Anda di halaman 1dari 3

ISU-ISU PENDIDIKAN INKLUSIF

Keberkesanan pendidikan inklusif ini sebenarnya bergantung kepada beberapa aspek

penting. Antara isu yang selalu timbul berkenaan dengan pendidikan inklusif ini

adalah sikap seseorang guru di aliran perdana tidak dapat menerima murid-murid

berkeperluan khas di dalam kelas mereka. Bagi guru-guru ini, mereka mempunyai

sikap dan andaian bahawa golongan murid berkeperluan khas ini sukar dididik (Bee

Fong dan Zalizan, 2009). Maka, guru tersebut tidak memberikan kerjasama atau

perhatian kepada murid-murid berkeperluan khas ini semasa proses pembelajaran dan

pengajaran di dalam kelas. Guru-guru juga kurang menunjukkan kolaborasi bersama

guru khas seperti mendapatkan maklumat berkenaan murid khas dan mempelajari

pendekatan atau kaedah yang dapat memudahkan pembelajaran murid khas (Mohd

Najib dan Sanisah, 2006). Hal ini berlaku kerana kebanyakan guru di aliran

perdana masih lagi kurang memahami konsep sebenar pendidikan inklusif

(Mazlinah, 2009). Mereka harus sedar bahawa murid-murid berkeperluan khas ini

sebenarnya mampu belajar dan berupaya mencapai perkembangan yang baik

seperti rakan-rakan tipikal yang lain. Semua ini adalah bergantung kepada corak

interaksi guru dengan murid serta murid dengan bahan pengajaran (Kamaliah dan

Wan Amiman, 2010).

Malah wujud juga pelabelan terhadap murid berkeperluan khas ini oleh

rakan-rakan tipikal di dalam kelas. Murid-murid tipikal ini beranggapan bahawa

murid berkeperluan khas tidak normal dan tidak mahu bergaul dengan mereka. Hal ini
akan menyebabkan murid-murid berkeperluan khas ini terasa tersisih dan tidak

bersemangat untuk belajar. Satu lagi isu yang sering timbul berkenaan pendidikan

inklusif yang berkaitan dengan guru adalah kekurangan ilmu di kalangan guru di

aliran perdana untuk mengajar murid berkeperluan khas ini di dalam kelas inklusif

(Latifah dan Kamariah, 2011). Guru-guru di aliran perdana yang mengajar murid‐murid

berkeperluan khas ini tidak didedahkan dengan kursus atau pengetahuan berkenaan

cara pengendalian murid berkeperluan khas. Lantaran ia menyebabkan mereka berasa

sukar untuk memahami keperluan murid-murid ini dan tidak tahu bagaimana untuk

mengendalikan murid-murid tersebut agar mereka dapat belajar secara optimum.

Selain itu, isu yang timbul adalah berkenaan persekitaran fizikal sesuatu

kelas inklusif. Keadaan kelas seperti tempat duduk untuk murid-murid berkeperluan

khas yang jauh di belakang di dalam kelas inklusif juga akan menyebabkan mereka

tidak dapat belajar secara optimum di dalam kelas. Mereka akan berasa seperti

dipinggirkan dan tidak fokus kepada proses pembelajaran mereka. Malah, kelas inklusif

sekiranya ditempatkan di kawasan yang kurang selesa atau kondusif misalnya

berhampiran dengan kantin atau tandas juga akan menyebabkan mereka kurang

tumpuan untuk belajar. Ini adalah kerana mereka akan diganggu oleh suasana

yang bising atau bau busuk yang berdekatan. Kelengkapan asas untuk proses

pengajaran yang tidak mencukupi juga menjadi penghalang kepada kejayaan

pendidikan inklusif ini (Noorizah et al., 2012). Kekurangan kelengkapan ini akan

menyebabkan sesetengah aktiviti yang dapat membantu murid-murid berkeperluan

khas dalam kelas inklusif tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna atau berkesan.
Selain daripada itu, sistem pendidikan inklusif di Malaysia turut

memperlihatkan kekurangan sokongan atau bantuan daripada ibu bapa terhadap

sekolah dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti inklusif kepada murid-murid

berkeperluan khas ini. Lazimnya, ibu bapa kurang menunjukkan minat dalam

pembelajaran anak-anak istimewa ini (Noorizah et al., 2012). Sebagai contoh, mereka

tidak datang berjumpa guru walaupun telah diminta untuk datang berjumpa dengan

guru. Menurut Agaliotis & Kalyva (2008), kurangnya sikap tanggungjawab dan

kesedaran dalam kalangan ahli keluarga terhadap kanak-kanak berkeperluan khas

ini menjadi salah satu penyebab terhalangnya perkembangan diri kanak-kanak

tersebut. Kesimpulannya, sekiranya kesemua isu yang dinyatakan ini dapat diatasi,

maka Program Pendidikan Inklusif ini akan berjalan dengan lebih lancar dan lebih

berkesan.

Anda mungkin juga menyukai