Anda di halaman 1dari 1

Setiap Amalan Bergantung pada Niat

Sesungguhnya hadis ini sebahagian daripada hadis-hadis yang penting yang merupakan paksi agama
Islam. Ia merupakan usul agama dan padanya bersandar kebanyakan hukum-hakam agama Islam. Ini
jelas berdasarkan perkataan-perkataan alim ulama mengenainya.

Abu Daud telah berkata : “ Sesungguhnya hadis ini – Sesungguhnya amalan-amalan itu bermula
daripada niat-niat,” adalah setengah daripada agama Islam, justeru agama itu sama ada zahir yang
merupakan amalan atau batin yang merupakan niat.

Al-Imam Ahmad dan Asy-Syafie telah berkata “ Masuk ke dalam hadis ini : ‘ Sesungguhnya amalan-
amalan itu bermula daripada niat-niat’, sepertiga daripada ilmu.” Hal ini demikian kerana
sesungguhnya pekerjaan seorang hamba itu terjadi daripada tiga galur, iaitu dengan hatinya,
lidahnya dan anggota-anggotanya. Oleh itu, niat dengan hati merupakan salah satu daripada ketiga-
tiga bahagian ini. Oleh hal yang demikian, alim ulama amat suka untuk memulakan kitab-kitab dan
karangan-karangan mereka dengan hadis ini. Lantaran itu, Al-Imam Al-Bukhari telah meletakkan
hadis ini pada awal kitab Sahihnya (Sahih Al-Bukhari).

Al-Imam An-Nawawi telah memulakan ketiga-tiga kitabnya dengan hadis ini iaitu kitab-kitab Riyadus
Solihin, al-Azkar dan Al-Arba’in An-Nawawiyyah.

Natijah memulakan sesuatu dengan hadis ini adalah menjadi satu peringatan terhadap para
penuntut ilmu agar memperbetulkan ( tashih) niat mereka semata-mata demi memperolehi
keredaan Allah SWT dalam usaha menuntut ilmu dan melakukan amalan kebajikan. Kepentingan
hadis ini telah diperlihatkan sebagaimana ada di dalam Riwayat Al-Bukhari, kemudian Umar bin Al-
Khattab RA pula berkhutbah dengannya. Abu Ubaid telah berkata: “Tidak ada di dalam hadis-hadis
faedah yang lebih luas dan banyak daripada hadis ini.”

Sumber Rujukan : Kitab AL-Wafi Syarah Hadith Arba’in Imam Nawawi.

Sekadar menguji minda, boleh kalian nyatakan di komen sebab periwayatan hadis ini?

Anda mungkin juga menyukai