Anda di halaman 1dari 2

SIMANGGANG: Luluh hati Munah Agon melihat mayat dua anak perempuan dan

tujuh cucunya dikeluarkan satu demi satu dari kereta yang terjunam ke Sungai
Batang Lupar di pangkalan feri Triso, Beladin, Betong, semalam.

Munah, 58, sebelum itu menaruh harapan agar ada dalam kalangan mangsa terbabit
yang masih bernyawa, apatah lagi apabila melihat orang awam berusaha
memberikan bantuan pernafasan.

Namun, harapan beliau berkecai apabila dimaklumkan bahawa semua ahli keluarganya itu
disahkan telah meninggal dunia.

"Pada hari kejadian, kami menaiki dua kenderaan dari Kapit. Beberapa saat sebelum
insiden berlaku, saya keluar dari kereta yang dinaiki kerana hendak membuang air
kecil.

"Bagaimanapun, saya melihat kereta yang dipandu anak saya tiba-tiba meluncur laju
menghala ke arah feri.

"Saya tergamam apabila melihat kereta itu kemudian terjatuh ke dalam sungai. Saya
sangat terkejut kerana kejadian itu berlaku di depan mata sendiri," katanya ketika
ditemui pemberita di Rumah Mayat Hospital Sri Aman, di sini, hari ini.

Terdahulu, Munah berkata, salah seorang cucunya yang menaiki kereta sama
dengan sembilan mangsa terbabit, beralih ke kenderaan yang dinaiki beliau
bersama enam lagi ahli keluarga.

"Mujur cucu saya itu (Fatihah Najwa Mohamad Hamzah, 10) keluar dari kenderaan
terbabit dan masuk ke kereta yang saya naiki. Jika tidak, 10 ahli keluarga saya akan
menjadi mangsa kejadian berkenaan," katanya.

Menjelaskan lanjut, Munah berkata, mereka sekeluarga bertolak dari Kapit ke


Kuching, pagi semalam, untuk menghantar dua cucu perempuannya, Khairunnisa
Mohamad Hamzah, 14, dan Nor Shuhada Mohamad Hamzah, 16, yang akan
mengikuti pengajian di sebuah madrasah di Semariang.

Ketika memulakan perjalanan, anak Munah, Siti Aishah Abdullah memandu


kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang terbabit kemalangan itu.

Bagaimanapun ketika dalam pertengahan perjalanan, beliau berkata, seorang lagi


anaknya, Lorna Ting pula mengambil alih memandu sehingga tragedi itu berlaku.

Insiden kira-kira jam 3 petang semalam itu mengorbankan Lorna, 33, bersama dua
anaknya, Alvin Phang, 12, dan Wallace Phang, 7.

Turut terkorban ialah Siti Aishah, 36, bersama lima anaknya, Nor Shuhada,
Khairunnisa, Mohd Aiman, 7; Mohd Mustaqim, 5, dan Mohd Ahmad berusia empat
bulan.

"Saya masih tidak menyangka sembilan ahli keluarga akan pergi serentak selepas
suami meninggal dunia, baru-baru ini," katanya dengan nada sebak kepada Menteri
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta
Linggi, yang hadir menziarah di Rumah Mayat Hospital Sri Aman, hari ini.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit, turut menghulurkan bantuan kewangan untuk
menguruskan pengebumian semua mangsa.

Jenazah Siti Aishah bersama lima anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri
Aman, hari ini.

Mayat Lorna bersama dua anaknya pula dibawa balik ke Sibu, hari ini.

Sementara itu, suami Siti Aishah, Mohamad Hamzah Razali, 43, pula berkata Mohd
Aiman berkelakuan agak pelik dan memberitahu mereka akan mati, sehari sebelum
mereka bergerak ke Kuching.

"Saya berasa pelik apabila anak berkata seperti itu, malah kakaknya juga ada
menegur Mohd Aiman tetapi dia tersenyum saja selepas itu," katanya.

Mohamad Hamzah berkata, pemergian isteri bersama lima anak adalah dugaan
cukup berat kepadanya, namun beliau tetap reda.

"Itu ketentuan Ilahi. Saya menerimanya dengan tabah kerana ia memang


pengakhiran kehidupan kita.

"Kini, hanya tinggal dua lagi anak saya, iaitu Fatihah Najwa, 10, dan Mohd Imran,
13," katanya.

Anda mungkin juga menyukai