Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan
ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme.
Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka? Tidak
pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh mereka lakukan
khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu
pengetahuan. Namun begitu, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding
bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara kata “yang buruk
dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan muafakat” untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu,
sebagai seorang pelajar dan remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan amalan membaca
itu amalan hidup.
Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya perlulah rajin pergi ke
perpustakaan. Marcapada, Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di negara ini terdapat pelbagai jenis
perpustakaan, tamsilnya perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di perpustakaan yang
dikunjungi, saya dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan
sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca walaupun memaklumi bahawa perpustakaan yang dipenuhi
dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak mungkin dapat diteroka. Walaupun sekadar membaca sebuah
buku seminggu, dapat saya rasakan ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan
lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di Malaysia. Selain
dapat menyemai minat membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan teknologi yang terdapat di situ bertepatan
dengan kata peribahasa sambil menyelam minum air. Ternyata pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya
akan sentiasa terdorong untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.
Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, amat bersesuaian untuk
saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan membaca. Kata-kata hikmat di atas akan diperjelaskan serta
dibahaskan dari perspektif menyediakan sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri. Suka saya tegaskan bahawa perubahan diri
sendiri merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab untuk menjadikan membaca sebagai amalan dalam kehidupan.
Demi memupuk budaya membaca dalam jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah
untuk kegunaan semua ahli keluarga. Situasi ini akan menggalakkan serta mendorong kami sekeluarga supaya berjinak-jinak
dengan bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan dalam minda setiap anggota keluarga. Sementalahan itu, saya perlu
membeli pelbagai judul buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di samping mengamalkan budaya “bed story” sebelum
tidur. Neville Black, seorang ahli falsafah Barat, berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah aset yang paling dominan
sekiranya kita ingin bersaing dengan pihak lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan,
saya akan membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas pertama. Berdasarkan
perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan membaca dalam diri sekali gus menjadi suri teladan
kepada adik-adik saya.
Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca. Hal
ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini,
saya perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku
NILAM. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak, emas
dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat
daerah, negeri dan kebangsaan. Dalam program ini juga terdapat tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca berfungsi untuk
menarik minat pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya pelajar lain juga akan turut sama
menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup mereka. Apa yang pasti, segala keinginan untuk
meningkatkan jumlah bahan bacaan yang dibaca perlu lahir daripada diri saya tanpa wujud paksaan daripada pihak lain.
Dalam hal ini, saya amat berpegang kepada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib
seseorang, sekiranya seseorang itu sendiri tidak mahu mengubahnya.
Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana, saya akan
mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam pameran-pameran seperti inilah saya dapat membeli buku dengan harga yang
murah dan berpatutan dan membaca buku secara percuma di tempat-tempat yang disediakan di pameran tersebut. Terdapat
juga ruang-ruang khas yang disediakan di sudut maklumat di pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsisi buku-buku
yang dijual. Dengan ini, saya dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut sebelum membuat pilihan untuk
membelinya. Justeru, saya bukan sahaja dapat membaca secara percuma, malah dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga.
Dengan mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau kedai buku, saya akan mengenali lebih ramai rakan yang berkongsi
minat yang sama iaitu membaca. Peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan amat bersesuaian dengan perkara dan situasi
yang saya bincangkan di atas.
Seterusnya, saya juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-buku atau majalah yang dilanggan
bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga bercorak santai seperti Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi. Di
manakah saya boleh mendapatkan buku atau majalah tersebut? Saya boleh melanggannya melalui internet atau meminta
bantuan guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya, saya akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa
1
dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Dalam hal ini, saya akan
menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said
yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis novel
tersohor, Sharifah Abu Salem. Apabila saya menjadikan mereka sebagai idola, saya akan sentiasa terdorong untuk
melanggan pelagai buku di pasaran sekali gus menjadikan membaca sebagai rutin hidup saya.
Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi perkembangan dan kemajuan dengan
menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian, untuk
meneruskan perjuangan kita merealisasikan hasrat membentuk ”negara pembaca teras negara maju’. Saya juga berperanan
penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang rakyat yang minat membaca. Pada dasarnya, media massa
sebagai arus perdana yang berpengaruh sama ada media cetak atau media elektronik sentiasa mengadakan pertandingan atau
aktiviti malahan kempen kesedaran di seluruh pelosok negara untuk memupuk minat membaca dalam masyarakat. Oleh hal
yang demikian, saya perlu menyertai aktiviti seperti sayembara, menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk menanam
tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli keluarga untuk menyertai
kempen ”Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan” bersama-sama. Hal ini diibaratkan sambil menyelam minum air dan
serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.
Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja
adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana bertepatan dengan kata-kata pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah dibiarkan usia remaja dipenuhi dengan perkara yang sia-sia.
Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu
berpegang teguh dan jitu dengan slogan ’Membaca Jambatan Ilmu’ dan ’Rakyat Membaca, Bangsa Berjaya’ seperti yang
diuar-uarkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak. Generasi berpengetahuan merupakan tunjang
untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam tempoh lapan tahun mendatang.
Selari dengan maksud peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kini Malaysia sedang bergerak seiring
dengan arus globalisasi yang membawa kepada kemajuan pembangunan dan perubahan besar dalam masyarakat. Rentetan
dengan perkembangan tersebut, masyarakat hari ini lebih terdedah kepada alam siber sehingga memberikan kesan kepada
komunikasi serta cara berinteraksi dalam masyarakat. Lantaran itu juga, masyarakat seakan-akan lupa akan pelbagai puisi
tradisional yang merupakan warisan pusaka masyarakat silam. Sebagi contoh, amalan berpantun mula dianggap remeh,
dipandang enteng serta mula disisihkan daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi
bubur, semua pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik lagi efektif bagi mempopularkan puisi tradisional
bersesuaian dengan kata peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Prakarsa yang berkesan untuk
mempopularkan puisi tradisional patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi memastikan genre tersebut tidak
terkubur begitu sahaja.
Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan dan mempopularkan puisi
tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa
menjadi suri teladan kepada anak-anak yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan puisi tradisional kepada anak-
anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mereka boleh membelikan
anak-anak, buku-buku berkaitan puisi tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah kerana
cemerlang dalam akademik di sekolah. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menganjurkan pertandingan melafazkan pantun
melalui program tertentu seperti Hari Keluarga bagi menghidupkan lagi budaya berpantun dalam kehidupan harian. Inisiatif
ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk cuba mencipta pantun atau
melafazkan pantun. Jelaslah bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan genre puisi
tradisional ini serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam
minum air.
Selain itu, usaha pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia yang memasukkan puisi tradisional
dalam Komsas Bahasa Melayu di sekolah perlu dipuji. Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab
atau persatuan yang memberi penekanan kepada pelbagai puisi tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan
Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara mencipta dan melafazkan pantun, bersyair serta berseloka. Setelah
mengetahui secara mendalam tentang pelbagai puisi tradisional, pelajar akan lebih rasa berminat untuk
mempersembahkannya. Usaha menanam minat puisi tradisonal terhadap generasi muda penting kerana mereka
merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan. Penglibatan
pelajar secara langsung dalam pelbagai puisi tradisional nescaya dapat mempopularkan genre tersebut di Malaysia daripada
membiarkan seni budaya kita terus pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak
cinta, maka komitmen pihak sekolah amat dituntut, agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat
aktif mempopularkan puisi tradisional di samping mengukuhkan kecintaan mereka terhadap budaya bangsa.
Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai puisi tradisional merupakan satu kaedah yang ampuh
untuk mempopularkan genre tersebut di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi
dan Kebudayaan secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar
dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan puisi tradisional di
negara kita. Selain memperkenalkan sejarah dan cara melafazkan sesuatu puisi tradisional, pihak media perlu memberikan
2
kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan memelihara puisi tradisional kepada masyarakat. Pelbagai aktiviti harus
dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mencipta dan melafazkan pantun, syair, gurindam dan
seloka. Melalui proses tersebut, genre-genre tersebut boleh menjadi lebih popular di merata tempat bersesuaian dengan kata
peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu
sudah pasti puisi tradisional semakin popular khususnya kepada generasi baru.
Pertukaran budaya dengan negara-negara jiran misalnya, melalui ASEAN merupakan inisiatif lain yang boleh
dilakukan bagi mempopularkan puisi tradisional. Hal ini demikian kerana terdapat banyak persamaan budaya dalam
kalangan penduduk negara ASEAN seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang boleh dikongsi bersama.
Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari negara-negara Asean dan Negara luar yang lain yang datang ke
Malaysia, akan berpeluang mengenali lebih lanjut tentang puisi tradisional. Apabila mereka pulang ke negara mereka
kelak,mereka akan mempraktikkan dengan rakan-rakan serta ahli keluarga mereka. Usaha ini secara tidak langsung
membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana rakyat
Malaysia masih memiliki pelbagai puisi tradisional walaupun menghadapi arus kemodenan. Hal ini penting agar puisi
tradisional tetap kekal terpelihara seperti kata peribahasa tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas. Perkara yang sama
berlaku apabila pelancong asing melancong ke Malaysia dan menginap di desa-desa. Mereka akan diperdengarkan pelbagai
jenis puisi tradisional yang penuh keunikan. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus
berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara
negara mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan mempopularkan puisi tradisional kepada masyarakat dalam dan luar
negara.
Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk
mempopularkan puisi tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan tersebut, semua pihak yang
mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhuwah antara mereka. Hal ini demikian kerana
sebagai fitrah manusia, segelintir masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu. Agensi-agensi kerajaan
dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net
dan Maxis menganjurkan pertandingan melafazkan puisi tradisional di peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke
peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan anjuran
Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka yang menawarkan Piala Sirih Pulang ke
Gagang dapat mencungkil bakat dan kreativiti pelajar dalam mencipta dan melafazkan pantun.Terbukti di sini, penganjuran
pertandingan sebegini berjaya memperkenalkan puisi tradisional dalam kalangan masyarakat sekali gus mempromosikan
industri pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara.
Kesimpulannya, semua bangsa tidak sepatutnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk puisi tradisional
lenyap ditelan zaman kerana warisan tersebut adalah khazanah dunia yang begitu tinggi nilainya. Walaupun
Malaysia sedang mengorak langkah ke arah negara maju pada tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang
lupakan kulit yang mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap pelbagai pihak tetap teguh
memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang
mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Oleh itu, setiap anak watan di bumi tercinta ini perlu menyahut cabaran
dan mempunyai semangat habis kapak berganti beliung untuk merealisasikan impian tersebut.
Pantun di atas jelas menunjukkan bahawa remaja kini merupakan tunjang kecemerlangan sesebuah negara. Mereka
merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan pada masa akan datang. Sayang dan malang sekali, remaja
hari ini tidak sedar akan obligasi yang terbeban di bahu mereka itu. Realitinya, Malaysia memerlukan lebih ramai remaja
berwawasan yang mampu mendukung aspirasi negara.
Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan tentang ciri-ciri remaja berwawasan yang diperlukan di negara
Malaysia. Remaja berwawasan dan mempunyai akhlak yang mulia boleh dicontohi. Selaras dengan cogan kata, budi bahasa
budaya kita, remaja perlulah mempunyai nilai moral yang tinggi. Mereka hendaklah mengamalkan amalan bersopan santun
ketika bertutur,berjalan, makan dan minum serta cara berpakaian. Mereka juga mestilah menghormati orang yang lebih tua
daripada mereka dengan bertutur dengan nada yang rendah dan membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan mereka.
Selain itu, remaja yang berwawasan juga sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan,bak kata
peribahasa, berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Perintah agama juga tidak pernah dilupakan oleh remaja berwawasan
kerana segala kejayaan bermula apabila kita taat kepada perintah agama. Dengan ini jelaslah bahawa, berakhlak mulia
merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
Melihat daripada perspektif yang lain, seorang remaja yang berwawasan mestilah mempunyai pengetahuan yang
tinggi. Cogan kata ,membaca jambatan ilmu, kerana ilmu hanya didapati melalui pembacaan bahan ilmiah. Remaja yang
berwawasan sentiasa menelaah buku untuk mendapatkan ilmu. Kita sedia maklum bahawa remaja adalah pewaris tampuk
pemerintahan negara dan dengan adanya ilmu di dada, mereka pasti dapat menangani segala onak dan duri yang bakal
3
didepani oleh negara kelak. Seterusnya, renaja berwawasan yang berilmu pengetahuan tidak akan mudah terpedaya dengan
tipu helah anasir-anasir mazmumah yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan anak bangsa ,ibarat duri dalam
daging. Sudah terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan, remaja mampu menjadi remaja berwawasan dan
negara dapat melahirkan golongan inteligesia yang mampu menggalas aspirasi negara.
Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria remaja berwawasan seterusnya ialah seseorang yang gigih
berusaha dan berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang
,perlulah disemat di dalam diri setiap remaja .Remaja yang berwawasan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan dan
tidak bersikap pesimistik.Tamsilnya, mereka tidak akan berputus-asa apabila tidak mendapat keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan, sebaliknya mereka menjadikan perkara tersebut sebagai permulaan sesuatu kejayaan, bak kata Adelucia
Longbotton, satu pintu akan tertutup, pintu yang lain akan terbuka. Namun, kadang-kadang kita melihat dan menyesali pintu
yang tertutup itu terlalu lama sehingga terlupa untuk melihat pintu yang telah terbuka. Remaja berwawasan juga tidak pernah
mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian
jelaslah bahawa, remaja berwawasan sentiasa gigih berusaha.
Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah mencapai angka
lima puluh lima tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah menanam semangat patriotik di dalam diri kerana
George Santayana pernah berkata, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Semangat sayang
akan negara dapat menyelamatkan tanah tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja berwawasan
tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan
sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dengan budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur
yang kita amalkan selama ini. Jelaslah bahawa,semangat patriotik yang tinggi merupakan ciri remaja berwawasan yang
diidam-idamkan oleh negara.
Akhirulkalam ,ciri-ciri remaja berwawasan ini mampu dicapai oleh setiap remaja kerana ia merupakan aspek-aspek
yang sememangnya sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara Malaysia tidak kira kanak-kanak, remaja, orang
dewasa mahupun warga emas. Dengan ini, diharapkan bahawa cita-cita negara untuk mencapai status negara maju pada
tahun 2020 dan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara atas angin yang moden tidak menjadi
seperti angan-angan Mat Jenin.
Dewasa ini, semakin hari, semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat semakin terhakis ditelan arus
pemodenan dan kemajuan negara. Hal ini terbukti apabila saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai kejadian jenayah
seperti kes pembunuhan, ragut, rogol serta kes pembuangan bayi yang tidak berdosa. Kejadian-kejadian tersebut sekali gus
memadamkan semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat antaranya sikap mengambil berat, prihatin dan saling-
menghormati dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat penyayang hanya dapat dibentuk melalui persaan
saling-menyayangi dan menghormati sesama ahli keluarga yang merupakan asas kepada pembentukan masyarakat. Ibu bapa
mempunyai peranan besar dalam melahirkan individu yang penyayang sekali gus mewujudkan masyarakat yang penyayang
di nusa tercinta ini.
Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Kehidupan anak-anak harus
diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap penyayang dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata
peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan lebih mudah terlaksana
malah akan terus sebati dalam diri anak-anak apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat penting dalam
tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa berada di samping anak-anak semasa mereka dalam
kekecewaan seperti gagal dalam peperiksaan untuk menenangkan hati dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan
perhatian oleh ibu bapa maka anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat diselesaikan
melalui pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk mencurahkan kasih sayang
kepada anak kerana ibu bapa merupakan insan terhampir dengan diri anak-anak.
Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan masyarakat yang penyayang di negara kita. Hal ini
demikian kerana tidak ada agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengajar penganutnya bersikap kasar dan ganas
kepada individu lain apatah lagi dalam kalangan ahli keluarga sendiri. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya
mengajar anak-anak mereka mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar
kepada anak-anak adalah menunaikan solat fardhu, membaca Al-Quran dan berzikir. Bagi penganut-penganut agama lain,
ibu bapa perlu selalu mengajak anak-anak mereka ke rumah ibadat. Ibu bapa juga boleh menceritakan pada anak-anak, kisah
teladan akan kebaikan mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan hatta bersikap kasih sayang kepada binatang.
Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia.
Sifat ini akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan mendorong mereka untuk berperi laku baik seterusnya sentiasa
menyayangi keluarga. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya amat penting dalam melahirkan
individu penyayang.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa
mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dan tidak bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.
Hal ini demikian menunjukkan keperibadian anak-anak mencerminkan perwatakan ibu bapa mereka. Banyak nilai baik yang
boleh ditunjukkan kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa mengamalkan semangat kejiranan yang tinggi.
4
Antaranya, mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, menziarahi jiran yang sakit serta dilanda musibah.
Ibu bapa janganlah sekali-kali menunjukkkan sikap zalim dan menindas atau menipu orang lain khususnya di hadapan anak-
anak. Nilai-nilai baik ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak. Jelas bahawa, semangat hormat-menghormati, bekerjasama
dan saling-membantu dalam masyarakat akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri anak-anak yang juga merupakan
ahli masyarakat.
Seterusnya, keadaan keluarga yang stabil dari segi fizikal dan rohani juga amat perlu bagi melahirkan
individu dan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam membentuk keluarga yang stabil.
Keluarga yang stabil dari segi fizikal ialah keluarga cukup dari segi kewangan serta mampu menyediakan segala kemudahan
dan keperluan hidup berumah tangga. Manakala keluarga yang stabil dari segi rohani ialah keluarga yang saling-menyayangi
, hormat-menghormati serta saling-membantu. Sekiranya kedua-duanya dapat dipenuhi oleh ibu bapa maka anak-anak akan
hidup dalam keadaan tenang dan harmonis tanpa mengalami sebarang tekanan. Mereka akan lebih terpaut hati untuk
berkongsi masalah dengan ibu bapa berbanding menceritakan masalah yang dihadapi dengan rakan yang kurang dikenali hati
budinya. Di samping itu juga, ibu bapa harus memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan
keluarga yang penyayang. Hubungan yang renggang dalam kalangan ahli keluarga menyebabkan anak-anak akan mencari
‘kasih sayang’ di luar rumah yang akhirnya akan menjahanam dan memusnahkan kehidupan mereka.
Masyarakat penyayang juga dapat dilahirkan melalui hubungan baik dengan masyarakat sekeliling. Ibu
bapa harus mendekatkan anak-anak dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat
berjemaah di surau atau masjid. Ibu bapa juga perlu memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka akan peri pentingnya
nilai kasih sayang dalam kehidupan khususnya semasa berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum. Dengan menjadikan
negara-negara lain sebagai contoh dan teladan seperti perang saudara yang berlaku di Somalia ditambah lagi dengan
kebuluran yang berlaku, anak-anak dapat diajar tentang kepentingan amalan kasih sayang. Melalui kasih sayanglah pelbagai
bantuan dihulurkan oleh masyarakat antarabangsa kepada negara-negara yang ditimpa bencana seperti bencana Tsunami
yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Jelas bahawa, hubungan silaturahim yang erat dapat melahirkan individu dan
masyarakat yang penyayang.
Konklusinya, ibu bapa berperanan besar dalam melahirkan individu dan sekali gus masyarakat yang penyayang di
negara kita. Oleh itu, ibu bapa harus meningkatkan peranan mereka semaksimum mungkin, namun dalam masa yang sama
tidak mengamalkan sikap pilih bulu antara anak-anak. Apa yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang
yang berjaya dipraktikkkan akan mampu mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah!, individu yang penyayang akan
mewujudkan keluarga cemerlang seterusnya melahirkan masyarakat serta bangsa yang terbilang.