Anda di halaman 1dari 5

PERSEPSI DAN PERSPEKTIF STRATEGI DAN PERANCANGAN PERANG

DALAM MASYARAKAT MELAYU


Firman Allah dalam ayat 84, Surah An Nisa’ yang bermaksud “Maka berperanglah
kamu di jalan Allah, tidaklah kamu dibebani melainkan dengan kewajiban kamu
sendiri. Kobarkanlah semangat mukmin (untuk berperang). Mudah2an Allah menolak
serangan orang2 kafir itu. Allah amat besar kekuatan dan amat keras siksaan(nya)”,
menunjukkan bahawa perang itu adalah sesuatu yang perlu dilalui dan dihadapi oleh
setiap umat manusia terutama perang untuk menegakkan keadilan dan menuju ke
jalan agama. Peperangan yang dilalui oleh manusia ini tidak mengira bangsa, begitu
juga dengan bangsa Melayu yang sejak dahulu lagi telah melalui pelbagai peristiwa
perang yang membawa kepada perjuangan agama, bangsa dan negara. Perang
dalam konteks ini merujuk kepada perjuangan yang dilalui dalam menegakkan
kebenaran, mempertahankan tanahair, memperjuangkan kedaulatan bangsa dan
negara. Peperangan adalah perkara yang sentiasa ada dalam hidup manusia. Setiap
hari manusia berperang dengan pelbagai isu dan perkara, perang emosi, perang
politik, perang tugas, perang kerja, perang dengan diri sendiri dan banyak lagi perang
yang sentiasa menghantui hidup manusia. Perang itu sendiri adalah mainan hidup
manusia.
Masyarakat dan dunia Melayu juga telah melalui pelbagai episod perang.
Pelbagai pendapat dan pandangan yang dilontarkan terhadap peristiwa perang yang
pernah berlaku di Tanah Melayu ini, yang tidak meneliti dengan lanjut mengatakan
perang dunia Melayu memperlihatkan kelemahan yang ketara, yang mengkaji dan
mendalami dapat melihat bagaimana perang di dunia Melayu ini memperlihatkan
kebijaksanaan ilmu orang Melayu dalam mengaplikasikan kearifan tempatan dalam
peperangan. Melaka pada satu ketika dahulu pernah mencapai kedudukan politik
yang sangat unggul dengan sistem perdagangan yang berkembang baik, menjadi
pusat perniagaan dan pertemuan antara Timur dan Barat. Peristiwa Melaka ditawan
Portugis menggambarkan bahawa panglima perang Melaka tewas dan dilihat lemah
dalam mempertahankan Melaka. Hakikatnya, sebelum Melaka ditawan oleh Portugis,
sebenarnya Melaka mempunyai 3,000 pucuk meriam, jambatan yang dibina di Melaka
adalah jambatan yang sangat kukuh dari segi binaannya yang lengkap dengan sistem
pertahanan. Ketika Portugis cuba merampas Melaka, beberapa siri perang telah
berlaku, bermula di laut sebelum Portugis berjaya menjejakkan kaki ke tanah Melaka.
Panglima perang Melaka dan tentera Melaka telah menggunakan pelbagai strategi
melawan tentera Portugis ketika itu. Taktik “Kapal Api” atau “Fire Ship” yang
digunakan oleh pihak Melaka pernah menggugat kedudukan tentera Portugis di laut,
taktik tersebut menggunakan perahu atau lancara yang diisi dengan minyak dan
bahan pembakar dan dihalakan ke kapal-kapal Portugis, ramai tentera Portugis yang
telah terkorban ketika itu. Portugis sememangnya gerun dengan kekuatan tentera
laut Melaka, disebabkan itulah ketika Laksamana bersama tentera laut tiada di Melaka
Portugis telah melancarkan serangan besar-besaran ke istana Melaka dan akhirnya
berjaya merampas istana Melaka melalui tipu helah dan juga pembelotan tentera
Jawa yang dibayar oleh Portugis untuk membantu mereka menawan Melaka dari
dalam istana. Bak kata pepatah “apalah diharap pada dagang, bertukar musim
berlalulah ia” membuktikan bahawa kebaikan hati budi orang Melayu terhadap kaum
pendatang akhirnya memakan diri sendiri dan menjadi duri dalam daging seperti mana
tentera Jawa yang belot kepada Sultan Melaka yang membantu Portugis menawan
istana Melaka.1
Kebijaksanaan orang Melayu dalam menyusun stratedi perang juga turut
diceritakan dengan begitu indah dalam teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
Dalam usaha mengelak peperangan dalam teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang
Tuah terdapat beberapa tokoh pemimpin yang dipercayai mempunyai kepakaran
dalam mengatur strategi mengelak perang. Antara tokoh yang menjadi peneraju
angkatan perang ialah Bendahara Paduka Raja Tun Perak dan Laksamana Hang
Tuah. Keperibadian Tun Perak mengundang perasaan kagum Sultan Muzaffar
Syah lalu membenarkan Tun Perak melaksanakan strategi mengelak perang
dengan Siam. Ketika menghadapi serangan Siam di jalan laut, Tun Perak telah
mengarahkan tenteranya memasang obor atau jamung di sepanjang pokok di tepi
pantai. Api obor atau jamung yang dilihat dari laut itu kelihatan seperti terlalu ramai
tentera Melaka yang bersedia untuk menghadapi tentera Siam, ini menyebabkan
tentera Siam terpaksa membatalkan niat dari menyerang Melaka kerana kbuatir tidak
mampu mengalahkan tentera Melaka yang dilihat terlalu ramai itu. Strategi ini
membuatkan tentera musuh berasa gentar kerana menyangka tentera Melaka
terlalu ramai untuk dikalahkan. Akhirnya tentera Siam membatalkan hasrat untuk
menyerang Melaka. Strategi ini memberikan kemenangan besar kepada Melaka
dan menyelamatkan ribuan nyawa pada ketika itu. Percubaan kedua Siam untuk
menyerang Melaka dipatahkan oleh strategi mengelak perang yang dirangka
oleh Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Melaka mengetahui bahawa Siam akan
menyerang dari arah laut. Bendahara Paduka Raja Tun Perak telah merangka
strategi bagi mengelakkan peperangan daripada meletus. Bendahara Paduka Raja
Tun Perak mengarahkan Tun Omar iaitu seorang pahlawan yang berani dan gila-
gila untuk melanggar perahu-perahu Siam. Tun Omar berjaya melanggar
beberapa perahu Siam walaupun hanya bertindak seorang diri. 2 Kebijaksanaan
idea yang digunakan oleh bendahara Melaka ketika itu berjaya menyelamatkan negeri
Melaka dan rakyat Melaka dari dikuasai oleh Siam.

1
Muhammad Yusof Hashim, 2006. Kisah Melaka 1511. Institut Kajian Sejarah dan Patriotism Malaysia.
Muhammad Yusif Hashim, Muzaffar Desmond John Tate, 1992. The Malay Sultanate of Malacca: The Study of
Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th Century in Malaysian History. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

2
(12) (Pdf) Strategi Kepengarangan Melayu Tradisi Sebagai Lambang Akal Budi Bangsa Yang Tinggi
(Traditional Malay Authoring Strategy As A Symbol Of A Nation's High Level Of Common Sense). Available
From:
Https://Www.Researchgate.Net/Publication/299337409_Strategi_Kepengarangan_Melayu_Tradisi_Sebagai_L
ambang_Akal_Budi_Bangsa_Yang_Tinggi_Traditional_Malay_Authoring_Strategy_As_A_Symbol_Of_A_Nation'
s_High_Level_Of_Common_Sense [Accessed Oct 30 2020].
Ilmu pertempuran dan membela diri yang diwarisi oleh masyarakat Melayu juga
mempunyai cara dan kaedah yang tersendiri. Satu daripadanya ialah ketika
berhadapan dengan musuh seorang pendekar Melayu itu haruslah berhati-hati dan
tidak tergopoh-gapah dalam membuat serangan balas. Hal ini mempunyai kaitan rapat
dengan falsafah seni bela diri Melayu yakni silat yang menekankan penggunaan akal
fikiran dan mengutamakan pergerakan mempertahankan diri atau Self Defence
daripada pergerakan menyerang. Ilmu hulubalang atau silat ini juga digunakan oleh
Hang Tuah dan Hang Jebat untuk mematahkan lima orang pengamuk yang ingin
membunuh Bendahara paduka raja. Selain itu teks hikayat Hang Tuah juga ada
memaparkan beberapa lagi peristiwa pertarungan penting yang menunjukkan bahawa
masyarakat Melayu pada zaman dahulu telah mempunyai satu set ilmu atau seni
pertahanan dan peperangan yang sama hebatnya dengan seni peperangan bangsa-
bangsa utama lain seperti cina dan India. Ada maklumat daripada seorang pengkaji
yang mengatakan bahawa Hang Tuah juga pernah mengalahkan Ninja dan Samurai
upahan kerajaan Siam Ayuthhaya. Pada ketika itu Hang Tuah menjadi duta kerajaan
Melaka ke Siam. Hang Tuah berjaya mengelak tetakan dan libasan pedang samurai
dengan mudah malahan berjaya mencederakan mereka dan ada yang terputus
telinga terkena penangan keris lok 21 sempena Melaka milik Hang Tuah.
Peristiwa mengenai kehandalan laksamana Melayu juga turut memperlihatkan
yingginya ilmu pertaruhan yang dimiliki oleh pendekar Melayu. Antaranya ialah
pertarungan di antara Hang Tuah dengan Taming Sari di Majapahit. Dalam
pertarungan ini dapat dilihat bahawa ketangkasan dan kegagahan bukanlah aspek
utama dalam ilmu bela diri dan pertarungan Melayu. Diceritakan dalam Hikayat Hang
Tuah, apabila Hang Tuah mengetahui bahawa taming sari mempunyai ilmu kebal
maka Hang Tuah telah menggunakan kepintaran akalnya untuk menukar keris Taming
Sari dengan kerisnya yang di ketahui sebagai punca kekebalan Taming Sari. Akhirnya
Taming sari kalah dan mati.
Selain itu apa yang menarik mengenai ilmu kepahlawanan dan peperangan
Melayu pada zaman dahulu adalah ianya tidak diajarkan kepada umum dan dianggap
sebagai ilmu yang sangat eksklusif untuk golongan yang terpilih sahaja dan oleh
kerana itulah tidak ramai yang mengetahui mengenai asal usul sebenarnya ilmu
persilatan atau peperangan Melayu kerana banyak maklumat hanya disimpan oleh si
pemiliknya sahaja dan rahsia tersebut dijaga dengan ketat sehingga anak cucu
mereka. Hikayat Hang Tuah ada menyatakan mengenai hal ini iaitu dalam pesanan
Sang Persanta Nala kepada Hang Tuah:
“Ya anakku, ada suatu pesanku pada anak-anakku, adapun ilmu yang ku
ajarkan kepadamu ini jangan kau ajarkan pada barang siapa, jikalau anak mu pun
sekali jangan kau ajarkan, jikalau diajarkan maka datanglah kebinasaan ke atas
dirimu, maka kata laksamana. Pada bicara hambamu yang ilmu dan syarat tuanku itu
jangankan kepada anak cucu hambamu, tiadalah hambamu persembahkan. Jikalau
dibuangkan oleh duli yang dipertuan hamba pun relalah.” (Hikayat Hang Tuah)
Daripada petikan di atas dilihat bahawa sememangnya ilmu persilatan, pertempuran,
peperangan atau apa-apa ilmu yang berkaitan dengan seni peperangan adalah ilmu
yang dipandang tinggi darjatnya dan hanya golongan tertentu sahaja yang dibenarkan
mempelajarinya. Malahan Hang Tuah sendiri dilarang oleh Sang pertapa daripada
mengajarkan ilmu-ilmu yang telah dipelajari, kepada anaknya. Keselektifan dalam
membenarkan seseorang mempelajari ilmu ini adalah juga menunjukkan bahawa
pakar ilmu peperangan Melayu pada zaman dahulu mempunyai pemikiran yang
terkedepan mengenai akibat yang bakal berlaku sekiranya ilmu tersebut diajarkan
kepada orang yang tidak sepatutnya, dan ini terlihat dengan kata-kata Sang pertapa
yang mengatakan bahawa bencana akan menimpa jika ilmu itu diajarkan kepada
orang lain.3 Ini memperlihatkan bahawa ilmu peperangan dan pertarungan itu bukan
sembarangan orang boleh mengamalkannya dan mempelajarinya, begitulah tingginya
kepandaian dan ilmu yang dimiliki oleh laksamana dan hulubalang Melayu.
Semangat dan roh perang ini boleh kita selami dari pantun yang ada dalam
masyarakat Melayu antaranya:
Puting keris berikat benang,
Benang berikat khadam penunggu;
Jangan cuba bermandi di air tenang,
Entahkan buaya lapar sedia menunggu.

Keris berdarjat 13 lok,


Buat pakaian panglima berjanggut;
Sarang tebuan jangan dijolok,
Harimau tidur jangan dikejut.

Keris disanding bersama tombak,


Diasap setanggi bunga teratai;
Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai.

Keris lok 3 amat bisa,


Keris lok 9 jangan dicabar;
Bila bicara sudah dikata,
Tidak berundur walau dibakar.

Gendang perang lantang kedengaran,


Burung di hutan sayup berterbangan;
Keris ku genggam pedang dilibaskan,
Membujur lalu melintang ku patahkan.

3
Al Semantani @ localgenius.blogspot.com
Syair perang sudah berdendang,
Semangat juang bergentayangan;
Biarlah dalam jihad jiwa melayang,
Hidup matimu dalam keimanan.

Dari Demak hingga ke Melaka,


Bertumpah darah kaum keluarga;
Usah menjadi manusia derhaka,
Bermuafakat dan damai dijaga.4

Begitulah peperangan yang menjadi jiwa dan pembakar semangat dalam dunia
pertarungan dalam kalangan pendekar Melayu yang menjadi warisan bangsa dari
dahulu sehingga kini. Yang memperlihatkan ketinggian akal budi dan ilmu yang jelas
memperlihatkan kebijaksanaan bangsa Melayu yang turut diakui oleh orang luar.

Rujukan
Muhammad Yusof Hashim, 2006. Kisah Melaka 1511. Institut Kajian Sejarah dan
Patriotism Malaysia.
Muhammad Yusif Hashim, Muzaffar Desmond John Tate, 1992. The Malay Sultanate
of Malacca: The Study of Various Aspects of Malacca in the 15th and 16th
Century in Malaysian History. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
(Pdf) Strategi Kepengarangan Melayu Tradisi Sebagai Lambang Akal Budi Bangsa
Yang Tinggi (Traditional Malay Authoring Strategy As A Symbol Of A
Nation's High Level Of Common Sense). Available From:
Https://Www.Researchgate.Net/Publication/299337409_Strategi_Kepengara
ngan_Melayu_Tradisi_Sebagai_Lambang_Akal_Budi_Bangsa_Yang_Tinggi
_Traditional_Malay_Authoring_Strategy_As_A_Symbol_Of_A_Nation's_High
_Level_Of_Common_Sense [Accessed Oct 30 2020].
1 Pantun Perang, 2012.
http://hafezakuseorangmelayu.blogspot.com/2012/03/pantun-
perang.html
(diakses pada 30 Oktober 2020)
Artikel ditulis oleh Profesor Madya Dr. Salinah Jaafar, Akademi Pengajian
Melayu.

4
http://hafez-akuseorangmelayu.blogspot.com/2012/03/pantun-perang.html

Anda mungkin juga menyukai