Anda di halaman 1dari 2

Petikan monolog olahan dari naskah Asiah Samiah karya Johan Jaafar

MARGA MUDA :

Kau idealis Anas! Idealis hanya hidup dalam angan‐angan. Kau tidak melihat kenyataan.
Kau tidak tahu makna kebebasan yang kau ada sehingga kau dinafikan kebebasan. Aku
sudah melihat sendiri bagaimana ayahku, Si petani tua yang menguntungkan hidup pada
kudrat tubuhnya, diusir dari tanahnya sendiri. Seperti kau juga sekarang, tanah yang
didudukinya selama lebih tiga generasi dianggap haram. Lalu dia dan beberapa keluarga
lain dihalau dari tanah itu. Atas nama pembangunan kata mereka, rakyat harus berkorban.
Atas nama perubahan, ayah harus disisihkan dari kampung halamannya. Atas nama masa
depan, ayah diberikan sebuah rumah murah sebagai ganjaran. Atas nama kemajuan, ayah
yang enggan bergerak dituduh pengkhianat, pengacau dan perosak! Ayah setia pada
negaranya. Ayah yang selama ini mengagumi dan memuliakan orang‐orang yang
merampas kekayaannya. Ayah diseret bagai penjenayah. Ayah diseksa dan dihina. Ayah
dikasari. Atas alasan apa Anas? Kerana ayah mahu mempertahankan haknya!

Korbannya terlalu besar Anas. Bertahun‐tahun aku harus hidup di tengah teman‐teman
yang percaya bahawa ayah aku seorang penjenayah. Ayah degil. Dia lebih rela meringkuk
di penjara daripada melupakan perjuangannya. Harganya terlalu besar bagi kami. Ibu
meninggalkan ayah dan kami yang masih kecil. Adik‐adik bercempera entah ke mana. Aku
merempat. Ayah meninggal di penjara kerana keyakinannya. Dia hanya memperjuangkan
tanah sekangkang kera yang sebenarnya tidak bernilai apa pun. Aku hanya diberitahu
tentang kematian ayah sebulan selepas itu. Kali terakhir aku menemuinya, dia masih
mengharapkan aku meneruskan perjuangan itu. Tanah kita, maruah kita, harga diri kita!
Berkali‐kali dia mengatakan begitu. Kau tahu, tanah yang didakwa tanahnya itu tidak
lebih daripada tanah haram yang diwariskannya turuntemurun.

Aku hanya menceritakan apa yang aku tahu Anas. Apa yang aku faham dan aku lihat. Ini
kisah keluarga aku. Kisah malang yang menyebabkan ibu serba salah, dan akhirnya adik‐
adikku menjadi anak terbuang. Aku faham perjuangan ayah. Tapi ibuku? Adik‐adikku?
Pernah salah seorang adikku bertanya, mengapa tidak ayah akur pada pemaju, menerima
ganti rugi dan hidup senang sampai ke tua. Aku memberitahunya, ayah ada harga diri.
Ayah ada maruah. Tapi kata adikku, kita bagaimana? Nasib kita bagaimana? Mengapa
ayah membiarkan kedegilan membinaskan kami sekeluarga? Aku mahu berdepan dengan
ayah? Aku mahu mendesaknya untuk melihat kami, bukan dirinya saja dalam
perjuangannya. Tapi setiap kali aku berdepan dengannya, aku tidak tergamak. Setiap kali
aku melawatnya di penjara, dia akan bertanya, bagaimana tanah kita! Tanah kita Anas!
Bahawa ayah hero? Ayah pejuang? Ayah menegakkan kebenaran? Kau tahu Anas, setiap
malam, adikku yang paling kecil akan memanggil nama mak. Tangisannya menyakitkan
aku Anas. Setiap malam aku tidak boleh tidur kerana racau dan tangisannya. Kau mahu
akau memberitahu ayah? Dia dengan wajah bangganya seolah‐olah berkata, ini ayah
kamu, pejuang sebenar, kalian harus bangga! Satu hari, kami kehabisan makanan di
rumah. Jiran kami, seorang yang agak berada di kampung, sudah enggan meminjamkan
lagi beras untuk kami. Aku keluar bekerja hari usiaku yang sangat muda. Agaknya dek
terlalu lapar, adikku mencuri masuk ke rumahorang berada itu, lalu mencuri sedikit
nasinya. Adikku ditangkap. Kau tahu Anas, apabila aku pulang, aku lihat adikku terkulai di
pokok kelapa depan rumah. Orang yang agak berada itu mengikut adikku di pokok kelapa
dan untuk mengajarnya, dia memecahkan sarang kerengga ke tubuhnya, malah masuk ke
dalam telinga, hidung, ah. . . Adikku pengsan beberapa lama. Kau bayangkan tangisan
adik‐adikku yang lain. . . Apa yang menyakitkan hatiku ialah orang yang agak berada itu,
berada di situ berkat daripada perjuangan ayah. Kerana perjuangan ayah, tanahnya tidak
dirampas. Kerana perjuangan ayah dia masih menikmati kemewahan. Projek itu tidak jadi.
Desakan orang ramai menyebabkan pemaju kecut perut. Tapi ayah tetap dipenjara.
Kerana perjuangan ayah, dia mengecap apa yang dikecapinya. Tapi dia tergamak
menyeksa anak orang yang memperjuangkan nasibnya. Kau bercakap tentang perjuangan
Anas. Apa yang kau tahu tentang perjuangan?