Anda di halaman 1dari 11

BELAJAR CARA BELAJAR

 Bahagian 1: Persediaan Untuk Belajar


 Bahagian 2: Persediaan Tempat Belajar
 Bahagian 3: Penggunaan Teknik Belajar Yang Betul
 Bahagian 4: Belajar dengan Lebih Efektif
 Tips Tambahan
 Amaran

Bahagian 1: Persediaan Untuk Belajar


Sebelum anda belajar ataupun mengulangkaji, andalah terbaik anda mengetahui bagaimana
untuk “bersedia untuk belajar“. Berikut adalah cara-caranya.

1. Mengatur Masa
Masa amat kritikal dalam pembelajaran berkesan, oleh itu anda perlu mengaturnya dengan baik.
Anda perlu membuat jadual waktu harian dan membekalkan beberapa jam mengikut
kemampuan anda untuk belajar dan mentelaah pelajaran. Dengan berbuat demikian, ia boleh
memberikan anda keputusan yang lebih dalam peperiksaan.
Jumlah jam yang diaturkan boleh jadi berbeza mengikut tahap pembelajaran yang anda sedang
ikuti (sekolah ataupun kolej universiti) dan bidang pembelajaran (sains ataupun sastera). Pastikan
anda mengatur masa itu dengan sekadarnya dan ianya munasabah, agar anda boleh ikut
perancangan anda dengan baik.

Anda perlu imbangkan sekolah, kelas, latihan dan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Sekiranya anda
sedang mengalami masalah dalam kelas, anda perlu pertimbangkan kerja sambilan ataupun
aktiviti kokurikulum. Dalam keadaan ini, anda perlu utamakan gred pembelajaran terlebih
dahulu dan berhentikan untuk sementara komitmen yang lain, sehinggalah keputusan anda
meningkat.

Untuk pelajar kolej mahupun universiti, anda perlu memperuntukkan masa mengulangkaji
pelajaran bergantung kepada tahap kesukaran dan kadar jam kredit sesuatu subjek tersebut.
Sebagai contoh, anda mempunyai subjek fizik sebanyak 3 jam kredit, anda perlu belajar 9 jam
seminggu (3 jam x 3 tahap sangat sukar).

Ataupun contoh yang lain: subjek sastera yang agak sukar, anda boleh memperuntukkan 6 jam
seminggu untuk subjek tersebut (3 jam x 2 tahap agak sukar).

Walaubagaimanapun, di atas adalah sekadar cadangan sahaja, anda boleh mengubah cadangan di
atas mengikut keperluan dan kemampuan anda. Apa yang pasti, anda perlu menguasai subjek
tersebut, dan faham apa yang penting untuk kehidupan anda.
2. Sesuaikan Dengan Kemampuan Diri
Dapatkan rentak pembelajaran yang sesuai dengan anda dan suaikan dengan jadual waktu anda.
Sesetengah kelas ataupun subjek anda boleh menangkap dengan baik, dan ada sesetengah tidak.
Oleh itu, cuba sesuaikan diri dan berikan penekanan pada bahagian yang anda kurang.

Dan sekiranya anda seorang yang agak lambat untuk memahami sesuatu, anda perlu peruntukkan
masa yang lebih banyak untuk belajar.

3. Dapatkan Tidur Yang Mencukupi


Pastikan dalam jadual anda itu mempunyai masa untuk tidur dan rehat. Tidur yang mencukupi
(6-7 jam semalaman) setiap malam boleh memberikan kesan yang sangat besar kepada prestasi
pembelajaran anda.

Hal ini sangat penting sekiranya anda perlu mengambil ujian pada keesokan harinya. Pastikan
anda tidur pada malam sehari sebelum ujian itu, elakkan daripada mengamalkan amalan tidak
tidur sebelum ujian. Dan jangan belajar last minute!

Satu kajian telah membuktikan bahawa orang yang mendapat tidur yang mencukupi mempunyai
prestasi yang jauh lebih baik daripada orang yang tidak/kurang tidur dari segi ingatakan dan daya
pemikiran.

Namun, jika anda memang tidak sempat untuk belajar atas sebab-sebab yang lain, anda boleh
mengambil tidur sekejap pada malam harinya untuk beberapa minit (15-30 minit) sebelum
mulakan ulangkaji. Kunci jam terlebih dahulu sebelum tidur untuk mengelakkan daripada tidak
jaga, ataupun minta rakan kejutkan anda.

Setelah bagun, lakukan pergerakan fizikal sebelum mula mentelaah pelajaran. Pengambilan kopi
juga boleh membantu bagi kebanyakan orang.

4. Kosongkan Fikiran Daripada Perkara Yang Tidak Berkaitan


Jika anda mempunyai banyak komitmen semasa anda menjadi pelajar ataupun mahasiswa, anda
kemungkinan mempunyai banyak benda untuk fikirkan. Ini boleh mengganggu tumpuan anda
semasa belajar.

Oleh itu, anda sebaiknya menghilangkan gangguan tersebut sebelum memulakan ulangkaji. Cuba
selesaikan kerja ataupun apa-apa komitmen yang boleh mengganggu anda itu terlebih dahulu
sebelum anda mengulang kaji.

Tidak pun, anda boleh melakukan sesuatu yang boleh mengalihkan perhatian anda daripada
komitmen yang lain. Antaranya anda bersenam ataupun bersukan pada sebelah petang dan
kemudian belajar pada sebelah malam.
5. Elakkan Gangguan Teknologi
Alatan elektronik seperti telefon pintar dan laptop serta talian internet merupakan satu gangguan
utama kepada para pelajar. Kenapa tidaknya, kerana semuanya memberikan anda kebebasan
untuk berhubung dengan rakan-rakan dan menonton video-video kucing yang lucu tanpa henti.

Jujurlah, kebanyakan kita sangat mudah diganggu oleh media sosial seperti Facebook, Twitter,
Whatsapp, Youtube ataupun mana-mana media yang lain. Anda boleh block ataupun
menghalang komputer anda daripada mengakses laman-laman sesawang tersebut untuk seketika.

Gunakan masa tersebut untuk belajar dengan sepenuh hati, dan setelah selesai, anda boleh
menyambung bersosial – tiada masalah.

Jika tidak berhasil, anda boleh mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga ataupun rakan untuk
memegang alat elektronik anda (komputer, telefon bimbit) seketika anda mentelaah pelajaran.

Bahagian 2: Persediaan Tempat Belajar


Menyediakan tempat yang sesuai dan kondusif untuk pembelajaran amatlah penting kerana ia
boleh meningkatkan daya tumpuan pelajar. Berikut adalah beberapa cadangan:

1. Dapatkan Tempat Yang Sesuai Untuk Belajar


Anda yang ingin belajar, oleh itu anda perlu pandai memilih tempat belajar yang sesuai dengan
kehendak anda. Anda seharusnya selesa semasa belajar, itu sangat penting untuk mengelakkan
anda daripada merasakan belajar itu membebankan.

Jika kerusi di perpustakaan tidak memberikan keselesaan, anda perlu berubah kepada tempat
yang lebih selesa. Selain tempat pembelajaran, pakaian anda juga memainkan peranan. Cuba
pakai pakaian yang anda rasa boleh memberikan keselesaan kepada anda. Pakaian tersebut
mungkin boleh jadi yang tidak terlalu panas, tidak terlalu ketat dan tidak terlalu menonjol (untuk
mengelak daripada mendapat perhatian orang awam).

Pada masa yang sama, elakkan belajar di tempat yang terlalu bising ataupun boleh mengganggu
perhatian anda. Namun, jangan terlalu sunyi ataupun selesa sehingga anda boleh tertidur.
Contohnya belajar di atas katil – saya tahu, para pembaca pernah belajar di atas katil kemudian

tertidur, dan menyesal pada keesokan harinya 

Belajar di meja adalah tempat yang paling sesuai dengan postur tempat duduk yang optimum.
Tidak terlalu rendah mahupun terlalu tinggi. Pastikan meja/tempat duduk anda itu anda gunakan
semata-mata untuk belajar, bukannya untuk melayan filem di komputer.

Jika itu kesnya, ia boleh mengingatkan anda akan ‘rasa’ untuk menonton filem semasa anda
berada di meja tersebut – kerana anda sudah terbiasa dengan keadaan tersebut.
2. Pilih Muzik Yang Sesuai
Sesetengah pelajar lebih menyukai keadaan yang sunyi untuk belajar, dan sesetengah lain pula
lebih menyukai melayan lagu semasa belajar. Mana-mana pun tidak mengapa, asalkan ia
memberikan kesan yang positif kepada prestasi anda dalam pembelajaran.

Mendengar lagu ataupun musik boleh membantu anda untuk tenang, melegakan emosi dan
memberikan anda motivasi kepada anda. Jika anda selesa dengan musik, anda digalakkan untuk
mendengar lagu instrumental. Jika tidak berminat, anda boleh juga mendengar mana-mana lagu
dari artis kegemaran anda, asalkan ia tidak memberi
gangguan kepada anda.

Elakkan daripada mendengar radio kerana perbualan DJ boleh memberikan gangguan kepada
anda. Tidak percaya cubalah!

Anda boleh membuat playlist lagu-lagu yang anda gemari di dalam mp3 player ataupun dalam
telefon pintar anda. Kemudian shuffle sepanjang anda belajar.

Contoh muzik instrumental yang sesuai untuk belajar:

3. Dengar Lagu Latar


Lagu latar ataupun senang dikenali sebagai background music juga boleh membantu anda dalam
pembelajaran. Ini merujuk kepda bunyi-bunyi alam semula jadi seperti bunyi air terjun, hujan
ataupun hutan boleh membuatkan anda lebih fokus, pada masa yang sama tidak terlalu bising
sehingga mengganggu.

4. Tutup Televisyen (TV)


Belajar sambil menonton TV = 0% Belajar 100% Menonton TV

Ramai pelajar yang suka mengamalkan belajar sambil menonton TV, tapi percayalah ia
merupakan satu idea yang tidak tepat, walaupun ramai yang menyatakan mereka boleh fokus
lebih.

Faktor visual oleh TV secara tidak langsung boleh mengalihkan perhatian anda dari buku ke kaca
TV. Pada masa yang sama, percakapan/perbualan drama dalam TV boleh meransang otak anda.

5. Makan Dengan Hemah


Makan makanan yang sihat dan berkhasiat semasa anda sedang belajar. Elakkan makanan seperti
jajan dan gula-gula yang mengandungi banyak gula dan lemak.
Pilihlah makanan yang boleh membekalkan tenaga seperti buah-buahan ataupun kacang. Jika
anda inginkan manisan, makanlah coklat hitam (dark chocolate). Minum air masak yang
mencukupi, dan teh jika anda mahukan kafein.

Anda digalakkan untuk mengambil makanan sebelum belajar, untuk membekalkan badan anda
dengan nutrisi yang cukup dan untuk elakkan badan daripada lapar semasa belajar di dalam
kelas.

Bahagian 3: Penggunaan Teknik Belajar Yang Betul


Apa gunanya anda belajar, tetapi menggunakan teknik yang tidak tepat dan tidak boleh
memberikan kesan yang positif kepada pencapaian akademik anda? Ini boleh membantu:

1. Guna SQ3R
SQ3R Merupakan satu kaedah pembelajaran yang melibatkan pembacaan aktif untuk membantu
anda memahami dan menguasai sesuatu bahan tersebut. Kaedah ini melatih anda untuk previu
sesuatu bahan agar lebih bersedia.
SQ3R merupakan singkatan kepada:

Survey/Skim – anda melakukan imbasan yang singkat ke atas semua carta, gambar, kata-kata
kunci dan bahagian-bahagian yang terdapat di dalam sesuatu topik subjek yang berkenaan.
Berikan perhatian kepada learning outcome yang sering dinyatakan dalam setiap topik/subjek
pembelajaran, kerana itulah yang anda perlu tahu dan kuasai.
Question – jadikan semua benda yang anda dapat dari Survey itu sebgai soalan, seperti kenapa
ini, kenapa itu, bagaimana, kenapa dan sebagainya.
Read – baca topik tersebut dengan perasaan untuk mencuba menjawab soalan yang anda adakan
sebelum ini. Pastikan anda mendapat jawapan kepada soalan-soaln itu tadi dalam langkah ini.
Recite – ulangi jawapan-jawapan yang anda dapat secara lisan dan mana-mana maklumat
penting yang anda dapat dalam topik berkenaan.
Review – pastikan anda melakukan reviu kepada pembelajaran anda dan ulanginya untuk subjek-
subjek yang lain.
Untuk keterangan yang lanjut akan kaedah ini, sila tengok video ini:

2. Highlight Isi-Isi Penting


Gunakan highlighter ataupun kaedah menggaris isi-isi penting dalam teks bacaan, agar anda
lebih mudah untuk mengesannya semasa mengulangkaji pelajaran. Namun begitu, janganlah
menggaris kesemua petikan itu!

Highlight apa yang anda rasa anda perlu tahu dan ingat sudah mencukupi. Untuk pilihan
highlighter pula, cuba dapatkan yang berwarna kuning kerana ia sangat sesuai untuk digunakan
pada kertas putih. Penggunaan highlighter yang berwarna merah ataupun hijau sesuai dengan
kertas berwarna, tidak sangat sesuai dengan kertas berwarna putih.
Untuk menggaris pula, digalakkan untuk menggunakan warna yang tidak sama dengan warna
tulisan dan menonjol, seperti merah.

Jika anda jenis yang kemas ataupun tidak suka menconteng buku, anda boleh pilih untuk
menggunakan sticker note. Ia sangat popular dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah
menengah. Ia sangat mudah untuk didapati di mana-mana kedai alat tulis seperti Popular.

Cara untuk menggunakannya adalah sangat mudah, anda perlu menulis nota-nota penting secara
ringkas ke atas kertas tersebut dan tampal pada sebelah petikan bacaan anda untuk mengasingkan
isi-isi penting yang berkaitan.

3. Buat Ringkasan
Salah satu cara yang paling mudah untuk belajar secara efektif adalah dengan membuat nota
ringkasan dengan menggunakan ayat anda sendiri. Dengan berbuat demikian, anda akan mula
berfikir akan fakta dan kaedah pemahaman sesuatu dengan cara anda sendiri, bukannya dengan
cara orang lain yang mana mungkin boleh mengelirukan anda.

Jika anda mempunyai bilik persendirian, anda boleh tingkatkan keberkesanan membuat nota ini
dengan membacanya dengan kuat. Sangat sesuai dengan orang yang lebih selesa dengan kaedah
pembelajaran secara verbal.

Jika anda mempunyai masalah untuk mengingati nota anda, cuba mengajar apa yang anda faham
ataupun apa yang anda tulis kepada rakan anda. Cara ini sangat berkesan untuk menambahkan
kefahaman anda kepada sesuatu topik tersebut.

Anda boleh mengagihkan topik-topik kepada rakan-rakan anda, dan setiap orang perlu
membentangkan beberapa topik. Lakukan secara bergilir-gilir, percayalah teknik ini sangat
berkesan.

Dan, semasa membuat nota, anda digalakkan untuk menggunakan pelbagai warna. Hal ini kerana
warna-warni boleh meransang otak kita jika dibandingkan dengan nota yang berwarna hitam
putih sahaja.

4. Buat Flash Card


Anda boleh menukarkan nota-nota anda menjadi flash card untuk memudahkan anda
membawanya kemana-mana sahaja. Hal ini sangat sesuai jika anda mengamalkan kaedah
pengambilan nota Cornell, yang mana melibatkan kaedah mengatur nota mengikut kata kunci
(macam indeks). Anda juga boleh menggunakan flash card ini untuk nota definisi ataupun
maksud sesuatu istilah sains.

Ataupun anda boleh membuat soalan pada satu lampiran dan jawapannya pada lampiran yang
lain. Ia sangat sesuai kerana flash card memang untuk tujuan di-flip dan senang dibawa.
5. Kaedah Perkaitan
Antara kaedah belajar yang berkesan adalah dengan mengaitkan sesuatu fakta/infomasi yang
baharu dengan sesuatu yang sudah lama anda tahu.

Sebagai contoh, anda berkenalan dengan seseorang yang baharu, dan kebetulan namanya adalah
sama dengan nama kakak anda. Tidakkah anda akan senang mengingati namanya berbanding
dengan nama yang anda jarang dengar.

Apa yang hendak saya bawa disini adalah dengan melakukan perkaitan antara dua perkara, ia
boleh meransang ingatan anda! Berikut adalah beberapa cara yang anda boleh guna.

i. Kaitkan dengan Kegemaran anda


Sekiranya anda gemar mendengar lagu, melukis mahupun menari, anda boleh mengaitkannya
dengan pembelajaran dan jadikan hobi anda kepada alat bantuan belajar. Sebagai contoh, anda
boleh menyanyikan nota-nota belajar dalam rentak lagu kegemaran anda. Percaya atau tidak,
sudah banyak pendekatan seperti ini digunakan untuk memudahkan pembelajaran.

Antaranya adalah ini:

Jika anda suka melukis pula, anda boleh melakarkan nota-nota kedalam bentuk cerita ataupun
lukisan, tidaklah bergantung kepada tulisan yang membosankan sahaja.

ii. Gunakan Singkatan Perkataan (Acronym)


Kaedah ini boleh dikatakan sangat popular digunakan dalam subjek sejarah dan sains. Kaedah ini
sangat sesuai untuk mengingat fakta-fakta dan nota-nota yang bersifat senarai ataupun sesuai
proses.

Cara-cara adalah dengan menggunakan huruf pertama dalam setiap senarai dan jadikan senarai
perkataan yang lebih menarik.

iii. Peta Minda


Membuat peta minda tidak asing lagi dalam kalangan pelajar. Konsepnya adalah dalam
pengembangan nota dan isi-isi penting dalam cabang dan ranting peta minda tersebut.

Cara-cara membuat peta minda adalah bermula dengan topik besar akan sesuatu, biasanya akan
diletakkan ditengah-tengah peta minda. Kemudian, cadang-cadang akan dilukis mengikut
kreativiti masing-masing mewakili sub-topik subjek tersebut. Setelah itu, ranting-ranting yang
lebih kecil pula akan diukir untuk ditempatkan isi-isi penting.

6. Pecahkan Kepada Bahagian Yang Lebih Kecil


Salah satu kaedah pembelajaran adalah dengan mengecilkan skop kepada beberapa bahagian. Ia
dapat meringankan beban dan persepsi anda akan sesuatu topik tersebut. Anda juga boleh
mengasingkan nota mengikut topik, kata kunci ataupun mana-mana pembahagian yang anda rasa
sesuai.

Kaedah ini bertujuan untuk mengurangkan beban otak anda, kerana manusia tidak boleh
mengingati sesuatu yang banyak dalam masa yang sangat singkat, namun tidak mustahil jika
dalam jangka masa yang lama dan berperingkat-peringkat.

Bahagian 4: Belajar dengan Lebih Efektif


Berikut pula adalah beberapa teknik belajar yang anda boleh amalkan semasa mengulangkaji.

1. Berikan Badan Rehat


Jika anda belajar untuk beberapa jam dalam satu sesi, pastikan anda mengambil rehat sekurang-
kurangnya 5 minit setiap setengah jam ataupun sejam. Ini boleh membantu peredaran darah ke
otak anda, pada masa yang sama boleh memberikan ketenangan kepada fikiran anda. Keadaan
tersebut boleh meningkatkan daya ingatan dan tumpuan anda.

Semasa rehat tersebut, anda bolehlah mengambil sedikit snek, pergi ke tandas mahupun lakukan
sedikit senaman ringan agar badan anda sentiasa segar untuk sesi seterusnya.

2. Ambil Nota Dalam Kelas


Semasa dalam kelas, pastikan anda mengambil nota apa yang penting disampaikan oleh guru
anda. Anda tidak perlulah gunakan ayat yang lengkap dengan tatabahasa yang cantik molek,
sekadar anda boleh baca untuk rujukan semula sudah memadai. Anda boleh mencantikkan nota
tadi kemudian hari, apa yang penting adalah jangan ketinggalan dalam ilmu yang dicampaikan.

Semasa mencatat, gunakan ringkasan agar anda dapat menyalin dengan lebih cepat. Adalah lebih
baik jika anda boleh membuat singkatan sendiri untuk tujuan ini, tidak pun gunakan yang biasa
orang guna. Sebagai contoh, anda ingin menulis “yang”, singkatkannya kepada “yg” ataupun “y”
sahaja. Senang kan?

Untuk dapatkan keberkesanan yang lebih dalam menyalin nota dalam kelas, cuba bertanyakan
soalan kepada guru semasa dalam kelas. Tanya berkaitan dengan nota yang anda salin.
Dapatkannya jawapannya dan salin sebagai nota kaki kepada nota asal anda. Selain anda
mendapat lebih dari kelas anda, anda juga secara tidak langsung memberikan sumbangan kepada
seluruh rakan-rakan sekelas anda.

Selain mendapat ilmu, anda juga boleh elakkan daripada rasa mengantuk semasa dalam kelas dan
akan dalam keadaan terjaga.

3. Cantikkan Nota Di Rumah


Semasa anda mencatat nota dalam kelas, anda perlu utamakan catatan tersebut bukannya
kekemasan nota itu. Hal ini kerana kekemasan dan pemahaman boleh dibuat luar kelas, sebaik
sahaja kelas itu tamat.

Anda digalakkan untuk kemaskan segala nota-nota belajar anda pada hari yang sama kelas
tersebut dijalankan. Hal ini kerana apa yang anda belajar masih segar dalam ingatan, dan anda
boleh lengkapkan nota, jika terdapat mana-mana bahagian yang tertinggal.

Kaedah ini secara tidak langsung menggalakkan anda untuk mengulangkaji pelajaran.
Sesetengah orang lebih mudah untuk mengingat dengan banyak kali mengulang sesuatu.

4. Jadikan Belajar Lebih Menarik


Kenyataan yang logik ataupun yang biasa didengari kadangkala tidak memberikan tarikan
kepada anda, sebagai contoh “belajarlah rajin-rajin, nanti dapat keputusan yang baik, boleh pergi
ke universiti yang baik, lepas itu boleh kerja yang banyak gaji” – saya tak rasa menarik langsung
dengan kenyataan biasa itu.

Sebaliknya, anda perlu wujudkan sesuatu yang menarik kepada anda untuk belajar. Kaitkan apa
yang anda belajar dengan sesuatu yang anda suka. Mungkin langkah/kaedah ini agak sukar untuk
dipraktikkan, namun kebanyakan kes para pelajar lebih berminat untuk belajar.

5. Ulangkaji Subjek Yang Sukar Terlebih Dahulu


Semasa mengulangkaji pelajaran, mulakan dengan subjek yang anda rasa sukar terlebih dahulu.
Hal ini untuk memberikan seluruh tumpuan yang masih segar anda kepada subjek yang anda
perlu tekankan terlebih dahulu. Kemudiankan subjek-subjek yang anda rasa agak senang untuk
skor.

Semasa mengulangkaji, tekankan apa yang sangat penting dahulu. Fakta-fakta yang kecil itu
dikemudiankan pun boleh. Utamakan asas-asas dahulu.

Janganlah anda membaca buku teks dari muka depan ke muka akhir secara linear sahaja, dan
menghafal fakta-fakta yang anda dapat sepanjang jalan anda membacanya. Sebaliknya, daya
ingatan kita lebih kuat jika kita boleh mengaitkan fakta-fakta sesuatu. Selepas baca setiap bab,
cuba kaitkannya dengan satu sama lain. Senaraikan apa yang sama, apa yang berbeza, apa
kaitannya, dan sebagainya.

Bagi pelajar di universiti, pensyarah kadang-kadang ada menyatakan apa yang penting dan apa
yang perlu ditekankan. Oleh itu, anda perlu gunakan petua yang pensyarah anda bagi.

6. Fahami Definisi dan Maksud


Bagi sesetangah subjek, definisi ataupun maksud sesuatu perkataan sangat memainkan peranan
yang penting. Oleh itu, jika anda berhadapan dengan subjek yang banyak memerlukan anda
menghafal definisi sesuatu, anda perlu dapatkan pemahaman yang mendalam akan maksud
tersebut.

Jangan hafal semata-mata hafal, sebaliknya fahami apa yang hendak dimaksudkan dan cuba
membuat definisi perkataan tersebut dengan ayat yang anda sendiri. Anda akan sedari bahawa
anda akan lebih mudah untuk mengingati ayat yang diolah oleh anda sendiri.

7. Buat Kumpulan Belajar (Study Group)


Anda digalakkan untuk membentuk satu kumpulan belajar dimana anda semua boleh berkongsi
apa yang masing-masing dapat semasa menjalani kelas. Anda boleh bertukar- tukar nota, flash
card, latihan dan anda boleh mengajar ahli yang masih tidak mahir dalam mana-mana topik.

Anda boleh membahagikan ahli kumpulan untuk menerangkan mana-mana topik kepada semua
ahli. Lakukannya setiap kumpulan belajar setiap hujung minggu ataupun bila-bila masa yang
anda rasa selesa.

Namun, perlu ingat, banyak kumpulan belajar tidak berbuahkan hasil kerana sesetengah pelajar
tidak memberikan kerja sama yang baik. Oleh itu, sebelum membentuk kumpulan belajar,
pastikan anda membuatnya dengan ahli-ahli yang betul-betul berminat untuk belajar dan boleh
memberikan komitmen.

Tips Belajar Tambahan


1. Selain menghafal, anda perlu mengetahui/menguasai apa yang anda hafal tersebut, sehingga
anda boleh menerangkannya kepada rakan-rakan yang lain.

2. Belajar dengan orang yang rajin dan pintar boleh memberikan anda semangat. Seeloknya
jadikan mereka sebagai rakan belajar anda.

3. Berikan kekuatan untuk anda belajar dengan menonton video atau mendengar kata-kata
semangat.

4. Belajar satu subjek dalam sesuatu masa. Elakkan campur aduk dengan subjek yang lain.

5. Berikan rehat dan hadiah kepada diri sendiri setelah anda berhasil mencapai sesuatu, seperti
menyiapkan latihan ataupun mendapat keputusan yang cemerlang. Kadang- kadang anda pun
perlu bergembira.

6. Jangan menangguhkan kerja. Belajar dan ulangkaji pelajaran pada awal wakut untuk elakkan
daripada tidak sempat pada saat akhir.
7. Kebanyakan buku teks mempunyai chapter review pada permulaan topik. Jadikan ia sebgai
satu panduan akan apa yang anda perlu kuasai.

8. Pastikan anda faham konsep subjek/topik yang anda sedang pelajari. Jika tidak, anda akan
merasakan ianya tersangat sukar.

9. Sebelum masuk ke dewan peperiksaan, anda digalakkan untuk menyalin semula apa yang
anda ingat ke atas kertas putih.

10. Jangan lupa akan keberkatan ibu bapa dan para guru. Pastikan anda meminta mereka doakan
anda untuk mencapai keputusan yang baik.

Amaran
1. Jangan belajar ketika anda tertekan ataupun stress, kerana tidak akan berhasil. Usaha anda
akan sia-sia. Adalah terbaik jika anda hilangkan tekanan tersebut sebelum memulakan
ulangkaji/belajar.

2. Jangan belajar ataupun ulangkaji sehingga tidak menjaga kesihatan. Anda perlu mengamalkan
pemakanan yang sihat dan kerapkan bersukan semasa anda menuntut ilmu.

Kesimpulan
Belajar tiada akhirnya. Belajar tiada titik noktah. Oleh itu, anda perlu memanfaat apa yang anda
ada sekarang untuk belajar dengan sebaiknya, dan dapatkan keputusan yang berbaloi dengan
usaha yang anda curahkan.

Saya berharap panduan yang disenaraikan di atas dapat membantu anda dalam pembelajaran
anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan ataupun tambahan kepada senarai di atas,
bolehlah berbuat demikian di bahagian komen di bawah.

Anda mungkin juga menyukai