahiran semula roh),
Bandha (ikatan roh dengan kejahilan), Samvara (usaha menahan pengaliran Karma),
Nirjara (penghapusan Karma) dan Siddhi (pelepasan daripada kelahiran semula).

Pendirian Jainisme terhadap ketidakganasan manusia melampaui amalan vegetarianisme.


Penganut ajaran ini menolak makanan yang diandaikan diperoleh melalui kekejaman
yang tidak diperlukan. Oleh itu, majoriti daripada penganut kepercayaan ini menjadi
pengamal vegetarianisme disebabkan keganasan ladang tenusu yang moden. Diet
penganut Jainisme ortodoks tidak termasuk kebanyakan sayur-sayuran berubi kerana
mereka percaya bahawa amalan ini akan memusnahkan nyawa tanpa keperluan serta
untuk mengelakkan pemusnahan seluruh tumbuhan. Contohnya, jika anda memakan
sebiji epal, anda tidak memusnahkan seluruh pokok, tetapi untuk sayur-sayuran berubi,
seluruh tumbuhan itu telah dicabut. Bawang merah dan bawang putih juga perlu
dielakkan kerana makanan ini dilihat sebagai mewujudkan keghairahan yang
merangkumi kemarahan, kebencian dan perasaan cemburu.

3. Buddha

Kepercayaan yang diasaskan oleh Siddhartha Gautama Buddha (632 Sebelum Masihi-
543 Sebelum Masihi) ini dikatakan hasil penentangan kaum Ksytria terhadap dominasi
keterlaluan golongan Brahma serta pegangan sistem kasta yang rigid. Kitab suci yang
menjadi pegangan agama ini ialah Tripitaka (Tiga Himpunan Hikmat) yang mengandungi
tiga Pitaka iaitu Sutta Pitaka, Vinaya Pitaka dan Abidhamma Pitaka. Pitaka adalah
ajaran Buddha yang telah dikumpulkan oleh para pengikutnya dalam bentuk teks
menerusi majlis-majlis Buddha yang diadakan.

Intipati ajaran ini ialah mencari ‘Kebenaran Sejati’ dan berdasarkan kepada tiga prinsip
iaitu Sila (disiplin diri), Samadhi (tafakkur) dan Panna (bijaksana). Bagaimanapun,
kandungan dalam ajaran Buddha tidak menekankan mengenai hal-hal ketuhanan,
metafizik dan menolak kewibawaan Veda atau sesuatu falsafah kerana beliau sendiri
tidak menggalakkan falsafah. Sebaliknya, fahaman ini lebih menekankan konsep
berkaitan etika dan psikologi yang berhubung kait dengan kehidupan manusia. Manakala
tujuan akhir kehidupan manusia adalah mencapai tahap ‘kebuddhaan’ (anuttara samyak
sambodhi) atau ‘pencerahan sejati’ yang tidak memerlukan seseorang itu mengalami
proses kelahiran semula. Untuk mencapai tahap tersebut, pertolongan dan bantuan pihak
lain tidak akan meninggalkan kesan kerana ‘kebuddhaan’ hanya dapat dicapai dengan
usaha sendiri bukan melalui bantuan dewa-dewi. Dalam erti kata lain, Buddha hanya
merupakan contoh, juru pandu atau guru. Manakala setiap manusia perlu memilih dan
melalui jalan mereka sendiri, mencapai pencerahan rohani serta melihat kebenaran dan
realiti dengan sebenar-benarnya.

Pada peringkat awal, agama Buddha kelihatan hanya sebuah fenomena kecil saja dan
sejarah peristiwa-peristiwa yang membentuk agama ini tidaklah banyak tercatat. Selepas
pemerintahan Maharaja Asoka dari Empayar Maurya pada abad ke-3 Sebelum Masihi,
agama ini telah tersebar ke seluruh India dan negara-negara luar seperti Sri Lanka, Asia
Tenggara, Asia Barat dan Eropah Mediterranean.

90
4.6.3 Zaman Moden

Islam dan Kristian telah berkembang di India dan mempunyai pengikutnya yang ramai
terutama pada era pertengahan dan moden.

1. Islam

Kedatangan Islam dianggap sebagi hadiah kepada tamadun India. Melalui aktiviti
pendakwahan, perdagangan dan perkahwinan campur agama Islam terus berkembang
luas dan membuka lembaran baharu terhadap masyarakatnya sehingga mewujudkan
budaya komposit Indo-Muslim. Ajaran Islam telah mencetuskan satu reformasi sosial
dalam kehidupan beragama masyarakat tamadun India. Manakala adat-adat yang tidak
bersesuaian telah ditentang dan kedudukan wanita dimuliakan.

Kandungan dalam ajaran Islam menekankan konsep hubungan manusia dengan Allah
SWT, hubungan manusia sesama manusia serta hubungan manusia dengan alam.
Kepercayaan yang menekankan hubungan secara menegak antara makhluk dan
Penciptanya dan hubungan secara mendatar antara sesama makhluk ini telah mengubah
pandangan semesta masyarakat India terutamanya dalam aspek harga diri dan
perikemanusiaan, hak asasi kepada wanita, erti kebersihan, kemajuan pemikiran dan
kemahiran hidup, kemajuan ilmu pengetahuan serta kebendaan.

2. Kristian

Ajaran Kristian bermula dengan kedatangan British pada tahun 1498 yang diketuai oleh
Vasco Da Gama. Berlaku gerakan reformis dan pemulihan Hindu serta penyebaran idea-
idea Kristian. Kedatangan penjajah ini telah membawa masyarakat India menerima
pengaruh pemodenan dan budaya Barat seperti agama Kristian, bahasa Inggeris,
pendidikan serta cara hidup Barat.

SOALAN DALAM TEKS 4.2

1. Nyatakan tahap perkembangan agama dalam tamadun India.

2. Apakah konsep yang terkandung dalam ajaran agama Buddha?

3. Jelaskan perubahan pandangan semesta masyarakat India


selepas kedatangan Islam.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

91
4.7 SISTEM PENDIDIKAN

Penawaran kurikulum pendidikan adalah mengikut keperluan dan taraf kasta para pelajar.
Pelajar-pelajar daripada kasta atasan iaitu Brahmin, Khastriya dan Vaisya sahaja yang
dikehendaki mendalami pengetahuan tentang kitab-kitab suci Veda. Kasta Brahmin yang
terdiri daripada paderi-paderi mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam bidang agama,
sementara kasta Khastriya diberikan ilmu ketenteraan kerana mereka bertanggungjawab
melindungi dan menyelamatkan negara. Manakala kasta Vaisya diberikan pengetahuan
tentang pertanian dan perdagangan. Dalam pada itu, kasta Sudra tidak dibenarkan untuk
mendapatkan pendidikan. Jika seseorang memberi pendidikan kepada golongan Sundra,
maka ia akan menjadi satu kesalahan kerana kasta ini adalah sebagai pekerja-pekerja
bawahan dan mereka hanya layak menjadi orang suruhan kepada kelas-kelas atasan.

Pendidikan rendah lazimnya dikendalikan oleh sekolah-sekolah yang ditadbir oleh


keluarga-keluarga daripada golongan Brahmin. Sekolah-sekolah tersebut dibina atas
tanah yang dianugerahkan oleh raja. Manakala pendidikan tinggi bermula di rumah-
rumah dan istana diraja khususnya sebagai pusat pengajian agama pada zaman Vedik.
Bermula tahun 1000 Sebelum Masihi muncul kolej-kolej Brahma yang dikenali sebagai
‘Parishad’. Terdapat juga institusi pendidikan yang dikenali sebagai Matha yang terdapat
di Kashmir untuk pelajar-pelajar Aryadesa. Kuliah-kuliah dikendalikan oleh pakar-pakar
dalam pelbagai subjek. Institusi yang mendapat tumpuan daripada penduduk dari
pelbagai tempat ini menyediakan asrama khas untuk pelajar-pelajar dari luar untuk
menuntut ilmu, bersoal jawab serta bertukar-tukar pendapat.

Ketika zaman pertengahan, matlamat utama pendidikan adalah untuk menambahkan ilmu
pengetahuan dan mengatasi masalah buta huruf. Sistem pendidikan dibiayai dan dikawal
oleh kerajaan. Namun, sebilangan besar masyarakat pada zaman ini menganggap
pendidikan sebagai persediaan untuk mendapatkan jawatan dalam pentadbiran negara.
Dengan itu, pendidikan merupakan sumber mencari pendapatan dan meningkatkan lagi
status dan kemewahan seseorang.

4.8 KEDUDUKAN SISTEM KEKELUARGAAN DAN MASYARAKAT

4.8.1 Kekeluargaan

Tamadun India menekankan etika kehidupan individu untuk mencapai kemuliaan hidup
yang dikenali sebagai Ashramadharma atau empat peringkat kehidupan. Keempat-empat
tahap kehidupan tersebut adalah Brahmacarya, Ghahasta, Vanaprahasta dan Sannayasa.

Peringkat permulaan iaitu Brahmacarya merupakan permulaan kehidupan manusia


daripada kecil sehingga berusia 24 tahun. Individu yang masih bujang ini seharusnya
menumpukan perhatian kepada proses belajar untuk mendapatkan pelbagai ilmu dan
kemahiran. Kemudian mereka memasuki peringkat Grahasta apabila memasuki era
baharu dalam kehidupan dengan mendirikan rumahtangga. Pada tahap ini individu
tersebut perlu memulakan tanggungjawab kepada rumahtangga yang dibina dan
masyarakat sekeliling. Tahap vanaprahasta bermula apabila individu tersebut mula

92
membebaskan dirinya daripada kesibukan urusan rumahtangga dan hal-hal keduniaan
untuk memasuki fasa kerohanian melalui jalan pertapaan (hermit) dan bermeditasi untuk
mendalami ilmu keagamaan. Kemuncak tahap kehidupan manusia adalah pada tahap
Sannayasa. Pada tahap ini, individu tersebut telah menolak kehidupan keduniaan. Melalui
ilmu dan kealiman yang dimiliki, mereka dikatakan mampu mengatasi nafsu dan soal
keduniaan. Selepas kembali daripada pertapaan, individu tersebut akan melakukan kerja
amal dan menyebarkan agama.

4.8.2 Kedudukan Wanita

Golongan wanita mendapat kedudukan yang tinggi dan dihormati semenjak daripada
kewujudan peradaban Lembah Sungai Indus. Manifestasi daripada ketinggian kedudukan
tersebut dilambangkan sebagai Mother Goddes serta Dewi Hindu seperti Lakshmi dan
Saraswati. Dalam masyarakat Indo-Arya (India Utara) zaman Vedik awal (1500 Sebelum
Masihi -1000 Sebelum Masihi), golongan wanita mendapat penghormatan dan kebebasan
seperti kaum lelaki. Terdapat sebilangan daripada mereka yang menjadi rishi (pertapa),
mencipta mazmur-mazmur, menjalankan aktiviti keagamaan serta melakukan
pengorbanan seperti yang dilakukan oleh golongan lelaki. Bagaimanapun, menjelang
zaman Vedik kemudian (1000 Sebelum Masihi-500 Sebelum Masihi) dan seterusnya
wujud beberapa sekatan terhadap golongan wanita sehinggalah peranan dan
tanggungjawab mereka hanya terbatas dalam lingkungan urusan rumahtangga sahaja.
Manakala dalam hal pemilihan bakal suami, ibu bapa yang membuat keputusan dengan
menghantar anak gadis mereka dengan hiasan-hiasan emas. Seterusnya, dalam karya
Kamasutra pada abad ke-4 Masihi, wanita telah digambarkan sebagai pemuas nafsu seks
lelaki sahaja.

Dalam kalangan masyarakat Dravida (India Selatan) khususnya ketika zaman Sangam
(kurun ke-3 Sebelum Masihi -3 Masihi) pula, golongan wanita mendapat kedudukan dan
penghormatan yang tinggi dalam masyarakat. Mereka diberi peluang melibatkan diri
dalam bidang kesusasteraan, mencipta puisi serta melakukan pertapaan. Walaupun
mendapat penghormatan, namun mereka tidak diberikan taraf yang sama dengan kaum
lelaki. Mereka juga dikehendaki memainkan peranan yang pasif. Terdapat tiga kategori
wanita yang dibicarakan dalam kesusasteraan Sangam iaitu wanita yang berkahwin dan
mempunyai keluarga, menjadi pertapa dan wanita yang menjalankan kehidupan sebagai
pelacur atau wanita simpanan. Kesesuaian sesuatu jodoh diukur berdasarkan beberapa
aspek seperti persamaan taraf, keluarga, kekuatan, umur, kesucian, kelakukan dan
kekayaan. Terdapat juga amalan atau upacara yang memberikan gadis kepada pemenang
dalam pertandingan menundukkan lembu jantan seperti yang diamalkan masyarakat di
kawasan Mullai.

4.8.3 Masyarakat

Walaupun terdapat interaksi dengan penduduk tempatan, namun kesepaduan antara kedua
kelompok ini tidak pernah wujud. Sebaliknya, terdapat elemen pemisahan kelompok
masyarakat berdasarkan perbezaan warna kulit dan ciri fizikal yang lain. Pada permulaan
zaman Veda, masyarakat India terkenal dengan pembahagian struktur sosial masyarakat

93
yang dikenali sebagai sistem varna/kasta. Sistem varna merujuk kepada pembahagian
besar kelas masyarakat kepada tiga kelas yang utama yang dikenali sebagai Trivarna.
Dalam kitab Mahabrata ada menyebutkan bahawa perbezaan kelas masyarakat yang
mewakili lingkungan peranan ini juga boleh dikenal pasti melalui warna kulit (Lihat
Jadual 4.1).

Tiga kasta teratas adalah terdiri daripada masyarakat Aryan manakala Sudra terdiri
daripada masyarakat tempatan. Sistem dalam struktur masyarakat seperti ini menetapkan
bahawa mereka daripada golongan kasta Sudra dilarang belajar Veda, tidak boleh
bertukar kasta serta tidak digalakkan perkahwinan campur antara kasta. Falsafah mereka
ialah menjana kebahagiaan dengan setiap golongan masyarakat memainkan peranan
masing-masing. Kegagalan mana-mana golongan memainkan peranan yang telah
ditetapkan akan membawa kelemahan kepada masyarakat dan negara. Berdasarkan
personaliti dan pembahagian peranan tersebut, lahir pula sistem caturvana atau empat
varna.

Jadual 4.1. Sistem Varna dalam masyarakat tamadun India

Taraf Personaliti dan Peranan

Brahmin - Berkulit cerah.


- Merupakan pemikir dan ahli agama.
- Bertanggungjawab mengendalikan kuil, melahirkan
sami dan pendeta.

Khastriya - Berkulit kemerahan.


- Bertangungjawab menguruskan keselamatan dan
pertahanan negara.
- Terbabit dalam urusan pentadbiran negara.

Vaisya - Berkulit kekuningan.


- Bertanggungjawab menjana kekayaan dengan
menguruskan bidang pertanian dan perdagangan.
- Mendapat penghormatan kerana menjamin bekalan
makanan kepada semua manusia.

Sundra - Berkulit gelap.


- Bertanggungjawab untuk memberi khidmat kepada
ketiga golongan di atas sebagai buruh dan petani.

Selain itu, terdapat juga golongan yang dikenali sebagai Panchama atau Chandala. Kelas
masyarakat ini merujuk kepada mereka yang telah dibuang daripada sistem varna kerana
melanggar peraturan-peraturan varna seperti perkahwinan yang tidak dipersetujui dan
pertukaran agama. Perbezaan tahap masyarakat disusun sendiri oleh masyarakat untuk

94
menikmati keistimewaan sosial, ekonomi, politik dan lain-lain. Walaupun sesetengah
sarjana mengatakan sistem ini tidak mempunyai kaitan dengan ajaran agama, tetapi ia
telah diamalkan dalam sistem masyarakat Hindu secara meluas.

4.9 PERKEMBANGAN SISTEM BAHASA DAN KEBUDAYAAN

4.9.1 Bahasa dan Kesusasteraan

Ketika peradaban Lembah Sungai Indus telah wujud sistem tulisan berbentuk piktografik
iaitu bercorak gambar atau simbol. Ini menandakan masyarakat tamadun ini mula
merekodkan ilmu-ilmu mereka melalui kaedah tersebut. Dalam sejarah tamadun India,
terdapat lebih kurang 325 bahasa dan 750 loghat telah digunakan. Bagaimanapun hanya
14 bahasa utama yang diperakui oleh perlembagaan India.

Bahasa-bahasa tersebut boleh diklasifikasikan kepada dua kumpulan utama iaitu


kelompok bahasa Indo-Arya yang merangkumi bahasa seperti Bengali, Gujarati, Hindi,
Kashmiri, Punjabi, Sanskrit, Urdu dan Sindhi serta lain-lain. Manakala kelompok bahasa
Dravida pula seperti bahasa Tamil, Malayalam, Kannada, Telegu, Gondi, Brahui dan
lain-lain. Kesusasteraan Dravidia adalah bertemakan Aham (cinta), Puram (pendidikan,
pemerintahan, peperangan dan sebagainya). Manakala kesusasteraan Indo-Arya adalah
berbentuk kesusasteraan Vedik dan epik yang berdasarkan kepada Shruti dan Smriti.
Zaman Islam dikenali dengan kesusasteraan Siddha.

4.9.2 Seni Bina dan Seni Ukir

Seni bina India banyak dipengaruh oleh agama, pengaruh luar dan iklim. Antara agama
yang mempengaruhi seni bina India adalah seperti Hindu, Jaina, Buddha dan Islam.
Pengaruh luar adalah seperti Yunani, Rom, Parsi dan Inggeris. Manakala pengaruh
dengan aspek cuaca adalah seperti bentuk binaan di bahagian selatan telah meletakkan
jendela di sisi dan bumbungnya bersifat rata kerana cuaca di kawasan tersebut adalah
panas.

Seni ukir India pada keseluruhannya bermotifkan agama, mitologi dan mewakili falsafah
politik zaman-zaman tertentu dalam sejarahnya. Terdapat dua bentuk seni ukir yang
berbeza berkembang pada abad yang pertama iaitu seni ukir Gandhara dan Mathura.
Imej-imej Buddha Mathura menunjukkan keadaan Buddha sebelum mencapai nirvana
(duduk bersila dalam keadaan yoga dan sedang bertapa di bawah pohon Bodhi).
Manakala salah satu ciri ukiran Mathura ialah kisah-kisah Buddha diukir pada panel-
panel dalam bentuk episod. Aliran seni Ghandara pula dipengaruhi oleh unsur-unsur
Barat iaitu unsur Rom. Tukang-tukang ukir Mathura dan Ghandara yang dinaungi oleh
raja ini telah memberikan sumbangan kepada kemunculan ciri-ciri klasikal dalam seni
ukir India.

95
4.9.3 Kesenian

Dalam bidang muzik, terdapat empat kategori peralatan iaitu avanaddha (dram), tata
(tali), Ghana (solid/ideophone) dan susira (angin). Manakala tarian yang tulen
merangkumi pergerakan gaya tangan, kaki, tangan, muka dan perasaan. Dalam pada itu,
lukisan pendekatan seni Hindu adalah antara paling tinggi mutunya pada kurun ke-5
Masihi. Lukisan-lukisan terdapat di dinding rumah dan istana orang-orang kaya, kuil dan
candi. Lukisan yang dijumpai di Ajanta dikatakan tiada tolok bandingnya pada zaman
silam. Ketika zaman pemerintahan kerajaan Monghul, bidang seni lukis Islam mengalami
perubahan yang radikal apabila raja sendiri telah bertindak menjadi penaung seni.

4.10 PEMBANGUNAN SISTEM EKONOMI

Sistem politik atau tahap-tahap pemerintahan tamadun India turut mempengaruhi


kehidupan ekonomi masyarakat. Menjelang zaman Vedik, orang-orang Aryan memainkan
peranan penting dalam perkembangan kegiatan pertanian dan penternakan. Antara
sumbangan mereka adalah penggunaan bajak yang ditarik oleh kerbau serta maklumat
mengenai perubahan musim untuk pertanian. Ini kerana, maklumat mengenai pelbagai
jenis kegiatan yang berhubung kait dengan pertanian seperti membajak, menyemai dan
menuai ada dinyatakan dalam Kitab Rig Veda. Selain itu, mereka juga terlibat dalam
penternakan binatang seperti lembu, kambing, biri-biri dan kuda.

Sistem organisasi zaman Vedik mempunyai pertalian yang rapat dengan organisasi sosial
yang berasaskan kepada sistem Varna. Golongan Brahmin yang menduduki tangga
teratas dalam hierarki sosial menjalankan upacara keagamaan berhubung dengan aktiviti
pertanian. Khastriya ialah golongan yang berkhidmat sebagai tentera, Vaisya
menjalankan kegiatan pertanian dan perdagangan manakala Sundra berkhidmat kepada
ketiga-tiga golongan atasan tersebut. Golongan Brahmin dan Khastriya tidak terlibat
dalam kegiatan pertanian. Walaupun mereka memiliki tanah-tanah pertanian yang luas
kerja-kerja tersebut dijalankan oleh golongan Vaisya dan Sundra sahaja.

Ketika zaman Empayar Maurya (322-200 Sebelum Masihi), kegiatan dan hasil pertanian,
perindustrian dan perdagangan dimonopoli oleh kerajaan bagi menampung keperluan
anggota tentera yang dianggarkan terdiri daripada 600,000 orang. Selain itu, terdapat juga
bengkel-bengkel menenun dan kedai-kedai membuat senjata serta peralatan tentera.
Kilang-kilang ini menggunakan tenaga kerja daripada kalangan tukang-tukang mahir
yang dibayar gaji. Terdapat juga lombong-lombong besar yang dimiliki dan diusahakan
oleh kerajaan.

Menjelang pemerintahan zaman Gupta (200-500 Masihi) kerajaan memperkenalkan


sistem tanah bercorak feudal. Tanah-tanah pertanian dikurniakan kepada kuil-kuil dan
golongan Brahmin di kawasan Utara dan Timur Bengal serta kawasan Timur Madya
Pradesh. Tanah-tanah ini masih lagi diusahakan oleh para petani.

Ketika pemerintahan Moghul pula, berlaku perkembangan dalam bidang perindustrian.


Ketika ini terdapat dua jenis perindustrian iaitu industri yang dimiliki oleh sektor

96
kerajaan dan sektor swasta. Sultan memiliki bengkel besar yang dikenali sebagai
Karkhana untuk mengeluarkan barang-barang seperti kain sutera dan kapas serta barang-
barang lain yang diperbuat daripada emas dan tembaga. Manakala industri yang dimiliki
oleh sektor swasta mengeluarkan barangan seperti tekstil, gula, barang-barang logam,
kertas, batu dan sebagainya. Terdapat juga industri kecil seperti industri membuat kasut,
arak, barang-barang gangsa dan sebagainya.

Antara pencapaian penting dalam bidang ekonomi ketika ini ialah penggunaan mata
wang. Mata wang yang paling awal digunakan diperbuat daripada perak atau gangsa dan
mempunyai bentuk yang tidak sekata. Selepas abad ke-2 Masihi, setiap mata wang
berkenaan mempunyai lambang diraja dan tanda-tanda kawalan pegawai dan pedagang
tempatan. Di samping perak dan gangsa, mata wang yang diperbuat daripada emas dan
plumbum juga digunakan. Manakala kulit kowri (varataka) digunakan sebagai mata
wang bagi golongan miskin.

Amalan meminjam wang dan riba amat meluas diamalkan oleh masyarakat India. Antara
yang terlibat dalam memberi pinjaman adalah persatuan-persatuan pedagang, raja, kuil-
kuil serta peminjam profesional seperti ceti. Ceti terdiri daripada kalangan para pedagang
yang kaya raya dan mengetuai persatuan-persatuan pedagang. Kerajaan juga telah
menguatkuasakan sistem cukai seperti cukai asas, cukai tanah, cukai rumah, cukai air,
cukai perniagaan dan sebagainya.

4.11 SISTEM POLITIK MASYARAKAT TAMADUN INDIA

Sejarah klasik India menyaksikan peperangan kerap terjadi kerana militarialisme


merupakan sebahagian daripada mercu tanda masyarakat awal India. Terdapat
kepercayaan bahawa raja yang kuat sangat-sangat diperlukan bukan semata-mata untuk
menjaga peraturan undang-undang harian tetapi juga untuk menjaga peraturan kosmos
bumi. Raja mempunyai kedudukan yang tinggi dan dibantu oleh menteri-menteri dan
sebuah majlis.

4.11.1 Pemerintahan Beraja

Berdasarkan kepada teori asal-usul ketuhanan, raja dianggap suci dan bersifat Tuhan.
Bagaimanapun mereka juga tidak terlepas daripada hukuman sekiranya tidak
menjalankan tugas dengan sempurna. Pada zaman Vedik (1500-900 Sebelum Masihi),
wujud idealisme pemimpin pahlawan yang diagung-agungkan. Individu yang dipilih
sebagai raja akan mengetuai peperangan, menaung serta menyokong aktiviti-aktiviti
keagamaan bagi menjamin kesejahteraan tanah airnya.

Berdasarkan lagenda-lagenda awal seperti Aitareya Brahmana iaitu sebuah teks zaman
Vedik mengatakan bahawa institusi kerajaan adalah bersifat ketuhanan. Raja-raja adalah
dipilih oleh Tuhan untuk menjalankan pentadbiran dan memimpin negara. Mereka juga
dianggap sebagai Tuhan dan bersifat kekal abadi serta memiliki kuasa luar biasa. Justeru,
rakyat dikehendaki memberikan taat setia kepada baginda. Sesiapa yang bertindak
menentang raja akan mendapat hukuman neraka. Selain itu, seseorang raja yang dilantik

97
juga perlu menjalankan fungsi-fungsi yang terkandung dalam teks-teks suci seperti
Brahman dan undang-undang Manu untuk melindungi rakyatnya daripada musuh,
memelihara keamanan dalam masyarakat serta mengamalkan cara hidup yang betul bagi
semua lapisan masyarakat. Sekiranya raja bertindak zalim dan gagal menjalankan
fungsinya maka rakyat mempunyai hak untuk memberontak dan menggulingkan raja
tersebut.

4.11.2 Pemerintahan Republik

Kerajaan republik lahir daripada organisasi suku-suku kaum dan ketua-ketua keluarga
yang berkumpul dalam perhimpunan awam atau Moot Hall. Antara suku kaum yang
mengasaskan sistem republik ini ialah Shakya, Koliya, Malla, Vriji dan Yadava.
Perhimpunan tersebut diketuai oleh salah seorang wakil daripada kalangan mereka
dengan memakai gelaran sebagai raja. Bagaimanapun, jawatan ini tidak boleh diwarisi
dan ia dianggap sebagai ketua dan bukan raja. Kuasa politik dan sosial dalam kerajaan
republik terletak pada raja atau ketua suku kaum yang lazimnya berasal daripada
golongan Khastriya.

4.11.3 Pemerintahan Monarki

Menjelang abad ke-4 Sebelum Masihi, muncul kerajaan monarki ekoran daripada
keruntuhan kebudayaan suku-suku kaum dan perkembangan ekonomi agrarian. Antara
kerajaan terawal dan penting yang mengamalkan sistem ini ialah Kasi, Kosala, Maghada
dan Vijri yang berpusat di wilayah India Utara. Kerajaan bercorak monarki sering
berperang antara satu sama lain untuk mengukuhkan kedaulatan dan kekuasaan mereka.
Pemimpin tertinggi dikenali sebagai Raja, Maharaja, Darmamaharaja, Maharajathiraja,
Chakravarti, Rendan, Arasar dan Mannar. Raja yang dilantik secara turun-temurun
mempunyai kuasa mutlak dan dibantu oleh menteri-menteri. Biasanya golongan raja
mempunyai hubungan yang rapat dengan golongan Brahmin.

Setiap kerajaan mementingkan angkatan tentera yang kuat yang terdiri daripada unit
infantri, unit gajah dan unit kuda. Ini kerana, masyarakat India menganggap peperangan
sebagai upacara keagamaan. Sebelum memulakan sesuatu peperangan, ahli-ahli astrologi
akan menilik untuk memilih tarikh dan masa yang sesuai untuk berperang. Selepas tarikh
berperang telah ditetapkan, upacara-upacara suci diadakan dan askar-askar akan
mendengar ucapan serta kata-kata semangat daripada sami dan raja sendiri sebagai
ransangan untuk berperang. Terdapat juga ransangan berbentuk material iaitu janji untuk
memperoleh harta daripada rampasan perang.

4.11.4 Undang-Undang

Sumber undang-undang Hindu paling awal ialah Dharma Sutra yang dipercayai ditulis
oleh Gautama, Budhayama, Visista dan Apastamba. Dharma yang menjadi prinsip
utama dalam sistem perundangan India mempunyai makna yang luas. Berdasarkan
sumber Buddhisme, Dharma ditakrifkan sebagai tindakan yang benar. Berdasarkan

98
kesusasteraan undang-undang, ia ditakrifkan sebagai peraturan mengenai kelakuan baik
yang ditetapkan oleh Tuhan.

Raja sebagai penaung Dharma bertanggungjawab memelihara Dharma dengan


menghukum orang yang melakukan kejahatan dan memberikan ganjaran kepada orang-
orang yang melakukan kebaikan. Satu lagi konsep undang-undang iaitu Danda yang
bermaksud hukuman, denda ataupun keadilan. Menurut para sarjana undang-undang
klasik, manusia dapat didisiplinkan untuk mamatuhi undang-undang suci menerusi
hukuman yang dilaksanakan. Justeru, raja bertanggungjawab memelihara Dharma dan
Danda. Raja yang gagal melaksanakan tanggungjawab ini akan menerima hukuman di
neraka.

4.12 INTERAKSI ANTARA TAMADUN INDIA DENGAN TAMADUN LUAR

Setiap tamadun manusia yang wujud di dunia ini dari dahulu sehingga sekarang tidak
boleh lari daripada berinteraksi antara satu sama lain sama ada melalui jalan peperangan
atau keamanan. Menerusi interaksi, tamadun-tamadun yang terlibat akan belajar serta
memindahkan ilmu pengetahuan, bahasa, kepercayaan agama dan kebudayaan antara satu
sama lain. Sifat terbuka sesebuah tamadun dan bersedia menerima pembaharuan memberi
peluang kepada berlakunya percambahan pemikiran dan budaya serta memperkayakan
lagi tamadun tersebut kepada pelbagai aspek. Bagaimanapun, segala maklumat yang
terhasil daripada proses interaksi tersebut seharusnya perlu ditapis dan dinilai terlebih
dahulu supaya tidak melanggar nilai-nilai sosial masyarakat kerana input mengandungi
kesan negatif dan positif.

4.12.1 Tamadun Islam

Islam tiba di India pada kurun ke-7 Masihi hasil hubungan perdagangan Arab-India
melalui jalan darat dan laut. Perdagangan jalan laut dilakukan melalui Lautan Hindi dan
Lautan Merah manakala jalan darat melalui Parsi. Semenjak itu, Islam telah memainkan
peranan besar dalam pembinaan dan perkembangan tamadun India. Kesan pengaruh
tersebut meliputi seluruh aspek kehidupan masyarakat India termasuk kerohanian dan
kebendaan. Hasilnya, agama Islam telah dianuti lebih kurang 150 juta penduduk India
selama hampir 800 tahun sehingga India jatuh ke tangan Inggeris pada tahun 1857.

Dalam konteks hubungan sesama manusia, Islam telah memperkenalkan sistem sosial
masyarakat tanpa kasta kerana penilaian kemuliaan seseorang manusia adalah
berdasarkan ketakwaannya (surah al-Hujurat: 13). Bagi kaum wanita Hindu yang masuk
Islam mereka diberi hak asasi sebagai wanita yang bebas dan terhormat. Islam telah
memberi hak menerima pusaka kepada mereka dan lain-lain. Selain itu, Islam juga telah
mengharamkan amalan dowry dan sati yang dikenakan terhadap kaum mereka.
Kemasukan Islam telah membangunkan masyarakat India dan menuntut mereka ke arah
kemajuan dan peradaban yang tinggi serta kehidupan yang lebih baik dan lebih teratur.
Pemelukan Islam oleh kumpulan-kumpulan yang besar menyebabkan beberapa ciri
agama Hindu serta kebudayaan dalam kalangan mereka masih dikekalkan. Justeru, hasil
daripada asimilasi budaya Hindu dan Islam, wujud budaya komposit Indo-Muslim iaitu

99
satu bentuk percampuran budaya Hindu dan Islam dengan identiti budaya masing-masing
masih dikekalkan.

Budaya Indo-Muslim ini telah mempengaruhi pandangan semesta, pemikiran dan tingkah
laku seharian masyarakat dalam segenap aspek. Antaranya, dalam bidang pemerintahan
dan pentadbiran pendekatan pemerintahan kerajaan Abbasiyyah di Kota Baghdad telah
diterapkan seperti gelaran sultan diberikan untuk menggantikan gelaran Maharaja.
Bagaimanapun, sultan masih lagi mempunyai kuasa mutlak dalam membentuk kerajaan.
Ketika zaman Kesultanan Delhi, ramai pegawai kerajaan dilantik daripada kalangan para
penganut Hindu. Antaranya, Medini Rai yang dilantik sebagai pegawai tinggi di Malwa
dan Purandar, Rup dan Sanatan sebagai pegawai tinggi di Bengal. Dalam pada itu,
kerajaan Hindu Raja Deva Raja II dari Vijayanagar juga telah melantik para pegawainya
daripada kalangan orang-orang Islam.

Dalam bidang pembangunan ekonomi, kedatangan Islam telah menjadikan India Utara
sebagai pusat perdagangan antara India dengan Asia Tengah manakala Bengal sebagai
tempat pertemuan para pedagang daripada rantau Asia Tenggara. Kerajaan telah
memperkenalkan sistem zakat, jizyah, kharaj dan sebagainya. Kakitangan kerajaan
seperti tentera telah diberikan gaji tetap.

Manakala dalam bidang pendidikan, ilmu-ilmu Islam telah berkembang dengan subur
melalui sistem pendidikan secara formal dan tidak formal di masjid, madrasah, kolej dan
sebagainya. Aktiviti penulisan juga telah berkembang dengan pesat dalam bidang sejarah
dan ilmu-ilmu lain. Hasilnya, lahir ulama-ulama besar bertaraf antarabangsa yang
mempunyai ilmu yang luas dan mendalam seperti Imam Ahmad bin Abdul Rahim (Syah
Waliyullah al Dahlawi) yang terkenal dalam disiplin ilmu Hadis. Ketika pemerintahan
Akbar, aktiviti terjemahan pesat dilakukan. Selain dorongan supaya melakukan
terjemahan karya-karya Parsi ke dalam bahasa Hindi, karya-karya Hindu seperti
Mahabrata dan Ramayana juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Parsi. Tujuan
terjemahan tersebut dilakukan adalah untuk membolehkan masyarakat tempatan
memahami agama, budaya, pemikiran dan sebagainya yang wujud dalam masyarakat
tamadun India. Beliau juga telah membenarkan orang-orang Hindu mempelajari bahasa
Persia di madrasah-madrasah. Hasilnya, terdapat ramai ahli fizik Hindu yang menulis
buku sains perubatan dalam bahasa Persia. Ahli astronomi India juga telah meminjam
terma-terma astronomi, pengiraan latitud dan longitud bumi, pengiraan kalendar dan lain-
lain daripada para intelektual Islam.

Dalam aspek bahasa, muncul satu bahasa iaitu zaban-e-Hindawi (urdu) yang mempunyai
nahu Prakit dengan perbendaharaan kata Parsi, Arab dan Turki. Tulisannya dalam bentuk
skrip Arab, tetapi bunyinya bukan dalam bentuk Arab.

Pembaharuan dalam bidang kesenian dan kebudayaan adalah seperti lahir sejenis alat
muzik iaitu ‘sitar’ hasil gabungan ‘vinai’ daripada India Selatan dan ‘tanbura’ daripada
Parsi. Tarian ‘kathak’ juga telah diperkenalkan dengan menggunakan pakaian Parsi yang
mempunyai tema berunsur Hindu. Seni bina Turki-Islam telah mempengaruhi bentuk seni
bina zaman Kesultanan Delhi manakala seni bina Parsi-Islam pula mempengaruhi bentuk

100
seni bina empayar Monghul. Contohnya, pembinaan Taj Mahal pada zaman
pemerintahan Shah Jehan adalah berdasarkan konsep dan gaya Islam. Manakala
penggunaan bahan, kerja-kerja ukiran dan motif-motif bungaan lebih bercirikan seni bina
Hindu. Taj Majal telah disenaraikan sebagai salah sebuah benda ajaib di dunia. Selain itu,
raja-raja Islam juga telah banyak membangunkan kilang-kilang, sekolah, rumah sakit dan
sistem jalan raya.

4.12.2 Tamadun China

Rekod sejarah China mencatatkan interaksi antara tamadun India dan China berlaku
sekitar kurun ke-2 Sebelum Masihi. Jalan sutera menjadi laluan utama antara para
pedagang India dan China. Selain daripada bertukar-tukar barang dagangan masing-
masing, penyebaran agama Buddha juga merupakan komoditi terpenting yang dibawa ke
China. Ajaran yang terdapat dalam agama Buddha telah disesuaikan dengan tradisi
budaya masyarakat China iaitu Doisme dan Confucianisme sebelum ia disebarkan secara
meluas di sana. Kalangan sami-sami di China juga telah dihantar ke India untuk
mempelajari kitab Buddha dalam bahasa Sanskrit dan Pali.

Dalam bidang sains dan teknologi, tamadun India mempelajari teknologi membuat kertas,
tembikar, bahan letupan, percetakan, kompas dan perubatan daripada tamadun China.
Manakala pada masa yang sama, teknologi India menghasilkan gula daripada tebu, ilmu
astronomi dan perubatan turut dikembangkan oleh India kepada China.

Selain itu, ilmu fonetik China telah menyerap masuk unsur-unsur pengetahuan dan teknik
ilmu fonetik Sanskrit yang dipelajari melalui ajaran Buddha. Perbendaharaan kata, tema,
gaya dan genre penulisan dalam kesusasteraan China juga mempunyai pengaruh India
melalui kitab-kitab Buddha yang dibekalkan sebagai panduan dan rujukan kepada
mereka. Dalam bidang seni muzik, terdapat juga alat muzik China yang berasal dari India
seperti pipa dan konghou.

4.12.3 Tamadun Barat

Portugal merupakan kuasa Eropah pertama yang datang ke India. Tujuan utama
kedatangan Barat adalah untuk memperoleh rempah dan menyebarkan agama Kristian.
Kedatangan penjajah ini telah membawa masyarakat India menerima pengaruh
pemodenan dan budaya Barat seperti agama Kristian, bahasa Inggeris dan cara hidup
Barat. Kesan kedatangan Barat adalah begitu ketara sekitar tahun 1810-1820-an apabila
sekolah bersistem pendidikan Inggeris, mubaligh-mubaligh Kristian dan buku-buku
Inggeris yang memperkenalkan tafsiran baharu dalam masyarakat telah mendapat
perhatian penduduk tempatan. Dasar pendidikan Inggeris dikatakan untuk mewujudkan
satu kelas masyarakat India darisegi darah dan warna kulit tetapi mempunyai pengaruh
Inggeris dari segi rasa, pandangan, moral dan intelek. Dalam peringkat pemerintahan,
perlembagaan India telah mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi selama 15
tahun.

101
Kemuncaknya, semakin ramai rakyat India yang tidak lagi berminat dengan sastera dalam
bahasa India. Genre sastera tradisional dikatakan tidak sesuai lagi dengan kehendak dan
suasana semasa terutamanya gambaran dalam pelbagai tema sosial, politik baharu serta
sajak-sajak romantik. Sebaliknya, genre tersebut dikatakan hanya sesuai untuk
menggambarkan tema-tema berbentuk epik, agama dan Dharma.

Manakala dalam aspek komunikasi, pengaruh panggung wayang, radio, televisyen dan
lain-lain alat telekomunikasi elektronik mula menggantikan kumpulan-kumpulan
tradisional seperti wayang kulit, drama dan lain-lain. Kemunculan bandar-bandar baharu
secara tidak langsung juga menjadi pusat kepada reformasi agama dan tradisi kampung.
Dalam bidang politik, penjajahan British pada 1612 telah menyebabkan India terbahagi
kepada tiga bahagian iaitu Bengal (timur), Bombay (barat) dan Madras (selatan).
Perjuangan Kebangsaan dilakukan oleh Indian National Congress (1885) di bawah
pimpinan Mahatma Gandhi. Pada tahun 1947, India mencapai kemerdekaan dengan
membahagikan India kepada dua wilayah iaitu India untuk orang Hindu manakala
Pakistan bagi memenuhi kehendak Liga Muslim yang mewakili golongan Muslim.

4.13 SUMBANGAN TAMADUN INDIA

1. Agama dan Kepercayaan

Agama Hindu dan Buddha telah berkembang luas di Asia Tenggara. Berlaku Sinkritisme
antara agama Hindu-Buddha dan kepercayaan masyarakat pribumi. Penyebaran agama ini
juga telah mempengaruhi perkembangan seni bina khususnya dalam pembinaan candi
dan kuil seperti Angkor Wat di Kemboja, Candi Borobudur di Jogjakarta dan Candi
Lembah Bujang.

2. Idea Politik dan Berkerajaan

Konsep “kosmologis” meletakkan raja di tempat yang teratas. Raja dianggap sebagai
penjelmaan Dewa Vishnu dan Siva. Pemerintahan beraja tersebut adalah berpandukan
kepada beberapa aspek dari sistem perundangan Hindu seperti Kitab Dharmasutra atau
Hukum Kanun Manu.

3. Bahasa dan Kesusasteraan

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Asia Tenggara menggunakan bahasa Sanskrit


sebagai bahasa utama. Contohnya, penemuan prasasti-prasasti Talang Tuwo/Kedukan
Bukit adalah menggunakan bahasa Sanskrit. Dalam bidang kesusasteraan, karya epik
terkenal seperti Ramayana dan Mahabrata juga mempunyai pengaruh yang besar
walaupun ia dikenali dengan nama yang berbeza. Karya Ramayana dikenali sebagai
Ramakien di Thailand dan Hikayat Seri Rama di Tanah Melayu. Manakala karya
Mahabrata dikenali dengan pelbagai nama seperti Hikayat Pendawa Lima, Hikayat
Pendawa, Hikayat Panca Delima dan Hikayat Sang Boma dan karya sejarah agung iaitu
Negarakertagama.

102
4. Ilmu Fizik

Perkembangan disiplin ilmu ini mempunyai kaitan dengan teologi dan agama. Alam
semesta dipercayai mengandungi lima elemen utama iaitu tanah, angin, api, air dan
angkasa. Hampir semua aliran agama di India percaya unsur-unsur alam kecuali angkasa
adalah bercirikan atom. Kelima-lima elemen tersebut mempunyai kaitan dengan
kehidupan manusia. Contohnya, bumi dikaitkan dengan bau, udara dengan perasaan, api
dengan pandangan, air dengan rasa dan gelombang dengan bunyi/pendengaran. Mengikut
falsafah Vaisheshika, atom yang wujud dalam kehidupan boleh dipisah-pisahkan. Sesuatu
objek akan mempunyai kadar berat yang lebih besar apabila ia berada dalam air
berbanding di udara kerana densiti atom dalam air lebih tinggi dari di udara.

5. Ilmu Kimia

Kajian tertumpu pada teknik peleburan logam, pembuatan wangian, pewarna dan
pembuatan ubat. Bagaimanapun, pengetahuan kimia tidak digunakan untuk mengubah
dan menjadikan logam besi kepada emas seperti yang dilakukan di Eropah. Orang India
membuat ubat untuk hidup lama, racun dan antidotnya. Melalui kimia perubatan juga
beberapa bahan alkali utama, asid dan garam logam dicipta dengan proses yang mudah
seperti pembakaran dan penyulingan. Mereka juga dipercayai mencipta ubat bedil.

6. Perubatan

Ilmu perubatan India bermula semenjak zaman Vedik sebagai seni ilmu sihir. Unsur-
unsur perubatan seperti fisiologi, pembedahan, pernafasan melalui amalan yoga,
reproduksi manusia, farmakologi dan perubatan binatang telah wujud sebelum tahun
Masihi. Teks-teks perubatan India seperti Caraka (kurun pertama hingga ke-2) dan
Susruta (kurun ke-4) dianggap setaraf dengan Hippocrates dan Galen.

7. Matematik

Menggunakan konsep Geometri dalam upacara-upacara agama. Karya matematik yang


terkenal adalah Bakshali dan Aryabhatiya. Masyarakat India telah mempelopori
penggunaan sistem nombor 0 hingga 9. Pengenalan konsep sifar ini menjadi asas kepada
aplikasi angka kosong dalam sistem matematik hari ini. Sebelum adanya konsep sifar
hanya nombor positif sahaja yang diketahui. Sifar atau kosong ini diwakili oleh titik yang
dikenali sebagai Pujyam. Konsep kosong juga dikenali sebagai Shukla dan Shubra.
Dalam kalangan masyarakat Arab, konsep sifar dikenali sebagai Siphra atau sifr. Setelah
nombor sifar ditemui wujudlah nombor negatif yang kita kenali sekarang ini. Selain itu,
sistem perpuluhan juga telah diperkenalkan. Ketika zaman empayar Gupta, konsep
matematik yang berdasarkan aturan kiraan tali atau sulvasutra telah diperkenalkan.
Aktiviti matematik berkembang pada waktu ini kerana berasaskan kepada keperluan
agama (pemujaan dan pengorbananan).

103
8. Astronomi

Kehidupan masyarakat India adalah dekat dengan bidang astronomi berdasarkan kepada
kepercayaan mereka bahawa unsur matahari, bulan, bintang dianggap sebagai Tuhan.
Dalam kitab Rig Veda ada keterangan mengenai lintasan matahari dibahagikan kepada 12
bahagian dan satu bulatan dibahagikan kepada 36 bahagian yang bermaksud 360 hari
dalam setahun iaitu 12 bulan. Selain itu, Jyotisa atau ilmu kaji bintang adalah salah satu
bahagian utama Rig Veda. Ia merupakan perkiraan astronomi yang digunakan pada
zaman awal untuk menentukan tarikh dan masa bagi upacara pengorbanan. Berdasarkan
perkiraan astronomi muncul kalendar matahari.

Pada abad ke-7 Masihi, Brahmagupta telah berjaya menganggarkan jarak di antara bumi
dan matahari iaitu sejauh 5000 Yojanas. Satu Yojanas bersamaan dengan 7.2 km.
Anggaran yang dibuat beliau ini hampir menyamai ukuran jarak sebenar iaitu lebih
kurang 36,000 km. Selanjutnya, selain berjaya menghitung dengan tepat ukur lilit bumi,
beliau juga telah memperkenalkan hukum graviti dengan mengandaikan bahawa semua
jasad akan jatuh ke arah bumi kerana secara semula jadinya bumi akan menarik apa
sahaja jasad. Teori ini kemudiannya dikembangkan oleh Barat dengan kemunculan ahli
sains mereka seperti Sir Isaac Newton. Varahamitra pula menulis buku
Panchasiddhantika atau lima aliran astronomi yang menjadi bahan rujukan di sekolah-
sekolah. Bukti ketinggian ilmu matematik dan astronomi India terpapar dengan
terbinanya Universiti Nalanda yang merupakan antara universiti terawal di dunia yang
berjaya menarik ramai sarjana dari seluruh dunia seperti dari Greek, Parsi dan China.

9. Geometri

Bidang geometri mencapai tahap kecemerlangan apabila disiplin ini menjadi asas penting
dalam bidang seni bina. Bentuk-bentuk geometri telah digabungkan dengan bentuk
tumbuhan dan menjadi hiasan kuil-kuil di seluruh India. Antara tokoh geometri India
adalah seperti Aryabhata. Beliau berjaya menghasilkan karya ‘Aryabhaliyam’ yang
membicarakan tentang teori-teori geometri. Beliau juga berjaya mengira dengan tepat
jumlah hari dalam setahun iaitu 365 hari serta membuktikan bahawa bumi berputar di
atas paksinya dan gerhana pula disebabkan oleh bayang bumi.

4. 14 KESIMPULAN

Tamadun India agak unik jika dibandingkan dengan tamadun Asia yang lain.
Perkembangan tamadun ini dikatakan bermula dengan peradaban Lembah Sungai Indus
yang telah mencapai satu tahap ketamadunan yang tinggi dalam bidang pertanian,
penternakan, pertukangan, pembinaan dan organisasi yang tersusun dan sistematik.
Pencapaian peradaban tersebut telah diteruskan melalui kedatangan orang-orang Aryan
dalam zaman Vedik melalui kecemerlangan empayar-empayar awal seperti Maurya,
Gupta, Sangam, Pallava dan Chola. Kedatangan Islam telah mencetuskan fenomena
baharu dalam kegemilangan tamadun India kerana ajarannya yang mementingkan ilmu
pengetahuan serta keseimbangan antara spiritual dan material terutamanya ketika
pemerintahan empayar Monghul. Namun, empayar Monghul juga mewakili kejatuhan

104
kerajaan Islam terakhir India zaman kesan daripada suasana politik dan keadaan
masyarakat yang berpecah-belah pada ketika itu. Kedatangan penjajah yang silih berganti
juga telah mencetuskan babak baharu dalam lembaran sejarah India khususnya
penerimaan budaya Barat seperti agama Kristian, bahasa Inggeris, berpendidikan serta
cara hidup dalam kalangan masyarakatnya.

105
SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Bincangkan tahap dan perkembangan agama-agama yang terdapat dalam


tamadun India.
2. Huraikan sejauh manakah sumbangan Islam terhadap pembangunan tamadun
India.
3. Senarai dan bincangkan sumbangan tamadun India kepada masyarakat dunia.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 4.1

1. Terdapat empat buah kitab atau Veda iaitu Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan
Atharva Veda. Kitab-kitab Veda ini adalah gambaran pemikiran, kepercayaan,
amalan dan kehidupan mereka.

2. (i) Penggunaan sistem pengairan dengan menggunakan teknologi bawah


tanah, kincir angin serta pembinaan terusan.
(ii) Tanaman utama adalah kapas, gandum, barli, kacang dan bijan.
(iii) Gudang besar untuk menyimpan hasil pertanian.

3. (i) Keadaan politik yang terpecah-belah antara pelbagai bangsa.


(ii) Kepentingan perdagangan.
(iii) Penyebaran agama Krisitian.

SDT 4.2

1. Zaman Vedik/Ortodok
(i) Zaman Heterodoks
(ii) Zaman moden

2. (i) Tidak menekankan mengenai hal-hal ketuhanan, metafizik dan menolak


kewibawaan Veda serta tidak menggalakkan falsafah.

106
(ii) Menekankan berkaitan etika dan psikologi yang berhubung kait dengan
kehidupan manusia.

3. (i) Hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia sesama manusia


serta hubungan manusia dengan alam.
(ii) Mementingkan harga diri dan perikemanusiaan.
(iii) Martabat wanita.

107

Anda mungkin juga menyukai