Anda di halaman 1dari 1

Guru mengaplikasikan toeri perkembangan kognitif tersebut dalam memberi bimbingan

kepada murid untuk memahami isi pelajaran yang disampaikan ketika berlangsungnya
proses pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan teori perkembangan kognitif Lev
Vygotsky (1934-1986), daya kognitif kanak-kanak berkembang melalui interaksi sosial
kanak-kanak tersebut dengan individu yang lebih berpengetahuan dalam sesuatu perkara
berbanding dengan dirinya (Mok Soon Sang, 2009). Dalam konteks proses pengajaran dan
pembelajaran, guru merupakan individu yang berpengalaman terhadap sesuatu konsep
dalam pembelajaran dan berperanan untuk meningkatkan pengetahuan murid terhadap
konsep tersebut. Untuk memudahkan murid memahami konsep yang diterangkan, guru
memberikan bimbingan terarah kepada murid seperti mana yang digariskan oleh zon
perkembangan proksimal dalam teori perkembangan kognitif Lev Vygotsky (1934-1986).
Zon perkembangan proksimal merupakan lingkungan kemampuan seseorang untuk
melaksanakan tugas-tugas dengan berjaya yang merangkumi tahap perkembangan sebenar
dan tahap perkembangan berpotensi. Tahap perkembangan sebenar atau had bawah
merujuk kepada satu peringkat di mana seseorang individu tersebut mampu melakukan
sesuatu tanpa bimbingan daripada individu yang lain. Manakala, tahap perkembangan
berpotensi atau had atas merupakan satu peringkat yang mana individu dapat melakukan
sesuatu dengan bantuan individu lain yang lebih kompeten (Wong Kiet Wah et al, 2013).
Dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran, guru menggunakan zon
perkembangan proksimal dengan menetapkan objektif pada had atas untuk dicapai oleh
murid. Objektif pembelajaran yang ditetapkan oleh guru adalah lebih tinggi daripada
pencapaian belajar. Guru memberi bimbingan kepada murid sekiranya murid menghadapi
masalah dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran yang diarahkan oleh guru. Bimbingan
guru tersebut akan membantu pelajar untuk meningkatkan daya kognitif mereka pada
peringkat berpotensi atau had atas dalam zon perkembangan proksimal. Intihanya, teori
perkembangan kognitif Lev Vygotsky (1934-1986) yang menyatakan bahawa perkembangan
kognitif kanak-kanak berlaku melalui interaksi dengan individu yang lebih berpengetahuan
diaplikasikan oleh guru dalam konteks proses pengajaran dan pembelajaran apabila guru
membimbing murid dalam memahami konsep yang diajarkan oleh guru tersebut agar murid
dapat mencapai had atas dalam zon perkembangan proksimal.

Anda mungkin juga menyukai