Anda di halaman 1dari 8

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi

bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan
saya sampaikan pada hari ini ialah Arnab Dengan Buaya.
        Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah seekor daripada arnab-arnab
itu sungguh cantik. Bulunya lebat, lembut dan putih melepak. Giginya pula tersusun rapi
dan putih berseri. Sahabat handai dan binatang-binatang lain di dalam hutan itu selalu
memuji kecantikan gigi arnab ini.
        Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu menjadi semakin sombong.
Ia mula berlagak seolah-olah ialah yang tercantik di dunia ini. Lama-kelamaan, haiwan-
haiwan lain mula menjauhkan diri daripadanya. Oleh kerana tiada sesiapa lagi yang suka
berbual dengannya, arnab itu selalu berjalan sendirian.
        Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Ia ternampak seekor buaya sedang
berjemur di tebing. Arnab berasa takut dan tidak berani mendekati buaya itu.
        “Hai Arnab, cantik sungguh gigi  ! Kalau gigi aku juga begitu cantik, sudah pasti
aku boleh menjadi raja di laut.” Kata buaya itu kepada arnab. Arnab berasa sungguh
gembira kerana sudah lama dia tidak mendengar pujian begitu.
“Bagaimana engkau menjaga kecantikan gigi kau tu?” Tanya buaya itu lagi. Arnab berasa
bangga dengan pujian itu. Sambil tersenyum, arnab berkata, “Engkau mesti banyak
makan sayur-sayuran dan jangan makan daging.”
Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. “Bolehkah engkau tolong periksa
gigiku. Gigiku sudah banyak yang rosak,” kata buaya lagi. Tanpa berfikir panjang, arnab
pun menghampiri buaya lalu memeriksa gigi buaya satu demi satu. Tanpa berlengah-
lengah lagi, buaya terus menutup mulutnya dan menelan arnab itu. Maka tamatlah
riwayat arnab yang mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek akal itu. Demikianlah
kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

        Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif
lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan
saya sampaikan pada hari ini ialah Penebang Kayu Dengan Anaknya.
        Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang penebang kayu yang miskin . Penebang
kayu itu mempunyai seorang bapa yang telah tua lagi uzur dan seorang anak. Pada suatu
hari, penebang kayu itu bercadang untuk menghantar bapanya ke dalam hutan dan
membiarkannya tinggal di situ.
        “Bagaimana nanti kalau jiran –tetangga kita menanya tentang ayah?” tanya isteri
penebang kayu.
        “Kamu beritahulah mereka yang dia tinggal di tokong untuk menghabiskan sisa-sisa
hidupnya,” kata penebang kayu itu. Penebang kayu dan isterinya tidak sedar bahawa
percakapan mereka telah didengari oleh anak mereka.
        Keesokan harinya, penebang kayu pergi ke pecan untuk membeli sebuah bakul yang
besar. Sebaik sahaja waktu senja, penebang kayu itu pun memasukkan bapanya ke dalam
bakul tersebut.
        “Apa yang kamu cuba lakukan?” tanya bapanya.
        “Ayah, kami tidak terdaya menjaga ayah kerana kami miskin dan sentiasa
sibuk.Kami ingin membawa ayah ke tempat yang selamat. Di sana, ayah akan dijaga
dengan baik,” kata penebang kayu itu sambil memikul bakul tersebut. Orang tua itu
berasa sedih dan mengerti maksud anaknya. Penebang kayu itu pun memikul ayahnya
berjalan kearah hutan.
        Sebelum bayang penebang kayu itu hilang daripada pandangan, anak penebang kayu
itu menjerit, “ Ayah, jangan lupa bawa balik bakul itu semula!”
        “Mengapa?” tanya penebang kayu itu kehairanan.
        “Ayah,” kata anak penebang kayu itu dengan lembut, “Apabila ayah tua kelak, saya
akan gunakan bakul itu untuk memikul ayah pula.”
        Kaki penebang kayu itu menggigil dan tidak boleh bergerak. Dia tunduk sambil
berfikir. Selepas beberapa ketika, dia pun berkata kepada anaknya. “Marilah kita pulang
ke rumah.”     
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima
kasih.
                                                  

         
          Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang
arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang
akan saya sampaikan pada hari ini ialah Puteri Sulung Dan Puteri Bongsu.
        Pada suatu ketika dahulu, Raja Ambun mempunyai puteri kembar yang amat cantik.
Puteri Bongsu yang begitu cantik dikatakan berdarah putih dan amat disayangi oleh raja.
        Kecantikan Puteri Bongsu yang berdarah putih telah sampai kepengetahuan Raja
Tinggi. Raja Tinggi pun menghantar rombongan untuk meminang Puteri Bongsu. Raja
Ambun menjadi serba salah. Kalau pinangan itu ditolak, tentu akan berlaku peperangan.
Tetapi, kalau pinangan itu diterima, baginda akan dukacita sepanjang hayat kerana
baginda amat kasih kepada Puteri Bongsu.
        Akhirnya, Raja Ambon telah menukarkan Puteri Bongsu dengan Puteri
Sulung. “Rancangan ini tentu berjaya,” kata seorang pembesar. “Raja Tinggi tidak pernah
melihat Puteri Bongsu. Kita suruhlah Puteri Sulung mengaku yang dia bernama Puteri
Bongsu,” Akhirnya pinangan Raja Tinggi itu pun di terima.
        Raja Tinggi pun berkahwin lah dengan Puteri Sulung yang disangkanya Puteri
Bongsu itu. Pada suatu hari, jari Puteri Sulung telah terluka akibat terkena pisau. Luka itu
berdarah dan darahnya berwarna merah. Raja Tinggi berasa terkejut kerana darah itu
tidak berwarna putih. 
         “Dinda mesti berkata benar, siapakah dinda sebenarnya?” tanya Raja Tinggi sambil
menghunus kerisnya. Puteri Sulung menggeletar. “ Adinda ialah kakak kepada Puteri
Bongsu,”
        Raja Tinggi amat murka. “Rupa-rupanya beta telah ditipu! Kita akan serang negeri
Ambun,” kata Raja Tinggi dengan garangnya.
        Akhirnya, Raja Tinggi pun menghantar tentera untuk menundukkan negeri Ambun.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima
kasih.

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan
saya sampaikan pada hari ini ialah Ampai-ampai Dan Puteri Laut.
        Pada zaman dahulu, ada seorang hamba Raja Laut yang sangat setia kepada rajanya.
Namanya Ampai-ampai. Ampai-ampai telah ditugaskan oleh raja untuk menjaga puteri
baginda yang sangat cantik.
        Pada suatu hari, puteri itu pergi bermain-main di tepi pantai bersama beberapa orang
dayang. Pada ketika itu sebuah kapal besar yang dimiliki oleh seorang putera raja yang
kacak telah berlabuh di tepi pantai itu. Putera raja terpesona melihat kecantikan puteri
Raja Laut. Puteri Raja Laut pun demikian juga apabila terlihat putera raja yang gagah
perkasa dan kacak itu.
        Putera raja telah memujuk puteri Raja Laut supaya menaiki kapalnya yang sedang
berlabuh itu. Setelah memberi isyarat kepada dayang-dayangnya, puteri itu pun naik ke
kapal putera raja. Putera raja mengerahkan kelasi-kelasinya supaya menaikkan layar  dan
segera belayar meninggalkan pantai itu.
        Pada waktu itu, Ampai-ampai baru tersedar. Dia berlari menuju ke pantai tetapi
kapal itu sudah pun  meninggalkan pantai. Ampai-ampai pun pulang ke istana lalu
menceritakan kejadian itu kepada Raja Laut.
        Raja Laut sangat murka. Baginda mengambil sebatang kayu lalu memukul
tubuh Ampai-ampai sehingga remuk dan hancur tulangnya. Setelah itu Raja Laut
menbuangkan Ampai-ampai ke tepi laut.
        “Engkau jangan naik ke darat sebelum puteri beta pulang kepada beta,” titah
baginda.
        Ampai-ampai dilanda ombak ke sana sini dan akhirnya tersangkut pada ranting-
ranting kayu di tepi pantai. Itulah sebabnya Ampai-ampai tidak bertulang hingga
sekarang ini dan sepanjang masa tersidai pada ranting-ranting kayu di gigi air. Kononnya,
dia akan menunggu di tempat begitu sehingga Puteri Raja Laut itu lalu di situ dan pulang
kepada ayahandanya. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.
Sekian, terima kasih.
 Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi
bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan
saya sampaikan pada hari ini ialah Perempuan Muda Yang Berani.
        Pada suatu masa dahulu, negeri Tiku diperintah oleh Raja Tua. Baginda telah
menyuruh rakyatnya membuat sebuah perahu yang besar. Setelah perahu itu siap, baginda
pun telah mengadakan upacara untuk melancarkan perahu itu ke laut. Rakyat negeri itu
telah dikerahkan untuk menolak perahu ke laut tetapi anehnya perahu itu sedikit pun tidak
bergerak dari tempatnya. Raja Tua sangat hairan lalu memanggil anak angkatnya Balun
yang tahu akan bermacam-macam ilmu.
        Balun pun mengambil dupa dan mengasap kemenyan. Setelah jampi dibaca dan
seluruh perahu diasapnya, Balun pun berkata “ Perahu ini tidak akan dapat diturunkan
jika tidak digalang dengan tubuh manusia. Tetapi yang menjadi galangan itu mestilah
anak atau saudara tuanku. Orang lain tidak boleh!”
        Mendengar kata-kata Balun itu, semua orang menjadi gempar. Tidak ada seorang
pun anak kerabat raja yang hendak mengorbankan nyawanya untuk pelancaran perahu
tersebut.
        Dalam keadaan hiruk pikuk itu, seorang perempuan muda yang sedang mengandung
tampil ke hadapan perahu. Dia ialah anak saudara kepada Raja Tua. Perempuan muda itu
berbaring di atas tilam dan bantal yang dibentangkan di haluan perahu. Semua rakyat dan
kerabat diraja menangis melihatkan perempuan muda yang begitu berani mengorbankan
nyawanya demi kepentingan Raja Tua.
        Apabila semua sudah sedia, Balun pun mengambil tujuh batang lidi dan rapat
ke perahu itu. Setelah membaca jampi, perahu itu pun ditolak ke laut. Sekali lagi telah
berlaku keanehan. Dengan mudah, perahu itu dapat ditolak ke dalam air.
        Semua orang yang berkumpul bersorak kegembiraan. Raja Tua berlari-lari
mendapatkan anak saudaranya dan mendapati anak saudaranya itu tidak mendapat apa-
apa kecederaan. Oleh kerana keberaniannya, Raja Tua telah menurunkan semua harta
pusaka kepada anak saudara perempuannya itu.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

       Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif
lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan
saya sampaikan pada hari ini ialah Harimau Yang Tamak.
        Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada penghuni rimba
bahawa mereka boleh menyembahkan satu kehendak mereka kepada baginda. Binatang-
binatang dalam hutan itu pun mengadap Maharaja Singa. Masing-masing membawa
permintaan. Tiap-tiap permintaan itu dikabulkan oleh baginda.
        Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu, timbullah rasa tamak di
hati harimau. “Aku mesti minta supaya rezeki aku lebih murah daripada sekarang. Aku
tidak mahu makan tiga kali sehari. Sebaliknya aku mahu makan tujuh kali sehari. Kalau
aku dapat makan tujuh kali sehari, tentulah aku akan lebih kuat daripada Singa.”
        Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap Maharaja Singa.
        “Hah! Engkau datang juga, Harimau?” tegur Singa. “Apakah kehendak engkau?”
Harimau terkejut mendengar suara Singa yang bengis itu. Hatinya berdebar-debar.
        “Patik… Patik mahu makan tujuh… tujuh …” kata Harimau tergagap-gagap.
        “Tujuh apa?” sergah Maharaja Singa lebih keras.
        “Tujuh hari sekali!” jelas Harimauu terketar-ketar.
        “Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan kabulkan
permintaan engkau. Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki tujuh haru sekali,” kata
Singa.
        Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia hendak mengatakan tujuh
kali sehari tetapi dia telah tersebutkan tujuh hari sekali. “ Tuanku…Patik…Patik…”
        “Sudah!” potong Maharaja Singa. “Tiap-tiap binatang hanya boleh mengemukakan
satu permohonan sahaja. Permohonan engkau tadi telah pun beta kabulkan.
        Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali. Itulah sebabnya perut
Harimau selalu kempis dan badannya tidak bermaya. Demikianlah kawan-kawan
berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih

Arnab Belajar Memanjat

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis,
barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Nama saya
Nur Qistina Darwisyah binti Malik Ridhuan. Saya akan menyampaikan sebuah cerita
yang bertajuk Arnab Belajar Memanjat.

Batu Delima Intan Permata


Dijadikan orang barang perhiasan
Dengarlan kawan cerita saya
Apa yang baik jadikan teladan

Di dalam sebuah hutan , tinggal seekor arnab bersama kawan baiknya si anak beruang.
Mereka selalu bermain bersama-sama. Arnab suka menyanyi.

Riang hatiku badan bertuah


Punya kawan yang baik hatinya
Senang melihat aku ketawa
Ke mana saja selalu bersama
La lalalalalalala 2x

Pada suatu hari kawan-kawan , arnab masuk ke dalam hutan. Dia terlihat beberapa ekor
monyet sedang bergayut dari pokok ke pokok dengan bebasnya.

‘Alangkah seronoknya kalau aku dapat memanjat seperti monyet-monyet itu’, fikir arnab.

Arnab memberitahu si anak beruang keinginannya untuk memanjat pokok. Si anak


beruang tidak bersetuju.
‘Arnab, arnab, kamu hanya boleh melompat arnab’, kata si anak beruang.
‘Ah, saya tidak peduli, saya boleh memanjat’ kata arnab. Dia tidak mempedulikan nasihat
rakannya. Dia memanjat sebatang pokok yang tinggi.

‘Cukuplah tu arnab, jangan panjat tinggi-tinggi, nanti kamu jatuh, turun arnab, turun’,
kata si anak beruang.

‘Saya boleh memanjat lebih tinggilah, anak beruang’’, kata arnab. Dia terus memanjat ke
dahan yang paling tinggi. Tiba-tiba arnab memandang ke bawah. Dia berasa amat takut
lalu menjerit.
‘Tolong, tolong, tolonglah turunkan saya’, teriak arnab. ‘Bertenang arnab, bertenang ,
jangan pandang ke bawah. Kamu turunlah perlahan-lahan. Yakin boleh arnab, yakin
boleh’ kata anak beruang. Sambil menggigil arnab turun perlahan-lahan.

Tiba-tiba, kawan-kawan tahu apa yang terjadi. Arnab terjatuh ke bawah. Dia berasa amat
sakit lalu mengaduh. “Aduh, sakitnya badan saya’, kata arnab.
‘Arnab, arnab. Lain kali dengarlah nasihat saya , jangan buat perkara yang kamu tidak
mampu’, kata si anak beruang.

Kawan-kawan , pengajaran yang dapat diambil dari cerita ini ialah, pertama jangan buat
perkara di luar kemampuan kita, kedua orang yang degil dan tidak mahu mendengar
nasihat pasti akan menyesal dan ketiga dengarlah nasihat untuk kebaikan diri kita ya.
Sekian dari saya jumpa lagi kawan-kawan.

Belalang Yang Insaf

Assalamualaikum dan salam satu Malaysia. Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis,
barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Nama saya
Muhammad Faiz Zikry b. Othman. Saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk
Belalang Yang Insaf
Dengar ya kawan-kawan.

Di dalam sebuah taman bunga, terdapat seekor belalang yang suka sangat menyanyi dan
menari. Tiap-tiap hari belalang menyanyi dan menari bersama rakan-rakannya seperti
rama-rama, lebah dan semut.

Riang sungguh hatiku


Gembira tiap waktu
Menyanyi dan menari
Bersama rakan sejati
Riang sungguh hatiku
Gembira tiap waktu

Begitulah kawan-kawan, belalang menghabiskan masanya sepanjang hari. Sambil menari,


ia melompat dari satu pokok ke satu pokok yang lain.

Pada suatu hari kawan-kawan, belalang mengajak rakan-rakannya bermain tetapi rakan-
rakannya sibuk mencari makanan sebelum hujan turun.

‘Hai belalang, tahukah kamu, tak lama lagi hujan akan turun, marilah sama-sama kita
mencari makanan,’ kata lebah.

‘Ah, aku tak percayalah, kamu ni takut sangatlah‘ kata belalang. ‘Janganlah begitu, nanti
kamu juga yang susah,’ kata semut. ‘Sudah, sudah , pergi dari sini, jangan ganggu aku,’
kata belalang sambil berlalu dari situ. Belalang tidak mempedulikan nasihat rakan-
rakannya. Apabila penat, belalang pulang ke rumah dan tidur . Tiba-tiba hujan turun
dengan lebatnya. Belalang terjaga dan berasa amat lapar.

‘Aduh laparnya perutku,’kata belalang. Ia terfikir untuk mencari makanan apabila hujan
berhenti. Belalang terus menyambung tidurnya. Tidak lama kemudian belalang terjaga
kerana berasa amat lapar namun hujan masih belum berhenti. ‘Tolong, tolong , saya
lapar,’ belalang menjerit dengan sekuat hati namun jeritannya tidak didengari .

Akhirnya belalang jatuh sakit. Apabila hujan berhenti, rakan-rakan belalang keluar dari
sarang dan mencari belalang. Alangkah terkejutnya mereka apabila melihat keadaan
belalang yang lemah tidak bermaya.

‘ Sabar belalang, sabar, jangan bimbang, nanti saya ambilkan makanan,’ kata lebah.
Akhirnya belalang sembuh dan sihat semula. Dia berasa amat malu dan insaf terhadap
apa yang terjadi.

Begitulah kawan-kawan , kisah belalang yang insaf. Pengajaran daripada cerita ini ialah
pertama kita hendaklah mendengar nasihat untuk kebaikan diri kita, kedua sikap rajin
membawa kebaikan dan sikap malas membawa keburukan. Ingat tu kawan-kawan.
Sekian dari saya . Jumpa lagi kawan-kawan.

Anda mungkin juga menyukai