Anda di halaman 1dari 2

PRINSIP HIDUP

Masihku ingat akan peristiwa hitam yang berlaku tiga tahun lalu. Ketika itu aku dalam
tahun enam. Tidak banyak perkara yang aku fikirkan pada usia itu, selain hendak terus belajar
seperti yang sering dinasihatkan oleh ayah dan ibuku. Aku tidak langsung memikirkan tentang
betapa susahnya ibu dan ayah mencari nafkah untuk menyara hidup kami sekeluarga dan
membiayai persekolahan aku serta adikku.

Ayahku nelayan. Awal-awal pagi ayahku telah turun ke laut untuk menangkap ikan. Ayah
amat sayang akan aku dan adikku. Tidak ada satu permintaan kami pun yang tidak dipenuhi
oleh ayah. Pagi itu, aku berasa amat gembra kerana ayah telah berjanji untuk membeli sebuah
basikal untukku sebaik-baik sahaja dia endapat wang daripada menjual hasil tangkapannya.
Sebelum ayah turun ke laut, aku sempat mencium tangannya. Ayah memandang aku sambal
berpesan agar aku belajar dengan rajin dan menjaga ibu serta adikku dengan baik. Aku hanya
tersenyum sambal mengingatkan ayah akan janjinya. Setelah mencapai bekalan yang dihulurkan
oleh ibu, ayah melangkah ke beranda sebelum menghilang dalam kegelapan awal pagi.

Aku tertunggu-tunggu akan kepulangan ayah sepanjang hari itu. Aku tidak dapat
menumpukan perhatian terhadap pelajaranku di sekolah apabila mengenangkan basikal baharu
yang akan aku tunggang nanti. Aku pulang ke rumah pada tengah hari itu dalam keadaan
tergesa-gesa. Tidak sabar aku menunggu kepulangan ayah. Walau bagaimanapun, aku mulai
cemas apabila ayah tidak juga pulang menjelang senja. Ibu juga kulihat gelisah bagai kucing
kehilangan anak. Ternyata penantianku sia-sia. Hingga hari ini ayah masih tidak pulang. Aku
tidak dapat melupakan rintihan ibu apabila ayah tidak kunjung kembali. Jiran tetangga kami
memujuk tanpa jemu. Usaha mencari ayah selama berhari-hari oleh pelbagai pihak ternyata
tidak membuahkan hasil.

Hingga hari ini aku masih meyalahkan diri sendiri kerana tidak prihatin kesusahan ayah.
Ibu sering menasihati aku supaya berdoa agar ayah kembali ke pangkuan kami semula.

Kini, ibulah yang menjadi ketua keluarga. Untuk menampung keluarga, ibu berjualan
kuih dan mengambil upah menjahit pakaian. Di samping itu, kami turut menerima bantuan
kewangan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal dan penduduk kampong
yang prihatin. Aku akan terus tekun belajar seperti yang dinasihatkan oleh ayah kerana
kecemerlangan dalam pelajaran sahaja yang dapat menghilangkan rasa bersalahku terhadap
ayah.

Aku tersedar daripada lamunan. Sambil mengesat air mata, aku menanamkan suatu
tekad. Sebagai manusia, kita harus sentiasa sabar menghadapi dugaan hidup. Prinsip inilah yang
akan kupegang sepanjang hidupku.
Sudut kata:

 Rintihan – kesedihan yag dilahirkan dengan kata-kata, jeritan, keluhan, dan ratapan.

 Baitulmal – perbendaharaan atau tempat simpanan harta benda negara.

 Bagai kucing kehilangan anak – orang yang hilang akal atau kebingungan.

Anda mungkin juga menyukai