Anda di halaman 1dari 7

Bahasa Melayu Standard

BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA (TINGKATAN 5)

1. Maka kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, “Tuan Tun Perak,
segala orang Kelang ini menghadap baginda mengadukan halnya ke bawah Duli Yang
Dipertuan.”
Genap tiga hari Seri Amerta berkata itu, maka barulah disahuti oleh Tun Perak,
katanya, “Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba sebilah itu juga,
hendaklah baik-baik tuan hamba peliharakan, jangan diberi berkarat, jangan
kemakanan matanya. Akan pekerjaan kami orang bekerja ini, di mana tuan hamba
tahu?”

Bentara bernama Seri Amerta memberitahu kepada Tun Perak, “Tuan Tun
Perak, semua orang Kelang menghadap Duli Yang Dipertua untuk membuat
laporan kepada baginda.”
Setelah tiga hari Seri Amerta berkata begitu, barulah Tun Perak menyahutnya,
“Seri Amerta, awak lebih baik menjaga pekerjaaan awak sendiri. Jika itu
pekerjaan saya, bagaimana awak boleh lebih tahu?”

2. Syahadan, maka berkenan Sultan Muzaffar Syah mendengar kata Tun Perak itu. Pada
hati baginda, “Adapun Tun Perak ini tidaklah patut jadi bentara lagi, patut jadi
Perdana Menteri.”
Maka digelar baginda Paduka Raja, disuruh duduk di seri balai setara Seri Nara Diraja.

Sultan Muzaffar Shah bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Tun
Perak. Dalam hatinya, “Tun Perak tidak patut dijadikan bentara lagi, tetapi
lebih sesuai dijadikan Perdana Menteri.”
Dengan itu, dia telah menerima gelaran Paduka Raja yang bekerja di seri balai
setaraf dengan Seri Nara Diraja.

3. Hatta, maka pada sekali peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai, dihadap orang
banyak. Maka Tun Nina Madi pun lalu, disuruh naik duduk dekat, lalu diribanya oleh
Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja pada segala orang yang duduk itu,
“Tahukah tuan hamba sekalian bahawa ia ini anak hamba?”
Maka sembah segala orang banyak itu, “Sahaya semua tahu juga; oleh tuanku tiada
mengaku, sahaya semua takut mengatakan dia anak tuanku.”

Sebuah peristiwa berlaku apabila Seri Nara Diraja sedang duduk di balai
bersama kerabatnya, Tun Nina Madi yang sedang berjalan disuruhnya untuk
duduk di pangkuannya. Setelah itu, Seri Nara Diraja bertanya kepada
kerabatnya, “Adakah kamu semua tahu akan bahawa Tun Nina Madi
merupakan anak saya?” Mereka menyahut dengan berkata, “Ya, kami tahu
akan perkara itu, namun disebabkan tuanku tidak melakukan sebarang
pengakuan, kami takut untuk mengatakannya.”

4. Maka baginda pun menyuruh memanggil Seri Nara Diraja; maka dia pun hadirlah.
Maka titah Sultan Muzaffar Syah, “Mahukah Seri Nara Diraja beristeri?”
Maka sembahnya, “Jikalau ada kurnia Duli yang Dipertuan, baiklah, tuanku.”
Maka titah baginda, “Mahukah Seri Nara Diraja akan Tun Bulan, anak Orang Kaya
Hitam?”
Maka sembahnya, “Mohon patik tuanku.”
Maka titah baginda, “Mahukah akan Tun Rakna Sandari, saudara Paduka Raja itu?”

Seri Nara Diraja hadir apabila sultan menyuruh seseorang untuk memanggilnya
masuk menghadap. Sultan menitah kepadanya, “Seri Nara Diraja, adakah kamu
ingin mempunyai isteri?”
Lalu dia bersembah, “Sekiranya Duli yang Dipertuan memberikannya, baiklah
saya terima, tuanku.”
Baginda bertitah lagi, “Adakah kamu berkenan dengan Tun Bulan, anak kepada
Orang Kaya Hitam?”
Seri Nara Diraja bersembah, “Saya mohon tuanku mempertimbangkan lagi.”
Maka, baginda bertitah, “Adakah kamu berkenan dengan Tun Rakna Sandari,
saudara kepada Paduka Raja?”
5. Maka kata segala anak buah Seri Nara Diraja, “Bagaimana maka datuk hendak
beristeri muda, kerana datuk sudah tua, dan bulu mata dengan bulu kening sudah
bertemu?”
Maka kata Seri Nara Diraja, “Di mana kamu sekalin tahu? Jikalau demikian sia-sialah
culi dibeli oleh bapaku sekati emas di benua Keling itu?”
Dan telah sudah lepas lidah, maka Seri Nara Diraja pun bernikah dengan Tun Kudu.
Maka menjadi muafakatlah Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, menjadi berkasih-
kasihan seperti saudara sejalan jadi.

Kesemua anak buah Seri Nara Diraja berkata, “Bagaimana datuk hendak
beristeri sedangkan datuk sudah tua.” Seri Nara Diraja menyahut,
“Bagaimanakah kamu sekalian boleh tahu? Sekiranya betullah yang kamu
katakan, maka sia-sia sahaja culi yang dibeli oleh bapaku dengan sekati emas di
benua Keling itu.”
Selepas itu, Seri Nara Diraja menikah dengan Tun Kudu, menjadikan
persaudaraannya bersama Paduka Raja semakin erat dan muafakat.

6. Telah dipandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya, maka kata
hulubalang Siam, “Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tiada terbilang lagi.
Jikalau ia datang apa hal kita? Sedang sebuah perahunya tadi lagi tiada terlawan oleh
kita.”
Maka kata Awi Dicu, “Benarlah seperti kata kamu itu; marilah kita kembali sementara
belum siang ini.”

Apabila tentera Siam melihat betapa maraknya api, hulubalang Siam berkata,
“Jumlah dan kelengkapan perahu Melaka tidak dapat kita tandingi. Apa yang
dapat kita lakukan jikalau ia datang menyerang kita? Sedangkan walaupun
cuma sebuah perahu sahaja, kita tidak dapat terlawan.”
Maka Awi Dicu berkata, “Betul apa yang kamu katakan; sebaiknya kita pulang
sementara belum siang.”
KEPIMPINAN MELALUI TELADAN (TINGKATAN 4)

1. Setelah sudah Kertala Sari datang ke rumahnya, maka ia pun bertanya kepada ibunya,
“Hai ibuku, ke mana pergi bapaku maka tiada aku lihat ini?”
Setelah sudah ibunya mendengar kata anaknya demikian itu, maka ibunya pun
menangis, seraya berkata, “Hai anakku, yang bapamu itu sudah mati dibunuh oleh
seorang Melayu bernama Laksamana Hulubalang Ratu Melaka.”
Setelah Kertala Sari mendengar kata ibunya demikian itu, maka Kertala Sari pun
terlalu marah, katanya, “Siapa menyuruh membunuh bapaku itu supaya negeri
Majapahit ini habis kubinasakan?”

Setibanya Kertala Sari di rumah, dia bertanya kepada ibunya,


“Wahai ibu, saya tidak melihat bapa, ke manakah beliau pergi?”
Apabila si ibu mendengar persoalan anaknya, dia menangis lalu berkata “Wahai
anak, bapamu telah mati dibunuh oleh orang Melayu bernama Laksamana
Hulubalang Ratu Melaka.”
Setelah dia mendengar pengakuan ibunya, dengan perasaan marah dia katakan,
“Akan aku hancurkan negeri Majapahit itu, sehingga aku berjumpa dengan
orang yang mengupahkan bapaku dibunuh”.

2. Berapa lamanya maka Kertala Sari pun sampailah ke Melaka. Maka ia pun singgah di
luar kota pada kampung segala Jawa. Maka Kertala Sari pun menyamarkan dirinya
kepada segala Jawa banyak itu. Maka Kertala Sari pun sedia kala berjalan keluar
masuk bermain-main segenap kampung orang kaya-kaya dan saudagar.

Setelah beberapa lamanya dalam perjalanan, maka Kertala Sari tiba di Melaka.
Dia singgah di luar kota, iaitu di tempat kampung orang Jawa. Kertala Sari
menyamar sebagai orang Jawa yang tinggal di situ. Dengan itu, dia dapat
berjalan keluar masuk di kampung orang-orang kaya dan saudagar.

3. Maka Kertala Sari pun masuk mencuri pula sebuah rumah saudagar yang lain. Setelah
sudah banyak ia beroleh harta, maka ia pun kembali pada tempatnya pula. Dengan
demikian habislah segala harta saudagar yang kaya-kaya itu dicurinya.
Kertala Sari masuk mencuri di sebuah rumah saudagar. Setelah dia sudah puas
mengaut harta benda saudagar itu, dia kembali ke tempatnya. Habis semua
harta saudagar kaya tersebut dia curi.

4. Maka baginda pun bertitah kepada Temenggung, “Hai Temenggung, suruh orang
berkawal dan segala saudagar berkawal pada kampungnya!” Maka Temenggung pun
menyuruhkan orangnya berkisah orang kaya-kaya dan saudagar berkawal pada
kampungnya. Setelah hari malam, maka Temenggung pun menyuruh orangnya
berkawal,terlalu banyak dengan lembing perisai dan segala saudagar pun masing-
masing berkawal pada kampungnya.

Sultan bertitah kepada Temenggung, “Wahai Temenggung, perintahkan


pengawal dan semua saudagar berkawal di kampung mereka!” Maka
Temenggung pun menyampaikan titah tersebut kepada orang-orang kaya dan
saudagar yang terlibat untuk berkawal di kampung mereka. Setibanya waktu
malam, Temenggung menugaskan orangnya berkawal dengan lembing perisai
dan kesemua saudagar pun masing-masing berkawal di kampung mereka.

5. Setelah hari pun siang maka orang kaya-kaya itu pun datang menghadap raja
mengadukan halnya kecurian semalam itu. Maka baginda pun hairan serta bertitah
pada Temenggung, “Hai Temenggung tiadakah menyuruhkan orangnya berkawal
tadi?”
Maka sembah Temenggung, “Daulat tuanku Syah Alam, patik menyuruh orang
berkawal semalam tadi, seorang pun tak bertamu.

Tibanya waktu pagi, orang-orang kaya datang menghadap sultan untuk


mengadu hal kecurian yang berlaku di rumah mereka semalam. Baginda berasa
hairan lalu bertitah kepada Temenggung, “Wahai Temenggung, adakah kau
tidak menyuruh orang untuk berkawal semalam?” Temenggung menjawab,
“Daulat tuanku Syah Alam, saya menugaskan mereka berkawal tetapi seorang
tidak bertemu dengan pencuri itu.”
6. Maka titah baginda, “Hai kekasihku Laksamana, datanglah bala ke atas negeriku dan
banyaklah orang aku kecurian; masing-masing mengadukan halnya pada kita.”
Maka sembah Laksamana, “Daulat tuanku, mohonkan ampun dan kurnia; adapun
penjurit ini bukan penjurit negeri ini, penjurit negeri lain.”
Maka titah baginda. “Apatah sebabnya maka dapat dicurinya oleh penjurit itu?”

Sultan bertitah, “Wahai Laksamana, negeriku ditimpa bala dan banyak kes
kecurian berlaku kepada orang-orangku, mereka semua datang mengadu
kepadaku.”
Laksamana berkata, “Daulat tuanku, mohon ampun dan kurnia, pencuri ini
bukan dari negeri kita, tetapi dari negeri lain.”
Dengan itu, sultan pun bertitah, “Apakah sebab pencuri itu berlaku demikian?”

7. Setelah hari malam maka Kertala Sari pun masuklah ke dalam kota. Maka
didengarnya bunyi orang berkawal dan bunyi lembing perisai gemertak. Maka Kertala
Sari pun membaca pustakanya lalu ia berjalan pada tengah orang banyak itu lalu
masuk ke rumah Bendahara. Maka dicurinya harta yang kemas-kemas lalu dibawanya
kembali.

Setibanya waktu malam, Kertala Sari pergi ke kawasan kota. Dia mendengar
bunyi pengawal dengan lembing perisai mereka. Maka, dia membaca mantera
yang membolehkannya berjalan masuk tanpa mereka sedari dan menyelinap ke
rumah Bendahara. Lalu, dia mencuri semua harta barang kemas dan dibawa ke
tempatnya.

8. Maka sembah Laksamana. “Pada firasat patik, pada malam itu datang pula penjurit itu
ke istana kita ini.”
Maka titah raja, “Apa bicara kita supaya penjurit itu tiada beroleh masuk ke istana
ini?”
Maka sembah Laksamana, “Daulat tuanku, ada suatu perbuatan; hikmat itu daripada
penjurit yang tahu patik peroleh.”

Laksamana berkata, “Pada firasat saya, pada malam ini pencuri itu akan datang
ke istana pula.”
Dengan itu, Sultan bertitah, “Apa yang harus kita lakukan supaya pencuri itu
tidak masuk ke istana ini?”
Maka Laksamana berkata, “Daulat tuanku, ada suatu perkara yang dapat
dilakukan, saya mendapat tahu berdasarkan perlakuan pencuri itu.”

9. Maka titah raja pada Tun Kasturi, “Pergilah Bentara menghadapi orang mengangkut
segala harta dan kerahkan segala orang mengangkut harta itu.”
Maka Bentara pun menyembah lal pergi dengan rakyat mengangkut segala harta itu di
Bukit Cina. Maka harta itu pun terlalu banyak. Maka segala harta itu ditimbunkan di
halaman balairung itu, tujuh hari tujuh malam berangkut segala harta itu.

Raja menitahkan Tun Kasturi, “Bentara pergi engkau mencari orang


pengangkat harta dan suruhlah mereka mengangkat harta itu.”
Dengan itu, Bentara pergi bersama mereka yang boleh mengangkat semua harta
ke Bukit Cina. Namun, jumlah harta itu terlalu banyak. Semua harta itu
ditimbunkan di halaman balairung dan memakan masa selama tujuh hari tujuh
malam untuk mengangkat kesemua harta itu.