Anda di halaman 1dari 3

Terdapat empat tonggak pendidikan yang telah digariskan oleh UNESCO iaitu

tonggak pertama belajar untuk menguasai ilmu iaitu manusia perlu belajar untuk memahami
dunia sekeliling mereka agar dapat memperkembangkan kemahiran kerjanya serta
berkomunikasi dengan orang lain. Sebagai guru untuk melaksanakan tonggak ini adalah
melalui cara penyampaian yang berkesan seperti penggunaan ICT dalam pengajaran,
gambar, video dan slaid supaya murid-murid dapat didedahkan dengan pelbagai kaedah
penyampaian yang boleh digunakan untuk menyampaikan dan mendapatkan ilmu
pengetahuan. Murid-murid juga dapat menerima pengetahuan terkini dalam dunia teknologi
tinggi. Selain itu, guru juga boleh mengadakan aktiviti kepada murid-murid seperti aktiviti
lakonan, perbincangan dan permainan. Aktiviti ini akan memberikan ilmu baru kepada
murid-murid seperti cara untuk berlakon, cara untuk berbincang dengan rakan-rakan dan
menghormati pendapat orang lain.

Seterusnya, tonggak kedua iaitu belajar untuk menguasai kemahiran iaitu dengan
melengkapkan seseorang dengan kemahiran untuk diaplikasikan dalam bidang pekerjaan
seperti kemahiran komunikasi, berpasukan dan menyelesaikan masalah. Guru boleh
melakukan aktiviti pembentangan atau hands-on di mana murid-murid melakukan
eksperimen atau melakukan aktiviti reka cipta. Guru bertindak sebagai fasilitator. Aktiviti ini
memberi peluang kepada murid-murid untuk menerokai perkara baru serta meningkatkan
kemahiran mereka dengan melakukan eksperimen serta mencipta atau menginovasikan
produk baru. Murid-murid juga perlu membentangkan hasil kerja mereka di hadapan kelas.
Hal ini membantu meningkatkan kemahiran komunikasi mereka.

Tonggak yang ketiga adalah belajar untuk menjadi insan berguna iaitu fokus kepada
peranan pendidikan yang harus menyumbang kepada pembentukan insan secara
menyeluruh dari segi fizikal, intelek, rohani, kepekaan dan penghargaan estetika. Menurut
Ahmad dan Wan Mohd Rashid (2008), pembangunan modal insan difokuskan untuk
memberi tumpuan kepada sistem nilai, disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar bagi
melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang 2 sains dan teknologi, inovatif, kreatif
serta boleh dipasarkan. Antara cara guru boleh lakukan adalah dengan menerapkan nilai-
nilai murni kepada murid-murid iaitu dengan menunjukkan contoh yang baik kepada murid-
murid. Guru sebagai role model kepada murid-murid. Selain itu, guru juga boleh
menerapkan sikap mengamalkan kebersihan dengan cara meminta murid-murid untuk
memastikan keadaan di sekeliling meja mereka bersih sebelum memulakan pengajaran dan
pemudahcaraan (PdPc). Guru juga boleh menerapkan sikap cinta akan alam sekitar dengan
meminta murid-murid untuk menggunakan barang kitar semula dalam melakukan projek
sekolah yang diberikan oleh guru seperti mencipta roket dengan menggunakan bahan kitar
semula.

Tonggak yang keempat adalah belajar untuk harmoni dan bekerjasama iaitu
menjalinkan hubungan baik antara satu sama lain supaya rakyat dapat hidup aman damai
dan berharmoni dalam negara berbilang kaum. Antara cara yang boleh dilakukan oleh guru
adalah dengan melakukan aktiviti berkumpulan kepada murid-murid dengan melibatkan
pelbagai kaum. Hal ini bagi menerapkan sikap menghormati kaum lain. Guru juga boleh
meminta murid-murid untuk membentangkan budaya yang diamalkan oleh 3 kaum utama di
Malaysia. Hal ini bagi memberikan kesedaran kepada murid-murid untuk menghormati
budaya kaum lain. Menurut Mohd Hasani Dali dan Mohamd Johdi Salleh (2009), dalam
menguruskan pelajar, guru perlu bersabar dan banyak bertolak ansur untuk memenangi hati
pelajar agar pelajar akan menghormati guru sebagai pendidik mereka. Guru juga boleh
mengadakan aktiviti seperti memakai pakaian tradisional mengikut kaum. Hal ini bertujuan
agar murid-murid dapat mengenal pakaian tradisional setiap kaum. Murid-murid juga dididik
untuk menghormati murid yang lain seperti menghormati pendapat orang lain serta
menyayangi orang lain bagi memperoleh kesejahteraan hidup.

(522 patah perkataan)


RUJUKAN

Ahmad & Wan Mohd Rashid. (2008). Pendidikan Sepanjang Hayat: Isu, Cabaran dan
Peranan Sekolah Membangun Modal Insan Dalam Komuniti Setempat. Keterangan:
Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidiikan PKPGB 2008. UTHM, 16 Oktober
2008.

Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh. (2009). ‘Pengurusan Bilik Darjah’. Dalam
Noraini Idis dan Shuki Osman, Pengajaran dan Pembalajaran: Teori dan Praktis, 161
– 188. Kuala Lumpur: McGraw Hill.

Anda mungkin juga menyukai