Anda di halaman 1dari 10

SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN JAWI

Nur Lidyawati Jasmin (2017), https://www.slideshare.net/NurLidyawatiJasmin/sejarah-perkembangan-ejaan-


rumi-dan-jawi, 30 April 2017

PENGENALAN
Bahasa Melayu telah lama berkembang di kepulauan Melayu. Menurut Nik Safiah (2015), bahasa
Melayu bermula pada abad ke-7 iaitu dikenali sebagai bahasa Melayu Kuno. Zaman ini dibuktikan
dengan penemuan beberapa batu bersurat yang ditemui di Kepulauan Melayu antaranya batu
bersurat Kedukan Bukit di Palembang (683 M). Batu bersurat yang ditemui pada masa itu
membuktikan tentang pengaruh bahasa Sanskrit terutamanya dalam masyarakat Melayu. Oleh itu,
masyarakat Melayu menggunakan tulisan Sanskrit iaitu

tulisan Palava serta tulisan Rencong. Kemudian pada abad ke-13, agama Islam mula berkembang di
Kepulauan Melayu menjadikan pengaruh Sanskrit mula terhakis. Masyarakat Melayu mula percaya
kewujudan satu Tuhan iaitu Allah dan sedikit demi sedikit menjalankan perintah Allah termasuklah
solat dan membaca Al-Quran. Namun, masyarakat Melayu perlu terlebih dahulu mempelajari
tulisan-tulisan Arab sebelum membaca al-Quran. Hal ini sejurus menyebabkan bahasa Melayu Kuno
digantikan dengan bahasa Melayu klasik yang mana tulisan Arab digunakan dalam penulisan. Tulisan
Arab ini dikenalkan oleh pedagang-pedagang Arab yang membawa sekali ajaran agama Islam. Selain
itu, kosa kata bahasa Melayu juga berubah iaitu banyak menggunakan perkataan Arab seperti
kalimat nabi, Allah dan rahmat. Seterusnya, zaman bahasa Melayu Klasik digantikan dengan bahasa
Melayu Moden. Pada zaman ini, tulisan rumi mula diperkenalkan kerana pengaruh British yang mula
menapak pada abad ke-19. Pihak British yang menguasai pentadbiran kepulauan Melayu khususnya
Tanah Melayu pada masa itu, memperkenalkan tulisan rumi kepada masyarakat Melayu. Hal ini
untuk memudahkan mereka berurusan dengan rakyat tempatan kerana mereka tidak dapat
menguasai tulisan jawi. Namun, tulisan ini juga mendapat tentangan daripada beberapa pihak yang
ingin mempertahankan tulisan jawi. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa bahasa Melayu mempunyai
banyak perubahan khususnya dalam bentuk tulisannya kerana menerima pengaruh dari luar. Tulisan
dalam bahasa Sanskrit tidak lagi digunakan kerana ia lebih susah berbanding tulisan jawi dan rumi.
Maka, amatlah penting bagi seseorang rakyat Malaysia mengenali dan mendalami sejarah
perkembangan tulisan untuk bahasa Melayu yang akhirnya digunakan hingga kini.

SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN JAWI


Berdasarkan pendapat Siti Hajar (2009), nama jawi ( ‫ ) جاو ي‬satu kata adjektif berasal daripada
perkataan (kata nama) bahasa Arab iaitu Jawah ( ‫ ) جاوه‬yang mana dikaitkan dengan satu daerah di
Asia Tenggara iaitu Javadwipa. Noresah (2014) mentakrifkan tulisan jawi sebagai tulisan yang
menggunakan huruf-huruf jawi atau huruf Arab. Tulisan jawi ini telah lama berkembang di
kepulauan Melayu. Hal ini bermaksud tulisan jawi ialah tulisan yang menggunakan huruf-huruf serta
lambang Arab dalam bahasa Melayu. Dalam erti kata yang lebih mudah, tulisan jawi digunakan
sebagai tulisan Melayu. Hal ini dikaitkan dengan kedatangan Islam pada abad ke-13 berdasarkan
kenyataan yang dikeluarkan oleh Siti Hajar (2011) dalam bukunya yang mana pengaruh Islam mula
menapak di kepulauan Melayu pada masa itu. Beliau juga turut menyatakan terdapat perubahan
pada struktur, pola ayat, kosa kata serta tulisan bahasa Melayu iaitu tulisan Jawi. Bukti pengaruh
tulisan Jawi di Tanah Melayu ialah dengan penemuan Batu Besurat di Terengganu pada tahun 1303
(Siti Hajar, 2009). Berdasarkan kenyataan dalam wikipedia (2012), tulisan Jawi berkembang pesat
sejajar dengan penyebaran dan perkembangan Islam pada masa itu. Masyarakat Melayu menyedari
bahawa tulisan yang mereka gunakan sebelum ini iaitu tulisan Pallava sebagai alat atau wahana
penyebaran agama Islam. Hal ini kerana umat Islam wajib membaca kitab al- Quran atas perintah
Allah swt. Kitab suci ini ditulis dalam bahasa Arab. Maka kesedaran, masyarakat Melayu mempelajari
dan mendalami tulisan ini mula berputik. Oleh itu, mereka mempelajari tulisan Melayu huruf Arab
ini yang seterusnya mengalami perubahan iaitu dari aspek ejaan melalui pelbagai peringkat.
Menurut Hashim (2006), yang memetik rumusan daripada tokoh Kang bahawa perkembangan
terbahagi kepada tiga peringkat atau periodisasi iaitu period A antara 1300- 1600 M, period B
antara 1600-1900 M, manakala period C pula antara 1900-1986 M.

Namun, secara umumnya, terdapat dua perkembangan ejaan jawi ini iaitu perkembangan tahap I
dan perkembangan tahap II berdasarkan kenyataan oleh Siti Hajar (2009). Tulisan Jawi ditulis serta
dibaca dari kanan ke kiri (seperti sistem tulisan bahasa Arab). Sistem tulisan ini tidak mempunyai
huruf besar atau huruf kecil seperti tulisan Rumi, namun terdapat perubahan bentuk bagi beberapa
huruf tertentu apabila disambungkan dengan huruf yang lain dalam penulisan sesuatu perkataan.

PERKEMBANGAN EJAAN JAWI PERINGKAT I


Perkembangan ejaan Jawi pada peringkat ini terbahagi kepada empat tahap iaitu:

Sistem Ejaan Arab/ Diakritik @ Tanda Baris (I’rab) digunakan sepenuhnya Pada tahap ini, cara
penulisan bahasa Arab digunakan sepenuhnya iaitu dengan menggunakan tanda baris atau diakritik.
Hal ini menunjukkan tulisan kitab Al quran mempengaruhi cara mengeja perkataan-perkataan
bahasa Melayu Asli pada masa itu. Salah satu bukti penemuan sistem ejaan ini ialah pada naskhah
bagi Kitab Aqaid al-Nasafi iaitu kitab yang paling tertua bertarikh pada 998H atau 1590M (Hashim,
2006). Tanda baris yang digunakan mempunyai beberapa jenis antaranya tanda baris yang kerap
digunakan iaitu baris atas dan baris bawah serta baris depan. Kelebihan bagi sistem ejaan ini ialah,
pembaca dapat membaca seluruh suku kata dalam perkataan tersebut secara betul. Hal ini kerana
setiap huruf konsonan jawi ditambahkan dengan tanda baris yang membuatkannya mudah dibaca.
Namun, penggunaan diakritik atau tanda baris pada perkataan yang ditulis dengan jawi
menyebabkan seseorang penulis mengambil masa yang lama untuk menulis jawi. Selain itu juga,
kekurangan tanda baris juga menyebabkan kekurangan fungsinya pada beberapa perkataan. Hal ini
kerana tanda baris yang digunakan masih tidak lengkap. Oleh itu, sistem ejaan jawi yang baharu
diperkenalkan.

Sistem Tulisan Tanpa Baris - Baris pada ejaan dihilangkan. Pada tahap ini pula, diakritik atau tanda
baris pada perkataan tulisan jawi dibuang lalu menghasilkan satu lagi sistem ejaan yang lain.
Berdasarkan Siti Hajar (2009) sistem ejaan ini dikenali sebagai tulisan Arab Gundul. Kelebihan bagi
sistem ejaan ini ialah ia lebih mudah dan penulis tidak akan mengambil masa yang lama untuk
menulis satu atau lebih perkataan. Penulis juga lebih mahir menggunakan huruf-huruf Arab ini.
Namun, sistem ejaan ini mengalami kesukaran terhadap pembacanya. Ketiadaan tanda baris atau
huruf vokal pada perkataan yang dieja menyebabkan pembaca sukar untuk membaca perkataan
tersebut. Satu perkataan boleh membawa maksud yang berlainan. Contohnya ‫بم‬ boleh dibaca

sebagai bom atau bumi atau bam. Manakala ‫ مت‬boleh dibaca sebagai mata atau Mat atau mati.
Tegasnya sistem ini lebih banyak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna ketika mengeja
dan membunyikan sesuatu perkataan dengan tepat mengikut kontek. Ini seterusnya menimbulkan
masalah Homograf iaitu perkataan yang sama ejaan tetapi berbeza dari segi sebutannya seperti kata
‫ تمبق‬yang boleh disebut sebagai ‘tombak’, ‘tembak’, ‘tambak’, ‘tembuk’ atau ‘tumbuk’. Dalam hal
ini hanya pembaca yang mahir sahaja boleh membaca perkataan tersebut dengan tepat.

Sistem Penggunaan Huruf Saksi/ Vokal Jawi Pada Suku Kata Pertama – Apabila tahap kedua
menghadapi kesukaran, maka pada tahap ketiga ini, huruf vokal diwujudkan untuk memudahkan
masyarakat pada masa itu membaca tulisan jawi. Huruf vokal yang dimaksudkan ialah: a.) Alif - ‫ ا‬b.)
Wau - ‫ و‬c.) Ya – ‫ ي‬Contoh dalam jadual sebelum ini iaitu ‫ بم‬dapat ditambah dengan huruf vokal
dalam jawi iaitu ‫بوم‬. Walau pun sistem ini memudahkan pembaca membaca dan memahami sesuatu
perkataan, namun hanya sebahagian masalah Homograf dapat diselesaikan. Dalam hal ini perbezaan
tanggapan dan kekeliruan pemahaman masih berlaku khususnya pada suku kata kedua sesuatu kata
dasar yang tidak diberikan Huruf Saksi/ Vokal Jawi seperti kata ‫ مات‬yang boleh disebut sebagai ‘mata’
atau ‘mati’. Demikian juga kata ‫ الک‬yang boleh saja disebut sebagai ‘laki’ atau ‘laku’.

Sistem Huruf saksi pada suku kata pertama dan kedua Penambahbaikan pada tahap ini
menyelesaikan kekeliruan sistem ejaan jawi pada tahap terdahulu. Pada tahap ini, penggunaan vokal
masih dikekalkan. Namun cara penggunaannya berubah iaitu huruf vokal digunakan pada suku kata
pertama dan suku kata kedua. Hal ini kerana memandangkan perkataan dalam bahasa Melayu pada
masa itu kebanyakannya terdiri daripada dua suku kata. Namun, sistem ejaan ini juga mempunyai
kelemahan iaitu kekurangan huruf vokal bagi menggantikan huruf vokal dalam bahasa Melayu iaitu
a, e, i,o dan u. Oleh itu, sistem ejaan pada tahap ini masih mempunyai kelemahan.

PERKEMBANGAN EJAAN JAWI PERINGKAT II


Sistem Hejaan P.BM.P.B Diraja

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (2016), Pedoman Ejaan Pakatan Bahasa Melayu
Persuratan Buku Di Raja Johor, ialah satu buku pedoman ejaan. Penambahbaikan panduan sistem
ejaan ini telah diperkenalkan oleh Mejar Dato’ Mohd Said Sulaiman; Pegawai Kanan Kerajaan Johor
dan digunakan secara rasmi oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor dan buku
panduannya telah diterbitkan pada 1937. Beberapa penambahbaikan dalam sistem ejaan Jawi telah
diperkenalkan seperti penggunaan tiga huruf Saksi/Vokal Jawi, cara mengeja perkataan berimbuhan,
penggunaan huruf ‫( ء‬hamzah), perbezaan huruf ‫ ق‬dengan ‫ک‬, pola keselarasan Huruf Saksi/ Vokal
Alif (‫ )ا‬dalam kata berimbuhan, penggunaan ‫( ة‬ta simpul), dan ‫( ت‬ta panjang) dan sebaginya. Sistem
ini digunakan secara rasmi oleh Kerajaan Johor khususnya dalam urusan surat menyurat dan
penerbitan. Walaubagaimanapun, sistem ini hanya berkuatkuasa di negeri Johor sahaja dan tidak di
negeri-negeri yang lain.

Sistem Ejaan Jawi Za’ba

Menurut PRPM (2016) juga Pedoman ejaan Jawi Za’ba ialah satu sistem ejaan jawi yang mana
diterbitkan pada 1949 digunakan dalam buku karangan Za’ba yang berjudul Daftar Ejaan Melayu
(Jawi-rumi). Pada bahagian awal buku ini terdapat kaedah tulisan Melayu dengan huruf jawi atau
dengan erti kata lain dikenali sebagai Pedoman Ejaan Jawi bagi bahasa Melayu.
Sistem Ejaan Dian

Sistem ini diperkenalkan oleh majalah Dian yang diterbitkan di Kota Bharu, Kelantan. Pada tahun
1963, Akta Bahasa menetapkan masyarakat Melayu perlu menggunakan tulisan rumi sebagai tulisan
rasmi pada masa itu menyebabkan masyarakat pada masa itu tidak dapat membaca tulisan Jawi.
Oleh itu, sistem ini diwujudkan supaya ejaan jawi diselaraskan dan membolehkan masyarakat
Melayu pada masa itu membaca tulisan Jawi.

Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan (1986).

Pedoman ini merupakan pedoman ejaan jawi bagi menggantikan sistem yang sebelumnya yang
diperkenalkan oleh Za’ba Menurut Anuar (n.d) sistem tulisan dan ejaan yang digunakan sehingga
sekarang ialah sistem yang terkandung dalam buku Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan
diterbitkan secara rasmi pada tahun 1986 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Menurut Afiqekie (2012),
pedoman ini digunakan, disempurnakan atau dimantapkan daripada Kedah Ejaan Jawi yang
digunakan sebelumnya yang berasaskan Kaedah Ejaan Jawi Za’ba (sebagaimana yang terdapat dalam
buku Daftar Ejaan Melayu Jawi-Rumi, 1949). Pedoman ini (1986) dihasilkan daripada rumusan
Konvensyen Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada dua tahun sebelumnya. Hasil
Konvensyen tahun 1984 mengumpul maklumat daripada Konvensyen Tulisan Jawi anjuran Pusat
Islam, Jabatan Perdana Menteri (1991) dan Seminar Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan (1993).
Semua maklumat tersebut disemak dan disahkan oleh Jawatankuasa Teknikal Ejaan Jawi Pusat Islam
dan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1993-1994. Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu
yang termuat dalam buku ini merupakan maklumat terkini tentang sistem ejaan Jawi yang disusun
daripada dokumen-dokumen pedoman ejaan Jawi yang telah diterbitkan oleh DBP, dan maklumat-
maklumat pedoman ejaan Jawi yang diselaraskan selepas itu diterbitkan: (i) Pedoman Ejaan Jawi
yang Disempurnakan, Dewan Bahasa dan Pustaka (ii) Daftar Ejaan Rumi-Jawi, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Cetakan Kedua, 1989.

SISTEM EJAAN JAWI

Kelompok huruf Jawi – 37 huruf Jawi dapat dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu:-

i. Kelompok Huruf Perangkai atau Mahram atau Mesra iaitu huruf yang boleh dirangkaikan/
‫ب‬
disambung sesamanya dan huruf lain sebelum dan selepasnya. Ia melibatkan 27 huruf Jawi iaitu

‫ت ثجچحخسشصضطظعغڠفڤقكݢلمنهي &ڽ‬
ii. Kelompok Huruf Pemutus atau Ajnabi atau Pentingkan Diri iaitu huruf yang boleh
dirangkaikan dengan huruf lain hanya di hadapannya sahaja. Ia tidak boleh dirangkaikan dengan
huruf lain sesudahnya. Terdapat 9 huruf Jawi yang terlibat iaitu ‫ادذرزوۏةی‬
iii. Kelompok Huruf Berumah atau Huruf Sombong iaitu huruf yang boleh menjadi Huruf
Pemutus atau Huruf Perangkai jika dia berada selepas Huruf Pemutus atau Huruf Perangkai. Hanya
satu sahaja huruf Jawi yang terlibat iaitu ‫ء‬ (hamzah).

JENIS-JENIS SISTEM EJAAN JAWI – Sistem Ejaan Jawi dapat dibahagikan kepada tiga jenis yang utama
dan digunakan sebagai kaedah dalam mengeja ejaan Jawi iaitu:-

A) EJAAN TRADISI –
Ejaan klasik atau ejaan lama yang dikekalkan dan dieja tanpa mengikut hukum tertentu.
Pengguna harus menghafal ejaan dan tulisan perkataan-perkataan yang terlibat dengan baik
kerana sesuatu kata terkadang diwakili dengan lambang huruf vokal atau saksi Jawi dan
sebaliknya. Sistem ini kebanyakannya dipengaruhi oleh system ejaan lama seperti Sistem
Baris (I’rab), Sistem Arab Gundul dan Sistem Huruf Saksi pada suku kata pertama sesuatu
kata sahaja.. Ejaan ini juga tidak termasuk dalam Ejaan Lazim dan Ejaan Mengikut Hukum.
Contoh kata – ‫( ڤد‬pada), ‫( اي‬ia), ‫( ْٰاٰ‌ين‬ini).
B) EJAAN LAZIM –

Ejaan yang menggunakan huruf vokal atau huruf saksi Jawi dalam pengejaan dan penulisan
kata. Sistem ini kebanyakannya menggunakan Sistem Ejaan Dian iaitu system yang
menggunakan huruf saksi Jawi sebagai padanan bagi huruf vokal [a], [i], [u], [o], [e Taling]
dan huruf [w]. Bagaimanapun terdapat kekecualian iaitu bunyi huruf [e pepet] di tengah

kata seperti ‘telah’ ‫ ))تله‬dan bunyi vokal [a] dalam suku kata KVK tidak akan diwakili huruf
Alif [‫ ]ا‬. Sebaliknya huruf saksi Alif [‫ ]ا‬akan diberikan pada kata ‘lantik’ ( ‫ ) النتيق‬untuk

membezakannya dengan kata kata ‫( لنتيق‬lentik). Demikian juga jika berlaku Homograf

maka vokal [a] yang diwakili huruf Alif bagi kata ‫( دان‬dan) akan dinyatakan.Contoh Kata -

‫( ماکن‬makan) dan ‫( الڤر‬lapar).


C) EJAAN MENGIKUT HUKUM – Sistem ejaan ini terbahagi kepada dua iaitu:-

A) HUKUM KHUSUS –

Beberapa hukum khusus yang mendasari system ejaan Jawi yang sekaligus menjadikannya
eksklusif atau kekecualiaan daripada kaedah biasa mengeja dan menulis Jawi. Antara hokum
yang terlibat ialah:-

i. Hukum Ka Ga – iaitu hukum yang menentukan semua bunyi huruf ‫ك‬


(Ka) dan ‫( ݢ‬Ga) pada suku kata terbuka di akhir perkataan tidak memerlukan huruf saksi ‫ا‬
(Alif) seperti kata ‘baka’ menjadi ‫باك‬ (bukannya ‫ )باكا‬dan ‘juga’ menjadi ‫جوݢ‬ (bukannya
‫)جوݢا‬.
ii. Hukum Deranglu (Dal Ra Lam Wau Nga) – iaitu hukum yang menentukan bahawa
jika terdapat salah satu daripada huruf Derlung berikut; ‫[ د ر ل و ڠ‬d, r, l, u, o dan w] pada
suku kata terbuka sama ada di kedua-dua suku kata pra akhir dan akhir sesuatu perkataan
atau suku kata terbuka di akhir perkataan mestilah disertai huruf saksi ‫( ا‬Alif) seperti kata
‘lawa’ (‫ )الوا‬dan ‘kanda’ (‫) کندا‬

iii. Hukum Ra Ma – iaitu hukum yang menentukan bahawa semua dua suku kata akhir
kata dasar yang berbunyi Ra-Ma hendaklah memakai huruf saksi Alif ( ‫ا‬. ) seperti ‘irama’ (
‫ايراما‬ . ) dan ‘rama-rama’ ( ٢‫) راما‬.

v. Hukum Ha - iaitu hukum bagi perkataan yang terdiri daripada tiga suku kata atau
‫ه‬
lebih dan dimulai dengan sukukata terbuka (KV) dengan Huruf ‘Ha Simpul’ [ ]. Pra sukukata
terbuka ‘Ha’ akan dieja tanpa huruf saksi/ vokal Alif ( ‫ ) ا‬seperti kata ‘halaman’ ( ‫( هالمن‬
dan ‘halilintar’ ( ‫هليلينتر‬ ). Perkataan yang mempunyai dua suku kata atau kurang tidak
termasuk dalam hokum ini seperti kata ‘hala’ ( ‫ )هاال‬dan ‘hari’ (‫) هاري‬.

vi. Hukum A-Ha –. Hukum ini terpakai kepada suku kata terbuka [Ha] dari huruf (‫)ه‬
yang terletak pada suku kata kedua dalam sesuatu perkataan sahaja sama ada terdiri
daripada dua suku kata atau lebih. Dalam hukum ini vokal A dalam suku kata terbuka
pertama tidak akan menggunakan huruf saksi Alif (‫( ا‬. Bagaimanapun vokal A dalam suku
kata terbuka kedua daripada huruf (‫ )ه‬akan diberikan huruf saksi Alif (‫ ( ا‬sebagaimana yang
terdapat pada perkataan seperti ‘baharu’ ( ‫ ) بهارو‬dan ‘saࣔhaja’ ( ‫) سهاج‬.
vii. Hukum Anjakan – iaitu hukum yang menentukan bahawa huruf saksi/ vokal Alif ( ‫) ا‬
hendaklah dianjak atau diubah kedudukannya daripada suku kata pertama kepada suku kata
kedua bagi sesuatu perkataan yang menerima Partikel atau Imbuhan seperti ‘kata –> katalah
–katanya – katakana - perkataan’ ( ‫) كات – كتاله\ کتاث\ کت اکن\ فرکت أن‬ dan ‘malang –
kemalangan’ (‫كمالڠن‬ – ‫مالڠ‬ ).

viii. Hukum Hamzah (‫ ) ء‬Sisip – iaitu hukum yang terpakai bagi perkataan yang
mempunyai Vokal Bergabung [a+i], [a+u] dan [u+i]. Untuk mengelakkan masalah Homograf,
huruf Hamzah (‫ ) ء‬akan diletakkan antara kedua-dua vocal tersebut seperti kata ‘lain’ (
‫ )الءين‬, ‘laut’ ( ‫ )الءوت‬dan ‘keruing’ (‫)کروءيڠ‬
ix. Hukum Hamzah (‫ ) ء‬Sekedi – iaitu hukum yang melibatkan penggunaan huruf
Hamzah (‫ ) ء‬bagi kata berimbuhan yang melibatkan ‘awalan se-‘, ‘kata depan ke-‘ dan ‘kata
depan di-‘ yang dihubungkan dengan suku kata terbuka (V) di pra kata. Ini juga bertujuan
untuk mengelakkan masalah Homograf seperti kata ‘sealiran’ ( ‫)سأليرن‬dengan ‘saliran’ (

‫)ساليرن‬, ‘ke arah’ ( ‫)کأره‬ dengan ‘karah’ ( ‫ )کاره‬dan ‘dialih’ ( ‫ )دأليه‬dengan ‘dalih’ (‫) داليه‬.
x. Hukum Alif (‫ ( ا‬Pembeza – iaitu penambahan huruf saksi Alif (‫ ( ا‬dalam suku kata
kedua atau akhir bagi kata yang mempunyai suku kata terbuka pertama yang mempunyai
huruf vokal [i], [e taling], [u], [o] dan huruf [w]. Ini adalah untuk mengelakkan daripada
masalah Homograf seperti kata ‘lewat’ ( ‫ )ليوات‬dengan ‘liut’ ( ‫)ليوت‬, biasa ( ‫ )بياسا‬dengan ‘bias’
( ‫ )بياس‬dan ‘puasa’ ( ‫ )ڤواسا‬dengan ‘puas’ ( ‫)ڤواس‬.

II) HUKUM BERASASKAN SUKUKATA

Walaupun dalam Sistem Ejaan Rumi terdapat gabungan 12 pola suku kata terbuka dan suku
kata tertutup untuk menjelaskan aturan bagi kata dasar, namun dalam Sistem Ejaan Jawi
hanya mempunyai empat pola suku kata yang menjadi hukum dalam penjelasan aturan
ejaan bagi kata dasar Dua Suku Kata. Aturan yang sama juga digunakan bagi Kata Dasar Tiga
Suku Kata atau lebih, namun pemakaiannya hanya menjurus kepada dua suku kata terakhir
kata dasar sahaja. Hukum berasaskan suku kata tersebut melibatkan:-

i. Hukum KV + KV (Suku kata terbuka + suku kata terbuka)

ii. Hukum KVK + KV ( Suku kata tertutup + suku kata terbuka)

iii. Hukum KV + KVK (Suku kata terbuka + suku kata tertutup)

iv. Hukum KVK + KVK (Suku kata tertutup + suku kata tertutup)
Secara umumnya, huruf saksi Alif, Ya dan Wau ( ‫ ) ا ي و‬akan digunakan untuk
menggantikan vocal [a], [e taling], [i], [u] dan [o] bagi kata dasar yang mempunyai pasangan
suku kata terbuka dan tertutup, kecuali jika suku kata tertutup mengandungi vokal [a] yang
tidak akan diwakili huruf saksi Alif ( ‫) ا‬. Contoh kata terlibat ‘gosok’ ( ‫ݢوسوق‬ ), ‘cincin’ (
‫) چينچين‬, ‘pancing’ ( ‫) ڤنچيڠ‬.

TULISAN KHAT JAWI

Noresah (2014) menakrifkan khat sebagai tulisan tangan yang cantik yang dihasilkan dengan
menggunakan berus atau pen khas atau dikenali sebagai kaligrafi. Tulisan ini bertujuan untuk
mencantikkan atau memperindah huruf Arab. Antara contoh tulisan khat berdasarkan jenisnya
adalah seperti yang berikut:-

Tulisan Khat Khaoufi atau Kufi

Menurut Robians (2014), gaya penulisan atau jenis tulisan khat kufi merupakan pengembangan
daripada satu naskhah kuno pada waktu sebelumnya iaitu bentuk Nabatean. Rajah 4.1.0 Tulisan
Khoufi kuno (Nabatean) Khat ini mula berkembang secara meluas pada abad ke-7 Masihi yang mana
banyak digunakan dalam tulisan al-Quran. Ciri-ciri bagi jenis khat Kufi ialah mempunyai bentuk
garisan yang lurus, siku-siku dan mempunyai kesan tulisan yang formal. Ia juga digunakan sebagai
hiasan di rumah.

Tulisan Khat Riq’ah

Menurut satu artikel Jenis-jenis kaligrafi Arab (2013), Riq’ah adalah salah satu gaya khat ciptaan
masyarakat Turki Usmani. Tulisan ini mempunyai ciri-ciri yang pendek dan kebiasaannya ditulis
dengan lebih cepat. Hal ini kerana, struktur tulisannya yang lebih mudah untuk ditulis. Gambar 4.2:
Tulisan khat Riq’ah

Tulisan Khat Naskhi atau Nasakh

Khat ini adalah salah satu jenis Khat yang paling mudah dibaca sejurus menjadikan ia sebagai tulisan
yang kerap digunakan dalam mushaf al-Quran serta teks-teks ilmiah. Selain itu, khat ini juga mudah
ditulis.

Tulisan Khat Diwani

Menurut Wikipedia (2013), khat Diwani ialah satu daripada pelbagai gaya skrip seni khat Islam. Ia
mempunyai ciri melengkung yang dikembangkan semasa zaman awal pemerintahan Uthmaniyah
(abad ke-16 hingga awal abad ke-17). Khat ini digelar Diwani kerana hanya digunakan oleh pihak
Diwan (pangkat dalam sesuatu pemerintahan) dan merupakan satu rahsia istana sultan pada masa
itu. Hal ini kerana orang ramai tidak mengetahui cara penulisan khat Diwani ini yang mana
digunakan untuk menulis semua perintah, pemberian dana dan penyelesaian masalah kerajaan
sultan. Khat ini terbahagi kepada beberapa jenis antaranya ialah Diwani Jali (gaya jelas) yang mana
tulisannya dibezakan dengan kehadiran huruf berkait dan garis lurus. Khat jenis ini juga mempunyai
banyak tanda baca sebagai hiasan dan menyebabkan ia sukar dibaca dan ditulis. Tulisan ini juga
mempunyai banyak titik sebagai hiasan untuk mewujudkan suatu bentuk contohnya perahu, daun,
buah dan sebagainya. Pada kebiasaannya, khat ini dijadikan perhiasan di rumah yang mengandungi
ayat-ayat suci al-Quran dan memuji kebesaran Allah serta memuji Rasulullah saw.

Tulisan Khat Nasta’liq

Menurut Siti Hajar (2009), khat Nasta’liq juga dikenali sebagai khat Taliq yang dicipta oleh Mir’ Ali
dari Tabriz. Khat ini merupakan gaya kaligrafi Persia yang terkenal antara abad ke-15 dan ke-16.
Sebagaimana namanya, khat Nasta’liq ini merupakan gabungan daripada dua jenis khat yang lain
iaitu Nasakh dan Ta’liq.

Selain itu terdapat juga beberapa jenis khat di serata dunia. Perbezaan yang ketara dalam pelbagai
jenis khat ialah melalui ciri-ciri tulisannya. Khat Koufi mempunyai ciri garisan yang lurus dan
menggunakan pembaris, manakala khat Riq’ah pula mempunyai gaya tulisan yang pendek-pendek.
Tulisan Nasakh pula lebih mudah dibaca dan ditulis berbanding khat Diwani dan khat Nasta’liq.
Kaligrafi ini juga merupakan salah satu warisan dari nenek moyang kita yang berkembang sebelum
zaman penjajahan lagi. Oleh itu, kita wajiblah mempertahankan seni khat ini agar tak lapuk dek
hujan dan tak lekang dek panas.

PERANAN SEKOLAH MEMARTABATKAN KEMAHIRAN ASAS JAWI

Latihan Pembangunan Staf/ Latihan Dalaman Tulisan Jawi - Pihak pengurusan sekolah seharusnya
memantapkan nilai tambah pengetahuan dan kemahiran asas tulisan Jawi melalui pelbagai kursus
atau bengkel intensif kemahiran Jawi daripada pakar-pakar tulisan Jawi di institusi awam lain atau
Pertubuhan Bukan Kerajaan. Dengan kemahiran Jawi lanjutan yang dimiliki oleh para guru tersebut,
pemartabatannya dalam kalangan murid dapat disinambungkan melalui kelas/ kursus tambahan
ejaan dan tulisan Jawi kepada para pelajar. Pengukuhan kemahiran asas dan lanjutan dalam
kalangan guru dan pelajar ini bukan sahaja akan memantapkan kefahaman warga sekolah tetapi juga
menyemai semangat cintakan warisan budaya bangsa. Kelas Tambahan untuk pelajar membaca,
menulis Jawi dan Khat juga boleh diadakan agar pemantapan kemahiran asas Jawi mereka dapat
diserlahkan.
Kolaboratif Khazanah/ Aktiviti Tulisan Jawi – Dalam hal ini pihak sekolah sebaiknya menjalinkan
hubungan kolaboratif dengan pihak luar seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negeri,
Jabatan Agama Islam Negeri, Sekolah-sekolah Tahfiz/ Swasta dan institusi luar yang berkepentingan
untuk meningkatkan bekalan bahan tulisan Jawi di perpustakaan sekolah khususnya bahan penulisan
kreatif, kritis, interaktif, video dan sebagainya. Peningkatan bahan ini akan membuka ruang dan
peluang seluasnya kepada pelajar untuk membaca dan terdedah dengan sistem ejaan dan tulisan
Jawi di samping menerapkan semangat Lautan Biru Kebangsaan dalam kalangan institusi awam dan
swasta negara. Penganjuran aktiviti-aktiviti kemahiran Jawi dan Khat secara bersama juga bukan saja
dapat memperkukuhkan jalinan kerjasama yang sedia ada tetapi juga menyemarakkan lagi khidmat
sosial sector awam dan swasta dalam pemertabatan tulisan Jawi.

Kempen Kemahiran Jawi dan Khat – Pihak sekolah dapat menggalakkan penyertaan menyeluruh
pelajar dan masyarakat setempat dalam pemartabatan kemahiran asas Jawi dan Khat melalui
Kempen Kemahiran Jawi dan Khat yang berterusan dan bersepadu. Pelbagai aktiviti pengisian
kempen seperti Pelancaran Minggu/ Bulan Kemahiran Jawi, Pameran Jawi dan Khat, Pertandingan
Menulis dan melukis Poster, Puisi, Cerpen, dan Esei Jawi dan Khat, Eksplorasi Jawi, Penubuhan Kelab
Tulisan Jawi/Khat Sekolah, Pertandingan Nilam Jawi, Aktiviti Larian Jawi, aktiviti Ceramah Jawi/Khat
dan sebagainya bukan sahaja akan memberi impak kepada penglibatan menyeluruh warga sekolah
malah, akan menarik sokongan dan dokongan masyarakat setempat untuk terlibat sama dalam
pengembangan dan pemantapan kemahiran asas Jawi dan Khat.

Lawatan Penanda-arasan Tulisan Jawi dan Khat - Pihak sekolah melalui Persatuan Bahasa Melayu
atau Persatuan Agama Islam boleh melakukan lawatan penanda-arasan Tulisan Jawi dan Khat ke
tempat-tempat yang sememangnya menjadi pusat penataran Jawi/ Khat seperti Majlis Agama Islam,
Muzium Peradaban Islam, dan Universiti-universiti Tempatan/ Luar Negara yang menjadi pusat
rujukan dalam Tulisan Jawi dan Khat. Pertukaran pengetahuan dan kemahiran tentang kemahiran
Jawi dan Khat serta perkongsian amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran kemahirannya
bukan sahaja akan menjadikan penyuburan kemahiran Jawi/ Khat bertambah lestari tetapi juga
boleh meluaskan skop kemahiran Tulisan Jawi dan Khat yang terkini dan bernilai tambah.
 Pengwujudan Stesen Pembelajaran Kemahiran Jawi dan Khat.
 Penerbitan dan Penghargaan Karya Tulisan Jawi dan Khat Warga Sekolah

RUJUKAN
Afiqekie. (2012). Topik 6: Sistem Ejaan Jawi Bahasa Melayu. Diakses pada 20 Februari 2016 dari
https://afiqekie.files.wordpress.com/2012/12/modul-bmm3112-topik-6- iankaka.pdf
Anandastoon. (2013). Jenis-jenis kaligrafi Arab. Diakses pada 20 Februari 2016 dari anandastoon.com/pojok-akidah/seni-
islam/jenis-jenis-kaligrafi-arab/
Anuar. (n.d). Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu. Diakses pada 20 Februari 2016 dari
Anuar2u.com/download/JAWI/PEDOMAN%20JAWI.pdf
Hashim Musa. (2006). Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi Edisi Kedua. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Musa. (2006). Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu (Edisi kedua). Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Isha Awang. (2008, 16 Julai). Sayembara Deklamasi Puisi BBSN 2008. Berita Harian, 11.
Muhammed Salehudin Aman. (2016). Sinopsis Ejaan Bahasa Melayu. Diakses pada 24 Februari 2016 dari
klikweb.dbp.my/wordpress/?p=6003
Nik Safiah Karim et. al. (2015). Tatabahasa Dewan (Edisi ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noresah Baharom. (2014). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Persiangig. (n.d).
Nastaliq. Diakses pada 25 Februari 2016 dari nastaliq.persiangig.com
Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). (2016). Pedoman Sistem Ejaan Rumi. Diakses pada 24 Februari 2016 dari
prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pedoman&d=8
Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain. (1992). Pembinaan Bahasa Melayu (Perancangan Bahasa di Malaysia). Selangor:
Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Robians. (2014). Khat Kufi, Kaligrafi tertua sepanjang sejarah perkembangan kaligrafi Islam. Diakses pada 27 Februari 2016
dari www.robians.com/2014/07/khat-kufi-kaligrafi- tertua-sepanjang.html?m=1#.Vt0xHETmjq
A Roziati Abd Alrani. (2008). Diari Siswa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu I (Edisi kedua). Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Bahasa Melayu II. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Wikipedia. (2012). Tulisan Jawi. Diakses pada 25 Februari 2016 dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Tulisan_Jawi
Wikipedia.
(2013). Khat Diwani. Diakses pada 25 Februari 2016 dari https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Diwani(seni_khat)

Anda mungkin juga menyukai