Anda di halaman 1dari 2

Ciri-ciri remaja berwawasan

Teruja kenari di tepi pulasan,


                                            Pegun nak dara gemersik suara:
                                            Remaja kini tinggi wawasan,
                                           Tonggak kejayaan aspirasi negara.

Pantun di atas jelas menunjukkan bahawa remaja kini merupakan tunjang kecemerlangan sesebuah
negara. Mereka merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan pada masa akan datang.
Sayang dan malang sekali, remaja hari ini tidak sedar akan obligasi yang terbeban di bahu mereka itu.
Realitinya, Malaysia memerlukan lebih ramai remaja berwawasan yang mampu mendukung aspirasi negara.
       
Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan tentang ciri-ciri remaja berwawasan yang
diperlukan di negara Malaysia. Remaja berwawasan dan mempunyai akhlak yang mulia boleh dicontohi.
Selaras dengan cogan kata, budi bahasa budaya kita, remaja perlulah mempunyai nilai moral yang tinggi.
Mereka hendaklah mengamalkan amalan bersopan santun ketika bertutur,berjalan, makan dan minum serta
cara berpakaian. Mereka juga mestilah menghormati orang yang lebih tua daripada mereka dengan bertutur
dengan nada yang rendah dan membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan mereka. Selain itu, remaja
yang berwawasan juga sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan,bak kata
peribahasa, berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Perintah agama juga tidak pernah dilupakan oleh remaja
berwawasan kerana segala kejayaan bermula apabila kita taat kepada perintah agama. Dengan ini jelaslah
bahawa, berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
       
Melihat daripada perspektif yang lain, seorang remaja yang berwawasan mestilah mempunyai
pengetahuan yang tinggi.  Cogan kata ,membaca jambatan ilmu, kerana ilmu hanya didapati melalui
pembacaan bahan ilmiah. Remaja yang berwawasan sentiasa menelaah buku untuk mendapatkan ilmu. Kita
sedia maklum bahawa remaja adalah pewaris tampuk pemerintahan negara dan dengan adanya ilmu di dada,
mereka pasti dapat menangani segala onak dan duri yang bakal didepani oleh negara kelak. Seterusnya, renaja
berwawasan yang berilmu pengetahuan tidak akan mudah terpedaya dengan tipu helah anasir-anasir
mazmumah yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan anak bangsa ,ibarat duri dalam daging.  Sudah
terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan, remaja mampu menjadi remaja berwawasan dan
negara dapat melahirkan golongan inteligesia yang mampu menggalas aspirasi negara.
       
Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria remaja berwawasan seterusnya ialah seseorang
yang gigih berusaha dan berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih
tidak datang melayang ,perlulah disemat di dalam diri setiap remaja .Remaja yang berwawasan sentiasa
berusaha untuk mendapatkan  kejayaan dan tidak bersikap pesimistik.Tamsilnya, mereka tidak akan berputus-
asa apabila tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya mereka menjadikan
perkara tersebut sebagai permulaan sesuatu kejayaan,  bak kata Adelucia  Longbotton, satu pintu akan tertutup,
pintu yang lain akan terbuka. Namun, kadang-kadang  kita melihat dan menyesali pintu yang tertutup itu
terlalu lama sehingga terlupa untuk melihat pintu yang telah terbuka. Remaja berwawasan juga tidak pernah
mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih. Oleh hal
yang demikian jelaslah bahawa, remaja berwawasan sentiasa gigih berusaha.
       
Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah
mencapai angka lima puluh lima tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah menanam semangat
patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah berkata, manusia yang melupai sejarah, pasti akan
mengulanginya semula. Semangat sayang akan negara dapat menyelamatkan tanah tumpah darah ini daripada
dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja berwawasan tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk
penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah
terpengaruh dengan budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur yang kita amalkan selama
ini. Jelaslah bahawa,semangat patriotik yang tinggi merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-idamkan
oleh negara.
       
Akhirulkalam ,ciri-ciri remaja berwawasan ini mampu dicapai oleh setiap remaja kerana ia merupakan
aspek-aspek yang sememangnya sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara Malaysia tidak kira kanak-
kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Dengan ini, diharapkan bahawa cita-cita negara untuk
mencapai status negara maju pada tahun 2020 dan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan
negara atas angin yang moden tidak menjadi seperti angan-angan Mat Jenin.

Anda mungkin juga menyukai